Sejarah Disebalik Gambar Terakhir P. Ramlee

7,653

Gambar ini dirakamkan pada 21 Mei 1973 lapan hari sebelum P.Ramlee meninggal dunia pada pagi hari Selasa, 29 Mei 1973.

Khabarnya semalam ada kisah sedih P.Ramlee yang dinaikkan di grup ini. Saya tidak dapat melihat hantaran berkenaan kerana telah di “blok” oleh si pembuat hantaran. Naratif hanya bersandarkan maklumat melalui dokumentari dari History Channel yang pernah diarahkan oleh Datuk Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 2010.

Saya tidak menafikan segala apa yang dipaparkan melalui dokumentari berkenaan. Cuma saya mempunyai hujah-hujah tertentu yang berpaksikan kepada fakta-fakta yang konkrit dan sumber primer. Mari sama-sama kita bincangkan dengan penuh berhemah di sini

BETUL KE P.RAMLEE MISKIN?

P.Ramlee miskin di akhir hayatnya. Itulah persepsi masyarakat dewasa ini apabila merujuk kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Perkara ini bermula setelah sebuah dokumentari berkaitan sejarah hidup seniman agung itu ditayangkan pada tahun 2010.
Bagi membetulkan dakwaan tersebut kami memperlihatkan segala hujah dan fakta untuk menyangkal dakwaan tersebut. Di dalam dokumentari berkenaan ada beberapa individu yang ditemubual sebagai sumber primer bagi menguatkan lagi dakwaan P.Ramlee itu miskin di penghujung hayatnya.

Tanpa menafikan kenyataan dari semua sumber berkenaan, tetapi mari kita menilai sejenak dengan beberapa kenyataan hasil dari penelitian dan pengkajian dari sumber-sumber tertentu. Para pembaca berhak membuat penilaian sendiri tanpa perlu percaya sepenuh kenyataan dari artikel ini. Tepuk dada tanya selera.

Bagi pendapat peribadi saya P.Ramlee tidak miskin dari sudut kewangan dan kehidupannya. Tetapi jika kerjaya seninya mengalami zaman suram ada asasnya. Perkara ini berlaku adalah disebabkan beberapa faktor seperti kemunculan televisyen pada ketika itu, di samping masyarakat ketika itu sudah beralih kepada muzik Pop Yeh Yeh yang sangat mendominasi.

Faktor filem-filem dari luar versi warna juga menjadi salah satu faktor kejatuhan filem-filem Melayu pada ketika itu bukan filem P.Ramlee sahaja. Perkara ini turut menjejaskan perkembangan filem Melayu di Singapura sehingga berlaku penutupan studio Jalan Ampas pada tahun 1967. Disebabkan P.Ramlee itu satu nama yang besar pada ketika itu ianya akan lebih menonjol dan sering diperkatakan.

P.Ramlee tidak miskin? Ya, P.Ramlee tidak miskin. Sejak mengarah filem Bujang Lapok pada tahun 1957, P.Ramlee dibayar sebanyak 30 ribu ringgit untuk mengarah sebuah filem. Bayaran ini berlarutan sehingga P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur tanpa gagal.

Perkara ini tidak berlaku kepada pengarah lain di Shaw Brothers baik di Singapura atau di Kuala Lumpur. Apa kata Mr. Kwek Chip Jian dalam dokumentari itu, “duit ni manyaklah makan tak habis”. Sebab apa Mr. Kwek berkata demikian, kerana beliau merupakan Pengurus Studio di syarikat Malay Film Production milik Shaw Brothers. Sudah tentu beliau lebih tahu pengaliran duit keluar dan masuk dalam akaun P.Ramlee kerana beliau terlibat dalam pengurusan kepada pelakon dan pekerja studio.

Di Kuala Lumpur P.Ramlee mempunyai 2 buah rumah. Satu di Jalan Bunga Kantan dan satu lagi di Jalan Dedap (sekarang Pustaka Peringatan P.Ramlee). Rumah di Jalan Bunga Kantan P.Ramlee sewakan kepada Salleh Ghani setelah berpindah ke Jalan Dedap. P.Ramlee pada ketika itu turut mempunyai syarikat miliknya Rumpun Melayu bersama H.M Shah. Beliau juga memiliki Pawagam P.Ramlee di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saloma pula pada ketika itu masih mempunyai kontrak menyanyi di Kelab Malam. P.Ramlee dan Saloma memiliki kereta masing-masing. P.Ramlee juga masih mampu menyekolahkan anak-anak angkatnya. Menurut Sazali, sepanjang hidup bersama P.Ramlee di Kuala Lumpur, belum pernah lagi “daddynya” itu gagal memberi makan minum dan keperluan kepada anak-anaknya.

Masakan P.Ramlee miskin tetapi mampu membayar gaji pembantu rumahnya?

Saya percaya pasti ada yang mempertikai kenyataan saya dan akan merujuk kepada kenyataan Datuk Aziz Sattar dalam dokumentari berkenaan bahawa melihat P.Ramlee makan nasi dengan telur. Saya pernah bertanya akan hal ini kepada beliau pada tahun 2012. Aziz Sattar menerangkan beliau mengeluarkan kenyataan begitu adalah kerana beliau berasa tersentuh melihat P.Ramlee berkelakuan sedemikian, kerana ketika di Singapura beliau tidak pernah melihat P.Ramlee makan nasi dengan telur.

Perkara itu sangat menyentuh emosi Aziz Sattar sehingga beliau mengeluarkan kenyataan begitu. Apa lagi ketika situasi itu berlaku ketika pertama kali Aziz Sattar menziarahi ke rumah P.Ramlee di Jalan Dedap sejak P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dari Singapura pada pemghujung tahun 1963.

Tetapi menurutnya lagi itu tidak bermakna P.Ramlee miskin dari sudut ekonomi dan kewangan. Jika nak diikutkan menurut Aziz Sattar, mereka di Jalan Ampas lebih dahulu terjejas kehilangan punca pendapatan setelah penutupan Studio Jalan Ampas, di Singapura pada tahun 1967. Banyak bintang-bintang bertaburan tanpa hala tuju. Ada yang membawa teksi, membuka gerai makanan, mengambil upah membuat persembahan di kenduri kahwin, malahan Aziz Sattar sendiri terpaksa mengadakan pertunjukkan pentas di pesta hiburan untuk mencari rezeki menyara keluarga.

Menurut Dato’ Ahmad Nawab yang sering bersama P.Ramlee ketika di Kuala Lumpur turut menyangkal dakwaan yang P.Ramlee miskin di penghujung hayatnya. Ahmad Nawab boleh dikatakan seringkali menemui P.Ramlee bagi bersama-sama berkarya mencipta lagu. Tetapi ada juga kebenarannya dari apa yang diperlihatkan melalui dokumentari berkenaan yang menyatakan P.Ramlee mengalami tekanan disebabkan beberapa faktor seperti menerima perintah mahkamah disebabkan beliau pernah menjadi menjamin seorang hamba Allah atas tujuan pinjaman bank.

Siapakah yang membuat pinjaman tersebut?

Semoga pencerahan ini sedikit sebanyak boleh membantu bagi membetulkan persepsi yang P.Ramlee miskin di penghujung hayatnya. Semoga bermanfaat.

RUJUKAN:

Sesi temubual bersama Ramli Ismail, Bangsar, 1998

Sesi temubual bersama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, Universiti Malaya, 2001

Sesi temubual bersama Datuk Aziz Sattar, Shah Alam, 2012

Sesi temubual bersama Aimi Jarr, Finas, 2007

Sesi temubual bersama Adam Salleh, bekas Ketua Pengarang Harian Metro, NSTP Bangsar, 2018 (Waris Allahyarham Salleh Ghani)

Kenangan Abadi P.Ramlee – Ramli Ismail

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.