Sebab Orang Sukar Memaafkan Bekas Kekasih…

1,210

Bohonglah dalam mana-mana hubungan percintaan, pasti ada fasa pasang surut. Dan adakalanya, hubungan yang terjalin putus di tengah jalan akibat pelbagai faktor sama ada dalaman atau luaran. Ini menimbulkan persoalan mengapa seseorang itu sukar melupakan dan memaafkan si dia?

Bukan satu rahsia sesetengah pasangan agak sukar memaafkan atau melupakan si dia selepas memutuskan hubungan. Tetapi kerana cinta, ia terjalin kembali berlantaikan kemaafan dan peluang kedua sehingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin dan kebahagiaan hakiki. Dan di sebalik ia menjadi tema pelbagai rancangan hiburan, mengapa manusia cenderung mengulangi hubungan sama yang terputus?

Pakar neurologi dari Kinsey Institute, Helen Fisher mendedahkan apabila seseorang itu mengharungi fasa protes selepas memutuskan hubungan. Fasa ini menyaksikan orang yang ditolak atau diputuskan hubungan menjadi obses dalam memenangi hati bekas pasangan mereka.

Bagi menguji teori ini, sekumpulan saintis diketuai Fisher mengimbas otak 15 peserta yang baru saja kecewa kecundang dalam hubungan masing-masing menggunakan teknik pengimejan fungsi resonans (FMRI). Peserta kemudiannya diminta melihat imej bekas pasangan mereka (bekas kekasih, suami atau isteri).

Apabila mereka berbuat demikian, bahagian otak yang berkait dengan keuntungan dan kerugian, rindu dan kawalan emosi mula aktif bersama bahagian otak yang merujuk kepada perhubungan dan cinta. Fisher berkata, “Selepas ditolak, anda tidak akan berhenti mencintai si dia. Anda akan lebih mencintai si dia. Bahagian otak utama yang dikaitkan dengan ketagihan aktif.”

Pada ketika itu, peserta mengalami pertambahan tahap dopamin dan norepinefrina yang dikaitkan dengan pertambahan tahap stres dan keinginan memohon bantuan. Perkara ini dipanggil Fisher sebagai tarikan kekecewaan, punca yang mendorong sesetengah orang melakukan perkara dramatik untuk memenangi semula hati bekas pasangan mereka.

Selain aspek reaksi kimia dalam otak, kadangkala perkara ini turut didorong oleh faktor psikologi seperti merasakan tiada resolusi dalam konflik hubungan. Profesor Rene Dailey dari Universiti Texas melihat perkara ini boleh mendorong sesetengah pasangan mencuba sekali lagi.

Dailey berkata, “Pasangan mungkin mengalami banyak konflik semasa memutuskan hubungan tetapi masih merasakan ada cinta terhadap bekas pasangan. Jadi ia mungkin lebih menjurus kepada tidak berupaya mengurus atau menyelesaikan konflik perhubungan. Jika sebab hubungan diputuskan bersifat kabur, mereka merasakan sudah melakukan perubahan positif dan mahu mencuba sekali lagi.”

Satu lagi faktor ialah teori hubungan rapat. Menurut Dailey, teori hubungan rapat mencadangkan tingkah laku penjaga/ibu bapa terhadap kanak-kanak boleh mempengaruhi corak hubungan rapat mereka semasa dewasa sama ada selamat, bimbang atau mengelak terhadap orang dewasa lain:

  • Hubungan rapat selamat: komunikasi emosi yang sihat
  • Hubungan rapat bimbang: individu sentiasa meragui nilai diri mereka dan berusaha melakukan apa saja untuk mendapatkan hubungan rapat.
  • Hubungan rapat mengelak: sentiasa mengelak dari segi emosi dan bergantung kepada diri sendiri dengan mengelak sebarang bentuk hubungan.

Kadang-kadang, sesetengah orang melakukannya kerana didorong rasa nostalgia dan kesunyian. Profesor Kristen Mark dari Universiti Kentucky berpandangan perkara ini berlaku kerana didorong oleh kesunyian, merindui sisi positif sesebuah perhubungan dan kesedihan akibat hubungan yang terputus itu. Dan kadangkala, nostalgia hubungan silam ini timbul apabila hubungan terkini mengalami konflik.

Dan semua sedia maklum berikutan pandemik Covid-19, kesunyian itu semakin bertambah apabila semua orang perlu mematuhi perintah berkurung/PKP di negara masing-masing. Situasi ini mendorong sesetengah orang untuk cuba menjalin semula hubungan atas alasan mengelak merasa bersendirian.

Sebab yang sama ini juga kadang-kadang mendorong sesetengah orang terjebak dalam tabiat yang tidak sihat termasuk mengintai status bekas pasangan di laman media sosial. Dan silap haribulan, ia boleh saja menjadi pencetus kepada pertambahan kes jenayah.

Misalnya di United Kingdom, perkhidmatan sokongan intaian kebangsaaan Paladin melaporkan pertambahan aduan kes mengintai membabitkan telefon bimbit dan internet sebanyak 40%. Manakala di Malaysia, aktiviti intaian siber masih lagi tidak diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah sekaligus menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap si pelaku.

Jadi, apa cara bagi membolehkan seseorang memaafkan dan memberi peluang kedua kepada si dia? Jawapan Fisher mudah saja, mengelak segala bentuk hubungan dengan si dia untuk tempoh 90 hari, tempoh sama yang digunakan untuk merawat masalah ketagihan. Tambahnya, itu merupakan cara terbaik dan cepat dalam merawat hati yang terluka dan mengurangkan lebihan emosi daripada peristiwa berkenaan.

Pada masa sama, tanyalah kepada diri sendiri sama ada berbaloi atau tidak mencuba semula hubungan tersebut. Menurut ramai pakar, tiada jalan pintas yang membawa kepada penyatuan semula melainkan perbincangan hubungan yang jujur dan telus.

Bagi yang masih sukar kembali kepada bekas pasangan, ada hikmah di sebalik fasa protes ini. Menurut Fisher, selepas seseorang mengharungi fasa itu, barulah dia akan mengalami fasa pasrah dan akhirnya penerimaan, tiada perasaan dan pertumbuhan.

“Anda mengalami kesakitan dan kekecewaan melampau tetapi pada akhirnya, ada pemulihan. Anda tidak akan melupakan orang yang meninggalkan anda tetapi anda mara ke hadapan dan mencintai seseorang yang baru,” ujarnya.

RUJUKAN:

Lee, Chermaine. (2020). Why is it so hard to forgive an ex?. BBC Future. https://www.bbc.com/future/article/20200608-why-is-it-so-hard-to-forgive-an-ex

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.