Pernah dengar tentang bibliografi? Bagi kami yang bekerja sebagai penulis, editor sesebuah buku mahupun artikel, serta pustakawan, perkataan bibliografi ini bukanlah sesuatu yang sangat asing buat kami. Sama juga seperti para pelajar universiti yang harus menyiapkan tesis akademik atau disertasi, bibliografi ini menjadi salah satu aspek penting dalam penulisan mereka. Namun, tahukah anda bagaimana dan siapakah orang yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan sistem bibliografi ini dalam sesebuah manuskrip penulisan? Artikel ini akan memberi peluang untuk anda menelusuri sejarah dan kisah di sebalik sistem bibliografi ini. 

Definisi bibliografi

Perkataan bibliografi ini datangnya daripada perkataan Greek, βιβλιογραφία, atau bibliographia yang secara literalnya membawa maksud penulisan buku. Dari segi praktikalnya, ia membawa maksud suatu pengajian secara akademik berkaitan buku sebagai objek fizikal dan budaya, yang mana ia turut dikenali sebagai bibliology. Secara keseluruhannya, bibliografi ini bukanlah berkenaan dengan isi dalaman sesebuah buku, tetapi lebih kepada penerangan fizikal, sejarah penerbitan dan edisi sesebuah buku.

Bibliografi, secara istilahnya, merupakan suatu penkatalogan sistematik, dan suatu penerangan bertulis bagi hasil kerja yang bercetak, terutamanya buku. Sistem bibliografi  ini sebenarnya boleh terbahagi kepada dua, iaitu pertamanya, senarai kerja berdasarkan sesuatu sistem (bibliografi secara deskriptif, atau enumeratif), dan yang kedua, suatu kaedah pembelajaran tentang kerja sebagai objek yang ketara (bibliografi kritikal atau analitikal).

Sesuatu sistem bibliografi boleh mengandungi penerangan terperinci mengenai ciri fizikal sesebuah buku, termasuklah jenis kertas, jilid, cetakan, typography dan proses penghasilannya. Bibliografi yang terperinci ini kemudiannya boleh digunakan oleh para pelajar dan ahli akademik dalam mencari maklumat mengenai bahan pembelajaran yang diperlukan.

Sejarah sistem bibliografi

Pinakes

Berdasarkan sejarah, pada sekitar 200 tahun sebelum Masehi, Callimachus iaitu seorang pemuisi terkenal dan ketua bagi Perpustakaan Alexandrian, telah mengumpulkan suatu katalog tersendiri yang dipanggilnya sebagai Pinakes (jadual atau senarai).

Katalog ini dikatakan mengandungi sehingga 120 gulungan papyrus, dan menjadi suatu kaedah sistematik bagi kesusateraan Greek pada masa itu. Inilah juga yang menjadi pencetus dan asal usul kepada sistem bibliografi. Hanya beberapa fragmen telah ditemui selepas kemusnahan perpustakaan tersebut, bersama dengan beberapa lagi hasil penulisan purba.

Kaedah bibliografi yang dihasilkan oleh Callimachus ini mungkin tidak boleh digunakan dalam sistem perpustakaan moden, namun, terdapat analisis yang dijalankan berkaitan fragmen dalam Pinakes yang mencirikan sistem bibliografi moden, iaitu:

  1. Membahagikan penulis kepada kelas-kelas tertentu dan di antara kelas ini akan dibahagikan pula kelompok-kelompok kecil
  2. Menyusun penulis di dalam kelas dan kelompok tersebut berdasarkan abjad
  3. Menambahkan data biografi para penulis
  4. Menyenaraikan hasil kerja bagi setiap penulis, dan menggabungkan hasil kerja yang sama jenis ke dalam sebuah kumpulan
  5. Membuat rujukan bagi setiap permulaan sesebuah kerja, dan
  6. Bilangan baris yang ada dalam penulisan

Pinakes ini bukanlah suatu inventori atau katalog bagi hasil kerja yang terdapat dalam perpustakaan itu, kerana ia tidak menyenaraikan kesemua hasil kerja yang ada dalam library dan juga tidak menyatakan petunjuk atau rujukan bagaimana untuk mencari sesebuah buku dalam perpustakaan.

Pinakes ini dihasilkan berdasarkan amalan membuat suatu senarai (seperti mana pinakes puisi milik Aristotle), bertujuan untuk membuat pengelasan dan berdasarkan abjad, iaitu suatu prinsip yang telah lama difahami meskipun tidak digunakan dengan meluas.

Bapa bibliografi

Conrad Gesner, yang dilahirkan pada Mac 1516, merupakan seorang ahli perubatan Swiss dan penulis merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menghasilkan sebuah bibliografi moden yang pertama, dan dipanggil sebagai Bibliotheca universalis.

Bibliografi ini yang dhasilkan pada tahun 1545 telah menyenaraikan hampir 1,800 orang penulis mengikut susunan abjad bersama tajuk hasil kerja mereka, anotasi, penilaian dan komen serta merit terhadap setiap senarai di dalamnya. Hasil kerja Gesner ini telah menjadi panduan dan rujukan utama dalam membentuk sistem bibliografi yang lebih sempurna pada abad-abad selepasnya.

Trio bibliografi

Pada akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-19, satu trio lelaki Inggeris mula mempelajari dan mengkaji mengenai bibliografi dan membuat perbezaan antara jenis-jenis bibliografi. Trio ini yang terdiri daripada Sir Walter Wilson Greg (1975–1959), Alfred William Pollard (1859– 1944) dan Ronald B. McKerrow (1872–1940) akhirnya telah berjaya membuat dua pengkelasan utama terhadap bibliografi, iaitu enumeratif atau sistematik dan analitikal atau kritikal.

Trio ini mempunyai latar belakang pengajian yang sama, iaitu di Wimbledon Common and Trinity College. Mereka juga terlibat dalam Persatuan Bibliografi dan Persatuan Malone yang berfungsi dalam penghasilan dan penerbitan persembahan Inggeris serta dokumen drama. Ronald McKerrow turut menghasilkan dua buah buku yang begitu signifikan berkaitan dengan bibliografi, iaitu An Introduction to Bibliography for Literary Students (1928) dan Esdaile’s Manual of Bibliography (1931).

Hasil daripada usaha trio ini, asas kepada sistem bibliografi daripada perspektif kemanusiaan Inggeris berjaya dibentuk. Walaupun begitu, masih banyak aspek bibliografi yang masih belum dilaksanakan pada waktu itu, terutamanya dalam penekanan terhadap elemen-elemen yang terdapat dalam buku-buku sains.

Jenis-jenis bibliografi

Bibliografi enumeratif

Ia terdiri daripada senarai buku-buku berdasarkan sesuatu sistem rujukan, sebagai contohnya, berdasarkan penulis, berdasarkan subjek atau berdasarkan tarikh. Kesannya, senarai ini adalah pendek, dan biasanya hanya menunjukkan nama penulis, nama tajuk buku, tarikh serta tempat penerbitan. Bibliografi jenis enumeratif ini biasanya adalah untuk merekod atau menyenaraikan sahaja, dan kebiasaannya, tiada maklumat yang akan diberikan berkaitan dengan aspek fizikal buku seperti jenis kertas, ilustrasi atau jilidnya.

Contoh bagi bibliografi jenis ini ialah katalog kad perpustakaan, dan juga senarai di bahagian belakang sesebuah buku. Contoh paling biasa dapat dilihat ialah pada buku seperti New Cambridge Bibliography of English Literature, di mana katalognya secara ringkas telah menyenaraikan hasil kerja penulis-penulis Inggeris dan bahan kedua penting berkaitan penulis ini.

Bibliografi analitikal

Bibliografi jenis ini meletakkan buku sebagai objek secara fizikal, dengan penjelasan mengenai penghasilannya, dan kesan pengeluarannya dalam teks. Bibliografi ini telah dipanggil sebagai ‘sains bagi pemindahan dokumen sastera’ oleh Sir Walter Greg, yang mana ia boleh melibatkan sejarah pencetak dan penjual buku, dengan penjelasan terhadap jenis kertas yang digunakan, penjilid serta hal-hal teks yang berlaku sewaktu proses pemindahan daripada manuskrip penulis kepada penerbitan buku. Ia boleh terdiri daripada beberapa jenis, iaitu history bibliography, textual bibliography dan descriptive bibliography. Secara mudahnya, bibliografi jenis ini lebih mendalam dengan mengambil kira semua aspek yang terdapat dalam proses penerbitan sesebuah buku.

Gaya petikan untuk bibliografi (citation syles)

Pada hari ini, kaedah bibliografi digunakan secara meluas dalam proses penulisan buku, artikel, tesis akademik dan makalah. Terdapat beberapa jenis gaya petikan yang boleh digunakan dalam membuat bibliografi, dan setiap satunya mempunyai peraturan serta standard yang tersendiri. Panduan untuk setiap gaya ini adalah untuk digunakan secara umum dan kegunaan tertentu, khusus buat pembaca awam dan juga pembaca yang terdiri daripada para pelajar dan sarjana akademik.

Gaya petikan ini juga merangkumi pelbagai bidang dan disiplin ilmu, iaitu perubatan, jurnalisme, undang-undang, perniagaan, sastera dan lain-lain. Terdapat juga gaya yang memfokuskan kepada rekabentuk grafik, denga topik seperti typography. Panduan bagi petikan untuk laman web biasanya memfokuskan kepada penerbitan secara visual dan teknikal.

Gaya petikan yang biasa digunakan untuk penulisan akademik ialah:

  • American Psychological Association (APA) Style Guide— untuk psikologi, pendidikan dan disiplin sains sosial yang lain, diterbitkan oleh American Psychological Association.
  • The Chicago Manual of Style— untuk semua subjek, juga untuk penulisan bukan akademik seperti akhbar dan majalah.
  • MLA Style Manual and MLA Handbook for Writers of Research Papers, 6th ed.— untuk bidang kesenian dan kemanusiaan, diterbitkan oleh Modern Language Association of America.

Di Malaysia sendiri, terdapat sistem bibliografi yang khusus digunakan bagi pelajar universiti seperti gaya rujukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Software pengurusan sistem rujukan

Bagi sesebuah penulisan atau manuskrip, penggunaan software dalam menguruskan sistem bibliografi dan rujukan adalah lebih memudahkan proses penulisan. Apa yang paling penting, adalah bagaimana untuk anda memanfaatkannya dan menggunakannya untuk apa jua jenis penulisan. Antara software yang sering digunakan dalam pengurusan rujukan ini adalah EndNote, Mendeley, RefWorks dan StyleEase.

Kesimpulan

Penggunaan bibliografi adalah sesuatu yang sangat penting dalam penulisan, tidak kiralah sama ada penulisan ilmiah mahupun bukan ilmiah. Sesebuah bibliografi harus disesuaikan dengan konsep penulisan yang dihasilkan, yang mana bukan semua jenis penulisan harus mengandungi petikan (citation) pada setiap ayat seperti mana penulisan akademik, atau nota kaki yang biasanya terdapat dalam penulisan tesis sastera atau keagamaan.

Apa yang paling penting adalah kandungan sesebuah penulisan yang mampu untuk membuka minda dan menyampaikan ilmu yang sepatutnya pada setiap golongan masyarakat. Penulisan yang bagus tidak seharusnya hanya sampai kepada golongan akademik melalui petikan dan rujukan yang panjang, namun, ia juga harus menembusi golongan bawahan dan marhaen bagi memanfaatkan pengetahuan yang disampaikan.

*penulis menggunakan sistem bibliografi APA  dan sofware Mendeley untuk rujukannya*

RUJUKAN:

Anonymous. (2018a). Bibliography. Retrieved September 30, 2019, from https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Bibliography

Anonymous. (2018b). Callimachus’s Pinakes, the Origins of Bibliography Circa 200 BCE. Retrieved September 29, 2019, from http://www.historyofinformation.com/detail.p hp?entryid=169

Editors of Encyclopaedia Britannica. (2017). Descriptive bibliography. Retrieved September 29, 2019, from https://www.britannica.com/topic/bibliography#ref224879

Pettitt, G. A. (2017). Conrad Gesner. Retrieved October 1, 2019, from https://www.britannica.com/biography/Con rad-Gesner

Roberson, M. (2001). A brief history of bibliographies. Social Epistemology: A Journal of Knowledge, Culture and Policy, 15(1), 5–8.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.