Sejarah Istana Himeji

965

Himeji-jo, juga dikenali sebagai Istana Himeji, terletak di Bandar Himeji, Wilayah Hyogo, Jepun. Walaupun struktur yang berdiri pada hari ini datang dari kurun ke-17, pada asalnya terdapat sebuah kubu yang berdiri tepat di tapak yang sama di mana ia dibina pada kurun ke-14 M. Istana Himeji dianggap sebagai sebuah monumen yang penting, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan salah sebuah daripada 12 buah istana Jepun ‘binaan asal’. Ia juga diperakui sebagai contoh seni bina istana feudal Jepun yang paling baik.

Istana ini bukan hanya dikagumi lantaran keindahannya yang memukai, akan tetapi juga kerana fungsi pertahanannya yang begitu ampuh. Tambahan lagi, istana ini turut mempunyai hubungan dengan beberapa figura penting dalam sejarah Jepun. Signifikasi kebudayaan yang dipegang oleh Istana Himeji terbukti apabila ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan lima buah struktur di dalamnya pula diwartakan sebagai Khazanah Negara.

Istana Himeji terletak di puncak Bukit Himeyama yang berlokasi di bahagian tengah Dataran Harima. Dlaam kata-kata lain, Istana Himeji merupakan sebuah istana perbukitan, iaitu salah satu daripada tiga jenis istana Jepun. Dua jenis yang lain ialah istana pergunungan dan istana dataran landai. Istana-istana perbukitan dibina semasa era feudal Jepun dan ia meraih keutamaan khusus pada pertengahan zaman Sengoku (Zaman Negara-Negara Berperang). Istana jenis ini tidak hanya memainkan fungsi pertahanan, akan tetapi turut digunakan sebagai pusat politik.

Selain itu, istana-istana perbukitan juga merupakan cerminan kepada hierarki sosial Jepun. Puncak hierarki diduduki oleh daimyo atau raja feudal. Kedudukan ini disusuli oleh samurai, di mana rumah kediaman mereka dibina di sekitar istana. Lebih tinggi status seseorang samurai, lebih hampir kediamannya dengan istana. Di sana juga terdapat kuarters yang dikhususkan untuk para pedagang dan artisan, manakala bangunan kuil dan kawasan hiburan pula diletakkan di pinggir bandar ataupun di luarnya.

Istana Himeji pada musim luruh, Bukit Himeyama, Bandar Himeji, Jepun

KUBU PERTAMA YANG DIBINA DI TAPAK ISTANA HIMEJI PADA 1333 M

Pada tahun 1333 Masihi, sebuah kubu dibina oleh Akamatsu Norimura, seorang pahlawan samurai, tepat di tempat berdirinya Istana Himeji pada hari ini. Klan Akamatsu memerintah Wilayah Harima yang terletak di bahagian barat daya Wilayah Hyogo moden. Pada mulanya, Norimura menumpahkan kesetiaan kepada Maharaja Go-Daigo dalam pemberontakan yang dilakukan terhadap Keshogunan Kamakura dan klan Hojo. Namun, Norimura kemudiannya menukar kesetiaan dan memihak Ashikaga Takauji sekaligus mendorongnya untuk memerangi maharaja.

Pahlawan Akamatsu Norimura yang membina kubu pertama di tempat berdirinya Istana Himeji pada hari ini

Semasa Keshogunan Ashikaga ditubuhkan, Norimura diganjari jawatan menteri dalam pentadbiran baru itu. Kubu Norimura diruntuhkan pada tahun 1346 untuk digantikan dengan sebuah istana, iaitu Istana Himeji yang pertama, di mana ia dibina oleh puteranya sendiri, Sadanori. Istana ini dibina bagi tujuan melindungi klan Amakatsu dari serangan raja-raja seteru terutama di zaman ketidakstabilan politik.

Sepanjang dua kurun setengah lamanya, sejarah Istana Himeji berlangsung relatif aman dan tiada sebarang peristiwa penting berlaku. Namun, keadaan yang sama tidak berlaku pada wilayah-wilayah lain. Tahun 1467 dianggap sebagai tahun bermulanya zaman Sengoku, iaitu zaman yang dipenuhi dengan huru-hara dan perang saudara.

Pada tahun 1577, Wilayah Harima ditawan oleh Oda Nobunaga, salah seorang daimyo paling terkemuka pada zaman itu. Nobunaga menyerahkan Istana Himeji kepada salah seorang orang kepercayaan, iaitu Toyotomi Hideyoshi. Hideyoshi kelak digelari sebagai ‘Penyatu Agung’ yang kedua dari tiga penyatu Jepun secara keseluruhan. Penyatu yang pertama ialah rajanya sendiri, Nobunaga dan penyatu ktiga ialah Tokugawa Ieyasu, seorang lagi orang bawahan Nobunaga.

Lukisan lama yang menggambarkan kompleks Istana Himeji pada zaman Edo

Sepanjang mentadbirnya, Hideyoshi melakukan sejumlah pengubahsuaian signifikan ke atas Istana Himeji, antaranya melibatkan pembinaan kediaman utama setinggi tiga-tingkat sekaligus mengubahnya menjadi sebuah kubu yang lebih ampuh.

Terdapat sebuah kisah rakyat berkaitan projek pembinaan ini, berjudul Ubagaishi atau ‘Batu Janda Tua’. Menurut legenda ini, ketika Hideyoshi menjalankan pembinaan, beliau menyedari bahawa bekalan batu yang diperlukan tidak mencukupi dan hal ini cukup menggusarkan hatinya.

Di sekitar bandar itu, menetap seorang janda tua yang mencari rezeki dengan menjual kek beras panggang. Tatkala mendengar khabar tentang dilemma yang melanda Hideyoshi, janda tua ini pun datang ke istana dan menyerahkan alat pengisarnya yang diperbuat daripada batu supaya dapat digunakan bagi membina istana, walaupun kehidupannya benar-benar bergantung harap pada alat tersebut. Hideyoshi amat tersentuh hati dengan pengorbanan itu dan beliau pun menggunakan batu itu bagi menyambung pembinaannya. Tatkala kisah ini didengari oleh orang lain, masing-masing lantas menyerahkan batu kepada Hideyoshi dan akhirnya, istana itu dapat disiapkan.

Perigi Okiku yang ‘berhantu’ di Istana Himeji

Sejurus mengetahui bahawa Okiku adalah punca kegagalannya, Aoyama lantas berhasrat mahu membunuhnya. Beliau menuduh Okiku menghilangkan satu dari sepuluh pinggan berharga miliknya. Sebagai hukuman, Okiku diseksa sehingga mati dan jasadnya dihumban ke dalam salah sebuah perigi yang terdapat di Istana Himeji. Perigi ini dipercayai dihantui oleh hantu Okiku. Kononnya pada setiap malam, suara hantu Okiku mengira jumlah pinggan dapat didengari.

Ubagaishi
 bukanlah satu-satunya kisah rakyat yang mempunyai kaitan dengan Istana Himeji. Istana ini turut dikaitkan dengan kisah hantu Okiku yang kononnya berlaku pada kurun ke-15 Masihi.

Terdapat sejumlah versi bagi kisah ini dan dalam versi yang melibatkan Istana Himeji, Okiku diperincikan sebagai seorang pelayan Aoyama, seorang pegawai yang sedang merancang muslihat ke atas rajanya. Tatkala Okiku terdengar tentang rancangan jahat itu, beliau segera melapor pada kekasihnya yang merupakan seorang pegawai yang setia. Hal ini sekaligus menggagalkan rancangan Aoyama.

ISTANA HIMEJI DAN KEBANGKITAN KESHOGUNAN TOKUGAWA

Hideyoshi mangkat pada tahun 1598 dan kedudukannya digantikan oleh putera beliau, Hideyori, sebagai pemerintah de facto Jepun. Sejurus sebelum menghembuskan nafas terakhir, Hideyoshi sempat membentuk Majlis Lima Pemimpin. Majlis ini dianggotai oleh lima orang daimyo yang ditugaskan selaku pemangku Hideyori yang masih kanak-kanak. Namun, para pemangku ini tidak menjalankan tugas mereka sebaliknya bertelagah sesama sendiri bagi berebutkan kuasa.

Perebutan kuasa ini memuncak dalam Pertempuran Sekigahara pada tahun 1600 yang memperlihatkan kekalahan pasukan yang setia kepada Hideyori di tangan Ieyasu Tokugawa. Pada tahun berikutnya, Istana Himeji diserahkan oleh Ieyasu kepada Ikeda Terumasa, salah seorang penyokong merangkap menantunya, sebagai ganjaran. Terusama turut diizinkan oleh Ieyasu untuk membina semula Istana Himeji. Dicatatkan bahawa Terumasa berhasrat mahu menggayakan Istana Himeji mengikut model Istana Azuchi milik Nobunaga. Pembinaan istana ini siap pada tahun 1609 dan istana inilah yang berdiri pada hari ini.

Penting bagi Terumasa untuk membina sebuah istana yang berbenteng ampuh lantaran daerah pemerintahannya, iaitu Harima, Bizan dan Awaji, dipenuhi dengan penyokong Toyotomi. Dari Istana Himeji, beliau berupaya meneguhkan kekuasaannya ke atas wilayah-wilayah berkenaan.

Bagi tujuan membina istana baru ini, banyak bekalan batu yang diperlukan dan keperluan ini ditampung menerusi perobohan kubu-kubu lama Hideyoshi. Situasi yang sama dengan legenda Ubagaishi turut berlaku, di mana jurubina mendapati bekalan batu yang diperlukan masih tidak mencukupi. Justeru, mereka terpaksa membongkar batu-batu kubur dan bahkan keranda batu. Sebahagian batu-batu ganti ini masih boleh dilihat pada dinding istana.

Secara keseluruhan, Istana Himeji mempunyai 82 buah bangunan yang meliputi kawasan seluas 107 hektar (264 ekar). Selain kediaman utama yang setinggi lima-tingkat, istana ini turut merangkumi gerbang, benteng dan dinding batu. Struktur-struktur ini memperagakan keampuhan pertahanan Istana Himeji.

Misalnya, sejumlah gerbang khusus dibina bagi memperlahankan kemaraan pihak penceroboh untuk sampai ke perkarangan utama istana. Selain itu, sejumlah lubang juga diletakkan pada gerbang dan tembok istana bagi memudahkan pasukan bertahan untuk membidik pihak penceroboh dari kedudukan yang selamat. Kebanyakan struktur istana ini masih mengekalkan keasliannya dari kurun ke-17.

Kediaman utama di Istana Himeji

Ciri yang paling menonjol bagi Istana Himeji binaan Terumasa ini adalah warna putih pada bahagian luar bangunannya. Hal ini membuatkan istana tersebut turut digelari sebagai Shirasaga-jo yang bermaksud ‘Istana Burung Pucung Putih’ (White Heron Castle). Gelaran ini merujuk kepada kediaman utama lima-tingkat yang kononnya kelihatan seperti sekawanan burung pucung jika dilihat dari jauh. Bahagian luar istana diwarnakan dengan putih dan dilitupi dengan lepa.

Berikutan ketibaan Portuis di Jepun pada tahun 1543, senjata api mula diperkenalkan ke negara itu. Hal ini turut membawa maksud rekaan istana juga perlu disesuaikan demi menangkis serangan senjata baru ini. Lepa dianggap sebagai kalis api, justeru bahan ini digunakan untuk melitupi bahagian luar istana.

Walaupun dilengkapi dengan segala ciri pertahanan ini, Istana Himeji sama sekali tidak pernah diserang memandangkan zaman Keshogunan Tokugawa berlangsung relatif aman. Keperluan dan kefungsian istana mula hilang pada era ini, sebagaimana yang terbukti dalam titah shogun pada tahun 1615 yang dikenali sebagai Buke shohatto atau ‘Undang-Undang Perumahan Tentera’.

Salah satu artikel yang terdapat dalam titah ini menyatakan bahawa setiap wilayah hanya dibenarkan memiliki sebuah istana sahaja. Lantaran itu, banyak istana di seluruh Jepun dihancurkan dan Istana Himeji adalah salah sebuah istana yang terselamat dari kira-kira 170 istana lain secara keseluruhan. Apapun, Istana Himeji sangat penting bagi tujuan politik keshogunan. Melalui istana ini, shogun berupaya mengawal raja-raja feudalnya di bahagian barat Jepun.

Keadaan ini memerlukan penguasa Istana Himeji bersikap cekap dalam memerintah, cukup usia dan sihat tubuh badan, serta memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada shogun. Sepanjang era Keshogunan Tokugawa, seramai 31 raja feudal pernah mendiami Istana Himeji. Istana ini tidak berada dalam tangan klan Ikeda buat tempoh yang lama. Selepas kematian Terumasa, kedudukannya sebagai raja Istana Himeji digantikan oleh putera beliau yang bernama Toshitaka. Beberapa tahun kemudian, Toshitaka pula meninggal dunia dan kepimpinan istana diserahkan kepada klan Honda pada tahun 1617.

Daimyo Honda Tadamasa

Raja Honda pertama di istana ini, iaitu Honda Tadamasa, menambahkan beberapa buah bangunan ke dalam istana. Selain Honda, terdapat juga beberapa klan lain yang pernah mentadbir Istana Himeji, seperti klan Okudaira, Matsudaira, Sakakibara dan Sakai. Memandangkan besarnya peranan politik yang dimainkan oleh Istana Himeji, maka klan-klan ini menjalankan usaha pembaikpulihan secara berkala sekaligus menyumbang kepada kondisi istana ini yang amat baik lagi terpelihara.

ISTANA HIMEJI SESUDAH KETUMBANGAN TOKUGAWA PADA 1868

Keshogunan Tokugawa berakhir pada tahun 1868 dan digantikan oleh sebuah pentadbiran baru. Istana Himeji turut hilang kepentingan politiknya berikutan pemansuhan sistem feudal. Peranannya diubah kepada tujuan ketenteraan. Rumah-rumah samurai diruntuhkan dan banyak struktur ketenteraan dibina. Tambah menarik, istana ini pernah dilelong oleh kerajaan Meiji. Bidaan berjaya dilakukan oleh Encik Kanbe dari Himeji, di mana beliau pada mulanya berhasrat untuk membangunkan tapak tanah istana berkenaan. Tatkala menyedari bahawa kos meruntuhkan istana itu terlampau tinggi, beliau pun melupakan sahaja hasratnya itu.

Istana Himeji juga hampir pernah dirobohkan lantaran polisi baru kerajaan. Banyak istana di Jepun diruntuhkan. Namun, berkat campur tangan pegawai-pegawai tentera terutama Kolonel Nakamura Shigeto, Timbalan Pengarah Kementerian Ketenteraan, istana ini dibiar tidak berusik. Kolonel berjaya memujuk Ketua Angkatan Tentera, Yamagata Aritomo, agar mengekalkan Istana Himeji supaya dapat dijadikan sebagai contoh binaan istana feudal Jepun. Lantaran itu, Istana Himeji pun terselamat dan sebuah monumen didirikan di dalam Gerbang Berlian bagi mengenang jasa kolonel.

Semasa meletusnya Perang Dunia Kedua, Istana Himeji sangat beruntung kerana terselamat daripada pengeboman yang dilakukan oleh pasukan perikatan. Selain sejumlah perobohan yang dilakukan pada era Meiji, satu-satunya kerosakan yang dialami oleh Istana Himeji adalah kehancuran kuarters kediaman daimyo akibat kebakaran yang berlaku pada tahun 1882. Beberapa tempoh kemudian, kompleks ini dibaik pulih. Selepas perang berakhir pada tahun 1945, struktur-struktur ketenteraan di bahagian dalam dan luar istana diruntuhkan dan digantikan dengan bangunan-bangunan awam untuk kegunaan rasmi. Apapun, struktur-struktur asal dari kurun ke-17 dibiarkan tidak berusik.

Pada hari ini, Istana Himeji dianggap sebagai sebuah tapak kebudayaan Jepun yang penting di samping merupakan tapak pelancongan yang masyhur. Status ini diperakui apabila ia diwartakan oleh Kerajaan Jepun sebagai Tapak Bersejarah pada tahun 1929. Dua tahun kemudian, ia meraih status sebagai Khazanah Negara. Selain Istana Himeji, terdapat empat buah istana Jepun lain yang turut diberikan status sama, iaitu Istana Matsumoto, Istana Hikone, Istana Inuyama, dan Istana Matsue.

Pada tahun 1993, Istana Himeji dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penamaan ini bukan sahaja merupakan suatu pengiktirafan yang besar buat Istana Himeji, ia turut menjadi batu loncatan yang penting bagi negara Jepun memandangkan istana itu merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia pertama negara berkenaan.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (25 Jun 2020). Himeji Castle’s Fascinating Feudal History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/himeji-castle-0013899

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.