DI dalam undang-undang antarabangsa moden, negara atau wilayah naungan (protectorate) adalah bermaksud satu wilayah otonomi yang dilindungi secara diplomatik ataupun ketenteraan iaitu daripada serangan pihak ketiga oleh satu negara atau entiti yang lebih kuat. Sebagai pulangan kepada perlindungan itu makanya negara atau satu wilayah yang dinaungi mungkin terpaksa menerima beberapa peraturan ke atas pentadbiran negara atau wilayah mereka mengikut persetujuan bersama.

Untuk konteks Sarawak misalnya iaitu di ketika pemerintahan dinasti Brooke, tercatit di dalam sejarah iaitu pada tahun 1888 merupakan negara naungan (protectorate) Kerajaan Mahkota British sama seperti North Borneo (Sabah) dan Negara Brunei Darussalam pada masa itu. Sebagai pulangan memberi perlindungan kepada Sarawak makanya dinasti Brooke melalui Tuan Rajah Charles Brooke telah menyerahkan kuasa hal ehwal antarabangsanya kepada British manakala hanya berhak kepada kuasa-kuasa dalaman bagi Sarawak.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawasanya bukanlah semudah itu Brooke sebagai pemerintah Sarawak mendapat hak sebagai negara naungan British suatu ketika dahulu. Menurut rekod dinyatakan bahawa Tuan Rajah James Brooke telah memulakan usahanya sejak dari tahun 1845, 1850 dan 1863 dengan mengutus surat rasmi kepada baginda ratu untuk menjadikan Sarawak sebagai negara naungan British. Ini kerana beliau sendiri memahami bahawa Sarawak memerlukan kuasa besar seperti British untuk melindungi Sarawak daripada serangan negara kuasa-kuasa besar yang lain mahupun serangan tempatan di dalam negeri itu sendiri.

Walaupun begitu kehendak Tuan Rajah James Brooke tidak pernah dilayan oleh baginda Ratu dan beliau hanya berjaya mempengaruhi British dengan menghulurkan bantuan ketenteraan sahaja iaitu di dalam kempennya membanteras lanun di Sarawak. Dek kerana itulah jika dilihat dari awal lagi, James Brooke ketika mula mengembangkan wilayah Sarawak sehingga ke pedalaman telah banyak dibantu oleh kapal-kapal armada laut British selain kapalnya sendiri iaitu H.M.S Royalist.

Difahamkan pada tahun 1849 iaitu Tuan Rajah James Brooke turut cuba mencari kuasa besar yang lain setelah tidak dilayan oleh British sebelumnya. Kali ini dikatakan beliau telah menghantar perutusan rasmi ke Negara Amerika Syarikat iaitu dibawah Presiden James Knox Polk yang menjadi Presiden Amerika dari tahun 1845 hingga 1849. Hanya disaat akhir pemerintahannya Presiden Polk memberikan jawapan kepada permintaan Brooke tetapi bukan sebagai negara naungan Amerika Syarikat sebaliknya diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka (sovereign country) oleh Amerika Syarikat kerana pada masa itu juga Amerika Syarikat sedang diulit perang saudara Utara dan Selatan mereka.

Sekitar tahun 1857 iaitu ketika berlakunya pemberontakan dalaman iaitu Pemberontakan Pelombong Cina Hakka 1857 yang mana menyaksikan Tuan Rajah James Brooke hampir terbunuh tatkala pelombong-pelombong Cina Hakka menyerang Kuching sehingga membakar kediaman rasminya. Nasibnya cukup baik kerana dikatakan berjaya menyelamatkan diri ke dalam sungai Sarawak dan seterusnya berenang sehingga disembunyikan seketika oleh keluarga Melayu Datu-datu yang tinggal di perkampungan Melayu di tebing Sungai Sarawak pada masa itu. Hampir tiga hari Kuching ditawan oleh pelombong Cina Hakka yang mengamuk sehinggalah anak saudaranya Charles Brooke berjaya mengalahkan mereka semua sehingga dihalau keluar dari Kuching dan kemudian diperangi sehabis mungkin di Bau sehingga ke Kalimantan.

Itu ceritanya pada tahun 1857 dan dek kerana peristiwa itulah, Tuan Rajah James Brooke mula memikirkan keseriusan untuk mendapat hak sebagai negara naungan walaupun Baginda Ratu British langsung tidak melayan keinginannya sebelum itu. Tidak berputus asa, Tuan Rajah James Brooke meneruskan cita-citanya dengan mempelawa kuasa-kuasa besar yang lain seperti Belanda, Belgium, Itali, Perancis dan akhir sekali Portugis untuk menaungi Sarawak. Namun tiada yang memberikan jawapan ke atas permintaannya melainkan Belgium iaitu melalui Raja Leopold II.

Sekitar tahun 1861, hanya Raja Leopold II menghantar perutusan ke Sarawak namun pelawaan beliau langsung tidak menarik minat James Brooke kerana ianya disifatkan sebagai cubaan untuk menjajah Sarawak dengan mengeksploitasi sumber balak, emas malah rakyat Sarawak itu sendiri yang dikatakan beliau mahukan sebagai buruh percuma kelak. Dek kerana itu jugalah James Brooke tidak pernah memunculkan diri di Belgium walaupun segala hal perjanjian sudahpun disiapkan di sana.

Akhirnya surat James Brooke kepada baginda Ratu pada tahun 1863 mendapat maklumbalas seperti yang diingini beliau. Lama beliau menunggu sehinggalah berita gembira dikhabarkan oleh Menteri Luar British iaitu Sir Lord Palmerston kepada beliau. Pada masa itu British dibawah baginda Ratu Alexandrina Victoria berkenan untuk menjadikan Sarawak sebagai negara naungan British. Walaupun surat pengesahan bertarikh tahun 1863 ianya benar-benar berlaku pada tahun 1888 iaitu melalui Perjanjian Negara Protektorat British 1888 yang melibatkan North Borneo, Brunei dan Sarawak. Pada masa itu dikatakan Baginda Sultan Brunei sudah buntu tatkala wilayah negaranya semakin mengecil dek kerana kerakusan dua kerajaan lain berlumba-lumba mendapatkan wilayahnya iaitu The North Borneo Chartered Company di sebelah Borneo Utara dan Brooke di sebelah Sarawak.

Antara isi kandungan Perjanjian Protektorat British 1888 itu cukup jelas menyatakan bahawa tiada mana-mana kuasa yang akan melebarkan wilayah mereka antara satu sama lain dan British juga akan memberikan perlindungan ketenteraan keatas ketiga-tiga negara ini sekiranya berlaku sesuatu perang dan sebagainya. Namun begitu di pihak Sarawak tercalar kewibawaannya tatkala pada Tuan Rajah Kedua iaitu Tuan Rajah Charles Brooke telah merampas Limbang dengan menaikkan bendera Sarawak di Limbang pada 17 Mac 1890 dan mengistiharkan Limbang berada di bawah Kerajaan Sarawak.

Perampasan ini disifatkan sebagai satu tindakan menconteng arang kepada baginda dan lantas baginda mengutus surat kepada Baginda Ratu tentang hal ini berdasarkan perjanjian 1888 dan menggesa Limbang dikembalikan kepada Brunei. Namun hal sebaliknya yang berlaku apabila Baginda Ratu enggan membantu malah hanya menghantar Konsul British ke Borneo yang baru iaitu Neil Penrose Trevenen (1890-1898) untuk membuat siasatan ke Limbang dan akhirnya Kerajaan British memihak kepada Charles Brooke atas bumi Limbang.

Berdasarkan laporan N.P. Trevenen, kerajaan Britain bersedia untuk mengesahkan perampasan Limbang tetapi persetujuan hendaklah dibuat dengan membayar ganti rugi kepada Sultan Brunei. Pada Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei dikhabarkan akan menerima $6000 setiap tahun. Turut dinyatakan sekiranya baginda menolak wang pampasan tersebut dalam masa tiga tahun yakni berkuatkuasa pada tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut akan dikembalikan kepada Charles Brooke. Dinyatakan Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei langsung tidak mahu menerima walau sesen pun wang tersebut kerana tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit sebagai ganti rugi.

Pelbagai cara digunakan oleh Trevenen untuk memujuk Baginda Sultan Brunei namun tiada yang berjaya sehinggalah tempo tiga tahun itu berakhir iaitu pada tahun 1895.
Sekitar Ogos 1895, Pejabat Hal Ehwal Luar Great Britain telah mengistiharkan kes perampasan Limbang oleh Charles Brooke itu ditutup. Keputusan ini telah mengecewakan Baginda Pengiran Anak Hashim. Isu perampasan Limbang masih tetap tidak diterima dalam hidupnya sehinggalah Baginda mangkat pada tanggal 10hb Mei 1906.

Dan diketika Perang Dunia Kedua yang semakin mendekat di Sarawak mahupun Asia Tenggara, Sarawak sebagai negara naungan British telah bersiapsedia dengan sebarang kemungkinan. Sekitar 1930an memenuhi tuntutan Perjanjian Protektorat 1888, British telah menempatkan 205th RAF Squadron di Kuching namun ianya adalah lebih kepada pesawat air dan sekitar tahun 1941 diarahkan untuk meninggalkan Sarawak dan diletakkan di Singapura. Tuan Rajah Charles Vyner Brooke masih tidak pernah beralih arah dengan terus membina kelengkapan ketenteraan untuk menyekat Sarawak ditakluki oleh tentera Jepun. Maka terbinalah banyak pangkalan udara di Sarawak seperti di Kuching, Mukah, Miri dan Bintulu (tidak disiapkan akibat kekurangan dana).

Namun sayangnya ketika Perang Dunia Kedua berlangsung pada akhir tahun 1941 menyaksikan Sarawak tidak mendapat bantuan daripada British kerana mereka sendiri masih sibuk mempertahankan jajahan koloni mereka iaitu Malaya dan Singapura yang turut diperangi oleh Jepun pada masa itu. Natijah daripada ketiadaan bantuan pertahanan itu juga menyaksikan Air Vice-Marshal Sir Robert Brooke-Popham menggesa Tuan Rajah Charles Vyner Brooke menggerakkan pelan “taktik bumi hangus” ke atas semua infrstruktur minyak dan gas di Sarawak yang telah diaktifkan oleh Sarawak Force (Sarfor) yang terdiri daripada Sarawak Rangers dan Punjabi Regiment di Sarawak.

Permulaan untuk mendapatkan status negara naungan British begitu meyakinkan namun pengakhirannya Sarawak bersendirian jua bersama rakyat Sarawak yang setia pada ibu pertiwinya.

Dum Spiro Spero
While I Breath, I Hope

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. The Invasion of British Borneo 1942
http://www.oocities.org/dutcheastindies/sarawak.html
2. Sarawak Tribune, 30th June 2018 – 11. Protectrate Treaty Of 1888
https://www.newsarawaktribune.com.my/news/11-protectorate-treaty-of-1888/
3. Full Text Of “The Life of Queen Victoria and the story of her reign”
https://archive.org/stream/cu31924091024509/cu31924091024509_djvu.txt
4. http://thecommonwealth.org/our-member-countries/malaysia/history
5. http://www.authorsden.com/visit/viewarticle.asp?id=19648


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.