Ingatkan hari ini nak berehat seketika daripada menulis apa-apa artikel tetapi darah menyirap bila membaca review seorang penggiat seni tempatan berkenaan Dunkirk, sebuah filem terbaru arahan pengarah berkaliber, Christopher Nolan (trilogi The Dark Knight, Inception). Hak masing-masing untuk menyatakan kritikan tentang sesebuah filem tetapi tidak adil mengatakan filem ini tidak menghiburkan hanya kerana kurangnya elemen dialog dan pemilihan pelakon-pelakon muda terutama anggota One Direction, Harry Styles. Bagi yang meminati filem-filem Nolan dan sejarah Perang Dunia Kedua (WWII), ia bukan sekadar sebuah filem perang semata-mata tetapi ia mengajak penonton untuk berfikir sejenak tentang kehidupan. Mari kita selami sejarah sebenar Dunkirk sebelum mengatakan ia satu lagi filem membosankan tahun 2017.

Semuanya bermula bila Phoney War, kempen perang Britain dan Perancis ke atas Jerman berakhir pada Mei 1940 bila Jerman menggunakan strategi sabit iaitu memotong terus Tentera Ekspedisi Britain (BEF) dan Perancis di Belgium, Belanda dan utara Perancis daripada mendapat bantuan di selatan. Pihak Jerman menggunakan hutan Ardennes untuk menceroboh Jerman, satu strategi yang sama sekali tidak disangka-sangka pihak Britain dan Perancis yang dicadangkan Jeneral Erich von Manstein kepada Hitler. Dan terima kasih kepada strategi mengejut ini, Jerman dapat masuk dengan pantas dalam Peranci. Walaupun mendapat tentangan sengit daripada BEF dan Perancis, tentera Wehrmact (angkatan tentera Jerman) yang dipimpin Jeneral Heinz Guderian dan Jeneral Erwin Rommel terus mara ke hadapan. Pengunduran besar-besaran BEF dan Perancis ini yang membawa mereka terkandas di Dunkirk, sebuah bandar pelabuhan kecil di utara Perancis.

Britain yang sedar akan senario ini segera melancarkan Operasi Dynamo pada 20 Mei 1940 dan ia dipimpin oleh Laksamana Bertram Ramsay. Operasi itu dinamakan sebegitu rupa sempena nama bilik dinamo di tebing-tebing tinggi Dover yang menjadi pangkalan operasi ketika itu. Ramai menyangka operasi ini akan gagal dan saya petik kenyataan Jeneral Alan Brooke, “Tiada apa-apa kecuali keajaiban sahaja yang dapat menyelamatkan BEF ketika ini.” Sedar bilangan tentera yang dikeluarkan dari Dunkirk adalah ramai, kerajaan menyeru mana-mana pemilik bot untuk membantu pihak Tentera Laut Diraja Britain (Royal Navy) termasuk bot-bot kecil untuk membawa askar-askar yang menanti di perairan cetek.

Operasi yang bermula pada 27 Mei 1940 pada mulanya dianggap mustahil selepas hanya 8,000 askar saja berjaya dikeluarkan dari Dunkirk. Namun untuk lapan hari berikutnya, lebih 338,226 berjaya dibawa menyeberangi Selat Inggeris walaupun diserang hebat oleh angkatan tentera udara Jerman (Luftwaffe). Siapa sangka, jangkaan operasi asal ialah membawa keluar 45,000 dari Dunkirk bertukar menjadi operasi pemindahan keluar askar terbesar di dunia. Dan selain askar BEF, Royal Navy turut membawa keluar 140,000 askar Perancis, Poland, Belgium dan Belanda.

Jika tidak kerana keputusan Hitler tidak meneruskan serangan rejimen kereta perisai Panzer dan mempercayai keputusan Herman Goering, menteri udara merangkap panglima Luftwaffe untuk mematahkan pemindahan keluar, bilangan yang terselamat dan dibawa keluar tidak akan mencecah ratusan ribu sebegini. Dan tambah mendukacitakan Hitler, Angkatan Tentera Udara Britain (Royal Air Force/RAF) mematahkan serangan Luftwaffe ke atas Royal Navy dengan melancarkan 3,500 serangan udara dan hilang 145 pesawat sementara pihak musuh kehilangan 156 pesawat. Namun, tidak semua bernasib baik. 40,000 askar yang masih terkandas ditawan dan dijadikan tahanan perang (prisoner of war/P.O.W) oleh pihak Jerman di mana kebanyakannya dijadikan sebagai buruh paksa untuk mengerjakan lombong atau projek infrastruktur perang. Dan lebih 200 kapal dan bot musnah semasa perlaksanaan Operasi Dynamo. Walaupun gagal menghalang Operasi Dynamo, pihak Jerman mendapat rampasan perang besar di Dunkirk iaitu 2,400 meriam artileri, 65,000 kenderaan dan 68,000 tan peluru. 445 kereta perisai Britain turut musnah sama sekali.

Jika anda kata Dunkirk tidak relevan dengan naratif Perang Dunia Kedua, anda salah. Melalui Dunkirk, pihak Britain sedar ini bukan lagi Phoney War seperti yang diwar-warkan pada awal perang tetapi perang sebenar, sekaligus melahirkan semangat Dunkirk. Berikutan itu, askar-askar Britain dihantar kembali berlatih di kem-kem tentera dan mendapat peralatan perang terkini. Bagi askar-askar Perancis pula, mereka dihantar pulang untuk cuba mempertahankan tanah air mereka daripada serangan Nazi Jerman. Walaupun Operasi Dynamo dianggap satu kejayaan besar, bagi Perdana Menteri Britain yang baru dilantik, Winston Churchill berpandangan sebaliknya. Pada beliau, perang tidak dimenangi dengan pemindahan keluar. Dan dari situ terbitlah ucapan paling terkenal semasa era pemerintahan beliau, “We shall fight on the beaches, we shall fight on the landing grounds, we shall fight in the fields and in the streets, we shall fight in the hills. We shall never surrender!”

Dunkirk di sini bukan sekadar filem bertemakan WWII seperti Hacksaw Ridge (Mel Gibson) atau Fury (David S. Goyer) tetapi lebih kepada semangat kemanusiaan yang muncul dalam keadaan paling sukar. Ya, bagi peminat filem biasa, ianya tidaklah mendebarkan seperti dipaparkan dalam Hacksaw Ridge dan Fury dan lebih memaparkan suasana pada akhir perang. Tetapi anda perlu ingat, Dunkirk adalah pencetus kepada perubahan momentum perang yang memihak kepada pihak Bersekutu pada akhirnya. Dan bagi yang meminati sejarah WWII terutama keluarga veteran yang terlibat, ia merupakan satu perjalanan emosi yang menguatkan ikatan sesama mereka dan menyatukan sebuah negara atas tujuan yang sama. Kalau ikut skala kehebatan filem perang, saya rasa ia layak bersama Apocalypse Now dan The Great Escape. Maka, tidak hairanlah bila filem ini ditayangkan di panggung, ia mendapat pujian ramai sehingga seorang pengkritik mengatakan Dunkirk sebagai pencabar untuk Anugerah Oscar untuk kategori Filem Terbaik.

Akhir kalam, bagi yang menyelami sejarah Dunkirk pasti sedar ini satu filem yang dibikin pada skala epik. Maka atas sebab itu, filem ini wajib ditonton kerana ia sama sekali berkait dengan pergelutan emosi kita dalam kehidupan seharian. Ya, kehidupan kita mungkin tidaklah segetir realiti yang dipaparkan dalam filem tersebut tetapi bila anda tonton, ia sebenarnya membuatkan anda lebih menghargai setiap helaan nafas Tuhan kurniakan di dunia fana ini. Bagi yang masih kata membosankan, itu hak anda tetapi tidakkah anda rasa, anda terlalu memandang nilai komersial dan memandang rendah nilai sejarah yang cuba dipaparkan. Saya tutup ini dengan kata-kata hikmah ahli falsafah, penyajak dan penulis novel Sepanyol, George Santayana, “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”

Sumber:

  1. Travers, Peter. (2017). Rolling Stone. ‘Dunkirk Review’: Christopher Nolan’s WWII Epic May Be the Greatest War Film Ever. http://www.rollingstone.com/movies/reviews/peter-travers-dunkirk-may-be-greatest-war-film-ever-w492668
  2. Shute, Joe. (2017). Akhbar Daily Telegraph. Dunkirk: the Little Ships Brought Soldiers Home and Inspired A Film. http://www.telegraph.co.uk/men/thinking-man/dunkirk-little-ships-bought-soldiers-home-inspired-film/
  3. Sebag-Montefiore, Hugh. (2017). Akhbar The Guardian. Dunkirk’s darkest day: when the evacuation came close to disaster. https://www.theguardian.com/world/2017/jul/16/dunkirk-darkest-day-29-may-1940-evacuation-came-close-to-disaster
  4. Moore, James. (2015). Akhbar Daily Express. The miracle of Dunkirk: 40 facts about the famous evacuation. http://www.express.co.uk/news/world/578885/Dunkirk-evacuation-World-War-Two-Germany-Britain

5. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episode 2: T


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply