Seharum Namanya Tok Kenali Laksana Bunga Mekar Mewangi

3571
views

Ayuhai Awang pilihlah makrifat,
Suluh tersurat bayang tersirat,
Ibarat marjan (permata) di mana dapat,
Cari di laut bukan di darat.
(Tok Kenali).

PENDAHULUAN

Jasad seorang ulama yang dikenali sebagai Awang Kenali atau masyhur dengan Tok Kenali bukanlah calang-calang ulama yang boleh kita boleh pandang semberono. Cahaya yang disinarkannya ke bumi Nusantara dan Tanah Melayu khususnya di negeri Kelantan telah menerangi hati-hati yang selama ini berada dalam kesamaran cahaya. Kesamaran ini bukanlah disebabkan Ulama terdahulu tidak terpancar akan sinaran cahayanya, namun sinaran cahaya yang dipancarkan Tok Kenali umpama matahari yang menerangi bumi melebihi cahaya yang lainnya.

Melalui Tok Kenali, dahulunya pendidikan formal agama Islam pada ketika itu, bertambah pesat dengan tumbuhnya benih-benih keilmuan yang ditanamkan di seluruh nusantara dan khususnya di Tanah Melayu dengan pulangnya Tok Kenali ke Kelantan setelah gurunya yang amat beliau kasihi, Al-Alim Al-Allamah Al-Muhaqqiq Al-Mudaqqiq As-Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Musthafa Al-Fathani telah meninggal dunia.

Diceritakan oleh Ustaz Abdul Halim, yang merupakan murid rapat kepada Almarhum Syeikh Wan Mohd Shaghir (merupakan pengkaji Ulama Nusantara dan pengasas kepada Khazanah Fathaniyah), sebelum pulangnya Tok Kenali ke Kelantan, penuntut-penuntut ilmu ini akan ke Fathani Dar As-Salam untuk menuntut ilmu disana sebelum ke Mekah namun setelah Tok Kenali pulang, semua penuntut ilmu tumpu kepada beliau dan berkuranglah orang ke Fathani kerana menuntut ilmu dengan Tok Kenali.

BIOGRAFI TOK KENALI

Tok Kenali atau nama sebenarnya Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad bin Abdul Samad adalah salah satu nama yang tidak asing lagi di bumi nusantara meliputi Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Kemboja dan lain-lain. Menurut Ustaz Hafiz Hukmi yang merupakan cicit kepada Tok Kenali, atuk Tok Kenali yang bernama Haji Abdul Samad merupakan seorang muezzin (bilal) di Masjid Kenali.

Ayahnya pula seorang yang soleh yang masyhur di kalangan petani kampung manakala ibunya pula bernama Hajjah Fatimah binti Haji Soleh. Tok Kenali merupakan ulama tersohor pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Beliau selamat dilahirkan di Kubang Kerian atau nama asalnya adalah Kampung Paya di mukim Kenali, Kelantan pada tahun 1287H/1871M (menurut riwayat Almarhum Syeikh Mohd Shaghir).

Namun ada sedikit perbezaan pendapat mengenai tahun Masihi Tok Kenali dilahirkan, ada yang berpendapat pada tahun 1868M, ada yang kata 1870M. Tidak dapat dikenalpasti tarikh mana satu, mungkin boleh dibuat kajian mengenainya.

Apa yang pasti, semua bersepakat bahawa Tok Kenali dilahirkan pada 1287H. Ini kerana termaktub didalam majalah Pengasuh yang diasaskan oleh Tok Kenali dan beliau sendiri menulis dilahirkan pada 1287H. Wafat pula menurut Ustaz Abdul Halim (murid rapat Syeikh Wan Mohd Shaghir), bahawa semua bersepakat, Tok Kenali meninggal pada 2 Syaaban 1352H/19 November 1933M.

PENDIDIKAN TOK KENALI

1.Sebelum ke Mekah

Diriwayatkan daripada cucu perempuan sulong Tok Kenali, Hajjah Rahmah binti Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali), pada usia 5 tahun bapanya Haji Ahmad telah meninggal dunia. Segala tugas untuk menjaga anak kecil yang ‘besar’ namanya sehingga kini telah diambil-alih tugas oleh datuknya sebelah ibunya, Haji Muhammad Soleh.

Ibu Tok Kenali, Hajjah Fatimah merupakan guru Al-Quran. Dari datuknyalah Tok Kenali belajar segala ilmu-ilmu asas. Ini merupakan peringkat terawal pendidikan Tok Kenali.

Selain datuknya, Tok Mek iaitu Nenek tirinya telah mengambil tanggungjawab mendidik anak yatim kecil ini dengan benih kebajikan dan mengajar tentang menjaga makan dan minum yang halal.

Di Kampung Kenali, Tok Kenali telah belajar akan ilmu Al-Quran dan menghafal syair serta pantun yang mengandungi nasihat dan saranan peribadi mulia. Ketika umur beliau 10 tahun, telah Allah kurniakan kepada anak kecil ini hasrat menimba ilmu agama dengan kesungguhan.

Kesungguhan Tok Kenali dibuktikan iaitu beliau berjalan kaki tanpa kasut dari Kubang Kerian ke Kota Bharu di Masjid Muhammadi yakni lubuk segala ilmu pada ketika itu untuk menuntut beberapa ilmu dan dengan beberapa guru seperti Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Haji Salleh (makamnya di Kampung Atas Banggol).

Menurut riwayat cucu Tok Kenali iaitu Ustaz Hafiz Hukmi, beliau berjalan kaki sambil berkaki ayam kerana menurut Tok Kenali perjalanan menjadi lebih cepat bahkan jika beliau berjalan bersama-sama sahabat yang lain, mereka akan ketinggalan jauh dibelakang.

Menurut riwayat Almarhum Syeikh Wan Mohd Shaghir, dikatakan berkaki ayam kerana mengikuti sunnahnya Imam Malik yang tidak memakai selipar ketika di Madinah kerana malu teramat sangat dengan jasad Nabi Muhammad SAW dibawah tanah terletak di Masjid An-Nabawi dan seolah-olah menghina jasad Nabi yang berada dibawah tanah.

Di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, beliau telah menuntut ilmu tasawwuf dengan Tuan Tabal yang merupakan anak murid Sidi Syeikh Ibrahim Ar-Rasyidi. Kemudian dalam ilmu nahu, beliau belajar dengan Qadhi Haji Ismail bin Mahmud yang terletak tak jauh dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Tok Kenali juga berguru dengan Haji Awang Alim di Kampung Atas Banggol sebelah hilir masjid.

Antara guru yang lain yang sempat mengajar Tok Kenali adalah Haji Nik Ismail, ayah kepada sahabat seperguruan beliau dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani iaitu Dato Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud bin Nik Ismail.

2. Pengajian di Mekah

Sewaktu Tok Kenali berumur 18 tahun, direzekikan Allah kepadanya untuk menuntut ilmu di Mekah. Menurut Hajjah Rahmah (cucu Tok Kenali), beliau ke Mekah dengan hanya berbekalkan RM22 untuk dibelanjakan selama 22 tahun.

Untuk kesana, beliau menaiki kapal laut. Tiket berharga RM50 itu dibiayai oleh penduduk kampung sekitar yang mengharapkan agar Tok Kenali mendapatkan dan menggunakan manfaat sebaiknya untuk berbakti Umat Islam keseluruhan.

Tok Kenali menetap di Mekah selama 22 tahun. Disana, beliau hanya bertawakal kepada Allah agar segala urusannya disana dipermudahkan. Bayangkan beliau hanya mempunyai RM22 untuk dibelanjakan selama 22 tahun. Beliau tidak punya wang untuk membeli kitab dan sebagainya.

Beliau juga tidak mempunyai rumah sewa disana, hanya tidur di serambi-serambi masjid selama 6 bulan lamanya. Disebabkan amalan inilah apabila pulang ke Kelantan dan menyebarkan Islam di sana sehingga Kelantan digelar serambi Mekah menurut info daripada orang ramai.

Pada permulaannya, Tok Kenali juga bertungkus-lumus untuk mencari ilmu. Beliau akan sentiasa memasuki halaqah ilmu di sekitar Masjidil Haram yang pada ketika itu terkenal dengan pengajian di tiang-tiang masjid. Setiap tiang akan diajar oleh Masyaikh yang berkelayakan.

Seperti dimaklumi, Tok Kenali tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli kitab. Sebelum ke kelas pengajian, beliau akan ke kedai kitab untuk telaah dan hafaz isi kandungan kitab tersebut. Sehinggakan pernah ditegur oleh penjual kitab. Tok Kenali menceritakan perihal beliau itu lalu penjual tersebut faham dan membenarkan untuk berbuat demikian.

Ingatan beliau sungguh kuat. Pembacaan melalui telaahnya itu, beliau mampu menghafal sekaligus isi kandungannya disertai juga dengan kefahaman yang dikurniakan Allah kepadanya. Inilah antara kelebihan Allah kurniakan kepadanya.

GURU-GURUNYA DI MEKAH

Di Mekah, beliau mempelajari dengan ramai guru antaranya ulama-ulama Arab dari Mekah dan juga ulama dari tanah jawi. Dari sini kita dapat lihat bagaimana pemikiran Tok Kenali walaupun sudah belajar di Tanah Arab namun Ulama Tanah Jawi masih tidak dilupakan untuk beliau berguru. Guru-gurunya adalah seperti berikut:

• Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zainal ‘Abidin bin Tok Bendang Daya I Al-Fathani, masyhur dengan kitab Faridah Al-Faraid fi ‘Ilmi Al-‘Aqaid
• Syeikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan Al-Kalantani, pengarang Lum’atul Aurad
• Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi Al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik Al-Fathani), pengarang Matla’ Badrain kitab Fiqh
• Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Al-Minangkabawi, pengarang Hasyiah Nafahat
• Syeikh Mukhtar ‘Atarid Al-Buguri, pengarang Usuluddin
• Syeikh Muhammad ‘Abid Al-Maliki
• Syeikh Hasbullah
• Penyusun I’anah At-Thalibin Sayyid Abu Bakar Al-Bakri bin Syatha Ad-Dimyati
• Syeikh Muhammad Amin Hanafi
• Syeikh Muhammad Yusuf Al-Khayyat
• Syeikh Sayyid Abdullah bin Muhammad Soleh Zawawi (mufti Syafie di Mekah)
• Dan ramai lagi

BUNGA MEKAR MEWANGI SEHARUM NAMANYA TOK KENALI

Menurut Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad atau Tok Kenali mula mekar mewangi apabila mulai belajar kepada Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani dan seterusnya menjadi anak murid yang rapat kepadanya.

Sebelum Tok Kenali datang ke majlisnya lagi, Syeikh Wan Ahmad (selepas ini dikenali Syeikh Ahmad) sudah mengenali beliau secara lahiriah dan rohaniah. Syeikh Ahmad yang terkenal sebagai ulama dan wali Allah yang punyai ‘kasyaf’ yakin suatu hari pasti Tok Kenali akan mendatanginya.

Firasat Syeikh Ahmad benar, selepas 6 bulan (menurut setengah riwayat) akhirnya Tok Kenali mendatangi majlis ilmunya. Seperti kebiasaan, Tok Kenali duduk di belakang sekali tanpa sebarang kitab dan tidur didalam tiap-tiap majlis ilmu sehingga dikenali sebagai orang yang suka tidur dalam majlis ilmu.

Namun itu tiada masalah baginya kerana Tok Kenali akan telaah dan hafal isi kandungan kitab disertai dengan kefahaman. Tidak hairanlah beliau tidur kerana mempunyai anugerah yang berharga didalam diri Tok Kenali.
Syeikh Ahmad menyediakan 3 soalan yang susah kepada murid-muridnya untuk dijawab. Dan Syeikh yakin kesemua muridnya tidak dapat menjawab kecuali Tok Kenali. Mu! Yang dibelakang sekali (tuju kepada Tok Kenali) mari duduk sini!

Kata Syeikh. Tok Kenali hanya menurut sahaja. Jawab soalan aku tadi! Sergah Syeikh Ahmad. Tok Kenali bangun dan ternyata menjawab kesemua soalan tersebut.

Terkejutlah sekalian para murid yang ada disitu kerana disangka orang yang sering tidur itu bukanlah calang-calang orang. Soalan yang ditanya itu adalah soalan Tasawwuf Tinggi dan hanya mereka yang ‘sudah sampai’ kedudukan tersebut sahaja boleh menjawabnya. Sejak peristiwa itu, nama Tok Kenali diangkat dan mula mekar di Mekah dan seluruh Nusantara. (Cerita ini didengari daripada Ustaz Abdul Halim Khazanah Fathaniyah daripada gurunya Syeikh Wan Mohd Shaghir, Ustaz Hafiz Hukmi cicit Tok Kenali).

KISAH SYEIKH WAN AHMAD & TOK KENALI

Sebermula Syeikh Ahmad mengambil Tok Kenali sebagai anak murid rapatnya kerana keistimewaan dan juga terserlah ‘kewalian’ yang ada pada dirinya. Tok Kenali tidak lagi tidur di serambi-serambi masjid tetapi di rumah Syeikh Ahmad. Sebagai murid yang sangat patuh dan adab kepada guru, segala perintah Syeikh dilaksanakan sebaiknya dan beliau menjadi khadam sepenuhnya kepada Syeikh Ahmad.

Suatu ketika, Kerajaan Islam Uthmaniyah pernah digemparkan dengan isu khilafiyah antara Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dan Syeikh Nasiruddin Yusuf bin Ismail An-Nabhani (Lubnan). Kerajaan Uthmaniyah yang dipimpin Sultan Abdul Hamid II telah mengarahkan Syeikh Ahmad untuk ke Beirut bagi meleraikan permasalahan khilafiyah antara kedua ulama tersebut.

Lalu, Syeikh Ahmad telah menjemput kedua murid kesayangannya untuk bersama-sama ke Beirut bagi menyelesaikan masalah khilafiyah tersebut. Dua orang murid tersebut adalah Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad atau Tok Kenali dan Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud bin Nik Ismail.

Apabila sampai di Tursina, tempat dimana Nabi Allah Musa mendengar kalam Allah atau mendapat wahyu. Disinilah Syeikh Ahmad menyuruh anak muridnya bermunajat secara khusus. Disinilah mereka didoakan oleh Syeikh Ahmad untuk menjadi murid yang hebat. Tok Kenali didoakan supaya menjadi alim ulama manakala Dato Paduka Nik Mahmud didoakan sebagai orang politik dan pentadbiran.

Daripada doa yang maqbul ini, keduanya menjadi seperti yang didoakan. Tok Kenali menjadi alim ulama yang dikenang sehingga kini dan Dato Paduka Nik Mahmud menjadi Perdana Menteri Pertama di Kelantan. Hasil daripada pemikiran Syeikh Ahmad, Kelantan dapat dibentuk menjadi kerajaan Islam yang hebat. (Cerita ini didengari daripada Ustaz Abdul Halim, Ustaz Hafiz Hukmi cicit Tok Kenali).

Tok Kenali juga dikenali sebagai Awang Kenali. Gelaran Awang ini diberikan oleh Syeikh Ahmad kepada beliau. Setiap kali persuratan antara Syeikh dan beliau akan ditulis dibawah sekali ‘Awan’. Dan daripada awan inilah lama kelamaan menjadi Awang. Namun ada yang mengatakan Awang itu diberikan kerana itu nama kebiasaan di Kelantan untuk mereka yang sangat dikasihi.

Bahkan menurut Almarhum Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama panggilan Awang bermula apabila Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani mendoakan Tok Kenali supaya menjadi alim ulama dan mengatakan kepadanya bahawa keilmuan Tok Kenali tidak akan melebihi awan (ini membawa maksud keilmuan Tok Kenali hanya separuh daripada keilmuan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani). Daripada Awan itulah lama-kelamaan ia bertukar menjadi Awang.

KARAMAH TOK KENALI

Menurut Ustaz Abdullah Al-Qari, cerita mengenai karamah Tok Kenali memang banyak. Katanya, pernah terjadi suatu ketika pernah berlaku di Kampung Paya (kini dikenali sebagai Mukim Kenali di Kubang Kerian), ada seseorang yang lemas di sungai yang dalam menjerit minta pertolongan kepada sesiapa yang berada di sekitar tempat tersebut. Ternyata, yang ada ketika itu di seberang sungai ialah Tok Kenali.

Beliau mendengar jeritan meminta pertolongan tersebut. Dengan tidak melengahkan masa, Tok Kenali terus menuju kepada individu tersebut secara lenyap tiba-tiba. Tahu-tahu sahaja Tok Kenali sudah sampai kepada individu tersebut dan terus menyelamatkan orang tersebut.

Tapi menurut sebahagian riwayat, bukanlah Tok Kenali hilang secara tiba-tiba, namun Tok Kenali berlari-lari diatas air tanpa tenggelam dan terus menyelamatkan individu tersebut dengan izin Allah.

KEPULANGAN KE TANAH AIR

Selepas kewafatan Syeikh Ahmad pada tahun 1908 M dan ada riwayat mengatakan 1909 M di Mina, setelah belajar dengan beliau selama 22 tahun. Ketika itu umurnya 40 tahun. Pada tahun 1911, hanya membawa dua buah kitab sahaja iaitu Tafsir Al-Khazin dan Mughni Labib (Nahu).

Mengasaskan Pondok di Kampung Paya. Tahun 1917, menjadi Ketua Guru di Masjid Besar Masjid Muhammadi, Kota Bharu Kelantan. Antara kitab dibacanya Kitab Nahu Syuzur Zahab dan Syarah Ibnu Aqil. bab Feqah kitab Baijuri dan kitab Al-Iqna’.

JASA-JASA TOK KENALI

Selepas kepulangan ke Kelantan, banyak perkara yang dilakukan oleh Tok Kenali untuk melebarkan dakwahnya di Tanah Melayu dan Nusantara. Selain membuka pondok di Kubang Kerian, beliau menubuh Majlis Agama Islamd dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) pada tahun 1915. MAIK merupakan majlis Islam yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu. Menjadi contoh kepada negeri lain untuk melakukan perkara yang sama.

Beliau juga merupakan pengarang kehormat bagi Majalah Pengasuh dan.telah menulis beberapa makalah dalam siaran awal majalah tersebut. Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan.

Jamiah Asriyyah di Jalan Tengku Putra Semerak adalah salah satu bekas tangan beliau. Dalam bidang penulisan kitab atau risalah agama pula, berikut adalah karyanya:
1. Risalatud Durril Mantsur. Menerangkan fadhilat Qasidah Burdah Imam Bushiri
2. Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi. Kitab ini mengenai Ilmu Saraf.
3. Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih. Kitab syarahan Matan Aj-Jurumiyah dalam Ilmu Nahu.
4. Dan banyak lagi yang mungkin kami belum ketemui.

MURID-MURIDNYA

Disebabkan keilmuan yang tinggi, murid-muridnya bukan sahaja hanya di Tanah Melayu bahkan meliputi Tanah Nusantara seperti Indonesia dan sebagainya. Berikut sebahagian kecil murid beliau yang berjaya saya rekodkan:

  1. Syeikh Utsman bin Jalaluddin Penanti
    2. Syeikh Idris Al-Marbawi
    3. Tuan Guru Abdullah Tahir Bunut Payung
    4. Mufti Kalimantan Barat, Mempawah, Indonesia, Haji Abdur Rahman
    5. Mufti Kelantan, Ismail bin Yusof
    6. Haji Yaakob bin Ahmad, Lorong Gajah Mati, Kota Bharu
    7. Awang Lambor
    8. Ali Salahuddin Pulau Pisang
    9. Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal
    10. Tuan Guru Abdul Rahman Lubuk Tapah
    11. Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali, Dar Islah Makkah
    12. Tuan Guru Haji Ahmad bin Tok Kenali
    13. Mufti Johor, Rahim Yunus
    14. Menteri Besar Johor, Haji Hassan Yunus
    15. Haji Ibrahim Bongek, Rembau
    16. Muhammad (dikenali Mat Kudung atau Mat Tubuh. 
    Menurut cerita Hajjah Rahmah, Mat Kudung antara murid kesayangan Tok Kenali. Jika tiada Mat Kudung dalam kuliah pengajiannya, Gurunya tidak akan memulakan pengajian)
    17. Tok Lebai Yaakob Legor
    18. Haji Othman Sering
    19. Daud bin Umar Limbat
    20. Abdul Kadir Adabi (Sasterawan)

HARI KEWAFATAN

Setiap yang bernyawa pasti mati, begitulah juga susuk tubuh ulama ini. Taqdir Allah pada sejak azali lagi telah menetapkan saat kematiannya pada jam 7 pagi Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M berusia 65 tahun (menurut riwayat Syeikh Wan Mohd Shaghir). Tapi ada berpendapat Rabu tanggal 11 Zulhijjah 1325 bersamaan 14 Januari 1908. Jenazah Almarhum dikuburkan di Kubang Kerian, Kelantan.

WALLAHUA’LAM BISSOWAB.

Artikel kiriman Amir Ashraf untuk The Patriots.

RUJUKAN:

1. Tok Kenali Ulama Peringkat Wali, terbitan Khazanah Fathaniyah, 2018.
2. Manaqib Tok Kenali (page FB Pusat Pengajian Islam Tok Kenali)
3. Kertas Kerja Ustaz Abdul Halim Mohamed (Majlis Memperingati Tokoh Ulama Nusantara -Haul- Tok Kenali)
4. Cerita lisan cucu Tok Kenali, Hajjah Rahmah binti Ahmad bin Tok Kenali
5. Cerita lisan cicit Tok Kenali, Ustaz Hafiz Hukmi bin Wardi bin Ahmad bin Tok Kenali
6. Cerita lisan Ustaz Abdul Halim Mohamed (Khazanah Fathaniyah)
7. Cerita lisan Ustaz Abdulllah Al-Qari (Pengkaji Sejarah Kelantan)
8. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1002&pub+=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&fbclid=IwAR3yJrqxtT7VZVFs2j_gY1aVTf7EMTTd3yONqVui54UPLwjetIBTlG-c2fA
9. http://daurahharamain.com/2018/03/02/sheikh-wan-ahmad-al-fathani-ulama-mekah/?fbclid=IwAR11hcAfo_W8hN7RxS1U4N1TaDRytHqayvfQ2dMm5GjHTepENlNkw7IRgP0