Sejarah Hidup Dr Mohammed Morsi

552

Beberapa hari lepas, dunia dikejutkan dengan pemergian bekas presiden Mesir, Allahyarham Dr Mohammed Morsi. Beliau meninggal dunia semasa sedang menghadapi perbicaraan semula berkenaan tuduhan pengintipan yang dihadapinya. Hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung. Dan ini sudah mencetuskan keributan bukan saja dalam kalangan penyokong dan sekutu Ikhwanul Muslimin (IM) tetapi juga pertubuhan hak asasi manusia berkenaan keadaan beliau sebelum ini. Sebelum kita berbicara tentang itu, mari kita selusuri latar belakang beliau.

Allahyarham merupakan anak jati Al-Idwah, Mesir dan dilahirkan pada 20 Ogos 1951. Merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik, beliau datang dari keluarga petani yang miskin. Masih segar dalam ingatannya apabila beliau dibawa ke sekolah dengan menaiki keldai milik bapanya. Situasi ini yang mendorongnya belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib dirinya dan keluarga. Pada lewat 60-an, Allahyarham berpindah ke Kaherah dan melanjutkan pelajaran di Universiti Kaherah di mana pada tahun 1975, beliau berjaya mendapat ijazah dalam bidang kejuruteraan dengan kepujian. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat bersama tentera Mesir selama setahun (1975-1976) dalam unit perang kimia.

Selepas menamatkan khidmat ketenteraan, Allahyarham kembali ke Universiti Kaherah dan berjaya meraih Masters of Science dalam bidang kejuruteraan metalurgi pada 1978. Berikutan pencapaian cemerlangnya itu, kerajaan Mesir memberi biasiswa bagi membolehkannya menyambung pengajian di Amerika Syarikat pada tahun 80-an. Pada tahun yang sama, beliau melangsungkan perkahwinan dengan sepupunya yang berumur 17 tahun ketika itu, Naglaa Mahmoud dan pasangan ini dikurniakan lima cahaya mata. Semasa ditemubual dalam satu program, Allahyarham menganggap perkahwinannya dengan Naglaa merupakan pencapaian terbesar dan terbaik dalam hidupnya.

Pada tahun 1982, Allahyarham menamatkan pengajian di University of Southern California dengan gelaran PhD menerusi tesis ‘High-Temperature Electrical Conductivity and Defect Structure of Donor-Doped Al2O3’. Dari 1982 hingga 1985, beliau bekerja di California State University, Northridge dan turut menyumbang input kepada pembangunan enjin kapal angkasa NASA pada awal tahun 80-an berikutan kepakarannya dalam bidang kejuruteraan metalurgi. Pada tahun 1985, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai profesor di Universiti Zagazig. Beliau juga berkhidmat sebagai ketua fakulti kejuruteraan di situ dan terus berbakti sebagai pensyarah hingga 2010.

Jika ada yang menyangka Allahyarham hanya bergiat dalam bidang politik selepas revolusi 2011, anda salah. Beliau sebenarnya pernah menjadi ahli parlimen dari tahun 2000 hingga 2005 sebagai calon bebas memandangkan organisasi yang diwakilinya ketika itu, IM masih lagi diharamkan oleh kerajaan Hosni Mubarak. Adakalanya, beliau mendapat pujian kerana kemahiran pengucapan awamnya yang mengesankan. Misalnya pada tahun 2002, beliau menggunakan parlimen Mesir sebagai pentas mengecam ketidakcekapan Kaherah mengendalikan kemalangan keretapi yang berlaku pada tahun berkenaan.

Selepas kerajaan Mubarak disingkirkan pada tahun 2011 dalam satu revolusi yang menjadi sebahagian daripada gelombang Arab Spring, satu pilihan raya baru dan demokratik diadakan bagi memilih presiden baru pasca-Mubarak. Tidak ramai tahu Allahyarham sebenarnya calon sandaran dan calon utama IM untuk pilihan raya itu ialah seorang jutawan bernama Khairat al-Shater. Tetapi al-Shater terpaksa menarik diri berikutan rekod mendapati beliau pernah dipenjarakan semasa era Mubarak. Justeru, nama Allahyarham dipilih sebagai pengganti dan beliau berhadapan dengan 13 calon termasuk bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafik, bekas Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa dan bekas figura utama IM, Dr Abdel Moneim Aboul Fatouh. Di sebalik semua ini, beliau berjaya memenangi pilihan raya presiden dengan majoriti 51.73% berbanding Shafik yang hanya mendapat 48.27%.

Selepas dilantik sebagai presiden, Allahyarham berjanji menjadi pemimpin kepada semua warga Mesir tanpa mengira agama, bangsa atau umur dan menghormati perlembagaan negara itu. Beliau juga berjanji partinya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) tidak melakukan apa-apa yang dilihat mengancam hak warga Mesir dari umat Islam hinggalah orang Kristian Koptik. Justeru, ramai berharap polisi yang diperkenalkan kerajaan teknokrat pimpinannya dan Perdana Menteri ketika itu, Hesham Qandil dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat termasuk isu tenaga dan bebanan subsidi makanan yang menekan kantung kewangan Mesir.

Tetapi sejak itu, populariti yang dinikmati Allahyarham, FJP dan IM mula merosot. Selalunya, sebarang perubahan yang dibuat terutama soal politik, ekonomi dan sosial haruslah bersifat perlahan-lahan ibarat menarik rambut dalam tepung dan bukan bersifat drastik. Ini kerana sebarang perubahan yang muncul pasti akan mengundang tentangan dari pihak-pihak yang berkepentingan dan silap haribulan, sokongan yang dinikmati juga akan hilang. Dan ini pengajaran pahit yang muncul daripada polisi-polisi yang diperkenalkan sepanjang setahun pemerintahan beliau sebelum disingkirkan dalam satu rampasan kuasa yang digerakkan bakal presiden, Jeneral Abdel Fattah el-Sisi pada tahun 2013.

Sepanjang setahun itu menyaksikan pelbagai konflik tercetus antara beliau dengan ramai pihak di Mesir. Pihak tentera misalnya berbulu bila Allahyarham meminta panglima tentera Mesir, Hussein Tantawi dan ketua staf tentera, Sami Hafez Anan meletak jawatan di mana kedua-duanya kemudian dilantik sebagai penasihat beliau. Langkah tersebut dikatakan cubaan kerajaan beliau mendapatkan semula kuasa dari Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Selain itu, pihak tentera juga berang dengan tindakan Allahyarham yang hadir dan berucap di satu perhimpunan pada 15 Jun 2012 yang seolah-olah membenarkan rakyat Mesir berangkat ke Syria untuk berjuang membebaskan negara itu dari kawalan rejim Bashar al-Assad. Ini sekaligus bertentangan dengan pendirian SCAF bahawa mereka hanya akan mengangkat senjata untuk melindungi sempadan negara itu dari ancaman asing termasuk kumpulan pengganas. Pilihan ini juga yang mendorong pihak tentera memilih menyokong kumpulan anti-Allahyarham semasa protes Jun 2013.

Selain amukan pihak tentera, kerajaan Allahyarham juga kehilangan sokongan para hakim dan parti-parti utama Mesir lain berkenaan isu pendrafan perlembagaan baru. Pada November 2012, beliau mengumumkan dekri melindungi hasil kerja jawatankuasa pendrafan perlembagaan baru yang dianggotai oleh parti-parti utama Mesir termasuk FJP dari campur tangan badan kehakiman. Dekri ini juga turut memberi kuasa kepada beliau mengambil apa saja langkah yang dilihat bersesuaian untuk melindungi revolusi. Dekri ini mendapat kritikan keras institusi kehakiman, parti-parti politik dan figura politik seperti bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei. Selain itu, tindakan jawatankuasa yang didominasi oleh FJP meneruskan usaha mendraf perlembagaan tanpa penyertaan parti-parti politik lain dilihat memungkiri janji awal Allahyarham bahawa partinya tidak akan mengenakan nilai-nilai parti terhadap warga Mesir. Dua tindakan ini membakar amarah warga Mesir yang anti-FJP dan membawa kepada rampasan kuasa 2013.

Isu ekonomi juga merupakan satu isu yang tidak seharusnya dipandang enteng. Semasa setahun berkuasa, Allahyarham memilih mengekalkan sistem subsidi sedia ada walaupun sedar ia menjejaskan kantung kewangan Mesir. Ini kerana tanpa sokongan rakyat yang bergantung kepada sistem berkenaan, kerajaan pimpinannya boleh tumbang. Dan sepanjang lipatan sejarah negara itu, tiada satu presiden pun yang berani melaksanakan reformasi sistem subsidi kerana bimbang dengan kesan politik yang datang termasuk Mubarak. Buktinya, subsidi minyak dan gas sahaja membentuk 6.3% KDNK Mesir, kurang 0.2% berbanding Arab Saudi (6.5%). Sementara subsidi makanan dan elektrik dicampur dengan subsidi sebelumnya akan membentuk 11% KDNK dan memakan lebih suku daripada perbelanjaan kerajaan pada tahun 2014. Reformasi subsidi hanya mula digerakkan semasa era pemerintahan pengganti Allahyarham, el-Sisi. Selain itu, Kaherah juga cuba menarik pelaburan ekonomi baru melalui rancangan pembangunan hub pembangunan dan ekonomi di Terusan Suez. Walaupun projek tersebut tidak dapat direalisasikan semasa era pemerintahannya, el-Sisi meneruskan projek berkenaan pada tahun 2014 selepas disemak semula dan berjaya disiapkan pada tahun 2015.

Di sebalik semua ini, Allahyarham tetap komited pada isu-isu kemanusiaan termasuk isu kemanusiaan rakyat Palestin. Walaupun beliau menyatakan akan menghormati semua perjanjian yang dimeterai antara Tel Aviv dengan Kaherah, itu tidak menghalangnya mengecam operasi ganas rejim yang dikenali sebagai Operasi Tonggak Pertahanan (Operation Pillar of Defence) pada November 2012 dan menggesa gencatan senjata antara kedua-dua pihak diadakan. Dan ini dicapai melalui kerjasama Kaherah dan Amerika Syarikat. Dan tidak seperti Mubarak dan el-Sisi, kerajaan Allahyarham tidak melihat Hamas sebagai musuh dan turut menghantar Qandil ke Gaza sebagai tanda solidariti kedua-dua negara. Malah selepas perlantikannya sebagai presiden, beliau turut membenarkan 100,000 pelarian Syria berlindung di Mesir dan mendapat pelbagai bantuan diperlukan.

Namun, semua ini berakhir pada Jun dan Julai 2013. Punca-punca yang dinyatakan sebelumnya telah mengakibatkan ramai pihak hilang kepercayaan terhadap beliau termasuk pihak tentera dan kabinet pentadbirannya sendiri. Pada 3 Julai 2013, Allahyarham disingkirkan dalam satu rampasan kuasa diketuai el-Sisi dan digantikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Adly Mansour. Tetapi kesahihan rejim baru ini tercalar berikutan pelbagai insiden ganas yang tercetus antara pihak berkuasa dengan penunjuk perasaan termasuk penyokong IM. Banyak insiden berlaku termasuk pembunuhan 51 penyokong IM semasa melakukan protes di ibu pejabat Pengawal Republikan pada Julai 2013 dan pembunuhan beramai-ramai di Rabaa pada Ogos 2013. Insiden-insiden ini bukan saja mengakibatkan darurat dan perintah berkurung dikuatkuasakan selama sebulan pada tahun berkenaan tetapi juga menconteng arang pada imej el-Sisi selama-lamanya.

Selepas disingkirkan, Allahyarham bersama ramai pemimpin IM berhadapan dengan pelbagai tuduhan yang bermotifkan politik dendam dari tuduhan pengintipan hinggalah pembunuhan penunjuk perasaan di hadapan istana presiden. Jika didapati bersalah dalam banyak tuduhan, beliau berhadapan prospek hukuman mati. Tetapi ini mengundang kritikan antarabangsa di mana kebanyakan tuduhan tersebut bersifat serkap jarang dan prosiding mahkamah hanyalah samaran untuk mensahihkan tindakan keras kerajaan ke atas IM dan para penyokong mereka. Selepas menerima tekanan antarabangsa, barulah hukuman mati yang dikenakan ke atas Allahyarham ditarik balik pada tahun 2016. Mahkamah sama turut mengumumkan semua hukuman yang dikenakan seperti penjara seumur hidup (kes pengintipan) dan hukuman mati (lari dari penjara) akan disemak semula dan jika perlu, keperluan mengadakan perbicaraan semula.

Kamar mahkamah merupakan satu-satunya tempat bagi dunia luar melihat kelibatnya. Jika beliau di kandang tertuduh, peluang itu digunakan untuk mengecam mahkamah dan pihak tentera sebagai cubaan mensahihkan rampasan kuasa yang digerakkan. Tidak ramai tahu, beliau dipenjarakan dalam sel perseorangan 23 jam sehari dan hanya dibenarkan meluangkan masa sejam di luar. Selain itu, keluarganya menyuarakan kebimbangan berkenaan keadaan kesihatan Allahyarham kerana beliau menghidap banyak penyakit seperti tekanan darah tinggi dan diabetis. Beliau juga dinafikan hak mendapatkan rawatan doktor, bertemu dengan pasukan guaman dan hanya berkesempatan menemui keluarga sebanyak tiga kali.

Keadaan penahanan yang menyedihkan ini didedahkan oleh Panel Semakan Penahanan, satu panel terdiri daripada penggubal undang-undang Britain dan peguam-peguam kanan. Panel tersebut termasuk Ahli Parlimen Reigate (Parti Konservatif), Crispin Blunt, Ahli Parlimen Stockton Selatan (Parti Buruh), Paul Williams dan peguam terkenal, Lord Edward Faulks. Selepas mengambil kira testimoni semua termasuk keluarga dan sumber sahih berkenaan keadaan kesihatan Allahyarham, mereka menyimpulkan penahanan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan boleh dianggap sebagai satu bentuk seksaan. Oleh sebab itu, apabila berita kematian Allahyarham tersebar, salah seorang anggota panel iaitu Blunt berkata, “Kami bimbang jika Dr Morsi tidak diberi rawatan perubatan segera, kerosakan pada kesihatannya bersifat kekal dan boleh membawa maut. Dan sedihnya di sini, pandangan kami akhirnya menjadi kenyataan.” Tidak diketahui di mana lokasi sebenar jenazah dan lokasi pengebumian beliau berikutan keengganan kerajaan el-Sisi membenarkan jenazahnya dikebumikan di Sharqiya.

RUJUKAN:

1. BBC. (2019). Egypt’s ousted president Mohammed Morsi dies during trial. https://www.bbc.com/news/world-middle-east-48668941

2. BBC. (2019). Mohammed Morsi: A turbulent presidency cut short by the army. https://www.bbc.com/news/world-middle-east-18371427

3. Michaelson, Ruth. (2019). Mohamed Morsi, ousted president of Egypt, dies in court. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2019/jun/17/mohamed-morsi-dead-ousted-president-egypt-collapses-after-court-session

4. Mostyn, Trevor. (2019). Mohamed Morsi obituary. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2019/jun/17/mohamed-morsi-obituary

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.