Sejarah Disebalik Black Friday

2,181

Sebut saja Black Friday, ia merupakan permulaan tempoh sibuk beli-belah penduduk-penduduk di negara-negara Barat. Ia berlaku sehari selepas Hari Kesyukuran dan di sinilah syarikat-syarikat dari pelbagai sektor bersaing sesama mereka untuk memaksimumkan keuntungan pada hari itu. Dan ini juga menghasilkan pelbagai meme seperti meme Braveheart di bawah:

Jadi bagaimana ia bermula? Pertama sekali, terma ini dikaitkan bukan dengan keseronokan membeli-belah tetapi krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke-19. Pada suatu ketika, dua penggiat Wall Street iaitu Jim Fisk dan Jay Gould membeli sejumlah besar emas Amerika dengan harapan dapat menaikkan harga komoditi emas dan menjualnya untuk mendapatkan keuntungan. Tetapi pada 24 September 1869 atau lebih tepat jatuh pada hari Jumaat, konspirasi Fisk dan Gould terbongkar sekaligus memberi kesan besar kepada pasaran saham sehingga mengakibatkan ramai rugi dari taikun-taikun besar Wall Street hinggalah golongan petani.

Rajah 1: Situasi di Wall Street selepas konspirasi Gould-Fisk terbongkar sekaligus membawa kepada kejatuhan saham di bursa berkenaan.

Cerita asal-usul Black Friday yang selalu diceritakan ialah ia merupakan hari di mana peruncit-peruncit meraih keuntungan selepas setahun mengalami kerugian. Keadaan ini berlaku kerana kononnya pada hari itu, orang ramai membelanjakan lebih banyak wang untuk mendapatkan barang pada harga yang lebih murah. Walaupun isu kerugian dan keuntungan dalam akaun kelompok peruncit bukanlah sesuatu yang baru tetapi versi cerita Black Friday yang dianggap rasmi ini sebenarnya tidak tepat. Ada pula mengatakan Black Friday merupakan hari di mana peladang-peladang di selatan Amerika Syarikat membeli hamba mereka selepas mendapat potongan harga. Kisah ini mengakibatkan wujud cubaan untuk memboikot Black Friday. Tetapi hakikatnya, kedua-dua kisah ini tidak tepat sama sekali.

Cerita sebenar Black Friday berlaku di sebuah bandaraya bernama Philadelphia. Pada tahun 50-an, polis di bandaraya berkenaan menggelar Black Friday bagi menerangkan kekecohan yang berlaku sehari selepas Hari Kesyukuran. Pada hari itu, ramai pengguna yang datang dari pinggir bandar dan pelancong memenuhi pusat bandar menjelang perlawanan American football membabitkan Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) yang diadakan pada setiap hari Sabtu berkenaan setiap tahun.

Akibat masalah ini, cuti untuk anggota penguatkuasa dibekukan bagi memastikan kekecohan dapat dikawal. Selain tidak dapat bercuti, polis Philadelphia juga terpaksa mengambil syif yang lebih panjang bagi menguruskan pergerakan trafik dan menegakkan undang-undang. Dan bukan satu rahsia di sebalik kekecohan ini juga, pencuri-pencuri turut mengambil kesempatan dari kesibukan orang ramai membeli-belah dengan mengambil barangan dari kedai-kedai runcit sekaligus menambah pening kepala yang dihadapi pihak polis.

Menjelang tahun 1961, peruncit-peruncit berusaha mengubah konotasi Black Friday dari negatif kepada positif termasuk mengubah namanya kepada Big Friday. Tetapi terma Black Friday tidak tersebar ke seluruh negara hinggalah pada akhir 80-an. Dari situ, peruncit-peruncit berjaya mengubah konotasi Black Friday kepada yang lebih positif bukan saja terhadap pelanggan tetapi juga kepada peruncit. Keputusan ini mengubah tanggapan orang ramai terhadap Black Friday dan menjadikan hari selepas Hari Kesyukuran sebagai peluang meraih lebih banyak keuntungan.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Sejak itu, aktiviti jualan bonanza yang selalunya diadakan pada hari Jumaat kini bertukar menjadi program beli-belah selama empat hari. Ia turut mewujudkan percutian beli-belah lain seperti Small Business Saturday/Sunday dan Cyber Monday. Kedai-kedai dan pasaraya kini membuka premis mereka lebih awal pada hari Jumaat berkenaan dan ini membolehkan kaki beli-belah tegar dapat melakukan pembelian sejurus selepas makan malam Hari Kesyukuran. Berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan oleh Persekutuan Peruncit Kebangsaan, 58.7% responden merancang untuk membeli-belah pada hujung minggu Hari Kesyukuran sementara 79.6% lagi lebih berminat mengambil kesempatan jualan diskaun secara dalam talian yang ditawarkan pada Cyber Monday.

Hari ini, trend ini tidak lagi eksklusif di Amerika Syarikat semata-mata. Black Friday kini tersebar di seluruh dunia dari Brazil hinggalah Romania. Di Mexico, peruncit-peruncit Mexico menggelar Black Friday sebagai El Buen Fin yang bermaksud penamat yang baik. Sementara di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula, peruncit-peruncit berlumba-lumba menawarkan diskaun kepada pengguna-pengguna pada Black Friday di mana hari itu digelar White Friday.

RUJUKAN:

  1. Daly, Hannah. (2019). How did Black Friday get its name? The history behind the biggest sales event of the year. The Telegraph. https://www.telegraph.co.uk/black-friday/2019/11/29/black-friday-name-meaning-history-sales-event/
  2. Pruitt, Sarah. (2018). What’s the Real History of Black Friday?. History. https://www.history.com/news/whats-the-real-history-of-black-friday

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.