Parti Tindakan Demokratik atau Democratic Action People Party  merupakan salah sebuah parti yang terbesar di Malaysia. Parti ini asalnya daripada serpihan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpusat di Singapura.

Sejarahnya bermula Ketika Singapura masih lagi di dalam gagasan Malaysia,  Pengasas parti PAP iaitu, Lee Kuan Yew merangkap Perdana Menteri Singapura pada ketika itu tidak bersetuju untuk membenarkan Parti Perikatan untuk bertanding di dalam pilihan raya di negeri tersebut. Sehubungan dengan itu, PAP telah menubuhkan cawangannya di Kuala Lumpur oleh Devan Nair, Ahli Parlimen Bangsar yang juga berasal daripada parti PAP.

Pasca pemisahan Singapura pada 1965, pendaftaran PAP dibatalkan serta-merta. Devan Nair yang membuat keputusan untuk kekal di Malaysia cuba untuk menghidupkan semula dengan ditransformasikan dengan nama parti baharu, iaitu Parti Tindakan Rakyat Malaysia. Malangnya, pihak pendaftar parti telah menolak nama tersebut atas alasan ianya akan mengelirukan orang ramai.

Sehubungan dengan itu, Devan Nair telah menggunakan nama baru iaitu Parti Tindakan Demokratik. Parti ini mengambil masa yang lama untuk diluluskan. Contohnya pada 3 Mac 1966, pihak pendaftar pertubuhan menolak pertubuhan DAP kerana perlembagaan DAP tidak selari dengan perlembagaan negara. Akhirnya, pendaftaran DAP diluluskan pada 19 Mac 1966.

Ideologi utama Parti DAP ialah Malaysian Malaysia. Malaysian Malaysia bermaksud setiap rakyat Malaysia perlu dilayan sama rata tanpa mengira kaum dan bangsa. Parti ini juga mengamalkan ideologi sosialisme demokratik yang mana ia berbeza dari parti-parti kiri dan kanan yang ada pada ketika itu. Parti ini juga menolak komunism kerana mereka berpendapat ianya terlalu ekstrem.

Ujian pertama DAP dalam pilihan raya ialah apabila Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Rahang diadakan pada Disember 1965. Ketika ini, DAP masih belum diluluskan secara rasmi. Mereka telah meletakkan Dr Chen Man Hin sebagai calon bebas di dalam PRK tersebut. Ternyata ujian pertama DAP berjaya. Di dalam pilihan raya tersebut, Dr Chen telah menewaskan calon dari Parti Perikatan dan Parti Buruh. Beliau mencatatkan kemenangan besar dalam PRK itu dengan memperolehi 3,576 undi iaitu majoriti 1,538 undi dalam pertandingan tiga penjuru tersebut.

Setahun selepas DAP ditubuhkan, Devan Nair telah meletakkan jawatan beliau sebagai Setiausaha Agung dan digantikan dengan Goh Hock Guan. Perletakan jawatan ini dilakukan ketika Kongres Pertama DAP pada 1968. Pada masa yang sama, ahli-ahli DAP juga telah berkumpul di Setapak dan melancarkan Deklarasi Setapak yang menyatakan kesungguhan penuh bagi mewujudkan Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis berasaskan prinsip-prinsip kesaksamaan kaum dan keadilan sosial dan demokratik, dan berasaskan demokrasi berparlimen.

Ketika PRK Tampoi diadakan pada September 1967, buat kali pertamanya, DAP meletakkan calon Melayu, Daing Ibrahim di dalam PRK tersebut. Keputusannya agak membanggakan kerana Daing Ibrahim berjaya mengurangkan majoriti UMNO yang mewakili Perikatan dalam pertandingan satu lawan satu.

Pada 1968, DAP telah mengadakan Debat Kebudayaan bersama Gerakan. Ini kerana pada ketika itu, DAP telah berselisih pendapat dengan Gerakan mengenai isu budaya dan bahasa. Sehubungan itu, debat perdana telah diadakan di Auditorium MARA pada 24 November 1968. Lim Kit Siang yang mewakili DAP menjelaskan bahawa Demokrasi Kebudayaan menentang kediktatoran budaya.

Beliau juga mengatakan bahawa seni Malaysia adalah apa-apa sahaja karya yang dihasilkan oleh warga Malaysia dari emosi, identiti, gambaran, konteks sosial dan penglibatannya adalah berkaitan dengan Malaysia, sama ada ia ditulis dalam Bahasa Melayu, Cina, Tamil atau Inggeris.

DAP menghadapi pilihan raya pertama mereka ketika tahun 1969. Di dalam pilihanraya tersebut, DAP telah meletakkan seramai 24 calon Parlimen dan 57 calon DUN. DAP telah memenangi 13 kerusi Parlimen di dalam PRU 1969. Ini merupakan kejayaan terbesar parti tersebut yang mana ianya menjadi titik permulaan bagi  hari paling malang di Kuala Lumpur.

Tiga hari selepas pembuangan undi, rusuhan kaum 13 Mei tercetus. Ketika rusuhan, Kit Siang dikatakan berada di Sabah untuk berkempen kerana pada ketika itu bahagian Malaysia Barat masih belum lagi mengundi akibat masalah logistik. Sekembalinya Kit Siang ke Semenanjung, beliau telah ditahan di bawah ISA di Lapangan Terbang Subang dan dibebaskan setahun kemudian.

Penangkapan Kit Siang mencetuskan persepsi buruk DAP terhadap Parti Perikatan. Mereka mengatakan bahawa kerajaan di bawah Perikatan ketika itu cuba untuk menjatuhkan parti pembangkang kerana Parti Perikatan hampir tewas semasa PRU 1969.

Oleh itu,Hock Guan, Setiausaha Agung DAP telah dihantar ke Eropah bagi mengadu mengenai masalah ini. Semasa di Singapura, beliau dikatakan telah diganggu oleh ejen-ejen Parti Perikatan. Beliau kemudiannya, meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung dan menetap di Hong Kong dan digantikan oleh Lim Kit Siang yang masih di dalam tahanan.

Pada 1987, DAP telah diuji apabila sebahagian besar kepimpinan mereka ditangkap semasa Operasi Lalang yang dilancarkan oleh Datuk Seri Mahathir Mohamad.  Pada 2008, buat kali pertama dalam sejarah, DAP berjaya menguasai Pulau Pinang buat kali pertama menerusi Pakatan Rakyat. DAP berjaya mengubah  persepsi masyarakat terhadap Pulau Pinang pada ketika itu.

Mereka turut berjaya mengekalkan penguasaan Pulau Pinang pada PRU 2013 dan 2018. Pada PRU 2018, DAP di bawah Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah menewaskan BN dan menjadi kerajaan buat kali pertama di dalam sejarah Malaysia. Sebilangan ahli DAP juga turut menjadi anggota Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan dan exco-exco negeri. Semoga DAP terus kekal relevan di hati rakyat Malaysia dan sentiasa mendahulukan rakyat sejajar dengan matlamat penubuhannya.

Selamat Ulang Tahun DAP ke 53 DAP!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.