Sarawak Regatta Since 1871

0
522
views

SARAWAK Regatta adalah salah satu daripada aktiviti sukan air yang amat popular di Sarawak. Saban tahun ianya akan diadakan di Sungai Sarawak dan telahpun diangkat menjadi antara acara nasional di Sarawak. Dari dahulu sehinggalah sekarang dianya telah mengamit ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk bertandang ke Sarawak Bumi Kenyalang.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa regatta ini adalah bentuk sukan zaman moden namun sebenarnya regatta ini telahpun bermula di ketika Sarawak diperintah oleh Rajah Brooke lagi. Perlulah diketahui bahawa suatu waktu dahulu bumi Sarawak sentiasa bermandikan darah. Ini kerana walau Brooke telah cuba untuk mengharamkan tradisi perang perluasan wilayah yang menyaksikan banyak kepala terlerai dari badan manusia, namun ianya masih tetap dilaksanakan juga. Banyak hal yang boleh membawa kepada pertingkahan perang antara etnik yang pelbagai pada masa itu.

Jadi, di ketika itulah munculnya idea dari Rajah Brooke untuk mencari satu formula bagi kaum-kaum yang bertingkah ini untuk melupakan seketika sengketa mereka. Maka atas usulan penjawat awam Kerajaan Sarawak maka timbullah cadangan untuk mengadakan satu sukan yang paling dekat di hati masyarakat Sarawak.

Pemilihan sukan air iaitu sukan lumba perahu sebenarnya mempunyai ceritanya tersendiri. Ini kerana sungai atau pengangkutan air itu merupakan nadi utama rakyatnya dari dahulu sehingga sekarang. Dek kerana itu, sudah pasti rakyat Sarawak tanpa mengira kaum amat arif tentang teknologi membuat perahu tradisional mahupun cara untuk mendayung dengan betul. Jadi sememangnya sukan lumba perahu itu merupakan satu-satunya sukan yang dijangka boleh menyatupadukan semua pihak.
Menurut sejarahnya, sukan lumba perahu Sarawak Regatta yang julung-julung kali diadakan di Sungai Sarawak adalah sekitar Januari 1871. Bagi memastikan bahawa sukan ini mendapat sambutan dikatakan Rajah Charles Brooke iaitu Rajah kedua Sarawak telah bertindak sendiri menghantar kapalnya yang bernama “Maimunah” untuk menghantar undangan kepada semua ketua kaum di Sarawak mengenai perlumbaan ini. Walau pada masa itu dikatakan beliau tidak begitu pasti tentang maklumbalas masyarakat Sarawak namun ternyata respons yang diterima amat positif.

Bermula dari penerimaan undangan untuk menyertai Sarawak Regatta itulah dikatakan ramai ketua kaum telah berganding bahu dengan pengikut mereka untuk pergi ke hutan mencari kayu yang terbaik untuk membuat perahu. Pelbagai kaedah digunakan dengan setiap satu daripada kaum menampilkan ciri-ciri unik bagi menonjolkan keseniaan dan kekuatan kaum mereka. Selain daripada itu, pendayung-pendayung pula dipilih di kalangan mereka yang kuat dan pandai tentang seni berdayung perahu. Malah ada segelintir daripada pasukan pada masa itu turut “menyembunyikan” latihan mereka bagi memastikan sentiasa ada kejutan sewaktu pertandingan kelak.

Mungkin sekarang imbuhan memenangi sukan lumba perahu dan dinobatkan sebagai “Raja Air Sungai Sarawak” menjadi pendokong semangat untuk setiap pasukan yang menyertainya namun suatu waktu dahulu memenangi sukan ini berkait langsung dengan maruah kaum. Maruah sebagai pendominasi dunia sukan air di Sarawak itu lebih penting berbanding segalanya.

Di dalam kronologi sejarah Sarawak juga turut ada satu lagi regatta yang serupa iaitu yang diadakan di Sungai Baram. Sejarahnya juga berkaitrapat dengan dunia pertelingkahan kaum suatu waktu dahulu. Regatta Baram merupakan satu lagi regatta yang diadakan sejak dari tahun 1899.

Waqaf Saham

Regatta Baram dianjurkan oleh Residen Marudi iaitu Charles Hose dengan visi yang sama iaitu untuk menghapuskan perpecahan dan memujuk suku kaum untuk membantu Kerajaan Brooke di dalam keamanan. Residen Charles Hose berpendapat setelah pengharaman “potong kepala” ke atas semua kaum di Sarawak pada masa itu, adalah elok sekiranya mereka diberikan peluang untuk menghabiskan waktu dengan melibatkan diri di dalam sukan.

Sejajar dengan peredaran zaman, Sarawak Regatta telah semakin berkembang acaranya. Jika dahulu, mungkin perahunya lebih kepada perahu perang tetapi sekarang telah ditambah dengan pelbagai acara sukan air moden seperti pertandingan bot ski, perahu berhias dan banyak lagi. Jumlah penyertaannya pula berbeza.

Jika dahulu dikhaskan untuk kaum-kaum yang bertelagah, sekarang peserta-peserta Sarawak Regatta telah mencakupi bahagian-bahagian di seluruh Sarawak tidak kira daripada kerajaan ataupun swasta malah negara jiran Brunei Darussalam juga seringkali menghantar pasukan terbaik mereka untuk menyertai sukan air ini.

Sarawak Regatta, sukan air untuk keamanan dan perpaduan Sarawak Bumi Kenyalang.
-HB-

#KamekSayangSarawakBah
Kredit foto: SarawakVacation

Rujukan:
1. Sarawak Regatta – Distinct Historical And Cultural Significant To Sarawak Tolerance And Harmonious Living
https://www.sarawak-vacation-destinations.com/sarawak-regatta-distinct-historical-and-cultural-significant-to-sarawak-tolerance-and-harmonious-living.html

2. Utusan Online, 4/9/2014 oleh Taksu Zackaria – Regatta Tamatkan Sengketa Kaum
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20140904/wb_06/Regata-tamatkan-sengketa-kaum?t=123

3. Star Online, 8/9/2005 oleh Stephen Then – Regatta That’s Full of History
https://www.thestar.com.my/news/nation/2005/09/08/regatta-thats-full-of-history/

4. Perjanjian Marudi 1899 – Borneo Oracle

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here