Sayyida Al-Hurra: Permaisuri Lanun Afrika Utara

204

Pada sekitar awal abad ke-19 M, gelaran ketua lanun Lautan China Selatan yang paling digeruni telah dipegang oleh Ching Shih, yang mana beliau telah memimpin 300 buah jong dan 40,000 orang lanun menguasai hampir seluruh jalur laut negara China.

Jadi, bagaimana pula kisah pada awal abad ke-16 M, seorang permaisuri dari Maghribi, Sayyida al-Hurra yang pernah menguasai Lautan Mediterranean barat dan menjadi salah satu ancaman paling berbahaya untuk kerajaan Kristian pimpinan Ratu Isabella dari Castille?

Pelarian Dari Granada: Tragedi Reconquista

Nama sebenarnya adalah Lalla Aishah binti Ali, lahir pada tahun 1485 M (890 H) di kota Granada, Andalusia. Ayahnya bernama Moulay Ali bin Rashid dan ibunya pula bernama Zohra Fernandez, seorang muallaf dan adik lelakinya, Moulay Ibrahim bin Ali. Mereka berketurunan dari bangsawan Rashid iaitu keturunan yang mempunyai susur galur dengan Sultan Idris I, pengasas Dinasti Idrisi di Maghribi.

Pada masa kelahirannya, penguasa-penguasa (amir) di Andalusia sedang sibuk berperang menghadapi pasukan bersekutu kerajaan Aragon-Castille pimpinan Raja Ferdinand II dan Ratu Isabella I.

Selama tempoh enam tahun pertempuran diantara kedua buah kuasa besar mewakili agama Islam dan agama Kristian, maka pada tanggal 2 Januari 1492 M, benteng terakhir Islam di Andalusia, kota Granada, dibawah pimpinan penguasa terakhir Dinasti Nasrid iaitu Amir Abu Abdullah Muhammad XII, akhirnya terpaksa berlutut menyerahkan kunci kota di hadapan pasukan bersekutu Raja Ferdinand II dan Ratu Isabella I.

Tragedi kejatuhan kuasa Islam di Andalusia adalah salah satu kemuncak penutupan kempen Reconquista oleh pasukan Kristian Sepanyol-Portugal ke atas wilayah-wilayahnya di semenanjung Iberia (Andalusia) dan di kawasan sekitarnya.

Ketika kota Granada jatuh ke tangan pasukan Reconquista, keluarga Aishah dan kaum kerabatnya melarikan diri ke Maghribi, lalu membuka penempatan di daerah Chefchaouen (Shafshawan) dan mendirikan kota di sini.

Dasar keterbukaan yang digunakan oleh Moulay Ali ketika mana mengembangkan populasi kota tersebut adalah bertujuan untuk menerima kedatangan pelarian beragama Yahudi ataupun Islam dari Andalusia (Ahmad al-Wattasi) sejak kejatuhan Granada) untuk tinggal dan hidup di kota Chefchaouen. Berdekatan dengan kota Chefchaouen, terletaknya kota Tetouan dan ibukota Fez.

Sultan penguasa Maghribi, yang berpusat di kota Fez mengabulkan permintaan Moulay Ali yang bersedia untuk mendirikan kota di Chefchaouen.

Tiga Kota Bersekutu Menentang Aragon-Castille.

1. KOTA TETOUAN.

Kota Tetouan merupakan salah sebuah kota pelabuhan yang terletak di Maghribi dan berhampiran dengan semenanjung Iberia (Andalusia). Lokasinya yang sangat strategik dan pelabuhannya yang sangat menguntungkan, menyebabkan kota pelabuhan ini sering diserang oleh musuh-musuhnya.

Pada tahun 1400 M, kerajaan Portugal (Aragon) yang sangat takut dengan monopoli perdagangan kota Tetouan ke atas jalur lautan Mediterranean barat telah menghantar sebuah armada laut yang besar untuk menyerang lalu menghancurkan keagungan kota ini sehingga menjadi debu. Selama 80 tahun, kota Teotuan ditinggalkan menjadi kota yang mati tanpa penghuni.

Seorang laksamana laut Granada iaitu Abu Hassan al-Mandiri telah diberikan keizinan oleh penguasa Dinasti Nasrid (sebelum kejatuhan kota Granada) untuk membangunkan kembali kota Teotuan dengan memberikan hak penuh mengutip cukai dan menjadikan kota tersebut sebagai kota eksport-import seperti sebelumnya.

Ketika mana dalam tempoh pembinaan, perbaikan dan penempatan ke atas kota Teotuan, Abu Hassan terpaksa menghadapi beberapa pertempuran dengan musuh-musuh jirannya seperti kota Ksar, Ceuta dan Tangier yang berada di bawah jajahan kuasa Portugal (Aragon).

Setelah mendengar kejatuhan kota Granada, Abu Hassan telah memberikan laluan kepada para pelarian dari Granada untuk datang bertandang ke kota Teotuan.

2. KOTA FEZ.

Kota Fez yang pada waktu itu diperintah oleh sultan pertama Dinasti Wattasid, Abu Abdullah Muhammad bin Yahya (Ahmad al-Wattasi) juga menerima kedatangan para pelarian dari Andalusia. Baginda merupakan satu-satunya penguasa tunggal Islam di Maghribi yang berkuasa ke atas kota Teotuan dan kota Chefchouen.

Pada waktu ini, hanya kota Fez dan kota Teotuan yang menjadi tempat berteduh untuk para pelarian Granada sebelum membangunnya kota Chefchaouen di bawah kepimpinan gabenor Moulya Ali.

3. KOTA CHEFCHOUEN.

Semenjak ayahnya menyandang menjadi penguasa di Chefchaouen, Aishah diberikan tahap pendidikan yang sangat tinggi oleh ayahnya, Moulya Ali dan mendapat bimbingan pendidikan langsung dari beberapa orang ulama terkenal Maghribi diantaranya adalah, Abdullah al-Ghazwani. Selain menguasai bahasa Arab, Aishah juga menguasai bahasa Castilian dan Portugis, bahasa kedua musuh ketatnya. Selain menguasai bahasa, Aishah juga menguasai ilmu matematik, teologi, ketenteraan dan politik semasa.

Ketika meningkat dewasa, sekitar umur 16 tahun, Aishah dinikahkan dengan sahabat ayahnya sendiri, merangkap penguasa kota Tetouan, Abu Hassan al-Mandiri, yang pada ketika itu baru berumur 30 tahun.

Di dalam buku ‘Historical Dictionary of Morocco’ oleh Thomas Kerlin Park dan Aomar Boum, dinyatakan yang sebenarnya, Aishah bukan menikahi dengan Abu Hassan al-Mandiri tetapi dengan anaknya, Muhammad bin Abu Hassan (pewaris kekuasaan di kota Tetouan).

Keluarga Aishah mengatur satu jalan politik untuk menyatukan keluarga mereka dengan bangsawan dari Teotuan dan Fez dengan dua langkah, iaitu:

1. Menikahkan Aishah dari Chefchaouen dengan Muhammad bin Abu Hassan dari Tetouan. Dengan perkahwinan politik ini, maka terjadinya hubungan yang kuat diantara kedua buah benteng di Afrika Utara ini.

2. Adik lelaki Aishah pula, Ibrahim dihantar ke ibukota Fez untuk menjadi penasihat diraja, wazir kepada Sultan Ahmad al-Wattasi. Dengan perlantikan Ibrahim, maka hubungan politik antara tiga buah kota ini menjadi lebih erat antara satu sama lain.

Apabila kedua buah strategi ini berjaya maka Moulya Ali mendapat perlindungan politik dan ketenteraan secara langsung, kota Chefchaouen mampu mengukuhkan lagi kuasa baharu mereka di Maghribi.

4. MENJADI PENGUASA TETOUAN.

Pada sekitar tahun 1515 M atau 1519 M, suami Aishah meninggal dunia dan jawatan penguasa Tetouan diambil alih oleh Aishah secara langsung. Setelah menaiki kerusi pemerintahan, beliau memakai dengan gelaran nama ‘Sayyida al-Hurra: Hakimat Titwan’ yang bermaksud ‘Wanita Berdaulat, Penguasa Tetouan’.

Tetapi gelaran inilah yang disangka oleh orang Sepanyol sebagai nama sebenarnya sehinggakan namanya terdapat di dalam beberapa catatan sejarah Sepanyol dengan nama ‘Sida el-Horra’ berbanding Aishah ketika zaman penguasaan beliau ke atas lautan Mediterranean barat.

5. MELAKUKAN KERJASAMA DENGAN BARBARROSA BERSAUDARA.

Sebagaimana yang kita sudah mengetahui secara umum, Barbarossa Bersaudara, Aruj dan Khairuddin, merupakan dua orang bersaudara ‘privateer’ yang memimpin beberapa siri pertempuran di laut secara persendirian di Lautan Mediterranean setelah kejatuhan kerajaan Islam di Granada.

Pada mulanya, nama dua orang bersaudara ini hanya melekat pada bibir rakyat tempatan dalam bidang perdagangan di lautan, sebelum mereka berdua ini dikenali ramai setelah menghadapi beberapa pertempuran dengan kapal perang penjarah milik Castille-Aragon dan memimpin operasi penyelamatan ke atas bangsa Mudejar Islam yang masih terperangkap di Andalusia.

Pada tahun 1504 M sehingga 1510 M, dua orang bersaudara ini membawa misi mengangkut dan membawa beribu-ribu umat Islam keluar dari Andalusia menuju ke Maghribi dan Algeria.

Daripada khabar angin yang tersebar meluas tentang penyelamatan Barbarossa ke atas umat Islam di Andalusia menyedarkan Sayyida untuk mengambil peluang memperluaskan lagi sekutunya.

Pada masa pemerintahan Sayyida, kuasa Islam di dua buah kota, Tetouan dan Chefchaouen masih belum mempunyai pasukan laut sendiri sehinggakan Sayyida terpaksa menyewa dan bekerjasama dengan para ‘privateer’ untuk menjaga perairan wilayahnya.

Tambahan pula, laksamana Kortuglu, salah seorang ‘privateer’ ternama yang bertanggungjawab bersekutu dengan Khairuddin Barbarossa dan Piri Reis dalam pertempuran melawan dengan angkatan gabungan armada laut terbesar Kristian, armada Papal dari Itali (1516 M). Jika beliau bersekutu bersama ketika orang tokoh ini, pasti kekuasaannya makin kukuh dalam mengambil alih kembali Andalusia.

Dendam dan traumanya sewaktu kecil dahulu telah membekas di hatinya sehinggakan impiannya untuk membebaskan kembali Andalusia dari cengkaman Aragon-Castille memuncak.

Privateer: Adalah sebuah kapal peribadi yang dipimpin oleh pelayar atau kapten tertentu yang mendapat izin daripada pihak kerajaan atau melayani pusat pentadbiran tertentu untuk melakukan kegiatan rompakan, kawalan mahupun tangkapan ke atas kapal-kapal musuh yang dikenalpasti memasuki wilayah perairan mereka. Mereka diumpamakan seperti pahlawan Ronin, bukannya Samurai, tidak bertuan tetap. Boleh melayani sesiapa sahaja.

6. MENJADI PENGUASA LAUT MEDITERRANEAN BARAT.

Sayyida tanpa basa-basi memutuskan untuk bekerjasama dengan laksamana Khairuddin Barbarossa (kejadian ini berlaku ketika mana Khairuddin menjadi penguasa di Algeria). Hasil maklumat dan data yang dikongsi dari Sayyida kepada pasukan Khairuddin menjadikan Lautan Mediterranean semakin ketat di bawah kawalan kuasa Muslim.

Atas kerjasama antara dua pihak terkuat ini juga, Khairuddin Barbarossa menguasai lautan Mediterranean bahagian timur dan Sayyida menguasai lautan Mediterranean bahagian barat. Dengan penguasaan yang meluas ini, maka ianya telah membungkam hasrat kerajaan Aragon-Castille untuk meluaskan empayar mereka dan menghalang cita-cita ekonomi untuk memonopoli jalur perdagangan di lautan tersebut.

Di dalam buku ‘Pirate Women: The Princesses, Prostitutes and Privateers Who Ruled the Seven Seas’ oleh Laura Sook Duncombe, Sayyida dikenali di dunia Kristian sebagai lanun yang sangat ganas dan menakutkan.

Dibandingkan dengan Khairuddin Barbarossa yang melakukan aktivitinya di bahagian timur, Sayyida pula aktif menjalankan kegiatan perampasan kapal-kapal milik kerajaan Sepanyol di Andalusia. Apabila kapal-kapal dagang ini melintasi perairan Sayyida atau bertemu dengan ‘privateer’ sewaannya, mereka akan ditangkap dan harta benda mereka akan ditahan.

Setelah itu, Sayyida tidak akan menyimpan para tawanan, sebaliknya menawarkan mereka pembebasan dengan beberapa bayaran untuk satu kepala. Dengan pembayaran ini, maka Sayyida melepaska mereka dengan harta-benda mereka tanpa sebarang kecederaan ke atas tawanan. Taktik Sayyida dihidu oleh Ratu Isabella I setelah baginda mendapat pelbagai laporan dari para pedagang yang pernah ditangkap dan dibebaskan oleh Sayyida. Walaupun kapal para pedagang ini menggunakan pelbagai jalur, tetapi arah pelayaran mereka tetap akan dihidu oleh Sayyida.

Daripada harta-benda rampasan inilah, beliau mampu mengawal dan menjadi ‘kak long’ di Afrika Utara selama 20 tahun lamanya. Bagi pihak Barat, mereka menganggapnya sebagai lanun penjarah yang menjarah dan merampas harta dagang mereka, tetapi bagi penduduk Tetouan, beliau adalah seorang wira yang membentengi keselamatan mereka daripada kerakusan armada laut Sepanyol.

7. MENJADI PERMAISURI TERAKHIR MAGHRIBI

Gerak-geri kerja Sayyida dalam memperkukuhkan kekuasaan dan pengaruhnya di lautan Mediterranean walaupun tiada angkatan armada laut rasmi kerajaan, ditambah pula dengan jalinan persahabatannya dengan penguasa Algeria dan laksamana angkatan laut empayar Turki Uthmaniyah, Khairuddin Barbarossa telah menarik minat Sultan Ahmad al-Wattasi untuk mempersuntingkannya sebagai seorang isteri.

Sayyida melihat dengan jalan perkahwinan ini sebagai durian runtuh baginya dalam menperlicinkan lagi agendanya untuk melancarkan pembebasan ke atas Andalusia. Sayyida bersetuju dengan pelawaan baginda, tetapi dengan satu syarat, majlis perkahwinan mereka wajib diadakan di kota pemerintahannya, Tetouan. Baginda sultan yang berasakan pernikahan ini penting untuk kepentingan takhtanya terus bersetuju dan berangkat bersama pasukannya menuju ke kota Tetouan. Ini adalah pertama kali dalam sejarah diraja Maghribi, sultan melaksanakan perkahwinan dirajanya di luar ibu kota Fez.

Setelah selesai pernikahan, Sultan Ahmad kembali semula ke pusat pentadbirannya, Fez dan Permaisuri Sayyida tetap berada di singgahsana baharunya di kota Tetouan. Kini, beliau bukan lagi seorang gabenor, amir mahupun penguasa biasa yang dikendalikan oleh sultan, tetapi beliau merupakan seorang permaisuri Maghribi.

Perkahwinan diantara Permaisuri Sayyida dan Sultan Ahmad al-Wattasi hanyalah sebagai perkahwinan politik semata-mata yang masing-masing membawa kepentingan diri di rantau kekuasaan mereka.

Kekuasaan Permaisuri Sayyida sudah sampai ke kemuncaknya. Dengan benteng di timur yang sudah dijaga oleh Khairuddin untuk menghalang sebarang bantuan dari luar untuk Sepanyol dan kekuatan pasukan tentera Dinasti Wattasi di Fez ditambah pula dengan ‘privateer’ sewaanya yang merayau di seluruh pelusuk lautan mengubah Permaisuri Sayyida sebagai penguasa sebenar Afrika Utara di daratan mahupun lautan.

Pengkhianatan Dari Kota Fez.

Tetapi kekuasaan Permaisuri Sayyida tidak bertahan lama. Takhtanya telah diganggu-gugat oleh anak mertuanya, Ahmad al-Hassan al-Mandari dari Fez.

Pada tahun 1542 M, cucu kepada Abu Hassan al-Mandiri, Ahmad bin Hassan melancarkan kudeta ke atas Sayyida secara mengejut di kota Tetouan dengan membawa sejumlah askar dari gabungan puak Saadis (sebelumnya musuh Dinasti Wattasid).

Impiannya untuk menyatukan kesemua kota-kota di Moroko tergendala. Dengan redha hati, Sayyida menyerahkan kota pelabuhan tersebut kepada Ahmad dan meletak jawatan sebagai permaisuri Moroko.

Tiada catatan rasmi atau rekod sejarah apa yang dilakukan oleh Sayyida pada saat-saat akhir hidupnya.

Sayyida menghabiskan sisa hidupnya selama 20 tahun di kota milik peninggalan ayahnya, Chefchouen, sebelum beliau meninggal dunia pada tanggal 14 Julai 1561 M.

Artikel berkaitan:

1. Ching Shih, Lanun Wanita China:
thepatriots.asia/dari-pelacur-menjadi-ratu-lanun-yang-menggerunkan

2. Khairuddin Barbarossa, Penguasa Mediterranean: .thepatriots.asia/heyreddin-barbarossa-ketua-armada-laut-uthmaniyah-yang-dilupakan

3. Fasa Kekuasaan Islam di Andalusia: https://www.thepatriots.asia/6-fasa-kekuasaan-islam-di-andalusia-sepanyol/amp/

4. Ratu Isabella I: https://www.thepatriots.asia/ratu-isabella-andalusia-takdir-melaka-dan-nusantara

RUJUKAN:

1. Sayyida al-Hurra: Noble ‘Sovereign Lady’ Who Terrorized the Mediterranean As A Pirate, Ancient Origins.

2. Historical Dictionary of Morocco oleh Aomar Boum dan Thomas K. Park.

3. Bygone Badass Broads: 52 Forgotten Women Who Changed the World oleh Mackenzi Lee.

4. Pirate Women: The Princesses, Prostitutes, and Privateers Who Ruled the Seven Seas oleh Laura Duncombe.

– TAMAT –


Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.