Baru-baru ini, sempena Majlis Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2017 ,sebuah lagi karya agung yang bertajuk “Di Mana Kan Ku Cari Ganti” telah dilancarkan oleh TYT Tun Pehin Seri Abdul Taib Bin Mahmud di sebuah hotel di Kuching, Sarawak. Buku tersebut telah ditulis sendiri oleh Almarhum Aziz Sattar dan dibawah kerjasama penuh oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka Sarawak. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama soroti sejarah hidup insan yang serba boleh ini.

Dilahirkan pada tanggal 8 Ogos 1925, pemilik nama sebenar Abdol Aziz Bin Satta ini dilahirkan di Desa Perkalongan, Kepulauan Bawaen, Surabaya. Anak kepada pasagan Satta Sawal dan Satimah Jalal ini membesar di Kampung Pasir Panjang, Singapura. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Melayu Raja, Singapura sehinggalah Perang Dunia Kedua meletus. Antara kawan rapatnya ketika beliau masih kecil ialah Seniman Shariff Dol dan Seniman Salleh Kamil. Ketika Perang Dunia Kedua, beliau pernah ditangkap oleh pihak polis tentera Jepun kerana disyaki mencuri beras. Beliau juga pernah dipenjarakan sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tanggal 8 Ogos 1945.

Memang kebolehan beliau untuk berlawak sudah dikurniakan oleh Allah SWT sejak muda lagi. Ketika berusia 10 tahun, beliau mula pandai membuat lawak secara spontan. Di Samping itu, beliau juga sering menyanyi di majlis- majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan sebagainya. Karier beliau sebagai anak seni bermula pada 1950. Beliau menyertai sebuah pancaragam yang diberi nama Pancaragam Suara Hiburan Keroncong.

Setahun selepas itu, beliau mula bekerja di Malay Film Production. Pada peringkat awal, kerja beliau hanya sekadar sebagai tukang alih suara. Akan tetapi, pada  1953, beliau dipelawa oleh BN Rao untuk berlakon sebagai watak watak tambahan di dalam filem Putus Harapan. Filem itu jugalah beliau mula berlakon bersama dengan Tan Sri P.Ramlee. Setahun kemudian, beliau mula diberi watak penting di dalam filem Arjuna. Daripada tempoh beliau berlakon filem Arjuna hinggalah ke kemuncak kerjayanya iaitu Bujang Lapok, beliau tidak pernah berlakon langsung bersama P.Ramlee.

Beliau pernah bertanya sendiri mengapa P.Ramlee tidak menawarkan beliau berlakon bersamanya. Tetapi P.Ramlee hanya diam sahaja sehinggalah pada suatu hari, P.Ramlee menawarkan beliau untuk berlakon di dalam Bujang Lapok pada 1957. Ketika itu beliau mulai sedar bahawa P.Ramlee ini memilih pelakon itu bukanlah disebabkan faktor kawan semata-mata, tetapi beliau memilih pelakon itu berdasarkan kebolehan pelakon itu sendiri.

Bertitik tolak daripada itu, beliau sering berlakon bersama P.Ramlee di dalam kebanyakan filem beliau bersamanya sehinggalah Filem Nasib Si Labu Labi yang merupakan filem terakhir Aziz Sattar berlakon bersama P.Ramlee sebelum P.Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur. Beliau mengakui bahawa, orang yang paling banyak mengajarkannya dalam bidang lakonan ialah P.Ramlee sendiri. Contohnya, P.Ramlee pernah berkata kepada nya “Lu balik rumah,ambik baju kot. Ada fashion show ni. Lu buatlah apa lu nak buat!” Hasilnya, apa yang kita lihat di dalam filem Labu Labi, itulah hasil daripadanya. Setelah P.Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur, beliau masih lagi berlakon di Studio Jalan Ampas sehinggalah studio itu menutup pagar buat selama-lamanya pada 1967.

Setelah itu, beliau mula menyepi dari industri filem tanah air dan banyak membuat stage show dan persembahan pentas. Tetapi pada 1975, beliau mula menjadi pengarah di bawah Sabah Film Production. Filem pertama yang diarahkannya ialah Keluarga Si Comat. Beliau juga pernah menghidupkan semula trio Bujang Lapok yang terkubur sejak 1961 menerusi filem Bujang Lapok Kembali Daa… yang menampilkan S.Shamsuddin, Nasir P.Ramlee dan ramai lagi. Sepanjang Aziz Sattar menjadi pengarah, beliau telah mengarah banyak filem termasuklah Si Badol, Setinggan, Darah Satria dan Penyamun Tarbus yang mana filem tersebut memenangi Anugerah Filem Terbaik semasa Festival Filem Malaysia 1981.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau di dalam industri filem tanah air, beliau telah dikurniakan Ahli Mangku Negara (AMN) pada 1990, Anugerah Seniman Veteran semasa Festival Filem Malaysia 1994 dan Darjah Panglima Jasa Negara (PJSN) pada 2007. Insan yang serba boleh ini kembali kepada PenciptaNya pada tanggal 6 Mei kerana sakit jantung. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh beliau tidak mampu ditandingi oleh mana mana pelakon hinggalah ke hari ini.

P/S: Sesiapa yang berminat untuk membeli buku terbaru Pak Aziz “Di Mana Kan Ku Cari Ganti” boleh menghubungi Puan Sandakiah Azez – 013 351 0433. Harga buku 210 tak termasuk pos.

Sumber:

  • Kelab Filem Muzik Melayu Klasik.
  • Ramlee: Erti Yang Sakti.
  • Memoir Aziz Sattar: Merentasi Lautan Gelora.
  • Di Mana Kan Ku Cari Ganti.
  • Puan Sandakiah Azez.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.