Saya sering katakan yang bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang amat berseni. Bahkan sebelum kedatangan Islam, bangsa ini sudah mempunyai falsafah kehidupan tersendiri. Budaya bangsa ini banyak dipengaruhi oleh local genius dan Hindu-Buddha.

Ketika ulama-ulama sufi yang datang dari Yaman mengislamkan orang Melayu, mereka tidaklah menghapuskan adat dan budaya yang sudah berakar dalam jiwa bangsa Melayu sebaliknya memberikannya nafas baru yang bertunjangkan Islam. Hal ini kerana mereka sedar bahawa Islam bukan hadir untuk menghapuskan budaya dan identiti bangsa tetapi untuk memperbaikinya. Perkara inilah yang tidak dapat dilihat oleh golongan yang saya labelkan sebagai ‘kaum muda’ di alaf baru.

Dalam bab ini, saya akan kongsikan sejarah keris dan falsafahnya sebelum Islam dan selepas Islam. Semoga bab ini mampu memberikan pencerahan teragung kepada golongan yang alah pada adat dan budaya Melayu – baik golongan liberal yang jauh terbabas dari landasan agama Islam yang sebenar, mahupun golongan agama yang terlalu keras dalam berdakwah sehingga mahu mengharamkan segala-galanya tentang Melayu.

Ambillah pengajaran daripada pendekatan yang digunakan ulama terdahulu sehingga mampu mengislamkan umat Melayu di Nusantara ini.

Asal usul keris

Keris ialah satu warisan bangsa yang harus dikenang sebagai lambang ketamadunan bangsa Melayu. Ia menjadi bukti ilmu sains dan teknologi orang Melayu sudah mendahului zaman. Tidak percaya? Tidak mengapa – saya akan celikkan mata kalian. Dipercayai bahawa terdapat 17 hingga 60 jenis besi yang digunakan sebagai bahan untuk membuat keris. Ini ialah senarai 17 jenis besi yang dikenal pasti menurut M. T. Arifin.

1.         Besi Pulasani/Karinduaji

2.         Besi Mangangkang Jaler

3.         Besi Mangangkang Estri

4.         Besi Walulin

5.         Besi Katub

6.         Besi Kamboja

7.         Besi Ambal

8.         Besi Winduadi

9.         Besi Tumpang

10.      Besi Werani

11.      Besi Welangi

12.      Besi Terate

13.      Besi Malelaruyun

14.      Besi Malelagendhaga

15.      Besi Kenur

16.      Besi Tumbuk

17.      Besi Balitung

Sememangnya asal usul keris masih lagi kabur kerana ia merupakan simbol local genius masyarakat Nusantara tetapi sejarawan ada membawakan hujah-hujah bagi mencadangkan beberapa teori berkenaan asal kewujudan keris. Berikut ialah teori yang diketengahkan oleh para sejarawan berbeza.

G. B. Gardner

G. B. Gardner mencadangkan yang keris pada asalnya adalah senjata yang diperbuat daripada tulang ikan pari ketika zaman prasejarah. Dipercayai bahawa tulang ikan pari itu akan dibalut dengan kain pada tangkainya lalu tangkai itu akan diggenggam dan dibawa ke mana-mana sebagai senjata.

Griffith Wilkens

Wilkens mencadangkan, budaya keris ini baru muncul pada abad ke-14 seiring dengan perkembangan dan peralihan daripada senjata seperti tombak. Dikatakan, senjata tikam yang lebih pendek dicipta supaya ia lebih fleksibel. Katanya lagi, oleh sebab pada zaman itu logam sukar ditemui, maka adalah lebih mudah untuk dicabut sahaja mata tombak dan dijadikan keris.

A. J. Barnet Kempers

Beliau mengatakan bahawa tradisi keris di Alam Melayu bermula di Dongson, Vietnam yang dipercayai bertarikh 2500SM berdasarkan tinggalan gendang di sana, yang merupakan sebuah tapak ketamadunan yang dipercayai milik rumpun Austronesia. Di sana ada dijumpai senjata-senjata yang dipercayai merupakan leluhur keris yang dapat dijejak sehingga ke awal 300SM.

Antara rekod terawal kemunculan keris dijejaki di Alam Melayu ialah pada abad ke-5 Masihi di Kepulauan Jawa seperti di Prasasti Batu di Desa Dakuwu, Grabag, Magelang, Jawa Tengah yang menggambarkan alat pembuatan besi.

Bahkan di Kepulauan Jawa iaitu di Candi Borobudur, sebuah relief ditemui yang menggambarkan kepada kita bahawa terdapatnya tentera-tentera yang membawa senjata tajam yang saling tak tumpah seperti keris. Untuk rekod, Candi Borobudur ini dibina seawal abad ke-8 dan siap pada awal abad ke-9.

Falsafah Hindu-Buddha dalam keris

Pada zaman pra-Islam, unsur Hindu-Buddha dapat dikesan pada keris; setiap keris hadir dalam dua bahagian iaitu bilah dan ganja yang masing-masing melambangkan lingga dan yoni. Menurut falsafah Hindu, penyatuan lingga dan yoni membawa maksud kesuburan, keabadian, dan kekuatan.

Di candi Prambanan pula, terdapat ukiran terutamanya di candi yang dibina untuk memuja Shiva – ada relief monyet yang menghunus sejenis belati mirip keris. Kalau pembaca biasa dengan falsafah Hindu, pembaca tentu tahu – selalunya yang dijelmakan dalam bentuk monyet ialah Dewa Hanuman.

Namun begitu, segala falsafah yang muncul ketika zaman Hindu-Buddha terus hilang selepas kedatangan Islam. Semua unsur agama lama digantikan dengan falsafah keislaman.

 Falsafah keris kini

Sebenarnya falsafah keris yang wujud selepas kedatangan Islam adalah sangat mendalam. Saya akan ringkaskan untuk meringankan beban kalian agar mudah untuk menghayati bab yang saya kira agak berat ini.

1. Lok Keris

Lok 3: Untuk panglima, pahlawan, dan pendekar yang menjalankan tugas keduniaan dan kerohanian.

Lok 5: Melambangkan kepetahan pemiliknya dalam berbicara dan mempengaruhi pendengar.

Lok 7: Melambangkan kewibawaan dan karisma dalam pemerintahan.

Lok 9: Melambangkan kebijaksanaan dan kepimpinan (biasanya dipakai dan dimiliki oleh raja dan pemerintah).

Lok 11: Melambangkan pemiliknya yang bercita-cita tinggi mengejar kemajuan ekonomi dan sosial.

Lok 13: Melambangkan pemiliknya berani mati mempertahankan apa sahaja yang dimiliki daripada dirampas tanpa hak.

Selain daripada yang dinyatakan di atas, lok keris 5 melambangkan rukun Islam, lok keris 7 melambangkan pusingan tawaf, lok keris 13 melambangkan rukun solat, dan lok keris 17 pula melambangkan jumlah rakaat solat lima waktu sehari semalam.

2. Pembersihan

Keris juga selalunya dibersihkan, dicuci atau dimandikan pada bulan Muharam sebagai lambang penyucian. Justeru dalam bulan Muharam, orang Melayu biasanya akan menuntut ilmu dan ‘membuang’ ilmu.

3. Unsur alam

Empu atau pandai besi (gelaran untuk penempa keris) menempa keris berdasarkan falsafah penciptaan manusia yang dipercayai terdapat 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Dikatakan bahawa manusia diciptakan dari tanah, dilembutkan dengan air, dibakar dengan api lalu ditiupkan roh.

Penciptaan keris melibatkan bahan baku daripada besi, baja dan nikel diambil daripada tanah, kemudian ia diadunkan dengan api dan air sewaktu proses pembuatan.

Selepas siap, para pandai besi akan membacakan beberapa potong doa sebelum ‘menghembus’ pada keris. Tiupan doa itu umpama roh yang ditiupkan agar keris menjadi ampuh.

4. Pembuatan besi 9 desa

Para pandai besi dikatakan akan mengumpulkan besi dari 9 daerah sebagaj bahan baku. Kemudian, bahan baku dari 9 daerah ini pun ditempa berulang kali sebelum dijadikan bilah keris.

Selepas siap bilah besi itu, ia akan disiram pula dengan air dari 3 kuala sungai. Apabila siap disiram dengan air, bilah keris akan diletakkan setinggi mungkin di tempat yang tertinggi di daerah keris ditempa selama 44 hari. Menurut falsafah Melayu, perbuatan meninggikan keris adalah sebagai perlambangan bahawa keris mempunyai kehebatan yang tidak dapat ditandingi.

5. Pakaian

Ketika pembuatan keris, pandai besi akan mengenakan pakaian yang berbeza mengikut status keris yang sedang ditempa.

Pakaian berwarna kuning: untuk menempa keris diraja.

Pakaian berwarna hitam: untuk menempa keris buat panglima dan pendekar.

Pakaian biasa: untuk menempa keris buat orang biasa.

6. Perlambangan

Keris dikatakan melambangkan tuah dan maruah, kejantanan, harga diri, senjata, penjagaan diri, daulat, jati diri, tubuh, pembantu, dan pakaian.

7. Pergerakan keris

Pergerakan melibatkan keris turut mempunyai falsafah yang tersendiri. Misalnya

a) keris dikucup melambangkan penerimaan sebuah amanah dengan kesediaan dan pengucup menjunjung tinggi tugas yang digalas dengan penuh keinsafan dan kejujuran;

b) keris dijulang melambangkan penjulangan kuasa, kedaulatan, tanggungjawab dan sikap adil dalam menunaikan amanah;

c) keris dihunus melambangkan tekad untk mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam serta negara.

Justeru, jika anda menyaksikan ada yang berucap sambil melakukan pergerakan seperti dinyatakan, janganlah melenting sebab setiap pergerakan itu ada falsafahnya.

Terdapat juga keris-keris yang mengandungi kalimah-kalimah agama pada pangkal tulang atau hulu keris. Ayat-ayat al-Quran atau kalimah keagamaan pada keris juga sering dilihat pada bahagian sarungnya.

Kesimpulan

Jelaslah, menerusi keris, kita dapat meilhat ketinggian falsafah bangsa Melayu. Sebatang keris sahaja mampu menyampaikan 1001 maksud dan prinsip yang terselindung. Ketinggian falsafah melambangkan ketinggian tamadun.

RUJUKAN:

1. Mahyudin Al-Mudra (2009). Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya Dalam Sejarah Nusantara. Sari 27-44.

2. Khamid Mohamad & Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (2013). Falsafah dan Isu Masa Kini. International Journal of the Malay World and Cilivization (Iman): 45 – 43.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.