Setiap bahasa berevolusi dalam peredaran zaman. Bahasa-bahasa yang dipertuturkan di dunia menganggotai rumpun atau keluarga masing-masing yang tersendiri dan mempunyai sejarah yang panjang. Bahasa ‘Arab juga tidak terkecuali daripada mengalami perubahan dan melalui fasa-fasa tertentu seperti mana yang berlaku kepada bahasa-bahasa lain.

Artikel sejarah bahasa Arab ini dibahagikan kepada bahagian-bahagian berikut:

• Keluarga Bahasa Semitik
• Proto Arab dan Bahasa Arab Kuno
• Bahasa Arab Klasik dan Bahasa Al-Quran
• Neo-Arab dan Bahasa Arab Pertengahan
• Bahasa Arab Moden

Keluarga Bahasa Semitik

Bahasa Arab disepakati oleh ahli linguistik berasal daripada satu bahasa yang dilabelkan sebagai “Proto-Semitik”, yang juga merupakan moyang kepada bahasa-bahasa seperti Hebrew, Aramaic, dan Phonecia. Bahasa Arab berada di bawah cabang keluarga Semitik Tengah, berjiran dengan keluarga Semitik Barat Laut yang dianggotai bahasa Hebrew dan Aramaic. Maka, Bani Israel, Yahudi, dan Arab itu ialah adik-beradik dalam rumpun penutur bahasa yang sama.

Pada pandangan penulis, frasa “anti-Semitik” yang ditujukan kepada pembenci Yahudi, barang kali perlu diperbaiki maknanya, kerana selain orang Yahudi, orang Arab juga adalah daripada rumpun Semitik. Masing-masing mendakwa mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim ‘alayhisallam melalui isteri dan putera yang berbeza. Bahkan seperti suku-suku lain dalam keluarga Semitik, orang Arab dan Yahudi juga antara pembina peradaban terawal di dunia. Untuk rekod, suku Semitik lain ialah seperti Akkad dan Assyria yang merupakan pembina peradaban di lembangan Sungai Tigris dan Sungai Euphrates.

Proto Arab dan Bahasa Arab Kuno (Old Arab)

Sejak sekurang-kurangnya 1400 SM lagi, terdapat rekod-rekod bahasa Semitik yang dipertuturkan di Semenanjung Arab, namun masih belum mempunyai ciri-ciri yang jitu untuk dinamakan sebagai “bahasa Arab”. Dalam proses kita mencari sejarah bahasa Arab, penyelidik perlu berusaha untuk mengenal pasti sejak abad atau tahun bilakah bangsa Arab dikenali dengan nama “Arab”.

Pada abad ke-9 Sebelum Masihi, telah wujud data dalam bentuk inskripsi, iaitu prasasti Kurkh yang merakamkan tentang pemerintah kerajaan Neo-Assyria iaitu raja Shalmaneser III (859-824 SM), di mana prasasti tersebut menyatakan tentang proses peluasan jajahan Neo-Assyria ke dalam wilayah Levant (sekitar Syria, Lubnan, Jordan, dan Palestin), dan disebut bahawa penduduk beberapa wilayah tersebut sebagai “orang Arab”.

Manuskrip-manuskrip terawal dipercayai dalam Bahasa Arab ditemukan berdekatan dengan kerajaan-kerajaan purba Arab seperti Ammon, Moab dan Edom yang lokasinya terletak di Selatan Arab. Usia manuskrip dipercayai sezaman sehingga mencapai sama zaman dengan Prasassti Kurkh. Manuskrip yang ditemukan ini mengandungi mantera sembahyang pagan Arab ketika zaman besi dahulu.

Kemudian, pada abad ke-2 Sebelum Masihi ketika orang Arab membangunkan Nabatea, kerajaan yang terkenal dengan binaan hebat Petra di Jordan yang mengagumkan itu, mereka memahat inskripsi sendiri. Bahasa rasmi yang ditulis ialah bahasa Aramaic, namun terdapat ciri-ciri kearaban dari segi struktur ayat dan nama-nama peribadi yang digunakan. Tulisan Nabatea inilah yang kemudian berevolusi menjadi tulisan Arab pada abad ke-4 Masihi.

Selain daripada rekod-rekod di atas, terdapat juga penemuan bahasa di wilayah-wilayah semenanjung Arab yang dianggap sebagai “bahasa Arab kuno”. Namun begitu, ahli linguistik berpendapat bahawa yang paling kuat diperkirakan sebagai bentuk bahasa Arab kuno ialah Safaitic yang ditemukan di Utara Semenanjung Arab dan juga bahasa Hismaic yang terletak di Barat Laut Semenanjung Arab. Kedua-dua bahasa ini djangka usianya daripada abad pertama Masihi sehingga abad ke-4 Masihi.

Fasa Bahasa Arab Klasik

Sesuatu bahasa yang agung itu lazimnya pernah melalui zaman yang dipanggil sebagai “zaman klasikal”. Biasanya fasa yang dirujuk sebagai zaman klasik ialah zaman keemasan tradisi kesusasteraannya. Setiap bahasa itu mampu mencapai “zaman klasikal” apabila sebuah bahasa itu cukup sempurna untuk menuliskan kesusateraan mereka.

Untuk sebuah bahasa mencapai tahap “sempurna” ini, sudah tentu ia datang daripada evolusi yang melibatkan pertembungan antara peradaban seperti peminjaman kosa kata, pengaruh sastera mereka dan proses adaptasi bahasa itu pada perkembangan zaman.

Sebagai contoh, bahasa Yunani memasuki zaman klasiknya ketika abad ke-5 SM, dan bahasa Cina ketika abad ke-5 SM sehinggalah abad ke-2 Masihi lalu berterusan menjadi bahasa untuk kesusateraan Cina sehinggalah abad ke-20. Untuk bahasa Melayu pula, zaman klasikal bahasa ini bermula ketika abad ke-14 Masihi, sejak kedatangan agama Islam dan bermulanya Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah abad ke-18 Masihi. Zaman klasik Inggeris pula bermula ketika abad ke-10 Masihi ketika era tradisi kesausteraan Inggeris dalam menulis hikayat mereka dalam bahasa Bahasa Inggeris Kuno.

Fasa klasik untuk Bahasa Arab dipercayai bermula sekurang-kurangnya pada abad ke-6 Masihi sehingga mencapai abad ke-8 Masihi. Ketika sebelum kedatangan Islam, seluruh Semenanjung Arab dipisahkan oleh pelbagai dialek bahasa Arab yang wujud ketika itu. Namun, oleh kerana sifat peradaban bangsa Arab ini kaya dengan kesusateraan mereka, terdapat sebuah koine (dialek “standard” yang menjadi rujukan untuk penulisan sastera-sastera mereka). Dialek standard inilah yang menjadi rujukan untuk penulisan untuk fasa Bahasa Arab Klasikal dan pra-Islam semenanjung Arab.

Al-Quran iaitu kitab yang diturunkan kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W, bahasa di dalamnya ialah dalam bahasa daripada zaman klasikal bahasa Arab. Al-Quran mengambil masa 23 tahun sebelum lengkap sesuai dengan wahyu yang diturunkan secara berperingkat kepada junjungan besar.

Ketika Al-Quran diturunkan, semenanjung Arab mempunyai 7 dialek Bahasa Arab Klasikal, iaitu Quraishi, Tamimi, Hatheel, Azad, Rabee’ah, Hawazen dan juga Sa’ad bin Bakr. Al-Quran ditulis dalam kesemua dialek klasikal Arab ini, tetapi dialek Quraishi menjadi dialek rasmi dan teks Al-Quran hari ini berdasarkan dialek Quraishi. Bahasa klasikal Arab juga digunakan dalam manuksrip-manuskrip Bahasa Arab ketika zaman Abbasiyah dan Umaiyyah dahulu.

Neo-Arab Dan Bahasa Arab Pertengahan

Kedatangan Islam bukan sahaja menyemarakkan zaman klasik bahasa Arab, malah menerbitkan dua empayar agung Islam iaitu Umaiyyah dan Abbasiyah. Di Barat, umat Islam menakluk sehingga ke Sepanyol manakala di Timur pula, umat Islam tiba sejauh sempadan India.

Penduduk wilayah-wilayah di luar Semenanjung Arab yang mula bertutur dalam bahasa Arab ini menimbulkan banyak dialek baru yang tidak lahir daripada bahasa Arab klasik, sebaliknya lahir daripada dialek-dialek Arab yang wujud pada zaman sebelum Islam, yang biasanya dibawa oleh tentera-tentera Arab yang menakluk wilayah-wilayah asing ini.

Dialek ini juga turut dipengaruhi oleh bahasa asal wilayah yang ditakluk oleh tentera Arab. Dialek dibahagian Levant dan juga Mesopotamia dipengaruhi oleh bahasa Aramaic, manakala di Maghribi pula dialeknya dipengaruhi oleh bahasa Berber, penduduk asal Afrika Utara sebelum berasimilasi ke dalam bangsa Arab dan bahasa Arab Mesir dipengaruhi oleh bahasa Qibti. Era kelahiran dialek-dialek baru ini dikenali sebagai era Neo-Arab. Manakala penulisan yang mengandungi pengaruh Arab klasik dan juga dialek baru ini dikenali sebagai bahasa Arab Pertengahan.

Bahasa Arab Moden

Sehinggalah zaman moden, dialek-dialek ketika era Neo-Arab berevolusi menjadi dialek bahasa Arab moden yang kita kenali hari ini. Namun demikian, walaupun bahasa Arab pertuturan berubah mengikut zaman, namun bahasa Arab klasik yang merupakan bahasa Al-Qur’an diturunkan dan kesusasteraan Arab, kekal keasliannya tanpa banyak perubahan yang besar.

Namun, ketika era kolonialisme dan kebangkitan kuasa Barat, pertembungan antara peradaban Arab dengan peradaban Barat berlaku secara besar-besaran, antaranya ditandai dengan kemasukan Napoleon ke Mesir. Ini mendedahkan bahasa Arab kepada banyak istilah dan kosa kata baru dari Barat, seiring dengan perkembangan peradaban dunia ketika itu.

Bahasa Arab jelas mempunyai fenomena diglossia. Diglossia ialah sejenis situasi di mana dua dialek atau variasi bahasa yang saling berbeza yang dituturkan dalam sebuah komuniti sebahasa yang sama. Kita juga boleh menganggap bahawa diglossia adalah di mana sebuah komuniti menggunakan dialek dan variasi bahasa yang berbeza untuk penulisan dan pertuturan. Ini berlaku pada komunuti Arab moden hari ini.

Kita perlu tahu bahawa bahasa Arab Moden yang berasaskan bahasa klasikal dalam Al-Quran lalu dikembangkan lagi ketika zaman moden sesuai dengan peredaran zaman. Bahasa Arab Moden ini adalah bahasa yang digunakan di media, pendidikan, situasi formal, buku-buku, tetapi tidak dalam percakapan seharian. Orang Arab mengenalinya sebagai al-Fusha.

Bahasa utama dalam percakapan orang Arab dikenali sebagai ‘ammiya. Bagaimana setiap penutur bahasa Arab dari dialek yang berbeza memahami antara mereka bergantung pada sempadan geografi. Semakin dekat sempadan dialek sebuah bahasa Arab itu, semakin mudah proses memahami setiap perbezaan dialek.

Namun, setiap penutur Arab dari dialek yang berbeza akan bertutur dalam al-fusha iaitu bahasa rasmi Arab moden hari ini bagi memudahkan pemahaman masing-masing, atau mereka juga boleh bertutur dalam “white dialect”, di mana dialek yang menggunakan kebanyakan ciri-ciri yang wujud dalam pelbagai dialek bahasa Arab, atau mengelakkan ciri-ciri yang boleh dijumpai pada hanya dialek tertentu bagi memudahkan komunikasi.

Rujukan:

Langfocus (April 2017). The Arabic Language: Its Amazing History and Features. https://www.youtube.com/watch?v=nDg3yPSzsEg

Al-Jallad (2015). The earliest stages of Arabic and its linguistic classification (Routledge Handbook of Arabic Linguistics, forthcoming).

Edward Sapir (1921). Language: An introduction to the study of speech. New York: Harcourt, Brace and


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.