“Orang yang luar biasa dalam sejarah adalah yang menciptakan pekerjaan yang besar-besar, baik pekerjaan yang sangat mulia mahupun pekerjaan yang menjadikannya terkenal itu sangat hina.”

“Dua puluh empat jam sehari semalam kita diberi modal untuk melakukan kewajipan dan alangkah banyaknya modal itu. Padahal terkadang setiap pekerjaan besar dapat dimulai dan diciptakan dalam beberapa minit saja. Berapa minit Soekarno-Hatta mengucapkan proklamasi?” – HAMKA

Sekitar seminggu yang lalu (18 Julai 2019), masyarakat sedunia terutama yang mengikuti rapat perkembangan animasi Jepun ribut akibat digemparkan dengan kejadian kebakaran-sabotaj yang menimpa Studio 1 Kyoto Animation – sebuah studio animasi yang telah mengeluarkan begitu banyak karya seni berkualiti tinggi dan dekat di hati para penontonnya.

Antara animasi yang dikeluarkan adalah The Melancholy of Haruhi Suzumiya, Clannad, K-On!, Free!, Violet Evergarden dan banyak lagi. Kebakaran yang dicetuskan oleh Aoba Shinji tersebut meragut nyawa seramai 34 orang seniman yang bersemadi bersama kesemua hasil-hasil karya mereka yang tersimpan di studio berkenaan.

Memutar kembali lembaran sejarah lebih 2000 tahun yang lalu, tepat di tanggal haribulan yang hampir serupa dengan tarikh kebakaran Studio 1 KyoAni, Asia Kecil digemparkan dengan musnahnya sebuah kuil yang dinobatkan sebagai salah sebuah dari tujuh keajaiban dunia purba, juga diakibatkan oleh kebakaran.

Tidak hanya berkongsi tarikh peristiwa dan bentuk kejadian yang hampir sama, motif pelaku bagi kedua-dua insiden ini turut sama-sama tidak masuk akal apatahlagi apabila melibatkan korban nyawa yang begitu ramai dan runtuhnya mercu peradaban bangsa.

HEROSTRATUS SI HEROSTRATIK

Pada tanggal 21 Julai 356SM, Herostratus, atau juga dieja sebagai Erostratus, individu yang entah bagaimana latar-belakangnya atau entah apa sejarah hidupnya, bertindak menyalakan api pada kayu-kayu alang di bumbung Kuil Artemis. Rentetan perbuatannya itu, dengan pantas Kuil Artemis yang didabik sebagai kuil pertama yang dibina sepenuhnya dengan marmar, hangus dijilat api.

Setelah itu, Herostratus boleh pula berbangga-bangga mewar-warkan dirinya sebagai individu yang bertanggungjawab atas kebakaran tersebut – semuanya ini semata-mata mahu supaya namanya dikenali dan hidup berpanjangan dalam lipatan sejarah, walaupun sebagai nama yang menerima celaan. Beberapa tempoh kemudian, beliau menyerah-diri atau ditangkap oleh pihak berkuasa dan dipenjarakan sebelum dijatuhi hukuman mati di khalayak ramai sebagai tanda amaran.

Tidak cukup begitu, badan autoriti kota Ephesus mengeluarkan arahan yang melarang sebarang penyebutan atau penulisan nama Herostratus kerana tidak mahu Herostratus mencapai matlamat di sebalik perbuatan dajalnya itu, iaitu meraih kemasyhuran. Pelanggaran arahan tersebut bakal dikenakan hukuman mati. Arahan sebegini sememangnya wajar atau kalau tidak, akan wujud manusia-manusia lain seperti Herostratus yang sewenang-wenangnya melakukan perbuatan ekstrem demi meraih nama.

Gambaran pada Zaman Pencerahan terhadap Kuil Artemis

Pun begitu, nama Herostratus tetap juga terselit dalam catatan beberapa orang sejarahwan purba. Antaranya Theopompus menerusi karyanya Hellenics, dan sejarahwan-sejarahwan lain seperti Strabo, Chaucer, Cervantes dan Sarte.

Malah di zaman moden, wujud istilah “Herostratic Fame”  atau “kemasyhuran Herostratik” yang membawa maksud kemasyhuran yang diraih oleh seseorang menerusi perlakuan jenayah atau sebarang tindakan memusnah.

Betapa ironinya, individu yang cuba disembunyikan namanya dari sejarah terus disebut-sebut dalam penulisan (termasuklah penulisan artikel ini) sementara Kuil Artemis (atau juga dikenali sebagai Artemesium) yang dihajatkan supaya dapat berdiri gah selama berkurun-kurun pula musnah dan hanya meninggalkan serpihan kecil khazanah buat tatapan generasi mendatang.

MENELUSURI KEHEBATAN KUIL ARTEMIS KEBANGGAAN WARGA KOTA EPHESUS

Kuil Artemis dibina di kota Ephesus, salah sebuah kota hebat di Mediterranean, berhampiran Selcuk, Turki moden. Binaan kuil yang asal pernah mengalami kerosakan pada abad ke-7SM akibat dibadai banjir. Lalu, kuil yang baru dibina pada sekitar 560SM menerusi tajaan seorang raja Lydia yang kaya-raya, bernama Raja Croesus. Selain bagi menggantikan binaan yang asal, kuil ini turut dibina sebagai dedikasi kepada Dewi Artemis – dewi pemburuan, kelahiran dan haiwan liar bagi masyarakat Yunani.

Croesus sebagaimana yang digambarkan pada amphora Greek bertarikh sekitar 500-490SM

Turut dikenali sebagai Artemesium, kuil ini diperbuat daripada marmar dan dianggap sebagai salah sebuah binaan paling cantik di dunia. Kerja-kerja pembinaannya diterajui oleh seorang artikek dari Crete yang bernama Chersiphron dan anaknya, Metagenes.

Artemesium tidak hanya dibanggakan kerana saiznya yang besar, iaitu kira-kira 337 kaki panjang dan 180 kaki lebar, malah menurut Pliny the Elder, binaan ini turut memiliki hasil ukiran seni yang menarik terutama pada 36 dari 127 buah tiangnya.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika Kuil Artemis dinamakan sebagai salah sebuah dari tujuh keajaiban dunia purba, sebaris dengan binaan-binaan lain seperti Patung Besar dari Rhodes, Rumah Api Iskandariah, Makam di Halicarnassus, Patung Zeus, Taman Tergantung Babylon dan Piramid Besar Giza.

Replika moden Kuil Artemis, di Miniaturk Park, Istanbul, Turki

Sesuai dengan kemasyhuran yang dimilikinya, Kuil Artemis sentiasa menerima kunjungan terutama daripada para pemuja Dewi Artemis. Saling tidak tumpah seperti jemaah-jemaah haji ke Mekah pada zaman jahiliyah, para pengunjung Kuil Artemis turut bertandang ke kota Ephesus dengan membawa berbagai barangan sebagai sembah-korban; wang, barang kemas, dan lain-lain lagi.

Setelah kuil ini mengalami kerosakan akibat kebakaran yang dicetuskan oleh malaun Herostratus pada tahun 356SM, ia menjalani pembinaan semula. Namun, Kuil Artemis sekali lagi dihancurkan oleh kaum Goth yang menyerang kota tersebut pada tahun 262M.

Kali ini, binaan agung tersebut tidak dapat lagi bangkit dan kembali berdiri. Apa yang ditinggalkannya untuk ditatap oleh generasi-generasi akan datang adalah sejumlah serpihan yang kini dipamerkan di Muzium British, London.

Keadaan tapak binaan Kuil Artemis pada hari ini

“HEROSTRATIK-KAH KITA?”

Merenungi sejarah kehancuran Kuil Artemis dan peristiwa kebakaran yang menimpa Studio 1 KyoAnime, binaan-binaan yang mengandungi nilai kesenian yang tiada galang-gantinya, berakibat dari kemahuan meraih kemasyhuran (nama baik) dan kepentingan peribadi tanpa mengambil kira harga-harga yang perlu dibayar, membuatkan saya bermuhasabah panjang terutama apabila mengenangkan tapak-tapak arkeologi dan tinggalan-tinggalan sejarah negara yang sebahagiannya tidak menerima nasib dan layanan yang baik. Membuatkan saya tertanya, “Herostratik-kah kita?”

RUJUKAN:

Ancient Pages. (6 Januari 2017). Herostratic Fame Relates to Herostratus Who Burned the Beautiful Temple of Artemis to Become Famous.
http://www.ancientpages.com/2017/01/06/herostratic-fame-relates-herostratus-burned-beautiful-temple-artemis-become-famous/

Ian Harvey. (25 April 2019). Man Burned Down the Famed Temple of Artemis Simply for Notoriety. The Vintagenews.
https://www.thevintagenews.com/2019/04/25/temple-of-artemis/

Justin & Stephanie Pollard. (7 Julai 2019). The Temple of Artemis burns. History Today.
https://www.historytoday.com/archive/months-past/temple-artemis-burns

Noah Tesch. (19 Julai 2019). Temple of Artemis. Encyclopedia Britannica.
https://www.britannica.com/topic/Temple-of-Artemis-temple-Ephesus-Turkey


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.