Bagi negara-negara pengeluar minyak, pendapatan yang diterima daripada komoditi alam itu sememangnya lumayan dan menjadi penjana kemakmuran negara masing-masing. Tetapi terlalu bergantung kepada satu sumber mendedahkan negara-negara itu terhadap pelbagai cabaran yang boleh saja memusnahkan terus kemakmuran yang dinikmati sekiranya tiada tindakan diambil.

Bagi Arab Saudi, pergantungan mereka terhadap minyak mendedahkan mereka kepada pelbagai kejutan ekonomi termasuk kejatuhan harga minyak. Sebenarnya, usaha mengurangkan pergantungan minyak cuba dibuat oleh Riyadh sejak tahun 70-an tetapi sentiasa berakhir dengan kegagalan. Ini berikutan perlaksanaan polisi berkenaan dilihat tidak stabil dan terlalu bergantung kepada pola harga minyak.

Justeru untuk visi Saudi Vision 2030 (SV2030), Putera Muhammad bin Salman (MbS) tidak mahu lagi pisang berbuah dua kali. Sudah tiba masanya Riyadh mempelbagaikan hasil pendapatan negara, mempergiat kegiatan ekonomi negara dan mengurangkan pergantungan rakyat kepada subsidi. Jika negara mahu maju, perubahan harus dibuat walaupun ia bakal mengguris perasaan generasi lama yang terikat dengan idea-idea lama.

Putera Muhammad bin Salman

Semasa dilancarkan pada April 2016, SV2030 mempunyai tiga teras iaitu mengukuhkan status negara sebagai nadi utama dunia Islam dan dunia Arab, keinginan menjadi kuasa besar pelaburan dunia dan mengubah Arab Saudi sebagai hub yang menghubungkan tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah.

Visi ini diselia oleh individu-individu dari Unit Perlaksanaan, Pusat Pengukuran Prestasi Kebangsaan dan Pejabat Pengurusan Projek Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan (CEDA). Tahun 2016 turut menyaksikan perlancaran Program Transformasi Kebangsaan (PTK) membabitkan 24 agensi kerajaan bagi mengukuhkan usaha pembangunan ekonomi Arab Saudi.

PTK menetapkan matlamat dan sasaran yang perlu dicapai Arab Saudi dalam tempoh lima tahun dengan fasa pertama berakhir pada tahun 2020. Setiap fasa akan menyumbang kepada sasaran dan matlamat tertentu yang mahu dicapai di mana pada akhirnya menjadikan SV2030 satu realiti.

Bagi membiayai projek-projek dalam fasa-fasa PTK, MbS turut mengumumkan pada Januari 2016 kos pembangunan fasa-fasa PTK akan dibantu dengan kos saham terbitan awam (IPO) Saudi Aramco. Bagaimanapun, hanya 5% saham syarikat berkenaan akan ditawarkan di pasaran saham.

Pada tahun 2019, IPO Saudi Aramco menjana AS$25.6 bilion tetapi kebanyakan saham tidak dibeli oleh pemain-pemain saham global. Sebaliknya, nilai tersebut dicapai hasil pembelian pelabur-pelabur dari negara-negara Teluk dan segelintir sahaja yang berbuat demikian. Dan tidak seperti sasaran 5% yang disasarkan, hanya 1.5% sahaja yang berjaya ditawarkan di pasaran.

Bagi merancakkan lagi pelaburan asing di Arab Saudi, Riyadh turut melancarkan Inisiatif Pelaburan Masa Hadapan (FII) anjuran Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) pada tahun 2017. Ramai menyamakan forum yang dianjurkan di Riyadh merupakan versi padang pasir acara Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang dianjurkan di Davos, Switzerland berikutan kedua-duanya membincangkan isu-isu ekonomi dan pelaburan.

Rajah 2: Forum Inisiatif Pelaburan Masa Hadapan (FII) di Riyadh pada tahun 2017

Forum pertama FII ini diadakan pada Oktober 2017 dan dihadiri oleh 3,800 delegasi dari 90 buah negara. Mereka datang dari pelbagai latar belakang seperti Pengarah Urusan IMF ketika itu, Christine Lagarde, Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin, Larry Fink (BlackRock) dan Masayoshi Son (Softbank).

Forum ini turut menyaksikan pelbagai pengumuman seperti sasaran pengurusan aset pelaburan sebanyak AS$400 bilion menjelang 2020, pengumuman NEOM iaitu zon ekonomi baru bernilai AS$500 bilion di utara Arab Saudi dan perjanjian persefahaman pelaburan AS$1 bilion dalam Virgin Galactic.

SV2030 turut menyaksikan pelbagai aktiviti pembangunan berskala besar dilaksanakan bersesuaian dengan agenda wawasan berkenaan. Antaranya:

  1. Projek pembangunan hab hiburan Al-Qiddiya dengan kos AS$2.2 bilion dan dijangka siap pada tahun 2022. Apabila siap, ia bakal menjadi destinasi percutian terbesar di dunia dengan keluasan 334 kilometer persegi. Antara kemudahan yang ada ialah Litar Al-Qiddiya yang direka bekas pelumba F1, Alexander Wurz.
  2. Amaala yang digelar French Riviera versi Timur Tengah dan dijangka dibina di pesisir utara pantai Laut Merah. Projek ini bila siap bakal mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan dan berkeluasan 3,800 kilometer persegi.
  3. Taman Tenaga Raja Salman yang dibangunkan, diurus dan dioperasikan oleh Saudi Aramco. Projek ini dibina mengikut beberapa fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2035. Ia dijangka menjana pendapatan sebanyak AS$6 bilion dan mewujudkan 100,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung.

Bagi memastikan wawasan ini dapat direalisasikan dengan jayanya, 13 Program Perlaksanaan Visi (PPV) diwujudkan pada tahun 2017 selepas dibentangkan oleh CEDA. Antara program yang tersenarai dalam PPV ialah Program Kualiti Kehidupan, Program Perumahan dan Program Dana Pelaburan Awam.

Memandangkan wawasan SV2030 merupakan idea MbS, baginda sendiri memantau visi ini. Baginda turut dibantu oleh:

  • Dari segi hala tuju dan pembuat keputusan, baginda dibantu oleh Majlis Menteri dan CEDA.
  • Bagi setiap fasa, pengarah-pengarah SEDA dan pengurus-pengurus PPV bertanggungjawab memastikan kelancaran pembangunan setiap fasa SV2030.
  • Setiap entiti yang dipertanggungjawabkan untuk fasa SV2030 bertanggungjawab menguruskan objektif dan belanjawan masing-masing.

Bagi melicinkan lagi usaha kerajaan merealisasikan SV2030, beberapa kementerian dirombak atau dijenamakan semula. Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Haji dan Umrah (dahulunya Kementerian Haji), Kementerian Pelaburan dan Perdagangan (Kementerian Perdagangan dan Industri) dan Kementerian Tenaga Kerja dan Pembangunan Sosial (dahulunya Kementerian Hal Ehwal Sosial).

MbS juga turut bertanggungjawab melonggarkan apa yang dianggap tabu di Arab Saudi satu ketika dahulu. Wanita diberi lebih banyak hak termasuk menganggotai Majlis Syura dan dibenarkan memandu tanpa ditemani mahram. Sektor hiburan rancak seiring dengan SV2030 terutama dari segi penganjuran aktiviti hiburan dan sukan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih banyak acara hiburan dianjurkan di Arab Saudi termasuk perlawanan bola sepak Supercoppa Italia, pertunjukan gusti WWE di Bandar Sukan Raja Abdullah, Jeddah dan konsert-konsert membabitkan artis antarabangsa seperti BTS. Manakala Litar Al-Qiddiya bakal menganjurkan perlumbaan F1 atau MotoGP menjelang tahun 2023.

Rajah 3: Perlawanan Supercoppa Italia membabitkan Lazio dan Juventus merupakan antara acara sukan yang dianjurkan di Arab Saudi. Sumber: https://asia.eurosport.com/football/italian-super-coppa/2019-2020/football-news-juventus-beaten-by-lazio-again-in-the-italia

Di samping memfokuskan usaha membangunkan infrastruktur di negara sendiri, SV2030 turut menyaksikan keinginan Arab Saudi mendapatkan aset-aset asing sebagai aset pelaburan yang boleh memberi pendapatan tambahan kepada negara. Salah satu daripadanya ialah kelab bola sepak seperti yang dilakukan oleh negara jiran, Qatar (Paris St Germain) dan UAE (Manchester City/City Football Group).

Sepanjang minggu ini, liputan berita menyaksikan PIF bakal memiliki kelab Newcastle United dengan nilai pembelian 300 juta paun sterling walaupun pengambilalihan itu ditentang keras rakan penyiaran asing Liga Perdana Inggeris, beIN SPORTS dan pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International.

Rajah 4: PIF bakal menjadi pemegang saham majoriti Newcastle United di sebalik tentangan dari banyak pihak.

Di sebalik rancangan besar yang dicanang oleh MbS, ramai pakar melihat perkara-perkara yang dibayangkan baginda sukar dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang berpotensi menjahanamkan SV2030:

  • Reputasi baginda sebagai putera kekacauan. Turut dikenali sebagai Abu Rasasa (Bapa Peluru) semasa mudanya, banyak kesilapan yang dibuat yang menunjukkan sikap terburu-burunya dalam mengukuhkan kedudukannya bukan saja dalam Arab Saudi tetapi juga di luar negara.

Siapa tidak tahu kos nyawa manusia yang melayang di Yaman yang menyaksikan ribuan penduduk awam terbunuh akibat kempen serangan udara Riyadh dan sekutu-sekutunya. Siapa tidak tahu kos pep3rangan yang dicetuskan MbS selama lima tahun di Yaman kini mencecah AS$100 bilion dan mencalar imej Arab Saudi di mata dunia.

Terima kasih kepada sikap terburu-buru baginda di situ, Arab Saudi bakal mengalami detik Vietnam yang pernah dialami AS pada tahun 70-an dan Soviet di Afghanistan pada tahun 80-an.

Tetapi kesilapan terbesar MbS ialah pembvnvhan wartawan Allahyarham Jamal Khashoggi pada tahun 2018. Operasi sulit itu mencetuskan keributan di pentas dunia hingga hampir-hampir mengundang sekatan dari rakan sekutu sendiri, AS. Pembvnvhan tersebut turut menyaksikan ramai tokoh yang sepatutnya hadir pada forum kedua FII memilih untuk tidak hadir atau memulaukan terus Davos versi padang pasir itu.

Rajah 5: Allahyarham Jamal Khashoggi

Pembvnvhan Allahyarham Khashoggi turut mengakibatkan Sir Richard Branson menghentikan usaha pelaburan PIF sebanyak AS$1 bilion ke atas Virgin Galactic dan menarik diri daripada penglibatan projek Amaala. Forum FII kedua di Riyadh turut menyaksikan banyak syarikat termasuk dari Silicon Valley mengundur diri dari menyertai forum sama.

  • Ketidakstabilan rantau Timur Tengah. Terima kasih kepada sikap MbS yang sentiasa mencari gaduh dengan semua dari Iran dan Yaman hingga negara jiran, Qatar, rantau tersebut sentiasa berada dalam ketidaktentuan terutama perang dingin dengan Iran.

Bukan satu rahsia Iran boleh saja menggugat mana-mana kemudahan Saudi Aramco atau mengganggu laluan perdagangan di Selat Hormuz sama ada menerusi aset ketenteraan mereka atau proksi-proksi mereka sekiranya merasakan kepentingan mereka diganggu oleh AS dan sekutu-sekutu mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan harga minyak jatuh, satu perkara yang boleh menyakitkan dompet Arab Saudi seperti disaksikan pada tahun lepas.

  • Apa saja projek yang diumumkan Arab Saudi, belum pasti ia bakal direalisasikan sepenuhnya di sebalik pengenalan SV2030. Misalnya, rancangan membangunkan Bandaraya Ekonomi Raja Abdullah (BERA) yang dilaksanakan pada tahun 2010 diharap dapat menjana 1.3 juta peluang pekerjaan dan pendapatan sebanyak AS$150 bilion membabitkan enam bandaraya.

Masalahnya, hanya satu bandaraya BERA yang berjaya dibangunkan dengan populasi seramai 7,000 orang daripada jangkaan dua juta penduduk. Tidak mustahil jika trend ini berterusan, apa saja rancangan fasa SV2030 berada dalam bahaya.

Situasi ini tidak dibantu oleh tindakan pelabur-pelabur asing menarik diri dari Arab Saudi terutama selepas pembvnvhan Allahyarham Khashoggi dan pendedahan taktik kejam Saudi di Yaman. Pada tahun 2018, pelaburan langsung asing (FDI) Arab Saudi hanya berjumlah AS$3.2 bilion, amat sedikit berbanding FDI sebanyak AS$29.2 bilion yang diraih semasa era Almarhum Raja Abdullah pada tahun 2010.

Dan bagi menambah luka MbS, pertumbuhan industri bukan minyak Arab Saudi juga tumbuh perlahan walaupun menunjukkan tanda-tanda menggalakkan pada tahun 2019. Tahun ini sepatutnya menjadi tahun Arab Saudi mampu hidup tanpa pendapatan minyak tetapi ia masih menjadi sumber pendapatan negara itu sebanyak 80%.

  • Covid-19. Seperti negara-negara dunia yang lain, Arab Saudi juga bakal berdepan tekanan ekonomi akibat Covid-19 termasuk penurunan harga minyak akibat penurunan permintaan pasaran. Tetapi sekali lagi, sikap terburu-buru MbS yang mahu membuktikan dirinya jaguh kembali apabila Riyadh terjebak dalam p3rang harga dengan Rusia selepas OPEC dan Rusia tidak sefahaman dalam soal bilangan pengeluaran minyak yang patut dipotong.

Akibat p3rang harga demi memuaskan ego Riyadh menjadi pengeluar minyak nombor satu dunia, ia mengakibatkan harga minyak turun dengan drastik. Namun, campur tangan AS memastikan OPEC+ bersetuju memotong pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong sehari yang berkuatkuasa pada Mei ini.

Namun seperti semua sedia maklum, situasi Covid-19 mengakibatkan harga WTI dan Brent semakin menurun. Ini sekaligus mendorong negara-negara OPEC+ segera mengadakan perbincangan pada minggu ini bagi mengelak kejatuhan harga yang lebih buruk.

Situasi Covid-19 juga dijangka menjejaskan sebarang usaha pelaburan Arab Saudi dalam bidang pelancongan memandangkan sektor ini merupakan yang paling teruk terjejas akibat wabak berkenaan. Misalnya, projek Maamal yang seharusnya menempatkan taman tema terbesar di dunia itu dijangka tidak akan berlaku.

Paling penting, semua bentuk projek yang dirancang dalam fasa-fasa SV2030 terpaksa dinilai semula sama ada berbaloi atau tidak. Dan itu sudah pasti bukan saja menjahanamkan tempoh perlaksanaan projek malah menekan ego MbS dalam memimpin negara berhadapan prospek kemelesetan ekonomi global yang berlaku akibat Covid-19.

RUJUKAN:

Ahmed, Nasim. (2020). Will the coronavirus claim Saudi’s ‘Vision 2030’ as its victim? Middle East Monitor. https://www.middleeastmonitor.com/20200402-will-the-coronavirus-claim-saudis-vision-2030-as-its-victim/

Stratfor Worldview. (2019). Why Saudi Arabia’s Vision 2030 Plan Might Fail. National Interest. https://nationalinterest.org/blog/buzz/why-saudi-arabias-vision-2030-plan-might-fail-98962

Furness, Virginia. (2020). Saudi Arabia’s Vision 2030 faces its biggest test. Euromoney. https://www.euromoney.com/article/b1kwsyr21vw5qs/saudi-arabias-vision-2030-faces-its-biggest-test


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.