Jika anda melawat negara Jepun, tidak sah jika lawatan anda tidak memasukkan lawatan ke istana-istana lama Jepun. Jika dilihat dari sudut luar, ia kelihatan kukuh dan sukar ditembusi berikutan peranannya sebagai kubu pertahanan. Tetapi pada masa sama, ia masih kelihatan cantik dari segi estetikanya. Hari ini terdapat lebih seribu istana atau tapak istana yang masih wujud di Jepun di mana sesetengah masih kukuh berdiri seperti Istana Matsue atau Istana Kochi. Ada pula yang dibina semula seperti Istana Hiroshima yang dibina semula pada tahu 1958 selepas musnah dalam serangan bom atom di Hiroshima.

Jika diamati reka bentuk istana-istana Jepun, peranan asalnya hanyalah sebagai kubu pertahanan yang dibina di lokasi-lokasi strategik seperti laluan perdagangan, jalan-jalan dan sungai-sungai. Semasa era Sengoku, ia memainkan peranan sebagai kediaman rasmi daimyo. Pada ketika itu, reka bentuk istana bukan saja bertujuan menarik perhatian tetapi juga menakutkan daimyo-daimyo lain menerusi kekuatan pertahanan, saiz, reka bentuk pembinaan dan hiasan dalamannya yang elegan. Pada tahun 1576, Oda Nobunaga membina sebuah istana yang mempunyai reka bentuk menara (tenshuaku) yang dikenali sebagai Istana Azuchi. Istana ini kemudiannya menjadi inspirasi kepada Istana Osaka (Toyotomi Hideyoshi) dan Istana Edo (Ieyasu Tokugawa).

Sebelum era Sengoku, kebanyakan istana dipanggil yamajiro (istana gunung) kerana dibina di atas bukit atau gunung. Walaupun kebanyakan istana yang dibina kemudian memang dibina di atas bukit atau gunung, ia sebenarnya dibina menggunakan semua sumber sesebuah gunung. Pokok-pokok dan semak-samun dibersihkan dengan batu-batu dan tanah digunakan untuk membina benteng pertahanan. Parit-parit juga digali bukan saja untuk menghalang pasukan musuh dari menyerang tetapi juga membenarkan pasukan pertahanan menggolekkan batu-batu besar terhadap pihak musuh.

Sementara parit air yang dalam terhasil dengan mengalihkan aliran air sungai gunung. Bangunan-bangunan ini dibina dengan menggunakan sasak berlepakan tanah liat dan berbumbungkan jerami atau bumbung kayu. Tetapi gaya pembinaan sebegini ada kelemahannya iaitu mengakibatkan bangunan tidak stabil, mudah terbakar dan sukar dibina jika istana yang dibina berskala besar dan berat. Ini membawa kepada penggunaan batu sebagai asas bangunan sekaligus membolehkan pembinaan istana yang lebih kukuh dan tetap.

Semasa era awal Jepun, kebanyakan istana atau kubu pertahanan ini hanya digunakan untuk kegunaan perang sahaja dan diabaikan selepas ia memenuhi fungsinya itu. Kebanyakannya dibina menggunakan tanah atau kayu menggunakan sumber semulajadi dan topografi muka bumi. Pada era Nara (710-794 Masihi) pula, parit digali sekitar kubu pertahanan dan hanya diisi dengan air bila berlakunya konflik. Kubu sebegini digelar mizuki (kubu air).

Semasa era Heian (770-1185) pula, walaupun kayu masih menjadi bahan utama pembinaan istana, kompleks istana kekal mula menjadi pilihan berikutan lawan pada ketika itu bukan lagi wilayah pesaing tetapi daimyo-daimyo yang bersaing merebut kuasa dan ancaman tentera Mongol pada abad ke-13. Semasa era Keshogunan Ashikaga, kompleks istana menjadi semakin rumit kerana ia memainkan banyak peranan dari kediaman daimyo sehinggalah markas operasi ketenteraan.

Permulaan reka bentuk dan seni bina klasik istana Jepun hanya bermula pada abad ke-14 yang turut menyaksikan kewujudan bandar-bandar yang mengelilingi istana berkenaan. Tetapi di sebalik semua ini, ia masih mengekalkan reka bentuk sama dari abad sebelumnya. Namun menerusi Perang Onin yang turut mencetuskan tempoh Sengoku, ia juga menggerakkan pertukaran reka bentuk istana menjadi lebih radikal seperti yang digambarkan Istana Himeji hari ini.

Jika di Eropah, pembinaan istana sudah luput dengan pengenalan meriam, Jepun pula menyaksikan reka bentuk radikal istana berubah disebabkan oleh senjata api. Istana Azuchi merupakan contoh terbaik di mana ia merupakan sebuah kompleks istana yang lebih besar terdiri daripada asas istana yang diperbuat daripada batu, susunan tembok yang rumit dan sebuah menara tengah yang tinggi. Selain itu, ia juga dibina di kawasan lembah berbanding kawasan hutan pergunungan dan bergantung kepada reka bentuk dan pertahanan buatan manusia berbanding perlindungan semulajadi.

Ciri reka bentuk ini menjadi pilihan Nobunaga kerana asas batu dilihat dapat menahan tembakan senapang batu, istana berskala besar sukar untuk dimusnahkan, lokasi istana di kawasan lembah dan menara membantu para jeneral melihat pasukan mana yang menggunakan senapang batu dan susunan tembok memberi peluang kepada askar-askar untuk merampas semula bahagian istana yang jatuh ke tangan pihak musuh. Selain itu, asas binaan istana daripada batu membolehkan ia dapat bertahan dari gempa bumi yang selalu melanda Jepun. Ciri sebegini digunakan oleh Hideyoshi dan Tokugawa dalam pembinaan istana mereka.

Semasa tempoh peralihan dari Sengoku ke Edo, peranan istana juga sudah berubah. Istana bukan sekadar kubu pertahanan tetapi juga sebagai kediaman daimyo dan simbol kekuasaannya. Contoh paling mudah ialah Istana Fushimi yang merupakan istana persaraan mewah untuk kegunaan Hideyoshi. Dari segi luaran, ia kelihatan sama dengan istana-istana lain tetapi hiasan dalamannya mewah dengan bilik tehnya dihiasi dengan daun emas.

Sesetengah keluarga bangsawan yang berkuasa ketika itu turut menguasai rangkaian istana dengan sebuah istana utama (honjo) dan beberapa istana satelit (shijo) yang dibina di sepanjang wilayah yang dikuasai mereka. Walaupun sesetengah shijo dibina menggunakan asas binaan batu, majoritinya menggunakan asas binaan tanah atau kayu. Dan bagi membolehkan komunikasi antara istana berjalan lancar, mereka menggunakan sistem isyarat sama ada menggunakan api, gendang atau cangkerang laut.

Selepas Pertempuran Sekigahara yang menyaksikan Tokugawa memulakan keshogunannya, Jepun memasuki satu tempoh keamanan yang lama. Istana-istana yang dahulunya menjadi markas pertahanan dan ketenteraan bertukar peranan sebagai pusat politik dan ekonomi. Setahun sebelum meninggal dunia, Tokugawa turut mengeluarkan dekri mengehadkan pemilikan sebuah istana sahaja bagi daimyo setiap wilayah. Manakala istana-istana lain akan dimusnahkan. Dekri sama turut membenarkan pengubahsuaian terhad dan melarang sebarang bentuk pembinaan istana baru dengan tujuan menghalang cubaan daimyo membina kuasa dan mengancam kedudukan Keshogunan Tokugawa.

Semasa era Pemulihan Meiji, semua istana bersama wilayah yang dikuasai bangsawan ketika itu diserahkan kepada pihak kerajaan pada tahun 1871. Memandangkan istana-istana ini dianggap simbol pemerintahan golongan elit sebelumnya, 2,000 istana ini sama ada dimusnahkan atau dirosakkan. Manakala bakinya diabaikan dan dilupakan oleh peredaran masa. Era ini juga turut menyaksikan pemberontak menggunakan istana sebagai markas operasi mereka menentang penguasaan Tokyo di mana pemberontakan terbesar ialah Pemberontakan Satsuma yang diketuai Saigo Takamori yang tercetus pada tahun 1877.

Era moden Jepun menyaksikan istana-istana ini bertukar peranan sebagai markas Tentera Maharaja Jepun (IJA). Tiga istana yang pernah menjadi markas tentera ini ialah Istana Osaka, Istana Kanazawa dan Istana Hiroshima. Istana Osaka pernah menjadi markas Divisyen Infantri Keempat sebelum mereka diberi markas baru hasil sumbangan orang ramai dan tidak jauh dari kawasan istana.

Pemindahan ke markas baru ini membolehkan orang ramai terutama pelancong melawat istana berkenaan. Sementara Istana Hiroshima pula pernah berperanan sebagai Markas Jeneral Diraja semasa Perang China-Jepun Pertama (1894-1895) dan kemudiannya sebagai markas Divisyen Infantri Kelima. Manakala Istana Kanazawa pula menjadi markas Divisyen Infantri Kesembilan.

Melihat kepentingan istana dari segi budaya dan moral rakyat Jepun, tidak hairanlah mengapa ia menjadi sasaran utama serangan udara pihak Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua. Antara istana yang menjadi sasaran ialah Osaka, Nagoya, Okayama dan Ogaki.

Sementara Istana Hiroshima pula musnah dalam serangan bom atom pada Ogos 1945 dan ia juga menjadi saksi mesej pertama serangan bom berkenaan dihantar ke Tokyo. Bagi peminat Call of Duty terutama siri World at War, pasti sudah masak dengan Istana Shuri. Istana Shuri bukan saja merupakan markas pertahanan Tentera Ke-32 dan pertahanan Okinawa tetapi juga istana terakhir Jepun yang diserang bertubi-tubi oleh pasukan penyerang.

Hari ini, istana-istana Jepun sama ada yang asli atau dibina semula menjadi monumen tarikan pelancong. Sesetengah istana menjadi sebahagian daripada taman awam seperti Istana Sunpu di Shizuoka dan Istana Matsutaka di Mie. Ada pula berperanan sebagai muzium perang dan budaya tempatan di mana sesetengah daripadanya turut mendirikan monumen peringatan kepada samurai atau askar Jepun yang gugur semasa WWII.

Ketika ini, ada 12 istana yang diklasifikasikan sebagai asli seperti Istana Inuyama dan Istana Himeji. Walaupun banyak istana lama yang dibina semula menggunakan kaedah moden, wujud suara-suara yang mahukan pembinaan semula istana menggunakan kaedah pembinaan tradisional. Wujud usaha yang digerakkan pertubuhan bukan kerajaan yang mengadakan usaha kutipan dana untuk membiayai pembinaan semula menara utama di Istana Takamatsu di Shikoku dan Istana Edo di Tokyo.

RUJUKAN:

1. CastlesAndManorHouses.com. Types of Castle and The History of Castles Japanese Castles. http://www.castlesandmanorhouses.com/types_07_japanese.htm

2. Nippon.com. (2017). Japanese Castles. https://www.nippon.com/en/features/jg00105/japanese-castles.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.