Sejarah 10 Muharam Serta Kaitannya Dengan Peristiwa Karbala & Bubur Asyura

0
600
views

Bila tiba 10 Muharam, mungkin sebahagian dari masyarakat kita akan terus ingat akan hari Karbala di mana penganut Syiah memukul badan mereka bersempena mengingati kesyahidan Saiyidina Imam Hussein. Namun menurut mazhab ASWJ, sebenarnya tarikh 10 Muharam memang dimuliakan sebelum kejadian peristiwa Karbala lagi. Hanyasa Saiyidina Hussein lah yang syahid pada tarikh mulia ini.

Kalau kita selak kitab-kitab lama, pelbagai kisah historik dikatakan berlaku pada 10 Muharam. Berikut merupakan antara peristiwa tersebut :

1) Hari Alam, Arasy dan Lauh Mahfuz dicipta.
2) Malaikat Jibril dicipta.
3) Nabi Adam dicipta
4) Nabi Idris diangkat ke langit.
5) Nabi Nuh dan pengikutnya terselamat dari banjir besar.
6) Nabi Ibrahim diselamatkan dari api Raja Namrud.
7) Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
8- Nabi Yaakub telah sembuh dari buta.
9) Nabi Ayub disembuhkan dari penyakitnya.
10) Nabi Musa telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
11) Penurunan kitab Taurat kepada Nabi Musa (riwayat lain mengatakan Taurat diturunkan pada bulan Ramadhan seperti diturunnya al-Quran)
12) Nabi Yunus keluar dari perut ikan paus.
13) Nabi Sulaiman dikurniakan kerajaan yang besar.
14) Nabi Isa diangkat ke syurga.

Walaubagaimanapun, dari sekian banyaknya kisah diatas, yang dapat dipertanggungjawabkan kesahihannya adalah kisah ke-10. Hadis Sahih daripada Ibnu Abbas berkata;

Apabila Nabi tiba di Madinah, maka Baginda melihat orang Yahudi berpuasa Asyura, maka Baginda bertanya, “Amalan apa ini?”

Mereka menjawab; “Ini adalah suatu hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan Musa dan kaum Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, maka Musa pun berpuasa kerananya”.

Maka Nabi pun bersabda; “Aku lebih berhak berbanding kamu terhadap Musa”. Lalu Rasulullah pun berpuasa pada hari itu dan menyuruh umatnya berpuasa sama.”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Waqaf Saham

Sepanjang aku belajar ilmu perbandingan agama, memang orang Yahudi menyambut perayaan bersempena Nabi Musa dan Bani Israel terselamat dari Firaun dengan terbelahnya Laut Merah dalam peristiwa Exodus. Perayaan ini dikenali sebagai Passover yang disambut pada tarikh 15 haribulan Nissan menurut kalendar Yahudi. Tetapi di zaman Rasulullah, Yahudi Madinah menyesuaikan kalendar mereka dengan suasana di Yathrib lalu tarikh tersebut jatuh pada 10 Muharam. Lalu berlakulah dialog sepertimana yang termaktub dalam hadis di atas.

Budaya masyarakat Melayu dalam menyambut tarikh 10 Muharam pula adalah dengan membuat bubur Asyura. Dalam kitab “Nihayatuz Zain” karya Syeikh Nawawi al-Banteni, kitab “Nuzhatul Majalis” karya Syeikh Abdur Rahman al-Ushfuri dan kitab “Jam’ul Fawaid” karya Syeikh Daud al-Fathani, kononnya bubur Asyura pertama kali dibuat oleh Nabi Nuh setelah baginda terselamat dari banjir besar pada 10 Muharam iaitu kisah ke-5 dalam senarai di atas.

Walaubagaimanapun, tiada satu hadis sahih yang mendasari kisah ini. Malah, jika menurut ilmu perbandingan agama, apa yang aku jumpa dalam Bible, Book of Genesis Fasal 8 ayat 20, ada menyatakan selepas kejadian banjir besar ; “Nuh mendirikan mezbah untuk Tuhan. Dari segala binatang dan burung yang tidak haram diambilnya beberapa ekor, lalu baginda persembahkan korban bakaran di atas mezbah itu”. Tiada sebarang rujukan mengenai pembuatan bubur Asyura dari Kitab Bible Perjanjian Lama sebaliknya kisah korban haiwan yang termakub.

Namun, aku menggali lagi mengenai kisah ini. Oleh kerana kononnya Bukit Judiy yang dinyatakan oleh al-Quran sebagai tempat bahtera Nabi Nuh beristawa (berlabuh) itu terdapat di Turki (bukit Ararat), maka aku menyelak buku-buku sejarah orang Turki pula. Apa yang aku jumpa, terdapat satu lagenda orang Turki terutama sekali lagenda masyarakat yang hidup di perbatasan Armenia mengenai “The Noah Pudding”. (Lihat gambar)

Nabi Nuh meminta umatnya mengumpul saki baki bahan makanan yang tinggal dalam bahtera untuk dijadikan juadah. Yang tinggal hanyalah beberapa bijirin yang dijadikan tepung dan beberapa jenis kekacang. Lalu semua ini dicampur dan dimasak untuk dijadikan bubur.

Kisah kapal Nabi Nuh ini bukan hanya ada dalam tradisi Islam, malah orang Kristian juga turut berkongsi naratif yang hampir serupa. Oleh itu menurut masyarakat Kristian Armenia, tradisi bubur Asyura ini dikenali sebagai Anuşabur yang dihidangkan ketika hari Krismas dan malam tahun baharu (New Year’s Eve). Ianya bersifat lagenda yang universal menurut bangsa Turki bukannya khusus untuk agama tertentu.

Lagenda masyarakat Turki mengenai The Noah Pudding atau Bubur Nuh ini sama dengan apa yang ditulis oleh para ulama di atas. Mungkin barangkali para ulama Melayu di atas semasa mereka berhubungan dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah menerima lagenda ini sebagai sebuah ibrah dalam karya mereka. Tapi resipi Bubur Asyura Turki dan Bubur Asyura Melayu sedikit berbeza bahan-bahannya. Namun masih lagi mengekalkan sumber kekacang, tepung dan cara masakan.

Tradisi gotong-royong Bubur Asyura dalam masyarakat Turki bahkan Melayu ni dahulu adalah untuk mengeratkan silaturahim disamping menyambut anjuran nabi untuk berkongsi-kongsi makanan dalam hadis baginda yang umum. Masyarakat Melayu dulu berpuasa pada 10 Muharam dan bubur Asyura ini dijadikan sunnah manisan untuk berbuka puasa kelak.

Tiada haramnya untuk menyambut hari Asyura dengan membuat bubur dan tidak menjadikan kita tergugat akidah konon turut menyambut hari Karbala. Jika kita mendapat pengetahuan tentang sejarah sesuatu perayaan, kita akan berlapang dada. Tidak usah menuduh orang Syiah atau Wahabi dalam isu sekecil ini. Isu makanan tiada kaitan dengan akidah seseorang. Apa yang penting, Bubur Asyura itu sedap! Hahaha…

#SelamatMenyambutHariTasuadanAsyura