Sayyida al-Hurra merupakan seorang laksamana wanita masyhur yang hidup di antara abad ke-15 hingga abad ke-16 Masihi. Beliau bergiat secara aktif di bahagian barat Mediterranean dan sering menyasarkan kapal-kapal dagang Portugis dan Sepanyol. Walaupun dibenci oleh musuh-musuhnya dari Eropah, kejatuhan Sayyida al-Hurra dari kerusi kuasa tidaklah disebabkan oleh se-rangan luar. Sebaliknya, beliau digulingkan oleh menantunya menerusi konflik dalaman.

Wanita besi.

SAYYIDA AL-HURRA – SI PENGHULU WANITA

Kebanyakan maklumat mengenai Sayyida al-Hurra datang daripada sumber Kristian – secara khusus sumber Portugal dan Sepanyol. Hanya menerusi sumber-sumber itulah dapat kita mengenali nama Sayyida al-Hurra, yang pada hakikatnya nama tersebut merupakan satu gelaran yang bermaksud “Penghulu Wanita”.

Kebanyakan sumber tersebut tidak menyedari hal ini dan menganggapnya sebagai nama sebenar beliau. Akibatnya, nama sebenar beliau hilang dari catatan sejarah, walaupun terdapat dakwaan bahawa nama sebenar Sayyida al-Hurra ialah Aisha.

Walau bagaimana sekalipun keadaannya, Sayyida al-Hurra dilahirkan sekitar tahun 1485M di Kerajaan Granada yang merupakan kota Muslim terakhir di Semenanjung Iberia. Bapa Sayyida al-Hurra ialah Moulay Ali ibn Rashid, seorang ketua kabilah sementara ibunya pula ialah Zohra Fernandez, seorang wanita Kristian yang memeluk agama Islam.

Keluarga beliau tumbuh dari cabang puak bangsawan yang dikenali sebagai Rashid. Susur galur keturunan mereka boleh ditelusuri hingga ke Nabi Muhammad melalui Idris I, pengasas Dinasti Idrisiyah di Maghribi (Morocco) pada hujung abad ke-8 Masihi.

Potret Sayyida al-Hurra si pemerintah Tetouan

Pada tahun 1492M, Granada tumbang dalam kempen Reconquista dan ramai umat Islam melarikan diri ke selatan menuju ke Afrika Utara. Di antara mereka itu termasuklah Sayyida al-Hurra dan keluarganya. Mereka kemudiannya mendiami kawasan Chefchaouen atau Chaouen.

Sebagai anak kepada seorang pembesar, Sayyida al-Hurra disiapkan dengan pendidikan terbaik dan dididik dalam pelbagai bidang penting seperti matematik, teologi dan bahasa. Kemudian setelah usianya sedikit meningkat, Sayyida al-Hurra berkahwin dengan Abu Hassan al-Mandiri yang berusia 30 tahun lebih tua berbandingnya. Sebahagian sumber menyebutkan bahawa usia beliau semasa mengahwini Abu Hassan adalah 16 tahun. Ada juga yang mendakwa 25 tahun.

Sama seperti Sayyida al-Hurra dan keluarganya, Abu Hassan al-Mandari juga merupakan seorang pelarian daripada Sepanyol. Beliau merupakan seorang pembesar kepada salah sebuah kabilah lain dan perkahwinannya dengan Sayyida al-Hurra telah pun diaturkan sejak beberapa tahun yang lalu.

Al-Mandari menetap di kota Tetouan dan menjadi gabenor kota tersebut. Sayyida al-Hurra dilayan dengan baik oleh suaminya dan beliau banyak membantu Al-Mandari dalam pentadbiran kota. Selepas kemangkatan Al-Mandari sekitar tahun 1515 hingga 1519M, Sayyida al-Hurra menjadi pemerintah tunggal Tetouan.

SAYYIDA AL-HURRA MENJADI “LA-NUN”

Pada suatu masa, Sayyida al-Hurra menjadi seorang “la-nun”. Sebahagian sumber menyebutkan bahawa beliau tidak pernah melupakan detik kejatuhan Granada dan bersumpah untuk membalas dendam atas hal tersebut.

Malah, beliau bertekad untuk merampas semula Andalusia daripada Kristian. Walaupun beliau tidak berhadapan dengan Sepanyol dan Portugal secara langsung, tetapi Sayyida al-Hurra berjaya mencetuskan huru-hara di perairan mereka menerusi kegiatan me”la-nun”.

Lukisan yang menggambarkan kehidupan keluarga Sayyida al-Hurra selepas kejatuhan Granada

Untuk tujuan itu, beliau membentuk pakatan dengan seorang “la-nun” masyhur yang bernama Oruc Res (Aruj) atau dikenali sebagai Barbarossa di Barat. Ketika Barbarossa menggegarkan bahagian timur Mediterranean, Sayyida al-Hurra pula bergiat aktif di bahagian barat dan sering menyasarkan kapal-kapal dagang Portugal dan Sepanyol.

Kapal-kapal itu habis dise-rang dan anak-anak kapalnya pula diambil sebagai tawanan. Keadaan ini kemudiannya memaksa pihak Portugal dan Sepanyol untuk melakukan rundingan dengan Sayyida al-Hurra dan mengeluarkan belanja yang besar untuk menebus tawanan tersebut.

SAYYIDA AL-HURRA MERAIH KEKAYAAN DAN KEKUASAAN

Kekayaan yang dikumpulkan oleh Sayyida al-Hurra serta kekuatan yang dimilikinya membuatkan nama beliau dipandang tinggi di Afrika Utara. Kedudukannya itu diperakui oleh Ahmed al-Wattasi, iaitu Sultan Maghribi.

Beliau kemudiannya mengusulkan lamaran kepada Sayyida al-Hurra sebagai suatu bentuk persekutuan. Lamaran tersebut diterima oleh Sayyida al-Hurra dengan syarat Al-Wattasi perlu datang sendiri ke kota Tetouan untuk mengahwininya.

Hal ini merupakan suatu yang mencarik tradisi memandangkan kebiasaannya pihak wanita yang perlu berjalan jauh ke kota yang didiami oleh pihak lelaki. Namun, syarat tersebut dipersetujui oleh Sultan dan selepas perkahwinan berlangsung selesai, mereka berdua kembali hidup di ibu kota masing-masing sekaligus membuktikan bahawa perkahwinan tersebut hanya dilakukan atas tujuan politik semata-mata.

Potret Ahmed al-Wattasi, Sultan Maghribi yang berkahwin politik dengan Sayyida al-Hurra

Pun begitu, tuah Sayyida al-Hurra tidak berpanjangan. Pada tahun 1542M, Maghribi terlibat dalam peperangan terbuka melawan Portugal. Mengambil kesempatan ke atas keadaan huru-hara itu, Ahmed al-Hassan al-Mandari iaitu menantu Sayyida al-Hurra (merangkap kerabat suami pertamanya) membentuk pakatan dengan musuh Ahmed al-Wattasi dan berjaya menggulingkan ibu mertuanyanya itu.

Sejak kejadian tersebut, nama Sayyida al-Hurra hilang dari sejarah walaupun diandaikan bahawa beliau kembali ke Chefchaouen dan meninggal dunia di sana 20 tahun kemudian.

Sehingga ke hari ini, nama Sayyida al-Hurra masih dikenang di Maghribi. Pada tahun 2016, terdapat perancangan untuk menghasilkan sebuah drama sejarah yang berdasarkan kisah hidupnya.

TERJEMAHAN:

DHWTY. (21 Mac 2019). Sayyida al-Hurra: Noble ‘Sovereign Lady’ Who Terrorized the Mediterranean As A Pirate. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.