Di United Kingdom, sukan lumba kuda memang menjadi satu kegemaran. Ia malah dianggap sebagai sukan nombor dua paling popular, selepas sukan bola sepak. Popularnya sukan ini sampaikan setiap tahun, dianggarkan kira-kira enam juta orang menghadiri perlumbaannya di Britain sahaja – dengan 40% daripada mereka ialah wanita.

Sememangnya, sukan ini mempunyai sejarah panjang. Hatta hingga ke zaman kuno (dipertandingkan dalam bentuk lumba kuda dan lumba pedati). Namun, ia mula mendunia sekitar 1920-an di Amerika Syarikat apabila sukan itu melibatkan pertαruhan dan penyertaan secara global.

Bayangkan pada hari ini sahaja, industri tersebut menyumbang sebanyak $39 billion kepada ekonomi AS. Lebih tiga kali ganda daripada impak ekonomi dari Liga Premier Inggeris (EPL) kepada UK yang hanya  $10.4 billion sahaja pada musim 2019-20. Jadi, memang besar sebenarnya sukan lumba kuda ini.

Pada era keemasannya, arena sukan lumba kuda di AS sempat kecoh dengan satu nama. Iaitu Frank Hayes (1901-1923). Jika lihat latar belakangnya, Hayes bukanlah kelahiran Amerika. Dia dan keluarganya berhijrah dari Ireland pada 1916, ketika Hayes berusia 15 tahun.

Di AS, mereka sekeluarga menetap di Brooklyn. Saat itulah Hayes mula menceburi sukan lumba kuda yang diminati sejak kecil. Ikutkan, minatnya itu selalu dibantah oleh ibunya. Sebab dia menghidap lemah jantung. Tetapi kerana minat, Hayes buat selamba. Sampaikan bila dia sudah tiada, ibunya kata, “Itulah… dia fanatik sangat dekat sukan lumba kuda.” (Patowary, 2022)

Perjalanan Hayes bertitik tolak sebagai budak kandang. Yakni, dia bekerja di kandang kuda. Pemiliknya bernama James K.L Frayling. Tugas Hayes di situ adalah membersihkan kandang, menyelenggara peralatan lumba, dan menjaga serta melatih kuda.

Tiga tahun juga dia melakukan kerja-kerja sebegitu. Sampailah usianya menginjak 20 tahun. Tahun itu, dia berpeluang menjadi joki. Ia bermula selepas dia memujuk Frayling supaya mengizinkannya menunggang seekor kuda bernama Sweet Kiss. Dan, Frayling izinkan.

Frank Hayes

Cuma, Sweet Kiss tiada pengalaman berlumba – sama seperti Hayes. Jadi mahu tidak mahu, kedua-duanya perlu berlatih keras. Empat bulan mereka berhempas-pulas demi menyertai perlumbaan di Belmont Park, New York pada 4 Jun 1923.

Ia bagaimana pun belum memadai buat Hayes. Berat badannya masih melebihi piawai yang ditetapkan. Tidak banyak pun, cuma 12 paun (5.4 kg). Tetapi, 5.4 kg inilah penentu sama ada Hayes boleh sertai perlumbaan atau pun tidak.

Temasya tinggal lagi dua minggu. Justeru, dalam dua minggu itu juga Hayes perlu turunkan berat badannya kepada 130 paun (59 kg). Jadi, siang malam dia luangkan masa senggang dengan berlari. Hatta pada pagi perlumbaan pun, menurut akhbar Buffalo Morning Express, dia masih berlari.

Dalam perlumbaan tersebut, duo Hayes-Sweet Kiss memang tidak diletakkan sebagai pilihan utama. Tαruhan ke atasnya pun tidak banyak; cuma 5:1. Hal ini munasabah. Sebab perlumbaan itu merupakan debut mereka berdua.

Tetapi ketika hampir ke penghujung perlumbaan, Hayes mendominasi trek. Kudanya berada paling hadapan, memecut laju menghampiri garisan diiringi sorak-sorai penonton. Habis riuh Belmont Park dibuatnya. Mana tidak, pelumba pilihan kini ketinggalan – diganti oleh pelumba baru yang pertama kali membuat penampilan.

Suasana yang hangat bertambah hangat apabila Sweet Kiss ditunggangi dengan hanya sebelah tangan. Sebelah lagi tangan Hayes tergantung di udara, melantun-lantun mengikut rentak larian dan lompatan. Ia seakan Hayes menyambut kemenangannya lebih awal. Jadi, hadirin pun ikutlah menyambutnya sama-sama. Hatta setelah Hayes rebah beberapa puluh meter selepas kudanya melepasi garisan penamat pun, sorakan masih meriah.

Keadaan hanya berubah selepas beberapa minit kemudian. Apabila tubuh Hayes tidak bangkit dan bergerak. Saat itulah, suasana girang bertukar panik. Petugas medik lantas bingkas mendapatkan Hayes. Pada hari itu, anggota yang bertugas ialah Dr. John A.H. Voorhess.

Beliau cuba berikan rawatan awal kepada Hayes. Tapi ternyata sudah terlambat. Hayes tidak lagi bernyawa. Kemαtiannya disahkan berpunca daripada serαngan jantung, akibat latihan berat sepanjang tempoh persediaan – hatta pada pagi perlumbaan (Tapalaga, 2021).

Keratan laporan berita belasungkawa ke atas Frank Heyes

Keesokan hari, namanya menghiasi dada setiap akhbar. Tajuk paling gempar mungkin datang daripada The Brooklyn Daily Eagle yang menulis, “Jockey Hayes, Vιctιm of Heart Diseases, Earns Goal but the Effort Kιlls Him (Hayes si Joki, Penghidap Sαkit Jantung, Capai Impian Tetapi Usaha Keras Membυnυhnya).

Memang ‘kena’ pun tajuk itu. Sebab Hayes memang dapat menunaikan impian menjadi joki. Cuma ajal mentakdirkan supaya dia tidak sempat meraikan kemenangan. Namun, hal itu dibayar dengan perkara lain – iaitu pengabadian.

Ini apabila namanya dimasukkan ke dalam Guinness World Records sebagai joki pertama yang memenangi perlumbaan dalam keadaan meninggal dunia – satu rekod yang walaupun tidaklah sama, tetapi boleh mengingatkan kita kepada jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang semasa di Manchester pada 2011.

Apapun kembali kepada Hayes, tiga hari selepas menιnggal dunia, jasadnya disemadikan – lengkap berpakaian joki sambil dihadiri oleh enam orang rakan karibnya.

Mereka yang bertαruh pada Sweet Kiss pula pulang membawa habuan besar (Britton, 2018). Dianggarkan, jumlahnya mencecah $1,775 (kini $28,710 atau RM119,907). Cuma selepas kemα ian Hayes, tiada siapa berani menunggang Sweet Kiss. Salah satu sebabnya adalah kerana ia diberikan julukan baru, ‘Sweet Kiss of Dεαth’ – satu nama yang dianggap membawa suwey.

RUJUKAN:

Britton, Bianca. (2018, 10 December). Frank Hayes: The jockey who won a race despite being dεαd. CNN Sports.

Patowary, Kaushik. (2022, 4 January). Frank Hayes: The Only Dεαd Man in History to Win a Race. Amusing Planet.

Tapalaga, Andrei. (2021, 14 November). The Jockey Who Won a Race Despite Being Dεαd. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply