Sebenarnya 47 Ronin Wujud Dalam Sejarah

3,400

Samurai Jepun tidak dapat dinafikan lagi merupakan salah satu pahlawan terhebat dalam sejarah. Kod etika mereka diromantiskan dan dipopularkan pada penghujung abad ke-19 di dalam sebuah buku karangan Inazo Nitobe yang berjudul Bushido: The Soul of Japan.

Di dalam buku tersebut, Nitobe telah menggariskan lapan kuncil nilai Bushido (bermaksud ‘jalan pahlawan’) – keadilan, keberanian, belas kasihan, kesopanan, kejujuran dan keikhlasan, kehormatan, kesetiaan dan kawalan diri. Intipati Bushido dimanifestasikan dalam salah satu kisah paling masyhur tentang samurai – iaitu 47 Ronin.

Gambar Samurai Jepun dalam baju perisai, 1860

47 Ronin adalah sebuah kisal berkenaan insiden Genroku Ako, sebuah peristiwa bersejarah yang berlaku di Jepun pada awal abad ke-18. Kisah ini bermula pada tahun 1701M, ketika Maharaja Higashiyama menghantar perutusan diraja di singgahsananya, Kyoto ke istana shogun Tokugawa Tsunayoshi di Edo. 

Semasa kunjungan perutusan tersebut, dua orang daimyo muda (raja feudal Jepun), bernama Asano Naganori dari Ako dan Kamei Sama dari Tsumano sedang melaksanakan Sankin-kotai (sembah kehadiran) di kediaman shogun. Oleh kerana itu, dua orang daimyo tersebut diberikan tugasan untuk melindungi perutusan tersebut sepanjang mereka berada di Edo. Pegawai yang ditugaskan untuk melatih Asano dan Kaimei dalam etika istana adalah ketua pegawai protocol, Kira Yoshinaka.

Kira digambarkan sebagai seorang pegawai yang tamak dan korup, sering meminta rasuah daripada dua orang daimyo tersebut. Namun, Asano dan Kamei enggan memberikannya sekaligus menyebabkan mereka dilayan dengan buruk oleh Kira. Sehingga suatu saat, Kamei tidak dapat lagi bertahan dengan penghinaan yang dilakukan oleh Kira dan cuba untuk membunuhnya. Walau bagaimanapun, kejadian tersebut dapat dielakkan apabila para pengawal Kamei secara rahsia merasuah Kira dengan sejumlah wang yang besar. Sebagai balasam, Kamei diperlakukan dengan baik oleh Kira sambil Asano terus dilayan dengan buruk.

Kesabaran Asano tidak dapat bertahan lagi apabila Kira menghinanya dengan memanggil beliau sebagai seorang ‘budak bajingan yang kurang ajar’ di Istana Edo. Asano pun lantas menghunus wakizashi (pedang pendek) miliknya dan menyerang kepala Kira sebelum perbuatannya itu dihentikan oleh para pengawal Shogun. Walaupun Kira hanya mengalami luka ringan, menghunus pedang dalam kawasan Istana Edo dan mencederakan seorang pegawai Keshogunan merupakan satu kesalahan yang berat.

Sebagai hukuman, Asano diarahkan untuk melakukan seppuku (ritual pembunuhan diri) sementara seluruh ahli keluarganya dimalukan, istananya dirampas dan pengawal-pengawal samurai bawahannya dibubarkan sekaligus menjadikan mereka sebagai ronin (samurai tidak bertuan).

Tangkap layar samurai Ronin dari filem Universal Picture ’47 Ronin’

Ketua bagi seluruh orang bawahan Asano merupakan seorang samurai yang bernama Oishi Kuranosuke. Beliau berazam untuk menuntut bela atas kematian tuan mereka walaupun jelas sekali tindakan tersebut melanggar undang-undang. Untuk mencapai matlamatnya itu, beliau secara rahsia membentuk sebuah kumpulan yang terdiri daripada 47 orang ronin setia yang telah bersumpah untuk membunuh Kira walau apa pun yang terjadi. 

Memandangkan Kira memperkuatkan pertahanan kediamannya dan meningkatkan jumlah pengawalnya kerana takut bekas-bekas samurai bawahan Asano akan membalas dendam, maka 47 orang ronin tersebut terpaksa menangguhkan pergerakan mereka buat seketika. Seiring peredaran masa, Kira pun melonggarkan pertahanannya rentetan tiada sebarang cubaan utnuk membunuhnya sekaligus beliau beranggapan bahawaronin-ronin tersebut tidak lagi berhasrat untuk membunuhnya.

Oishi Kuranosuke, ketua 47 Ronin

Akhirnya, pada tanggal 14 Disember 1702M, kesemua ronin tersebut berkumpul di Honjo yang berlokasi berhampiran Edo dan bersiap-sedia untuk melancarkan serangan. Salah seorang daripada mereka diutus ke Ako sebelum serangan dilakukan bagi tujuan menyampaikan rancangan mereka itu kepada mereka. Kemudian, ronin-ronin tersebut membentuk dua buah pasukan di mana pasukan yang pertama dirancang akan menyelinap ke dalam kediaman Kira dari arah belakang manakala pasukan kedua akan menyerang dari hadapan.

Walaupun ramai pengawal Kira terbunuh ataupun tercedera, mereka masih mampu memberikan tentangan yang kuat dan bahkan berjaya membunuh salah seorang ronin tersebut. Tetapi, semangat tersebut tidak dimiliki oleh Kira dan beliau hanya menyembunyikan diri. Setelah satu jam melakukan pencarian, ronin-ronin itu berhasil menemukan Kira dan menawarkan kepadanya supaya melakukan seppuku dan mati secara terhormat. Namun, Kira dikatakan terlalu bersikap pengecut untuk melakukan ritual sebegitu lantas beliau dipancung oleh Oishi.

Ronin sedang menyerang kediaman Akira, lukisan oleh Hokusai

Selepas membawa kepala Kira ke makam Asano yang terletak di Kuil Sengaku-ji dan mempersembahkannya kepada tuan mereka, kesemua ronin yang masih terselamat itu menyerah diri kepada pihak berkuasa. Mereka kemudiannya diarahkan supaya melakukan seppuku dan jasad mereka dikebumikan berhampiran makam Asano di Kuil Sengaku-ji.

Nama baik para ronin ini diabadikan dalam lipatan sejarah Jepun dan merentas masa, makam mereka menjadi tempat kunjungan yang popular. 47 orang ronin ini juga terus dikenang menerusi budaya pop dan berkurun-kurun lamanya kisah mereka diadaptasikan ke dalam pelbagai media seperti kabuki (drama tarian Jepun), bunraku (wayang boneka Jepun), buku, televisyen serta filem dan yang terkini, filem aksi Hollywood berjudul ’47 Ronin’.

Artikel ditulis oleh A.D. Alexander.

SUMBER:


DHWTY. (17 Mar 2015). 47 Ronin: The Samurai Warriors that Sought to Avenge the Death of their Master. Ancient Origins. 
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/47-ronin-samurai-warriors-sought-avenge-death-their-master-002781

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.