Suka makan pizza? Pizza apa pilihan anda? Pernah terfikir bagaimana pizza ini terhasil? Atau, bilakah kali pertama pizza dihasilkan? Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, artikel ini akan membawa kita kembali ke ratusan tahun yang lalu bagi menyingkap sejarah dan rahsia di sebalik sekeping pizza. Mahu makan pizza? Baca dahulu artikel ini sehingga ke akhirnya.

Sejarah dan asal usul pizza

Ramai orang mampu untuk menghabiskan sekeping pizza dalam sekelip mata, namun, sejarah di sebalik sekeping pizza ini adalah panjang.  Kita akan lihat dahulu kepada asal usul perkataan pizza itu sendiri. Perkataan pizza merupakan perkataan berasal dari Itali (pittsa) yang bermaksud pai (pie), dan orang-orang Inggeris telah meminjam dan mempopularkannya pada sekitar tahun 1930-an.

Istilah pizza yang pertama telah direkodkan pada sekitar abad ke-10, di dalam manuskrip Latin dari kawasan Selatan Itali, iaitu di Bandar Gaeto di Lazio, bersempadan dengan Campania. Manuskrip ini telah menyatakan bahawa para penduduk yang mendiami kawasan tertentu harus memberikan duodecim pizze (12 pizza) kepada paderi di Gaeta pada setiap hari Krismas, dan 12 lagi pizza apabila menjelangnya hari Ahad Easter.

Sejarah menunjukkan bahawa kewujudan roti seumpama pizza ini telah mula dikesan sejak zaman Neolitik lagi. Bentuk pertama makanan yang menyerupai pizza ditemui di Aeneid, apabila Celaeno, iaitu permaisuri Harpies, membuat ramalan bahawa askar-askar Trojan tidak akan menemui keamanan atau kedamaian sehinggalah mereka mengalami keadaan kelaparan sehingga terpaksa untuk memakan ‘meja’ mereka (Buku III).

Di dalam Buku VII pula, Aeneas dan pengikutnya telah dihidangkan dengan satu juadah  yang terdiri daripada kek bulat (seperti roti pita) dan dihiasi dengan sayur-sayuran. Dan, apabila mereka menjamah hidangan roti tersebut, barulah mereka menyedari bahawa itu adalah makanan seumpama ‘meja’ seperti yang diramalkan oleh Celaeno.

Berdasarkan sejarah juga, flat bread dengan pelbagai jenis hiasan/inti (topping) telah mula dihasilkan dan dimakan oleh masyarakat Mesir, Roman dan Greek purba. Pada waktu, versi flat bread yang dimakan oleh mereka adalah bersama dengan herba dan minyak, menyamai focaccia pada hari ini, iaitu sejenis roti klasik (flat bread) Itali yang mempunyai tekstur yang sama seperti doh pizza. Foccacia ini juga dianggap sebagai pelopor kepada pizza, yang mana dalam kalangan masyarakat Roman ia turut dikenali sebagai panis focacius, iaitu flat bread yang mempunyai pelbagai topping di atasnya.

Rupa bentuk pizza moden sebenarnya telah berevolusi daripada flat bread di Naples, Itali pada sekitar abad ke-18 atau awal abad ke-19 Masehi. Sebelum itu, flat bread biasa yang dihasilkan sering dihiasi dengan topping daripada bahan-bahan seperti bawang putih, garam, lemak khinzir, keju dan basil.  Namun, ia masih menjadi perdebatan hingga kini dan tidak dapat dipastikan bilakah tomato mula-mula dijadikan bahan asas dalam pizza seperti mana pizza yang kita lihat pada hari ini. Sehingga tahun 1830, pizza telah dijual di gerai-gerai terbuka dan di luar daripada kedai-kedai roti yang biasa di Itali.

Pizza telah dibawa ke Amerika Syarikat oleh para pendatang Itali pada akhir abad ke-19, dan muncul pertama kalinya di kawasan-kawasan yang didiami oleh para pendatang Itali. Pizzeria (kedai pizza) pertama di Amerika, Lombardi’s telah dibuka pada tahun 1905. Selepas Perang Dunia Kedua, para veteran yang kembali daripada Italian Campaign, yang telah diperkenalkan kepada hidangan asli Itali telah membuktikan bahawa wujudnya potensi besar bagi pasaran pizza di negara tersebut.

Kisah di sebalik Pizza Margherita

Kisah lagenda yang paling popular dalam sejarah pembuatan pizza ini adalah pada tahun 1889, di mana Royal Palace of Capodimonte telah mengarahkan seorang pizzaiolo (pembuat pizza) yang bernama  Raffaele Esposito untuk menghasilkan sekeping pizza bagi menghargai kedatangan Permaisuri Margherita. Dalam salah satu daripada tiga jenis pizza yang dihasilkannya, Permaisuri telah memilih pizza yang dihiasi dengan tiga warna utama bendera Itali, iaitu merah (dicirikan oleh tomato), hijau (daun basil) dan putih (keju mozzarella).

Pizza ini akhirnya telah dinamakan bersempena dengan nama Permaisuri berkenaan, dan dikenali hingga kini sebagai Pizza Margherita. Meskipun kajian seterusnya tidak begitu yakin dengan kisah lagenda di sebalik penghasilan pizza margherita ini, namun ia tetap diterima ramai sebagai satu simbolik dalam pembuatan pizza. Malah, sepucuk surat penghargaan rasmi daripada ‘ketua pegawai’ bagi permaisuri dipamerkan di ruang dalam kedai Esposito, yang kini dikenali sebagai Pizzeria Brandi.

Jenis-Jenis Pizza

Di negara asal di mana lahirnya pizza ini, iaitu Itali, pizza yang paling terkenal sudah pastilah pizza Neapolitan asli (pizza napoletana) yang dihasilkan daripada tomato San Marzano, yang tumbuh di kawasan gunung berapi di bahagian selatan Gunung Vesuvius, dan keju mozzarella yang dihasilkan daripada susu lembu yang diternak di kawasan Campania dan Lazio. Malah, keju mozzarella ini telah dilindungi oleh cap asal usul Eropahnya yang tersendiri.

Satu lagi pizza tradisional Itali yang terkenal ialah pizza alla marinara, yang dihiasi di atasnya dengan sos marinara. Pizza capricciosa pula adalah antara pizza asli yang dihiasi dengan tomato, dan disediakan dengan bahan-bahan lain seperti keju mozzarella, ham yang dibakar, cendawan, tomato dan artichoke.

Di Amerika Syarikat pula, selepas orang-orang Itali membawa masuk pizza ke dalam negara ini, hidangan pizza telah mula mengalami evolusi dan berubah mengikut citarasa tempatan. Bagi pizza di Amerika, topping yang biasa digunakan adalah terdiri daripada daging cincang, cendawan, bawang, pepperoni, bawang putih, zaitun, lobak merah, tomato, bayam, ikan bilis, ayam, bacon, ham dan sosej.

Malah, jenis-jenis pizza yang tersendiri juga telah mula dicipta menjelang abad ke-20, di bandar-bandar seperti California, Detroit, New Haven, New York, Chicago dan St. Louis. Bandar-bandar di Amerika ini telah mencipta gaya dan stail pizza mereka yang tersendiri, termasuklah deep-dish, pockets, turnover, rolled dan pizza-on-stick, dengan variasi topping daripada pelbagai jenis bahan.

Di Argentina pula, terutamanya di kawasan Buenos Aires, para pendatang Itali telah memasuki negara ini secara beramai-ramai pada sekitar abad ke-19. Kesannya, para pendatang Itali yang berasal dari kawasan Naples dan Genoa telah membuka bar-bar pizza yang pertama di situ. Meskipun, sejajar dengan peredaran waktu, orang-orang Spanish akhirnya telah memiliki dan menguasai majoriti daripada perniagaan pizza di negara tersebut.

Pizza Argentina mempunyai ciri yang agak berbeza berbanding pizza asli Itali, dengan bahagian kerak (crust) yang agak tebal, dipanggil sebagai ‘media masa’ (doh separa) dan mempunyai keju yang lebih banyak. Dalam tradisi Argentina, mereka akan menghidangkan pizza dengan fainá, iaitu doh chick pea-flour Genovese dan wain moscato.

Dua jenis pizza Argentina yang popular adalah pizza bersama bawang, iaitu fugazza dengan keju dan fugazetta. Fugazza adalah pizza biasa yang mempunyai topping keju bersama bawang, manakala fugazetta mempunyai keju antara dua bahagian kerak pizza dengan hiasan bawang pada bahagian atasnya.

Rekod pizza di dunia

Pada Disember 2012, bertempat di Rom, pizza terbesar di dunia telah disediakan dengan ukuran sebesar 1,261 meter persegi. Pizza ini yang dinamakan ‘Ottavia’ bagi memperingati Maharaja Roman yang pertama, iaitu Octavian Augustus, telah dihasilkan menggunakan asas doh yang bebas gluten. Pada tahun 2017 pula, pizza yang terpanjang di dunia telah dihasilkan di Fontana, California, dengan ukuran sepanjang 1,930.39 meter.

Bulan Pizza Kebangsaan adalah acara tahunan yang berlangsung pada bulan Oktober di Amerika Syarikat serta beberapa kawasan di Kanada. Acara ini sebenarnya telah bermula pada Oktober 1984, dan telah dicetuskan oleh Gerry Durnell, penerbit bagi majalah Pizza Today. Melalui sambutan bulan pizza ini, orang ramai akan menikmati pelbagai jenis pizza dan mengunjungi pelbagai pizzeria yang berada di seluruh negara.

Rangkaian kedai pizza

Dengan populariti pizza yang semakin melonjak, pelbagai rangkaian kedai pizza mula wujud. Antara yang terawal ialah Shakey’s Pizza, yang diwujudkan di Sacramento, California, Pizza Hut yang terhasil pada tahun 1958 di Wichita, Kansas dan Josey’s Pizza yang terhasil di Newnan, Georgia pada tahun 1943. Rangkaian-rangkaian restoran pizza yang wujud selepas itu, dengan konsep dine-in ialah Bertucci’s, Happy Joe’s, California Pizza Kitchen, Round Table Pizza, Domino’s dan Papa John’s Pizza.

Kesimpulan

Pizza adalah hidangan asli yang berasal dari Itali, namun seiiring dengan peredaran zaman, pizza juga turut berubah dan berevolusi sesuai dengan citarasa tempatan di mana ia dihasilkan. Seperti mana yang berlaku hari ini, hidangan pizza yang dihasilkan di setiap negara mempunyai ciri tempatan bagi menyesuaikannya dengan selera masyarakat di negara berkenaan. Namun, masih ramai juga yang menggemari rasa asli pizza Itali, dengan doh asas yang lembut, kerak yang tidak terlalu tebal, sos tomato, taburan keju, basil dan minyak zaitun. Apa pilihan pizza anda hari ini?

RUJUKAN:

Nowak, Zachary. 2014. “Folklore, Fakelore, History: Invented Tradition and The Origins of The Pizza Margherita.” Food, Culture & Society. 17 (1): 103–24.

Ovadia, David. 2008. A History of Pizza. Bubbles in Food 2: Novelty, Health and Luxury. USA: AACC International, Inc.

Turim, G. 2012. “Who Invented Pizza?” A&E Television Networks. 2012. https://www.history.com/news/a-slice-of-history-pizza-through-the-ages.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.