Saudagar raja adalah satu jawatan penting yang pernah wujud dalam sejarah kerajaan Melayu sekitar abad ke 17 hingga abad ke 18 masihi. Jawatan ini diwujudkan oleh raja-raja Melayu ketika itu untuk menguruskan hal ehwal perdagangan kerajaan dan bisnes persendirian raja-raja Melayu.

Antara kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah melantik saudagar raja ialah Aceh, Kedah, Pattani, Terengganu, Perak, Pagar Ruyung, Siak, dan Jambi. Status jawatan saudagar raja ini setaraf dengan status menteri sultan yang lain seperti bendahara, temenggung, dan laksamana. Hampir semua saudagar raja yang dilantik oleh raja-raja Melayu merupakan pedagang-pedagang asing terutama sekali pedagang Islam yang berasal dari selatan India yang dikenali sebagai Chulia.

Sebelum kewujudan jawatan ini, memang sudah ada wakil yang dilantik oleh raja-raja melayu untuk uruskan hal perdagangan tetapi ianya bersifat ad hoc. Contohnya, dalam amalan kesultanan Melayu Melaka, saudagar Gujarat yang merupakan Shahbandar pelabuhan pada masa yang sama dilantik sebagai wakil Sultan untuk menguruskan hal ehwal perdagangan antarabangsa dengan pedagang-pedagang asing yang lain.

Namun, menjelang abad ke 17, raja-raja Melayu mula menubuhkan jawatan saudagar raja secara rasmi dan menjadi sebahagian daripada struktur pentadbiran kerajaan. Pengaruh Farangi dari Eropah seperti Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) yang mempunyai ejen-ejen sendiri untuk menguruskan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan Melayu juga mempengaruhi penubuhan jawatan saudagar raja ini.

Raja-raja Melayu memainkan peranan yang penting dalam kegiatan perdagangan antarabangsa yang berkembang pesat ketika itu. Sebagai pemerintah yang berdaulat, mereka berkuasa untuk memonopoli kegiatan perdagangan yang merupakan nadi ekonomi masyarakat maritim melayu. Sultan berkuasa mengawal pasaran tempatan dengan menentukan harga jualan barang dagangan yang bernilai seperti lada hitam, gambir, kapur, sutera, bijih timah, beras, dan candu serta mengenakan cukai terhadap pedagang-pedagang asing. Malahan, raja-raja melayu juga mempunyai “merchant fleet” iaitu armada kapal dagang sendiri yang berdagang di pelabuhan2 di China dan India.

Contohnya seperti Sultan Abdul Jalil III dari Johor menghantar jong-jong untuk berdagang ke pelabuhan-pelabuhan Coromandel dan China. Manakala Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam pula mempunyai hubungan perdagangan secara rasmi dengan empayar Mughal India pada awal abad ke 17. Namun, raja-raja Melayu tidak boleh menguruskan semua aktiviti perdagangan ini dengan sendiri kerana perbuatan ini dianggap tidak sesuai oleh ulama ketika itu. Jadi, saudagar raja bertanggungjawab menguruskan aktiviti perdagangan dan pelaburan yang dibuat oleh raja-raja Melayu dalam kegiatan perdagangan ini.

Fungsi utama saudagar raja adalah untuk menguruskan hal ehwal perdagangan kerajaan dengan pedagang-pedagang asing yang lain. Semua pedagang asing yang mahu berniaga dalam kerajaan Melayu mestilah berurusan hanya dengan saudagar raja saja. Perjumpaan dengan saudagar raja adalah amat penting bagi membincangkan terma-terma perdagangan yang akan dijalankan diantara pedagang dan kerajaan melayu. Urusan perdagangan yang diuruskan oleh saudagar raja mestilah menguntungkan sultan dan kerajaan. Saudagar raja juga diamanahkan untuk memantau aktiviti perdagangan di pelabuhan dan memastikan bahawa barang dagangan sultan dijual dan dihantar kepada pedagang dengan selamat.

Pada satu masa, jawatan saudagar raja digabungkan dengan shahbandar seperti yang berlaku di Kedah. Namun, jawatan saudagar raja ini tidak boleh diwarisi dan sultan boleh menarik balik gelaran tersebut mengikut kehendak baginda. Jawatan ini adalah satu-satunya jawatan dalam kerajaan melayu yang dilantik berdasarkan kebolehan ataupun merit seseorang saudagar dalam mengendalikan hal ehwal perdagangan kerajaan.

Tetapi mengapa saudagar-saudagar raja yang dilantik mesti saudagar asing berbanding orang Melayu sendiri? Pilih kasih ke raja-raja Melayu dalam hal ini? Faktor yang paling penting ialah keupayaan pedagang-pedagang asing yang boleh menguasai pelbagai bahasa. Ini merupakan satu aset penting dalam dunia perdagangan antarabangsa. Pedagang-pedagang dari Arabia, India, dan Persia berjaya menguasai pelbagai bahasa yang dapat memudahkan urusan perdagangan mereka di serata dunia.

Mereka juga boleh fasih berbahasa Melayu yang berjaya menarik minat raja-raja Melayu untuk melantik mereka sebagai saudagar raja. Contohnya, pada abad ke 18, seorang pedagang Chulia yang bernama sebagai Po Saleh dilantik menjadi saudagar raja Aceh kerana boleh berbahasa Melayu dan Aceh. Antara saudagar Chulia yang dilantik menjadi saudagar raja termasuklah Piro Mohamed dan Jamal (Kedah), Sedelebe dan Tambi Kecil (Perak), dan Nasruddin Ali (Terengganu).

Selain itu, faktor network ataupun rangkaian perdagangan antarabangsa yang saudagar-saudagar asing ini miliki dapat memudahkan raja-raja Melayu menembusi pasaran antarabangsa. Hal ini menjadikan saudagar-saudagar asing menjadi pilihan utama raja-raja melayu melantik mereka menjadi saudagar raja. Pedagang-pedagang Islam seperti orang Arab, Parsi, dan India telah menguasai perdagangan lautan Hindi sejak sekian lama. Pedagang-pedagang Islam telah memonopoli perdagangan rempah ratus, sutera, teh, ganding dll yang menjadi permintaan tinggi dunia.

Tambahan pula, kerajaan-kerajaan Islam seperti Turki Uthmaniah, Safavid Persia, Mughal India, kerajaan-kerajaan Islam Parsi-India telah menguasai pelabuhan-pelabuhan utama perdagangan yang menjadikan hampir seluruh kawasan lautan Hindi menjadi satu “Muslim Lake”. Oleh itu dengan adanya saudagar raja yang dilantik dalam kalangan pedagang Islam, amat mudah untuk raja-raja Melayu menembusi pasaran perdagangan antarabangsa dunia yang menjangkau dari timur Afrika hinggalah ke Nusantara.

Contohnya pada awal abad 17, kerajaan Aceh mula menubuhkan hubungan perdagangan secara langsung dengan kerajaan-kerajaan Islam India dan Sultan Iskandar Muda melantik seorang saudagar Chulia menjadi saudagar raja untuk menguruskan hal ini. Saudagar raja Aceh ini berjaya menarik pedagang-pedagang Islam di India untuk berdagang di Aceh. Pedagang-pedagang India telah membeli banyak barang tempatan seperti kapur, gajah, dan lada hitam yang mempunyai permintaan tinggi di India dan sekali gus menjadikan Aceh pelabuhan utama pedagang-pedagang Islam di Alam Melayu.

Pada abad ke 18 pula, Sultan Iskandar dari Perak telah melantik seorang saudagar Chulia sebagai saudagar raja. Tambi Kecil memiliki rangakaian perdagangannya di selatan India dan berjaya menarik pedagang-pedagang Chulia untuk membeli gajah yang Sultan Iskandar miliki. Selepas itu, Sultan Iskandar mengurniakan gelaran Raja Mutabar Khan kepada Tambi Kecil.

Di samping tu, peranan saudagar raja bukan saja terbatas dalam urusan perdagangan semata-mata. Dalam satu masa, saudagar raja juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai pentafsir diraja, penulis diraja, dan diplomat. Malahan pada satu masa, pengaruh politik saudagar raja yang kuat di istana menjadikan mereka pemerintah de facto sesebuah kerajaan melayu. Contohnya, pada pertengahan abad ke 18, seorang saudagar Chulia yang dikenali sebagai Jamal pernah menguasai pentadbiran kerajaan Kedah semasa pemerintahan sultan Abdullah. Jamal telah memonopoli semua aktiviti perdagangan di Kedah dan merasuah banyak pembesar negeri untuk bekerjasama dengan dia. Jamal juga mengawal gerak geri sultan dengan mengurung baginda dalam sebuah kubu atas alasan untuk melindungi baginda daripada ancaman pembunuh upahan.

Pengaruh saudagar raja yang kuat dalam sesebuah kerajaan Melayu menyebabkan pedagang-pedagang Farangi terpaksa berbaik baik dengan saudagar raja bagi menjamin peluang perdagangan yang baik untuk mereka. Hal ini kerana saudagar raja berkuasa menentukan siapa yang berhak untuk berdagang kerana kuasa yang diberikan oleh sultan. Saudagar raja juga boleh menasihati sultan tentang kesesuaian perdagangan dengan mana-mana pedagang Farangi.

Oleh itu, wakil-wakil VOC & EIC banyak memberikan hadiah apabila berurusan dengan saudagar raja. Contohnya pada tahun 1744, Gabenor VOC di Melaka menghadiahkan pakaian sutera kepada saudagar raja Perak selepas menandatangani perjanjian perdagangan bijih timah diantara VOC dan kerajaan Perak. Memang tidak dinafikan juga bahawa pada satu tahap pedagang Farangi juga naik menyampah melayan saudagar raja ni. Francis Light dalam suratnya menyebut saudagar raja Jamal sebagai orang yang jahat dan licik yang berkuasa dalam kerajaan Kedah.

Walaubagaimanapun, pegangan raja-raja Melayu terhadap kegiatan perdagangan antarabangsa semakin lemah kerana terpaksa membuka pasaran tempatan kepadadesakan dan ancaman pedagang-pedagang Farangi. VOC terutama sekali memaksa kerajaan-kerajaan Melayu untuk berdagang dengan mereka dan mengenakan monopoli perdagangan yang ketat yang merugikan raja-raja Melayu. Contohnya, pada abad ke 18, kerajaan-kerajaan Melayu seperti Kedah, Perak, dan Selangor dipaksa untuk menjual bijih timah hanya kepada VOC. Malahan VOC juga telah menawan Riau pada tahun 1784 selepas berperang dengan kerajaan Johor yang dikawal oleh Bugis.

Kegagalan raja dalam mengawal kegiatan ekonomi terutama sekali perdagangan antarabangsa telah membawa kepada tamatnya zaman perkhidmatan saudagar raja. Raja-raja Melayu tidak memerlukan lagi perkhidmatan saudagar raja kerana semua urusan perdagangan kerajaan Melayu telah diambil sepenuhnya oleh pedagang-pedagang Farangi yang telah memonopoli perdagangan Alam Melayu menjelang abad ke 19.

RUJUKAN:

Andaya, L.M. (2010). Leaves of the Same Tree. Singapore. NUS Press.

ANDAYA, B. (1978). THE INDIAN SAUDAGAR RAJA (THE KING’S MERCHANT) IN TRADITIONAL MALAY COURTS. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 51(1 (233)), 12-35. Retrieved from http://www.jstor.org/stable/41492184.

Miller, W. (2011). English Country Traders and Their Relations with Malay Rulers in the Late Eighteenth Century. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 84(1 (300)), 23-45. Retrieved from http://www.jstor.org/stable/41493788.

Artikel disumbangkan oleh Danial Hamzah untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.