Seberapa Tepatkah Sejarah Dalam Siri Ertugrul?

995

Siri drama Turki Dirilis: Ertugrul (Resurrection: Ertugrul) yang telah menamatkan musimnya telah menjadi satu fenomena panas di seluruh dunia dan ia melahirkan jutaan peminat dari seluruh dunia samada mereka penonton Muslim mahupun tidak, ia memiliki aura tersendiri.

Bahkan, siri sekuel untuk drama Turki ini iaitu Kurulus: Osman, masih belum mampu memecahkan populariti Dirilis: Ertugrul. Penulis sendiri pun hanya mampu tonton separuh jalan saja, mungkin faktor pelakon utama.

Siri ini telah digambarkan oleh para peminatnya sebagai ‘The Game of Thrones’ versi Muslim Turki. Tetapi pesona sebenar siri ini sebenarnya berakar dari latar belakang bersejarah negara dan bangsa Turki.

Sekiranya anda menonton siri ini, maka anda mungkin tertanya-tanya, “adakah kisah Ertugrul ini digambarkan tepat sebagaimana catatan sejarah yang asli?”

ZAMAN BILAKAH ERTUGTUL HIDUP?

Sesungguhnya, sebelum tertubuhnya Empayar Uthmaniyyah di Anatolia, bangsa Turki berpecah kepada beberapa suku-suku yang datang dari pelbagai cabang utama. Ini kerana kebangkitan Empayar Mongol telah memusnahkan kerajaan Khilafah Abbasiyah di kota Baghdad.

Maka ramai bangsa Turki yang berasal dari pelbagai tempat menjadi pelarian, suku-suku Turki dari cabang keturunan Oghuz Khan melarikan diri meninggalkan tanah mereka di Khorasan.

Di antara suku-suku Oghuz Turk ini adalah suku Kayi, yang dipimpin oleh Suleiman Shah, bapa kepada Ertugrul, mer*ngkap protagonis dalam siri ini. Ertugrul juga adalah bapa kepada Osman.

Dan seperti yang kita semua ketahui, Osman adalah pengasas Empayar Uthmaniyyah, namun Ertugrul merupakan ‘pioneer’ kepada perjuangan bangsa Turki menubuhkan negara mereka yang merdeka ini selepas Empayar Seljuk dan Kesultanan Rum semakin lemah.

Justeru, ini menjadikan latar zaman dalam siri Dirilis: Ertugrul adalah pada sekitar abad ke-13, memandangkan Ertugrul dianggarkan mangkat pada tahun 1280 dan Empayar Uthmaniyyah mula memerintah dari tahun 1299.

SEJAUH MANA KESETIAAN ERTUGRUL YANG SEBENAR?

Anda tidak akan menemui catatan sejarah sebenar mengenai kehidupan Ertugrul yang banyak. Sebilangan besar maklumat yang diketahui mengenai Ertugrul hanyalah diterima secara lisan iaitu melalui kisah-kisah rakyat dan cerita-cerita mitologi. Tetapi mari kita teliti apa yang mungkin benar seperti digambarkan dalam siri televisyen itu.

Menurut pelakon utama siri ini, Engin Altan Duzyaten, sumber sejarah yang ada pada penerbitan mereka hanyalah nota sekitar 7 halaman. Ya, mereka tahu Ertugrul itu tokoh yang pernah wujud dan bahawa dia adalah pahlawan sebenar.

Namun yang menjadi persoalan hanyalah ketepatan jalan cerita dari siri tv dengan sumber sejarah asli. Namun bagi Altan, sumber yang terhad bukanlah halangan.

Ertugrul merupakan bapa kepada pengasas Empayar Uthmaniyyah dengan gelaran sebagai Ghazi, yang merupakan gelaran untuk pejuang dan pahlawan yang biasa digunakan orang Turki bagi memberi penghormatan atas jasa mereka yang berjuang demi kepentingan umat Islam.

Benar, dia adalah ketua atau “bey” untuk suku Kayi dari cabang Oghuz Turk dan berper*ng melawan pasukan Byzantium pada masa itu, Ertugrul memimpin suku Kayi semasa menetap di Sogut sebelum anaknya Osman mendirikan pentadbiran beylik sendiri. Walaupun begitu, banyak ‘adegan aksi’ dalam siri televisyen ini mungkin sebenarnya tidak pernah berlaku.

PENGLIBATAN DALAM POLITIK SELJUK

Seljuk adalah sebuah Empayar Muslim Sunni berbangsa Turki-Parsi yang mer*ngkumi sebahagian besar Asia Tengah semenjak abad ke-11. Pada zaman kebangkitan Ertugrul, Seljuk sedang melakukan kemaraan ke Empayar Byzantine.

Atas usahanya dalam memer*ngi Empayar Byzantium, Ertugrul dikurniakan satu tanah di Ankara (hari ini). Dia kemudian menakl*k wilayah di sekitarnya dan menduduki pekan Sögüt. Sögüt menjadi ibu kota Empayar Uthmaniyyah semasa diasaskan di bawah Osman Ghazi.

Ertugrul bukan satu-satunya watak berdasarkan sejarah kerana para pelakonnya mer*ngkumi beberapa tokoh penting pada masa itu.

Contohnya Dundar Bey. Sejarah telah mengenangkan dirinya sebagai seorang pemimpin suku yang lemah, pengecut yang melakukan banyak kesalahan, malahan dosa dia terbesar adalah dengan mengkhianati Osman selaku anak saudaranya sendiri yang bangkit mahu membina pemerintahan sendiri.

Turgut Alp merupakan salah seorang sahabat Ertugrul yang baik. Dia juga seorang Ghazi dan hidup lebih lama daripada Ertugrul sejauh 35 tahun! Dia terkenal dengan senjata kapak nya yang tajam dan terus menjadi salah seorang pembantu yang terbaik untuk Osman.

Bamsi Beyrek dan Deli Demir merupakan antara watak yang agak komedi dan garang, kedua-duanya merupakan watakvyang diilhamkan dari kisah-kisah pahlawan legenda mitos Turki. Walau bagaimanapun, mereka tiada kaitan dengan Ertugrul dalam sejarah sebenar.

Jadi ringkasnya, kebanyakan watak dalam rancangan itu berdasarkan watak sebenar.  Tetapi sebahagian besar kehidupan mereka disajikan secara artistik atau berdasarkan tradisi atau cerita rakyat.

Sebahagian besarnya, set kostum yang dipakai pelakon-pelakon dalam siri ini memerlukan rekaan yang lebih kreatif.  Walaupun reka bentuk kostumnya sungguh menakjubkan, pakaian tradisi Turki pra-Uthmaniyyah adalah berbeza.

Tahukah anda? Pakaian masyarakat pra-Uthmaniyyah adalah sangat berwarna warni. Warna menentukan mereka dari pasukan mana. Iajuga digunakan untuk membezakan pihak sekutu dengan musuh di medan per*ng.

SEJAUH MANAKAH KETEPATAN KONFLIK POLITIK MEREKA

Dalam kebanyakan filem per*ng di seluruh dunia, biasanya umat Islam dilabel dengan gelaran penzalim, pengganas atau penjahat. Isu itu berada tidak jauh dari kebenaran.

Ertugrul berperanan dengan baik dalam membaiki persepsi dan memberi sinar positif kepada masyarakat Islam pada masa itu. Episod demi episod memberi penonton pelajaran rohani dan moral, yang berakar pada kepercayaan Islam, namun set penggambaran tidaklah Islamik seperti yang peminat sangkakan.

Namun dakwah tetap berjaya disampaikan dalam siri ini, kita boleh menyaksikannya melalui babak-babak tertentu seperti ketika para ulama, imam mahupun pemimpin sufi memberi nasihat kepada watak-watak lain, dengan memetik baris ayat dari hadis dan surah dari Al-Quran.

Namun apabila watak lain bertindak mengikut kehendak dan idea pengarah mereka sendiri, ia menyebabkan siri ini adakalanya tidak sesuai untuk rakyat Malaysia Muslim yang bermazhab Shafie.

‘Pengkhianat’ adalah kekuatan yang sangat umum pada kepentingan politik zaman itu bagi melahirkan watak antagonis berdasarkan sejarah.

Emir Sa’d al-Din Köpek adalah watak dari tokoh bersejarah selaku perdana menteri Seljuk yang melaksanakan tindakan atas nama Sultan, tetapi akhirnya bertindak demi kepentingan diri sendiri.

Dalam siri ini beliau digambarkan sebagai m*ti dibun*h oleh Ertugrul walaupun pada hakikatnya dalam catatan sejarah, dia dibun*h oleh Emir Husamuddin Karaca atas restu Sultan.

Jelas, banyak konflik yang dihasilkan secara fiktif dan artistik untuk mendapatkan jalan cerita yang lebih baik. Oleh itu, beberapa babak dan konflik politik yang dipaparkan dalam siri ini kebanyakannya tidak pernah berlaku.

Tetapi intinya adalah perjuangan mereka sendiri sebagai bangsa Turki, adakah mereka benar berjuang atas nama Islam? Perkara ini masih menjadi perbahasan kerana terdapat teori yang mengatakan bahawa sebelum Uthmaniyyah tertubuh, Ertugrul Ghazi bukanlah seorang Muslim.

Namun jika dilihat dari sudut positif, perbahasan teori adalah bagus, kerana ia secara tidak langsung telah membina satu garis masa sejarah untuk seorang tokoh besar tetapi kekurangan sumber bertulis seperti Ertugrul.

Percayalah, jika siri televisyen ini diarah mengikut fakta sejarah sebenar secara bulat-bulat tanpa watak sampingan fiksyen, nescaya jangka masa tayangan setiap episod akan lebih pendek dan membosankan.

Tidak banyak maklumat sahih yang diketahui mengenai Ertuğrul, maka walaupun pengarah siri itu (Mehmet Bozdag) berhasrat untuk mengikut 100% ketepatan dari segi sejarah, tidak ada sumber yang benar-benar berdasarkan ketepatan sejarah asli.

Mereka benar-benar hanya memiliki 7 helai halaman sejarah dari pelbagai sumber walaupun Profesor Ahmet Şimşirgil telah menghasilkan satu siri karya dalam bahasa Turki mengenai Uthmaniyyah, suku Kayi dan Ertugrul.

Akar kepada masalah ini hanyalah kerana watak Ertugrul Ghazi seorang saja. Yang lain-lain tiada masalah, Turki mempunyai arkib sejarah yang mencukupi untuk kita belajar mengenai asal usul suku Kayi, kebangkitan Osman, kejatuhan Uthmaniyyah hinggalah kemerdekaan Republik Turki.

Namun mereka tiada sumber lengkap mengenai Ertugrul, yang ada hanya sekeping syiling zaman Osman, makamnya di Sogut dan kisah-kisah rakyat.

SIAPA ERTUGRUL?

Ertuğrul Bey adalah bapa kepada Osman Bey yang mengasaskan Dinasti Osman yang kemudian dikenali sebagai Empayar/Kesultanan/Kekhalifahan Uthmaniyyah.

Dia lebih muda daripada dua orang abangnya iaitu Gündoğdu Bey dan Sungurtekin Bey, dan mereka semua lebih tua daripada adik bongsu mereka mer*ngkap antagonis ketika era penubuhan kerajaan Osman, iaitu Dundar Bey.

Ertuğrul dikatakan dilahirkan pada tahun 1188 di kota Ahlat dan meninggal di Söğüt pada tahun 1281 menjadikan usianya sekitar 93 tahun ketika dia meninggal dunia.

Naratif mitologi mengatakan bahawa bersama-sama dengan sebahagian kecil suku Kayi, Ertuğrul Ghazi bermigrasi dan membina penempatan hanya dengan 400 khemah didirikan pada mulanya ketika mara ke barat bersama adiknya Dündar Bey, dan akhirnya menetap di Söğüt di sempadan (barat) Seljuk Anatolia yang bersebelahan dengan kerajaan Byzantium dari Empayar Rom Timur.

Naratif ini juga disebut oleh sejarawan Cemal Kafadar dalam bukunya “Between Two Worlds: The Construction of Ottoman State” di Halaman 106.

Dia memetik dari karya Bayatlı Mahmud Oğlu Hasan yang memanggil Câmı Cem-Ayîn (dia menulis karya ini untuk Sultan Cem pada zaman Sultan Bayezid II), ia menyatakan bahawa setelah kem*tian ayah Ertugrul, dua saudara lelaki (Gundogdu & Sungurtekin) membawa suku itu ke arah timur sementara Ertugrul Bey dan Dundar Bey tiba di Anatolia.

Tahun-tahun terakhir kehidupan Ertugrul Ghazi dikatakan dihabiskan dengan tenang bersama puak sukunya hingga tua dan meninggal kerana sakit tua, maka dengan itu dia telah memindahkan tanggungjawabnya kepada anak-anaknya terutamanya Osman.

Makamnya bersama ahli keluarganya dan beberapa keturunan terdekat (termasuk Osman) kini terletak di Sogut, di Provinsi Bilecik, Turki moden.

Makamnya berkonsepkan pemakaman kehormat dan dibangunkan oleh Sultan Abdul Hamid II pada akhir abad ke-20. Beberapa makam lain juga merupakan makam kehormat untuk Osman Gazi, Turgut Alp dan Abdurrahman Gazi.

Berikut adalah beberapa fakta yang menyeleweng dari sejarah namun dipaparkan dalam beberapa babak atau watak siri Dirilis: Ertugrul.

  • Tidak ada catatan asli menyatakan suku Kayi pernah bertembung dan memer*ngi Empayar Mongol secara terbuka, suku Kayi lebih sinonim berkonflik dengan Byzantium.
  • Emir Sadettin Kopek sebenarnya tidak dibun*h oleh Ertugrul, tetapi dibun*h secara terancang oleh Husamuddin Karaca.
  • Baychu Noyan (komander Mongol) tidak ada kaitan dengan suku Kayi kerana tugasannya lebih tertumpu di utara Parsi.
  • Berke Khan tidak pernah bertemu dengan Ertugrul.
  • Watak Deli Demir dan Bamsi Bey diambil dari watak mitos karya Korkut Dede.
  • Isteri Ertugrul, Halime Hatun digambarkan telah meninggal dunia selepas melahirkan Osman di dalam Dirilis Ertugrul, namun dalam sejarah menyatakan, Ertugrul yang terlebih dahulu meninggal dunia sebelum Halime, perkara ini berlaku kerana pengarah drama ini (Mehmet Bozdag) menghadapi masalah dengan pelakon wanita yang melakonkan watak Halime, beliau terpaksa ‘mem*tikan’ watak Halime lebih awal dari yang sepatutnya.
  • Walaupun terdapat bukti yang menyatakan tokoh mistik Ibn Arabi pernah mengunjungi Sógut bertemu orang-orang Turk, namun tidak ada catatan menyatakan kaitan beliau dengan Ertugrul.

RUJUKAN:

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.