Islam masuk ke Semenanjung Iberia (Spain-Portugal) ketika pemerintahan Khalifah Bani Umayyah yang bernama al-Walid I bin Abdul Malik. Khalifah mengarahkan Tariq bin Ziyad selaku komander untuk mula masuk ke Iberia pada tahun 711. Maka wilayah ini dinamakan al-Andalus dalam wilayah-wilayah pemerintahan Bani Umayyah. Dikatakan Andalus bersempena nama kaum Vandal walaupun ianya dinafikan sebahagian pihak.

Pada tahun 750, Bani Abbasiyyah mengambil alih jawatan kekhalifahan dari Bani Umayyah. Maka saki baki keturunan Bani Umayyah iaitu Abdul Rahman ad-Dakhil I berundur ke al-Andalus lalu mendirikan Amiriyah Granada pada tahun 756. Kemudian, pada tahun 929, Abdul Rahman III menuntut jawatan Khalifah. Ketika itu umat Islam mempunyai Kekhalifahan Bani Abbasiyyah (yang sah) dan kekhalifahan Bani Umayyah II di al-Andalus (dakwaan) serta Fatimiyyah di Mesir (dakwaan). Pemerintahan di al-Andalus digelar Kekhalifahan Cordova. Ketika perebutan jawatan Khalifah ini, golongan politik Umayyah-Abasiyyah ini berseteru dengan amat dahsyat sekali.

Seterusnya, kekhalifahan Cordova tumbang lalu diganti dengan pemerintahan kerajaan Taifa I, Almoravid, Taifa II, Almohad dan akhir sekali kerajaan Granada dinasti Nasrid. Kerajaan Granada jatuh pada tahun 1492 apabila kerajaan pimpinan Raja Muhammad XII diserang oleh Ratu Isabella dari Castille dan Raja Ferdinand dari Aragon. Kerajaan-kerajaan Katolik Kristian seperti Leon, Castille, Aragon, Catalan, Galicia dan Navarre/Basque mula meruntuhkan penguasaan Islam di Iberia dari arah utara turun ke selatan.

Kerajaan Kristian ini mula melawan kerajaan Islam di Iberia memandangkan laluan perdagangan di laut Mediteranean dikuasai penuh oleh umat Islam apabila Turki Uthmaniyyah pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh menawan Konstantinopel pada tahun 1453.

Seterusnya, kerajaan Castille mula melebarkan kekuasaannya melenyapkan pengaruh kerajaan-kerajaan Kristian yang lain hingga terbentuk Sepanyol seperti pada hari ini. Kerajaan Castille lebih dominan kuasanya di Sepanyol berbanding kerajaan lain. Ratu Isabella ini jugalah yang mengarahkan Christopher Columbus agar berlayar mencari laluan perdagangan baharu ke Asia namun sebaliknya dia menuju ke benua Amerika lalu bertemu dengan suku Red Indian.

Namun, misi untuk menuju ke Asia tetap diperjuangkan oleh kerajaan-kerajaan Kristian tersebut. Tatkala Sepanyol sibuk menjarah wilayah Barat jauh iaitu benua Amerika, Portugis pula berusaha menuju ke Asia jauh. Sebagai contoh, kisah Alfonso de Albuquerque seorang laksamana Portugis yang mula menakluk Melaka pada 1511.

Mari kita lihat nama kota-kota yang terdapat di Sepanyol-Portugal ketika zaman pemerintahan Islam.

* Alburquerque (Abu al-Qurq)
Nama latinnya adalah Alba Querques yang bermaksud pohon Oak.

*Asturias (Ashturish)

* Lisbon (al-Ishbunah)

* Sevilla (Ashbiliyah)
– Dahulunya sebuah kota besar sebagai pusat keilmuan dan perdagangan sama seperti hari ini.

* Barcelona (Barshalunah)

* Valencia (Balansiyah)

* Santiago (Santa Yaakub)
– bersempena nama Yaakobus atau St James.

* Gibraltar (Jabal Tariq)
-Jabal Tariq yang bermaksud Gunung Tariq kerana di gunung inilah Tariq bin Ziyad mula memasuki Sepanyol.

* Zaragoza (Saraqustah)

* Granada (Gharnatah)
-Kota besar umat Islam yang terakhir jatuh kepada kerajaan Kristian Katolik. Ianya juga bermaksud buah delima atau arabnya Ruman atau inggerisnya “PomeGRANATE”.

* Alcantara (al-Qantarah)
-Ianya bermaksud “jambatan”

* Castille (Qashtalah)

* Catalonia (Qataluniyah)

* Cordova (Qurtubah)
– Disinilah pusat pemerintahan Kekhalifahan Ummayah II dan menjadi zaman keemasan mereka dengan Istana al-Hamra menjadi pusat pemerintahan. Juga tempat asal Imam al-Qurthubi seorang Mufasirin.

* Toledo (Tholaytholah)
– Kota besar umat Islam di Sepanyol yang pertama mula jatuh ke tangan Kristian Katolik.

* León (Liyun)

* Malaga (Malaqah)
– Ini adalah kota Malaqah di Barat. Kota Malaqah di Timur yang menjadi impian Kristian Katolik bagi menguasainya adalah terletak di Melaka/Malacca. Penulis ada menulis mengenai “Antara Malaga dan Melaka” sebelum ini.

* Almeria (Al-Mariyah)
– Umat Islam membina pelabuhan besar di sini.

* Murcia (Mursiyah)
– Kota ini dibina oleh Abdul Rahman II dan merupakan tempat asal bagi seorang tokoh sufi agung bernama Abu Abbas al-Mursi.

* Madrid (Majrit)
– Kota ini dibina oleh Emir Muhammad bin Abdul Rahman. Jika kini masih Islam, kelab Real Madrid atau Royal Madrid mungkin akan dikenali sebagai al-Malakil Majrit.

*Navarre (Nabarah)

* Girona (Jirundah)
– Pusat keilmuan masyarakat Yahudi di Sepanyol.

* Galicia (Jaliqiyah)

* Aragon (Albarracín)
– Bersempena nama Al Banu Razin.

* Levante (al-Syarq)
-Levante bermaksud Timur/Masyriq seperti mana Syam atau Syria juga dikenali sebagai Levant iaitu Timur tempat matahari terbit.

* Algarve (al-Gharb)
– Algarve adalah nama bagi sebahagian wilayah Portugal. Algarve bermaksud Barat/Maghrib kerana Portugal berada di sebelah barat Sepanyol.

* Jaèn (Jayyan)
– Kota kelahiran Ibn Malik penulis kitab Ilmu Nahu Matn Alfiyah Ibn Malik.

Setelah Raja-Raja Kristian Katolik meruntuhkan kerajaan Islam di Spain-Portugal, mereka sedaya upaya menghapuskan ciri-ciri keislaman di sana. Bangunan-bangunan seperti Masjid ditukar menjadi Katedral (Gereja Besar), ada yang dijadikan muzium, ada yang ditutup. Sejarah-sejarah Islam cuba dipadamkan. Bahkan, mereka menggunakan istilah “Moors” bagi menyebut zaman pemerintahan Islam kerana tidak mahu nampak yang orang Islam Barbar-Afrika dan Arab pernah menjajah bangsa mereka. Namun, mereka tidak mampu memadam pengaruh bahasa Arab dalam kehidupan mereka.

Pengaruh bahasa Arab dalam masyarakat Sepanyol amat besar sehingga ianya merupakan bahasa kedua selepas bahasa Latin yang mempengaruhi bahasa Sepanyol kini. Bahkan, perkataan “Ole” berasal dari perkataan “Allah”. Al-Andalus atau kini disebut el Andalucia merupakan wilayah autonomi dalam kerajaan Sepanyol.

Kerajaan Sepanyol kini merupakan Castille-Centric yang berpusat di Madrid memandangkan Raja Sepanyol berketurunan dari etnik Castille. Musuh ketat mereka adalah seperti etnik Catalan yang berpusat di Barcelona. Sebab itu dulu kita pernah dengar isu Cataluna/Catalunya/Catalonia hendak menuntut kemerdekaan dari Sepanyol. Dan ini juga faktor mengapa perlawanan bola sepak antara Real Madrid dan Barcelona yang sering panas itu digelar “El Classico” kerana ianya sangat berkait rapat dengan sejarah zaman Klasik.

Ikuti instagram penulis: https://goo.gl/91AUX7


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.