Moving Forward As One

Sebelum PBB, Dunia Ada “League Of Nation”

1,003

PayLater by Grab

Sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada 24 Oktober 1945, masyarakat dunia pernah dipimpin oleh sebuah Pertubuhan Antarabangsa yang dikenali sebagai Liga Bangsa atau ‘League of Nations’ (LoN), selama lebih 25 tahun.

Menurut rekod sejarah, ‘League of Nations’ telah diasaskan pada 10 Januari 1920 sejurus selepas tamatnya era Pe-rang Dunia Pertama (WW1), yang berlangsung lebih daripada empat tahun, iaitu pada 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918.

Semuanya bermula seawal bulan Januari tahun 1918 lagi, menerusi ucapan yang disampaikan oleh Presiden Amerika Syarikat ke-28, iaitu Presiden Woodrow Wilson yang telah memuatkan idea-idea keamanannya di dalam kerangka ucapan 14 perkara (Fourteen Points).

Menjelang bulan Disember tahun 1918, idea yang dikemukakan Wilson kemudiannya diterjemahkan kepada suatu bentuk perjanjian atau ‘treaty’ di peringkat antarabangsa, yang dikenali sebagai ‘The Treaty of Versailles’. Perjanjian ini ditandatangani pada 28 Jun 1919, sewaktu Persidangan Keamanan Paris (Paris Peace Conference).

Namun begitu, idea Wilson tidak diterima oleh sebahagian besar ahli-ahli politik Amerika Syarikat yang mewakili suara rakyatnya. Wilson hanya sempat menjadi ‘arkitek’ yang membantu penubuhan LoN, tanpa keberadaan negaranya sendiri sebagai salah sebuah negara anggota LoN yang utama.

Ketiadaan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat tidak menghalang negara-negara ‘pemenang’ WW1 yang lain, yang berpusat di Benua Eropah seperti British, Perancis, Itali, dan Belgium, untuk meneruskan agenda ‘New World Order’ (bukan teori konspirasi) pasca WW1.

Mereka ingin membentuk satu orde dunia yang baharu, mengikut acuan barat yang kononnya mampu mengelakkan tragedi maha dahsyat seperti WW1, yang telah mengorbankan jutaan nyawa manusia tak kira bangsa mahupun latar belakang.

Pada 10 Januari 1920, ‘League of Nations’ secara rasminya dimasyhurkan sebagai organisasi antarabangsa menerusi persetujuan bersama di dalam prinsip asas LoN yang diterjemahkan sebagai ‘The Covenant of the League of Nations’. Ibu pejabat LoN terletak di wilayah Geneva, Switzerland.

Walau bagaimanapun, LoN secara jelas gagal menjalankan peranannya dengan efektif. Hal ini dikatakan demikian kerana, organisasi ini tidak memiliki keseimbangan dari sudut ‘pemusatan’ kuasa, memandangkan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet tidak dapat ‘diikat’ secara rasmi.

Ketiadaan dua kuasa besar itu menjadikan LoN sebagai sebuah badan dunia yang tidak mampu berfungsi secara total dan adil, sehinggakan mereka gagal mengawal kebangkitan gerakan ‘Nazi’ pimpinan Adolf Hitler di Jerman, kerajaan ‘Fasis’ yang diketuai Benito Mussolini di Itali, serta Empayar Imperialis Jepun yang rakus ‘meratah’ bumi Asia Timur.

Kegagalan LoN telah membawa kepada tercetusnya Pe-rang Dunia Kedua (WW2), yang berlangsung pada 1 September 1939 hingga 2 September 1945. Pepe-rangan ini menandakan bahawa; LoN hanya gah pada namanya, tidak pada resolusi strategik yang mampu menjamin keamanan sejagat

Ruangan komen telah ditutup.