Sedikit Perihal Emas Hitam – Minyak

851

Dalam jangka masa 69 tahun iaitu tahun 1950 hingga 2019, jumlah pengeluaran minyak mentah di peringkat global adalah sebanyak 1.457 Trilion tong (barrel) atau 231.644 Trilion liter menurut data dari oilprice.com. Sebagai info, satu tong minyak memiliki kapasiti sebanyak 158.987 liter.

Dengan saiz pasaran minyak global bernilai $2.184 Trilion USD pada tahun 2018, maka tidak hairanlah komoditi utama dunia ini pernah digelar sebagai ‘the black gold’.

Pada tahun 2019 sahaja, dunia merekodkan kadar pengeluaran minyak sebanyak 100.69 juta tong sehari atau 36.75 bilion tong setahun. Angka ini menurun sedikit berbanding tahun 2018 iaitu 36.79 bilion tong menurut data dari Energy Information Agency (EIA) milik kerajaan Amerika Syarikat.

Daripada 100.69 juta tong, 19% atau 19.51 juta tong dihasilkan oleh Amerika Syarikat selaku negara pengeluar terbesar minyak tahun 2019. Diikuti Arab Saudi (11.81 juta), Russia (11.49 juta), Kanada (5.50 juta) dan China (4.89 juta). Dalam pada itu, Malaysia berada pada kedudukan ke-27 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 0.651 juta tong sehari.

Selain negara pengeluar minyak utama dunia (top oil production), kita juga perlu tahu tentang negara pengguna minyak utama (top oil consumption). Menurut EIA, Amerika Syarikat merupakan negara pengguna minyak tertinggi dunia dengan peratusan sebanyak 20% atau 19.96 juta tong sehari.

China berada di kedudukan kedua dengan jumlah penggunaan domestik sebanyak 13.57 juta tong sehari, diikuti India (4.34 juta), Jepun (3.92 juta), Russia (3.69 juta) dan Malaysia di tangga ke-25 (0.838 juta).

Secara asasnya, negara-negara pengeluar minyak terbahagi kepada dua kumpulan iaitu OPEC dan non-OPEC.

‘Organization of the Petroleum Exporting Countries’ (OPEC) adalah sebuah ‘intergovernmental organization’ persis ASEAN, yang ditubuhkan pada 14 September 1960. Setakat hari ini, OPEC dianggotai oleh 13 buah negara iaitu Arab Saudi, Iran, Iraq, Venezuela, Indonesia dan lain-lain.

Kesemua negara OPEC memiliki kapasiti pengeluaran minyak sebanyak 34.65 juta tong sehari, berbanding negara-negara non-OPEC (66.04 juta tong) termasuk Malaysia.
Dalam pada itu, terdapat lebih daripada 150 buah indeks penanda harga minyak mentah global yang digunapakai dalam penentuan harga jualan minyak di seluruh dunia. Hal ini demikian kerana, setiap minyak mentah memiliki kualiti yang berbeza.

Antara penanda aras harga utama yang digunapakai secara meluas adalah ‘Brent Crude’, ‘West Texas Intermediate Crude’ (WTI) dan ‘OPEC Basket’. Minyak keluaran Malaysia menggunakan indeks yang dikenali sebagai ‘Tapis Crude’.

Berdasarkan catatan harga terkini, harga jualan Brent Crude adalah $40.53 USD se tong. Diikuti WTI ($38.36 USD), OPEC Basket ($39.09 USD) dan Tapis Crude ($39.33 USD) menurut oilprice.com.

Pada tahun 2014, harga minyak global mengikut penanda harga ‘Brent Crude’ telah jatuh menjunam sehingga 44%, daripada $112 USD se tong pada bulan Jun turun kepada $62 USD se tong pada bulan Disember 2014.

Kejatuhan harga minyak telah menjejaskan pendapatan negara-negara pengeluar, termasuk Malaysia bila mana keuntungan syarikat Petronas mencatat penurunan sebanyak RM22.6 Bilion pada tahun 2014 seperti yang dilaporkan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan Petronas, George Ratilal.

Setelah itu, kadar harga minyak global kekal berada pada paras yang agak rendah atau ‘new norm’ iaitu sekitar $48.66 USD se tong pada tahun 2015, diikuti $43.29 (2016), $50.80 (2017), $65.23 (2018), $56.99 (2019) dan harga terkini $38.73 USD se tong setakat Oktober 2020 menurut data dari macrotrends.net.

Mujur, Petronas selaku syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan hasil petroleum milik rakyat Malaysia masih mampu bertahan walaupun mereka berhadapan dengan cabaran harga minyak global yang rendah.

Jika kita rujuk laporan kewangan, kadar keuntungan bersih selepas cukai yang dicatatkan oleh Petronas pada tahun 2019 adalah sebanyak RM40.47 Bilion berbanding RM55.31 Bilion bagi tahun 2018.

Walaubagaimanapun, Petronas dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM21 Bilion pada suku kedua tahun 2020 ekoran dari penularan Covid-19. Kerugian ini amat kontra berbanding tahun sebelumnya, yang mana Petronas mencatatkan keuntungan sebanyak RM14.7 Bilion pada suku kedua tahun 2019.

Ini memberikan petanda bahawa keuntungan bersih Petronas pada tahun ini bakal berada pada tahap yang agak rendah.

Namun begitu, Petronas sekali lagi berjaya membawa nama Malaysia ke persada dunia setelah dinobatkan sebagai syarikat ke-186 terbaik dunia menurut Fortune Global 2020.
Menurut data dari investopedia.com, China Petroleum & Chemical Corporation (Sinopec) mengungguli carta 10 Syarikat berasaskan ‘Oil & Gas’ terbesar dunia dengan pendapatan sebanyak $355.8 Bilion USD pada tahun 2019.

Diikuti PetroChina ($320.0 Bilion), Saudi Aramco ($286.9 Bilion), Shell ($263.1 Bilion), British Petroleum ($230.7 Bilion) dan Exxon Mobil ($213.9 Bilion). Petronas berada pada kedudukan ke-45 pada tahun 2018.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.