Pada tarikh 23 September yang lalu, bermula pada tahun 2018, secara rasminya telah diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa. Tarikh 23 September ini telah dipilih oleh pihak UN General Assembly pada 19 Disember 2017, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahasa isyarat dan memperkuatkan status berkaitan bahasa isyarat.
Malah, tarikh ini juga dipilih sebagai memperingati tarikh di mana Pertubuhan Orang Pekak Sedunia telah ditubuhkan pada tahun 1951. Artikel ini akan membawa anda kepada sejarah penggunaan bahasa isyarat dan bagaimana ia telah banyak membantu golongan kelainan upaya untuk berkomunikasi dan mengenali dunia.
Sejarah bahasa isyarat
Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan
Orang Pekak Sedunia, dianggarkan jumlah individu pekak di seluruh dunia adalah
seramai 72 juta orang dan lebih 80% daripada jumlah ini tinggal di
negara-negara membangun. Dan, daripada kesemua jumlah ini, individu pekak ini
telah menggunakan lebih daripada 300 bahasa isyarat yang berbeza mengikut
negara masing-masing.
Bahasa isyarat adalah sebuah bahasa
semulajadi yang secara strukturnya berbeza daripada bahasa yang dituturkan oleh
individu normal yang lain. Bahasa isyarat sebenarnya telah menjadi sebahagian
daripada pengalaman linguistik sejak dari zaman prasejarah hinggalah ke hari
ini. Berdasarkan kajian yang dijalankan, dinyatakan bahawa bahasa isyarat ini
boleh dipecahkan kepada dua kategori yang utama.
Kategori yang pertama ialah bahasa isyarat yang
digunakan oleh individu yang boleh berbahasa atau bertutur seperti biasa (oral
language) dan isyarat ini digunakan hanya untuk situasi-situasi tertentu,
contohnya dalam komunikasi yang memerlukan keadaan tanpa sebarang percakapan.
Manakala, kategori yang kedua pula ialah bahasa isyarat yang digunakan oleh
individu yang tidak boleh bertutur seperti biasa, iaitu individu pekak dan
bisu.
Bahasa isyarat yang digunakan oleh orang
pekak dan bisu ini dipercayai telah bermula pada abad keempat sebelum Masehi
lagi. Ini adalah berdasarkan kepada kenyataan Socrates dalam Cratylus
Plato, iaitu:
“Dan aku ingin tanyakan satu lagi soalan: jika kita tidak mempunyai daya pertuturan, bagaimana harus kita berkomunikasi antara satu sama lain? Tidak haruskah kita menggunakan isyarat, seperti si pekak dan si bodoh? Pergerakan tangan kita harus mempunyai maksud yang mudah. Mana-mana haiwan yang berlari sepatutnya digambarkan dengan pergerakan serupa dalam bentuk kita sendiri.”
“Katakanlah kita tidak mempunyai suara atau
lidah, dan ingin berkomunikasi antara satu sama lain, haruskah kita, sama
seperti si pekak dan si bodoh, melakukan isyarat dengan tangan, dan kepala dan
seluruh anggota badan?”
Mengikut sejarah, bahasa isyarat terawal yang
digunakan adalah di Greek, iaitu pada abad kelima sebelum Masehi, yang
digambarkan melalui sebuah pasu Greek, di mana ia menunjukkan Philomela, yang
lidahnya telah dipotong oleh Raja Tereus di Thrace, telah menggunakan isyarat
untuk berkomunikasi. Satu lagi bukti yang menunjukkan komunikasi visual ini
adalah pada syiling Roman, iaitu tessera, di mana gambar jari telah digunakan
untuk menunjukkan nombor.
Perkembangan bahasa isyarat pada abad keenam
hingga abad ke-16 Masehi
Perkembangan terawal bagi penggunaan huruf
tangan (hand alphabet) adalah oleh Saint Bede (abad kelima hingga keenam
Masehi) yang telah mencipta sebuah sistem bagi komunikasi visual yang khusus
bagi digunakan oleh komuniti keagamaan untuk tujuan bertafakur atau berada
dalam keadaan senyap. Saint Bonaventure (abad ke-13), seperti mana yang
dinyatakan dalam Refugium infirmorum Melchor de Yedra tahun 1593, telah
menghasilkan sistem huruf jejari (finger alphabet).
Bahasa isyarat tangan mula digunakan dengan
meluas, terutamanya dalam kalangan komuniti Benedictine. Pengekalan jenis
komunikasi ini telah menjadi asas kepada pembentukan bahasa khusus yang menjadi
manual khas untuk golongan yang pekak menjelang abad ke-16 Masehi.
Selepas abad ke-13 Masehi, dan abad-abad
seterusnya, terdapat peristiwa-peristiwa yang menunjukkan penggunaan komunikasi
manual oleh golongan pekak. Satu daripadanya adalah peristiwa di mana Raja
Alfonso X, iaitu Raja Sepanyol (abad ke-13) telah mengiktiraf hak golongan
pekak untuk berkahwin, melalui penyataannya, iaitu:
“Isyarat yang menunjukkan tanda setuju antara
yang bisu adalah sama seperti perkataan yang dituturkan oleh mereka yang boleh
berbicara.”
Dalam satu lagi peristiwa, Rodolfo Phrisii Agricolae (abad ke-15), di
dalam catatannya melalui De inventiuone
dialectica pada tahun 1521, telah menggambarkan:
“Individu yang pekak sejak lahir dan juga bisu boleh memberikan pendapatnya
dan memahami orang lain dengan cara penulisan.”
Penggunaan isyarat untuk pengajaran golongan
pekak
Menjelang abad ke-17 Masehi, konsep
Aristotelian yang diamalkan telah menyebabkan ramai individu yang pekak dan
bisu dinafikan hak mereka untuk belajar dan menjalani kehidupan seperti
individu yang lain. Penggunaan komunikasi visual sebagai asas kurikulum bagi
pembelajaran dan komunnikasi untuk golongan pekak telah bermula di Benedictine
Monastery of San Salvador iaitu di On˜a, Burgos, Sepanyol.
Pedro Ponce de Leo`n, iaitu seorang Benedictine pada abad ke-16 Masehi mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai isyarat di mana beliau mengetahui hampir 360 isyarat berbeza yang pernah digunakan sebagai alat komunikasi sewaktu era periods of silence.
Isyarat-isyarat ini telah digunakan untuk menggambarkan aktiviti dalam kehidupan seharian, seperti menggunakan peralatan makan, pakaian, termasuklah keadaan emosi. Terdapat dua orang budak lelaki yang pekak dan bisu telah tinggal di biara de Leo`n untuk menyambung pembelajaran mereka. Dan pengetahuan serta ilmu mengenai isyarat ini telah mereka peroleh sewaktu berada di biara berkenaan.
Kaedah pengajaran yang dijalankan oleh de
Leo`n adalah melibatkan penggunaan perkataan bertulis, huruf manual, serta
melalui penggunaan isyarat Benedictine serta isyarat-isyarat lain yang telah
dihasilkan sepanjang proses pembelajaran tersebut. Pendidikan yang diberikan
untuk kedua-dua budak lelaki tersebut telah berjaya dan mereka mempunyai
kelebihan untuk bercakap (berkomunikasi) serta membaca dan menulis dalam bahasa
Sepanyol, Greek dan Latin.
Beberapa tahun selepas kematian de Leo`n,
pembelajaran untuk golongan pekak dan bisu ini telah berubah dari biara kepada
pembelajaran di rumah. Antara guru yang bertanggungjawab dalam pembelajaran
untuk golongan pekak ini adalah Manuel Ramırez de Carrion, yang menjadi tutor
kepada Alonso Fernandez de Cordoba y Figueroa, yang pekak dan bisu sejak lahir,
dan akhirnya telah berjaya dalam pembelajarannya pada tahap yang paling tinggi.
Salah satu teknik yang digunakan oleh Carrion dalam pengajarannya adalah dengan
mengaplikasikan penggunaan finger spelling.
Seorang lagi pengajar dan tutor pada waktu itu yang terbabit dalam pengajaran isyarat untuk golongan pekak dan bisu ini adalah Jan Pablo Bonet (1579-1633 Masehi) yang banyak mempelajari pengetahuan mengenai isyarat daripada Carrion.
Pada tahun 1620, beliau telah menghasilkan sebuah buku berkaitan dengan pendidikan golongan pekak, iaitu Reduction de las letras y arte para ensen˜ar a ablar los mudos. Buku ini telah menjadi rujukan penting kerana ia merupakan buku pertama yang menerangkan teknik-teknik dalam pengajaran untuk golongan pekak melalui finger spelling, bersama isyarat yang lain.
Bahasa isyarat sebagai kurikulum
Penggunaan bahasa isyarat sebagai sebuah bahasa yang lengkap dan pelaksanaan kurikulum bagi pengajaran bahasa isyarat bermula apabila Charles Michel de L’Epee membuka sebuah sekolah percuma untuk pelajar pekak pada tahun 1771.
Sekolah ini telah ditubuhkan melalui dana simpanannya sendiri dan rumah milik bapanya, hasil sebuah insiden yang melibatkan dirinya dengan dua orang kanak-kanak perempuan pekak. Penerbitan pertamanya berkaitan bahasa isyarat ini telah dikeluarkan pada tahun 1774, dan beliau telah menghasilkan sebuah sintaks khas untuk bahasa isyarat.
Pengganti beliau, Roch-Ambroise Sicard iaitu seorang paderi yang telah datang ke Paris untuk belajar lebih lanjut dengan de L’Epee, yang kemudiannya telah menubuhkan sebuah lagi sekolah untuk golongan pekak di Bordeaux.
Golongan aristokrat di Perancis telah menyambut baik akan usaha yang dilakukan oleh de L’Epee serta penubuhan sekolah ini. Suatu undang-undang berkaitan penubuhan sekolah orang pekak ini telah diluluskan pada 29 Julai 1791, hasil daripada usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh de L’Epee.
Roch-Ambroise Sicard telah menyambung usaha
yang dilakukan oleh de L’Epee pada tahun-tahun pertama berlakunya Revolusi
Perancis. Malah, Sicard juga telah berjaya meyakinkan pihak National Assembly bahawa alat bantuan
untuk golongan yang kurang upaya atau cacat adalah suatu hak untuk mereka. Ini
sebenarnya telah menjadi asas kepada sistem pendidikan dan penjagaan untuk
semua kanak-kanak terutamanya untuk kanak-kanak yang istimewa.
Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa
Kali pertama Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa
ini diraikan adalah pada tahun 2018, dan pada tahun ini, hari tersebut diraikan
dengan tema “Hak bagi Bahasa Isyarat untuk Semua”. Resolusi utama yang cuba
disampaikan melalui penetapan Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa ini adalah bagi
mengiktiraf bahasa isyarat sebagai salah satu bentuk komunikasi penting bagi
perkembangan individu pekak dan bisu serta memeliharanya sebagai salah satu
ciri kebudayaan.
Kepentingan dan rasional penggunaan bahasa
isyarat
Bahasa isyarat sebenarnya sangat penting bagi
masyarakat untuk membantu komunikasi tanpa batas antara golongan kelainan upaya
serta individu normal. Sikap prejudis terhadap penggunaan bahasa isyarat harus
dilenyapkan melalui lebih banyak kesedaran terhadap kepentingan mempelajarinya
dan kaedah terbaik untuk mempelajarinya. Pada masa kini, di sesetengah negara
yang tertentu, pengajaran untuk bahasa isyarat kini menjadi suatu kurikulum
asas dalam pendidikan perubatan serta program-program lain yang berkaitan
dengan sains kesihatan. Ini adalah antara langkah awal yang dijalankan dalam
memupuk kesedaran terhadap kepentingan penggunaan bahasa isyarat.
Kesimpulan
Bahasa isyarat adalah bentuk komunikasi yang
menjadi penghubung antara individu normal dengan individu yang mempunyai
kelainan upaya. Melaluinya, individu istimewa mengenali dunia dan boleh saling
berbicara tanpa batasan meskipun tidak secara verbal. Individu normal
seharusnya mencari peluang untuk turut sama mempelajari bahasa isyarat dan
menghapuskan jurang komunikasi antara mereka dengan individu istimewa.
RUJUKAN:
Fischer, S. D. (2015).
Sign languages in their historical context. In RH of Historical Linguistic
Book (pp. 442–465).
Humphries, T.,
Kushalnagar, P., Mathur, G., Napoli, D. J., Padden, C., Rathmann, C., &
Smith, S. (2017). Discourses of prejudice in the professions : the case of sign
languages. J Med Ethics, 43, 648–652.
Ruben, R. J. (2005).
Sign language: Its history and contribution to the understanding of the
biological nature of language. Acta Oto-Laryngologica, 125,
464–467.




No comments yet