Pernahkah pembaca mendengar nama Schwerer Gustav? Nama yang kedengaran agak ‘kejermanan’ jika disebut. Untuk pengetahuan pembaca, nama tersebut ialah nama kepada sebuah senjata gergasi yang pernah dimiliki oleh Nazi Jerman ketika era Pe.rang Dunia Kedua. Senjata gergasi ini dibangunkan pada akhir 1930-an oleh syarikat Krupp di Rügenwalde, Jerman.

Berat ‘raksasa Nazi’ ini adalah sebanyak 1,350 tan dan mempunyai keupayaan menembak peluru sejauh 47 km. Penulis memberi jolokan ‘Raksasa Nazi’ kerana Schwerer Gustav adalah senjata senapang berkaliber yang terbesar pernah digunakan sepanjang sejarah pertempuran manusia.

Tidak dinafikan bahawa kekuatan yang mampu dihasilkan Schwerer Gustav memang hebat, namun untuk mengendalikannya bukanlah sesuatu perkara yang mudah sekaligus menjadikan ia bermasalah. Inilah serba sedikit hikayat Schwerer Gustav, ‘raksasa Nazi’ yang bermasalah.

Schwerer Gustav sedang bersedia untuk ujian tembakan pada 19 Mac 1943 di Rügenwalde, Jerman. Albert Speer (kanan), Adolf Hitler (dua dari kanan), dan beberapa pegawai lain sedang memerhatikan ujian tembakan tersebut. Hitler menggelarkan Schwerer Gustav sebagai “meine stählerne faust’ (penumbuk keluli saya).

Menghasilan Schwerer Gustav pada mulanya bertujuan untuk memudahkan operasi Nazi Jerman untuk menawan Perancis. Hal ini demikian kerana, sebelum Per.ang Dunia Kedua bermula, Hitler telah merancang untuk menawan Perancis, akan tetapi, Perancis pada waktu itu mempunyai pertahanan yang utuh. Pertahanan yang dimaksudkan ialah garisan kubu pertahanan yang terletak di sepanjang sempadan Perancis dengan Jerman.

Garisan kubu pertahanan yang dikenali sebagai ‘Maginot Line’ ini merupakan halangan utama kepada Hitler dan tenteranya untuk menawan Perancis. Oleh yang demikian, Hitler mahukan sebuah senjata gergasi yang mampu memusnahkan kubu pertahanan ‘Maginot Line’ sekaligus memudahkan mereka untuk menawan Perancis.

Seterusnya, tanggungjawab bagi menghasilkan Schwerer Gustav diberikan kepada syarikat Krupp, sebuah syarikat penghasilan senjata yang berpangkalan di Jerman. Menurut sumber, Hitler telah memesan dua buah senjata ini yang menelan kos kira-kira sebanyak 24 juta Dollar. Menurut ahli sejarah, C. Peter Chen, Syarikat Krupp kemudiannya membuat keputusan untuk memberi Schwerer Gustav kepada pihak tentera Nazi secara percuma sebagai tanda sokongan mereka ke atas usaha per.ang Nazi Jerman.

Proses pembuatan Schewer Gustav bermula pada pertengahan tahun 1937. Malangnya, berlaku sedikit masalah teknikal semasa proses pembuatannya sekaligus menyebabkan Schwerer Gustav gagal disiapkan mengikut tarikh yang telah dijadualkan iaitu pada tahun 1940. Oleh itu, Schwerer Gustav gagal memenuhi tujuan asal penghasilannya.

Seperti yang telah diceritakan tadi, Mengikut tujuan asal, Hitler ingin senjata ini digunakan untuk memusnahkan ‘Maginot Line’ yang merupakan halangan kepada tentera Nazi Jerman bagi menawan Perancis. Tetapi memandangkan Schwerer Gustav tidak dapat disiapkan pada tarikh yang ditetapkan, maka Hitler terpaksa mencari taktik lain untuk menawan Perancis.

Mujurlah dengan menggunakan taktik ‘Blitzkrieg” tentera Nazi berjaya menawan Perancis tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada Schwerer Gustav. Menjelang tahun 1942, barulah Schwerer Gustav siap dibina dan sudah bersedia untuk berkhidmat.

Umum mengetahui bahawa pada tahun 1941, Hitler telah mengisytiharkan pe.rang ke atas Soviet Union melalui Operasi Barbarossa. Pada waktu inilah, tentera Nazi mula menggunakan Schwerer Gustav dalam pertempuran Sevastopol yang berlangsung sepanjang tahun 1941 hingga 1942 di Semenanjung Crimea. Sevastopol yang merupakan Kubu pertahanan Soviet kini telah menjadi sasaran utama Schwerer Gustav.

Sepanjang penggunaanya, Schwerer Gustav telah mempamerkan taringnya apabila berjaya melakukan kerosakan yang cukup besar ke atas kubu pertahanan Soviet di Sevastopol. Walaupun Schwerer Gustav hanya melepaskan tembakan tidak lebih daripada lima puluh das, namun kemusnahan yang dihasilkannya cukup luar biasa. Selain digunakan untuk bertempur, Schwerer Gustav juga dijadikan alat propaganda bagi menaikkan semangat tentera Nazi Jerman ketika berpe.rang.

Disebabkan saiznya yang begitu besar, penggunaan senjata ini juga berjaya menjatuhkan moral tentera musuh. Namun disebalik kehebatan yang dipamerkan Schwerer Gustav, penggunaan senjata gergasi ini sebenarnya ternyata mendatangkan kesusahan kepada tentera Nazi sendiri.

Peluru Schwerer Gustav di Muzium Per.ang Imperial, London

Disebabkan saiznya yang begitu besar, Schwerer Gustav mempunyai banyak masalah dari segi logistiknya. Hal ini demikian kerana, sebanyak 25 buah gerabak keretapi diperlukan hanya untuk mengangkut komponen-komponen senjata ini. Tambahan lagi, kira-kira 3,800 orang kru diperlukan untuk melakukan kerja-kerja penyediaan tapak termasuk kerja-kerja menggali terowong sedalam 26 kaki sebagai tempat penyimpanan Schwerer Gustav.

Sebelum Schwerer Gustav boleh digunakan, seramai 1,250 orang kru diperlukan untuk mencantumkan komponen-komponennya kepada bentuk asal. Kerja-kerja  pemasangan ini mengambil masa 3 hari untuk disiapkan. Hal-hal ini telah menyebabkan tentera Nazi mengalami kerugian dari segi masa kerana terpaksa mengambil tempoh yang lama untuk mempersiapkan senjata ini.

Lebih memenatkan, hanya untuk melepaskan satu das tembakan, Schewer Gustav memerlukan kira-kira 250 orang kru untuk mengendalikannya. Selain itu, disebabkan saiznya yang begitu besar, Schwerer Gustav menjadi mudah kelihatan dari atas langit sekaligus terdedah dengan ancaman ser.angan udara dari tentera bersekutu. Oleh yang demikian, penggunaan senjata ini dilihat amat merugikan dari segi kos dan masa.

Menurut laman web interestingengineering.com, Pada 14 April 1945, sewaktu tentera Nazi berada di ambang kekalahan, iaitu sebelum kedatangan tentera bersekutu ke Jerman, tentera Nazi telah bertindak memusnahkan Schwerer Gustav. Hal ini demikian kerana, tentera Nazi tidak mahu senjata hebat mereka itu jatuh ke tangan tentera bersekutu, maka mereka musnahkannya.

Selepas kekalahan Nazi, tentera bersekutu telah menemui bangkai Schwerer Gustav yang terletak 15 kilometer di utara Auerbach dan 50 kilometer di barat daya Chemnitz. Bangkai senjata itu kemudiannya dikaji oleh jurutera Soviet dan dipindahkan ke Merseburg pada musim luruh tahun yang sama.

Kesimpulannya, walaupun kehebatan yang dijanjikan oleh Schwerer Gustav memang hebat, namun disebabkan pengendaliannya yang memerlukan ribuan tenaga manusia, Schwerer Gustav menjadi senjata yang tidak praktikal sekaligus kehebatan yang ditawarkan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Inilah serba sedikit hikayat ‘raksasa’ Nazi yang bermasalah.

RUJUKAN

Wikimedia Foundation. (2021, November 29). Schwerer Gustav. Wikipedia. Retrieved from https://en.wikipedia.org/wiki/Schwerer_Gustav.

McFadden, C. (2020, June 4). Hitler’s doomed Schwerer Gustav: Largest gun mankind has ever built. Interesting Engineering. Retrieved from https://interestingengineering.com/schwerer-gustav-the-biggest-cannon-during-wwii.

Schwerer Gustav – Rail Super Gun (behemoth) – youtube. (n.d.). Retrieved from https://www.youtube.com/watch?v=GGPxesCB8ns.

Artikel dikirimkan oleh Fakhry Harraz untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Comments are closed.