Sejarah Golongan Anti-vaksin – Abad Ke-19: Perkembangan Gerakan Anti-Vaksinasi Di England

0
2218
views
Vaccine controversies

Dengan perkembangan media sosial kini penyebaran maklumat menjadi semakin pantas. Namun antara perkara yang terpaksa kita korbankan ialah kesukaran untuk menentukan kesahihan sesuatu maklumat dek tahap ketepuan maklumat yang kita terima saban hari. Antara risiko yang terpaksa dihadapi oleh pihak pro-akademik ialah penyebaran maklumat yang sejujur amat diragui dari segi akademik. Perkara ini mencetuskan polemik lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan sesuatu perkara yang boleh mengancam nyawa seperti anti-vaksinasi.

Kami di Patriot tidak mempunyai pakar kesihatan untuk kami membawa hujah mengapa vaksinasi itu perlu dari aspek kesihatan. Lagipun jika diperhatikan telah banyak page-page berasaskan sains dan kesihatan telah melakukan perkara itu. Laman-laman Facebook seperti Pseudo-Science Watch, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah banyak menerangkan perkara ini dari segi saintifik dan kesihatan. Laman Facebook NGO Islam seperi ISMA juga telah mula proaktif menerangkan aspek kepetingan vaksinasi dari segi agama. Maka mungkin tidak ada keperluan untuk kami mengadakan artikel yang sama.

Jetpack Langkawi

Namun apa yang boleh kami lakukan untuk membantu pihak-pihak pakar perubatan di luar sana yang saban hari berjuang dan terpaksa berdepan dengan kemelut dari pihak anti-vaksinasi ialah memberi penerangan sejarah mengenai gerakan anti-vaksinasi tersendiri dan membersihkan imej Islam dari golongan pemahaman pseudo sejarah dan agama yang gerakan itu konon datangnya dari Islam dari segi sejarah. Saya ulang, DARI SEGI SEJARAH. Semoga artikel ini dapat mencelikkan mata masyarakat mengenai bahayanya gerakkan anti-vaksinasi mengikut rekod sejarah.

For every action, there is an equal (in size) and opposite (in direction) reaction. Itu merupakan teori fizik dari Newton. Vaksinasi dari segi falsafahnya juga tidak dapat lari dari gerakkan “penentangan” tersebut. Vaksinasi merupakan salah satu kejayaan terbesar dalam dunia perubatan abad ke-20 biarpun perkembangan program vaksin bermula seawal abad ke-19 lagi. Namun gerakkan anti-vaksin juga boleh dikatakan wujud untuk tempoh yang hampir sama. Boleh dikatakan gerakan anti-vaksin bermula sebaik sahaja vaksinasi itu wujud.

Abad Ke-19: Perkembangan Gerakan Anti-Vaksinasi Di England

Vaksinasi besar-besaran yang pertama untuk penyakit smallpox bermula seawal tahun 1800 lagi iaitu hampir 200 tahun yang terdahulu. Edward Jenner ketika itu telah melakukan satu eksperimen dengan menggunakan penyakit cowpox. Cowpox merupakan salah satu variasi penyakit smallpox yang dijangkiti oleh manusia. Edward Jenner menunjukkan yang bahawa beliau boleh melindungi kanak-kanak dari jangkitan smallpox dengan menyuntik kanak-kanak tersebut dengan limfa dari lepuh cacar lembu. Di era moden ini kita mengetahui yang bahawa suntikan tersebut merupakan satu suntikan dari virus yang telah dilemahkan pada kadar yang mampu dihadapi oleh badan dan sudah mencukupi untuk badan menghasilkan vaksin melawan penyakit tersebut. Ini merupakan pengetahuan asas tentang bagaimana vaksin berfungsi.

Namun pada era tersebut perkara ini masih lagi perkara yang terlampau baru. Berbeza dengan zaman sekarang dimana masyarakat diberi pendedahan seawal zaman persekolahan tentang teori vaksin dan bagaimana ia berfungsi. Perkara tersebut masih terlampau baru dalam perkembangan sains untuk diterima oleh masyarakat ketika itu. Adalah perlu disedari kadar buta huruf adalah teramat tinggi ketika itu dan pendidikan persekolahan apatah lagi pendidikan tinggi bukan satu perkara yang boleh dinikmati oleh semua pihak untuk mereka memahami bagaimana vaksin berfungsi.

Edward Jenner menerima pelbagai jenis kritikan ketika itu. Baik dari segi agama, saintifik, kebersihan malahan dari segi politik. Vaksin juga tidak dapat lari dari dijadikan bahan politik pada abad ke 19 biarpun perkara itu berlaku hampir 200 tahun lalu, sepertimana terlalu banyak perkara yang dijadikan bahan perdebatan politik pada zaman sekarang ini juga.

Walaubagaimanapun adalah perlu difahami yang bahawa kegusaran sesetengah ibubapa itu bukanlah tidak berasas ketika itu. Proses vaksinasi masih dalam peringkat perkembangan. Ianya berbezanya dengan proses vaksinasi moden dimana ianya boleh selesai dalam masa beberapa saat sahaja melalui proses suntikan. Ketika itu untuk divaksinasi, seseorang kanak-kanak perlu dilukakan lengannya menggunakan besi panas dan kemudiannya disuntik menggunakan limfa yang diproses dari mereka yang telah divaksin dalam masa 1 minggu sebelum itu. Mendengarnya sahaja sudah cukup untuk menakutkan ibubapa ketika itu apatah lagi untuk mereka memahami teori saintifik disebalik proses tersebut. Proses rawatan ini sudah terlalu lama dan tidak lagi digunakan. Namun jika anda bertanya kepada kelompok veteran seperti datuk dan nenek saya percaya mereka kenal dengan cara vaksinasi seperti ini. Malah sehingga saya masih di sekolah rendah saya sering dimomokkan oleh rakan-rakan yang bahawa sebelum kena “cucuk” kami perlu “diselar” dengan besi panas terlebih dahulu. Jika cerita seperti ini masih kekal selepas 200 tahun anda boleh bayangkan sendiri ketakutan segelintir ibubapa ketika itu.

Kelompok agamawan Kristian ketika itu juga tidak terlepas dari mengkritik proses vaksin pada peringkat awal di England. Kepercayaan ketika itu ialah proses vaksinasi merupakan proses yang bercanggah dengan ajaran Kristian kerana ianya merupakan proses yang dihasilkan dari haiwan. Sedikit sebanyak tidak ubah juga dengan segelintir kelompok yang mendakwa vaksin haram dari segi Islam di negara kita pada hari ini. Biarpun perkara ini sudah dijelaskan oleh Jakim dan KKM malah dari mufti negeri seperti Dr.Maza.

Sebenarnya vaksin tidak lari jauh dalam perubatan Islam dan rawatan awal mirip vaksin juga berasal dari empayar Uthmaniyah sebelum dibawa ke England pada penhujung abad ke 18. Namun perkara itu saya akan ceritakan dalam artikel akan datang kerana sejarah tersebut itu sendiri cukup panjang dan boleh dijadikan artikel tersendiri.

Dari segi saintifik juga vaksin menerima sanggahan pada peringkat awal. Rata-ratanya berpunca dari ketidakpercayaan masyarakat ketika itu pada perubatan moden. Malah ada yang menuduh vaksin merupakan hasil produk yang mereput di atmosphera. Kepercayaan pada perubatan berasaskan tradisional dan pseudo-sains agak kuat ketika itu. Adalah tidak menghairankan ketika itu apabila terdapat pelbagai jenis rawatan dan ubat-ubatan yang dikatakan mampu menyembuhkan 1001 penyakit ketika itu seperti smallpox biarpun tidak mempunyai asas kajian yang kukuh. Kewujudan vaksin sedikit sebanyak menutup pintu rezeki mereka dan menyebabkan timbul penentangan dari golongan ini. Bagi pelajar perundangan anda mungkin mengenali kes carbolic smokeball dimana ia merupakan kes paling popular mengenai produk sains pseudo yang berjaya didakwa di mahkamah sehingga kes itu menjadi asas kepada undang-undang kontrak moden.

Dari segi politik pula ada pihak yang mempertikai bahawa vaksinasi menggugat kebebasan mereka untuk memilih. Tentangan awal terhadap vaksin dari segi politik menjadi semakin ketara apabila kerajaan England ketika itu menguatkuasakan undang-undang mewajibkan proses vaksinasi untuk membendung penyakit yang semakin merebak. Pengenalan akta vaksinasi 1853 di England telah mewajibkan vaksinasi pada bayi yang berumur setakat 3 bulan. Akta 1867 pula mengembangkan had umur kepada 14 tahun dan mengenakan penalti pada mereka yang berkeras menolak vaksin ketika itu. Undang-undang ini menerima kritikan hebat dari segelintir rakyat England ketika itu yang mendakwa mereka mempunyai hak keatas tubuh badan mereka dan anak mereka tersendiri dari menerima vaksin biarpun vaksin ketika itu bertujuan sebagai langkah pencegahan pada wabak smallpox yang telah memakan banyak nyawa.

Penentangan ini akhirnya menyebabkan tertubuh dua pertubuhan yang menolak vaksin iaitu Anti Vaccination League dan Anti-Compulsory Vaccination League. Hasil dari campurtangan dua pertubuhan ini jurnal-jurnal yang menolak vaksin tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ketika itu. Sedikit sebanyak ini mencetuskan konflik antara ahli perubatan waktu itu diantara pihak yang progresif dan pihak ultra-konsevatif. Campurtangan pihak yang berkempentingan politik di England pada waktu itu juga semakin menerukkan keadaan.

Ketika itu bandar Leicester menjadi pusat kepada pergerakan anti-vaksin di England. Mungkin pada zaman ini lebih ramai mengenali Leicester atas nama pasukan bola sepak Leicester di yang dilabelkan sebagai giant killer. Namun tidak ramai mengatahui bandar itu mempunyai sejarah hitam tersendiri dalam gerakkan menolak vaksin. Bandar itu menjadi saksi kepada beberapa siri demostrasi menolak vaksin ketika itu. Malah ketika itu satu perarakan telah diadakan apabila dimana seorang wanita dan 2 orang lelaki memilih untuk dipenjarakan sebagai alternatif berbanding memilih untuk menvaksinkan anak mereka.

Tindakkan mereka disambut dengan laungan sorakkan yang kuat ketika itu oleh pergerakkan anti-vaksin yang menyertai perarakan itu. Perarakan itu lengkap dengan sepanduk dan sebagainya. Disamping membawa sepanduk mereka turut membuat patung berupa Edward Jenner dan membakar patung tersebut sebagai tanda protes. Dijangka hampir 80,000-100,000 anti-vaksin menyertai perarakan tersebut sekaligus menjadikan perarakan tersebut sebagai perarakan terbesar dalam sejarah pergerakkan anti-vaksin.

Hasil dari demostrasi ketika itu menyebabkan satu kajian semula diadakan terhadap vaksin pada tahun 1896. Hasil dari kajian tersebut menunjukkan memang benar vaksin boleh mencegah penyebaran penyakit smallpox dari segi saintifik sekaligus membuktikan dakwaan anti-vaksin ketika itu sebagai salah. Namun untuk mengelak penentangan dari berlanjutan kajian itu juga menyarankan agar penalti dari tindakkan tidak menvaksinkan anak dibuang dari sudut perundangan.

Oleh itu didalam akta vaksinasi 1898 penalti itu telah dibuang penalti dari tindakkan menolak vaksin di England. Sebaliknya pendidikan yang berterusan mula dianjurkan bagi mendidik masyarakat mengenai keperluan vaksin. Hasilnya sedikit demi sedikit masyarakat mula mempercayai vaksin apabila penyebaran wabak smallpox semakin berkurangan hasil positif dari vaksinasi. Sedikit demi sedikit gerakan anti-vaksin di England mula mati selepas itu atas kesedaran saintifik masyarakat.

Bersambung…

Nota kaki: Saya akan menyambung artikel ini dibahagian kedua disebabkan artikel ini sudah menjadi terlalu panjang. Pada bahagian kedua saya akan mula menceritakan mengenai sejarah anti-vaksin pada abad ke-20 pula. Pada bahagian ketiga pula saya akan menceritakan mengenai gerakan antivaksin abad ke 21 dan sekaligus memberi kesimpulan.

Rujukan

  1. Anon (2017) ‘History of Anti-vaccination Movements’. History of Vaccines [online] 15 March. available from <https://www.historyofvaccines.org/content/articles/history-anti-vaccination-movements>
  2. Durbach N. They might as well brand us: Working class resistance to compulsory         vaccination in Victorian England. The Society for the Social History of Medicine. 2000;13:45-62.
  3. Porter D, Porter R. The politics of prevention: Anti-vaccination and public health in 19th century England. Medical History. 1988;32:231-252.
  4. Wolfe RM, Sharpe LK. Anti-vaccinationists past and present. BMJ. 2002d;325:430-432.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.