Tiada siapa ingin masuk penjara, terutamanya jika penjenayah tersebut berkulit hitam di Amerika Syarikat zaman 1900-an.

Semua tahu perkauman pekat menghitam ketika itu… seolah-olah warna selain putih dianggap bawahan.

Perjuangan hak minoriti tidak berputik di Amerika Syarikat, kerana banyak negara mengamalkan diskriminasi. Namun kegigihan minoriti Amerika Syarikat telah memberi pengaruh besar pada semua negara.

Advertisements

Sekitar tahun 1903, seorang lelaki bernama Will West diberkas untuk perbicaraan yang mendapati dirinya bersalah.

West kemudian dibawa ke Penjara Amerika Syarikat (United States Penitentiary) yang terletak di Leavenworth. Kalau naik lebuh raya, Leavenworth terletak 217 kilometer jauh daripada bandar raya Seattle.

Tidak pasti jenayah apa West buat, melainkan “minor crime” (jenayah kecil). Ada yang cakap “manslaughter” (bunuh tanpa niat). Tidak pasti mana satu.

Sebelum masuk dalam penjara, West dikehendaki menjalankan prosedur umum iaitu: 1) ambil gambar, 2) rekod butiran fizikal dan 3) buat ukuran anthropometri.

Semua maklumat ini dicatat… tetapi pekerja dalam sistem penjara mula musykil. Jadi mereka mula membelek rekod dan terkejut beruk selepas buka fail “William West”.

Terdedah habis yang West ada sejarah hitam kerana tanpa henti buat jenayah. Masalahnya, “William West” sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh (Cole, 2009). Hukuman dijatuhi dan bermula pada tahun 1901.

Jadi macam mana “Will West” masuk penjara tahun 1903 kerana didapati masalah “jenayah ringan” pula? Tidak masuk akal.

Logiknya? West bunuh, masuk penjara, lari keluar, bebas selama dua tahun sebelum… tumpas kerana jenayah ringan.

Perspektif ini mengundang masalah besar terhadap West, yang menegaskan dirinya bukan “William West”.

Apabila ditunjuk gambar dirinya, West tersenyum bersetuju, “ini gambar saya. Tetapi saya tidak tahu mana kalian jumpa (gambar ini), kerana saya yakin saya tidak pernah masuk penjara.”

Gambar tersebut walau bagaimanapun mengorak langkah pertama yang menyelamatkan West. Kerana 1) “William West” dipenjarakan dalam fasiliti sama dan 2) “Will West” nampak sedikit berbeza untuk dibandingkan dengan “William West”.

Boleh nampak perbezaan bentuk tempurung kepala dan muka.

Semua pengawal penjara malas bising. Mereka pun berpaling antara satu sama lain: satu saja cara untuk menyelesaikan masalah ini.

Jika betul “William West” ada dalam fasiliti penjara atas hukuman mati kerana membunuh, maka logiknya “Will West” bukan “William West”.

Maka bawa saja “William West” datang jumpa “Will West”. Selesai masalah. Disangka mustahil… rupa-rupanya pada ketika “Will West” berada dalam bilik tahanan, “William West” sedang bergentayangan dalam perkarangan penjara (Chalakoski, 2017).

Jadi mereka membawa “William West” untuk berdepan dengan “Will West”… masing-masing tertelan lidah yang kelu sementara pengawal-pengawal pakat tersentak.

Muka sama. Tinggi hampir sama. Bentuk badan pun sama. Andainya “Will West” lari keluar, “William West” boleh guna identiti “Will” untuk keluar daripada bebanan hukuman penjara seumur hidup.

Maka kalangan pengawal semua fikir macam mana untuk bezakan dua banduan ini… dan mereka sedar, seandainya semua sama, satu saja akan berbeza: cap jari.

Cap jari kedua-dua West dibawa untuk perbandingan. Sah, memang berbeza. Jadi sejak hari itu, sistem penjara katanya menghentikan operasi anthropometri dan terus fokus pada cap jari.

Perbezaan cap jari.

Bunyinya serupa lagenda rakyat (urban legend) pun ada. Jadi sejarawan mula membelek rekod penjara untuk mengasingkan kebenaran daripada persepsi. Mereka memperolehi bukti bahawasanya memang Will West masuk penjara sama dengan William West.

Cuma kedua-dua West ini adalah saudara terdekat, barangkali kembar seiras pun. Will bebas kemudian dan terus hilang ditenggelami zaman.

William pula mendapat parol pada tahun 1919. Ada kisah menyatakan William cuba lari daripada parol… tetapi gagal dan dipenjarakan semula.

RUJUKAN:

Chalakoski, M. (2017, September 29). Will and William conundrum: How two unrelated but identical inmates showed need for fingerprinting. The Vintage News.

Cole, S. (2009). Suspect Identities: A History of Fingerprinting and Criminal Identification. Harvard University Press.

Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply