Sanhujori: Berpantang Cara Korea

1,349

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Jika di Malaysia, ibu-ibu yang melahirkan anak mempunyai kaedah pantangnya yang tersendiri, begitu juga halnya dengan di Korea. Budaya berpantang di Korea unik dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Budaya ini merangkumi rawatan selepas bersalin untuk wanita serta ubat-ubatan dalam bentuk makanan (food medicine). Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai sanhujori, iaitu budaya berpantang selepas bersalin khusus untuk para wanita di Korea.

Apa itu sanhujori?

Sanhujori secara bahasanya, terdiri daripada dua suku kata yang berbeza, iaitu sanhu, perkataan Korea yang bermaksud selepas melahirkan dan jori, yang bermaksud memulihkan keadaan fizikal dan minda yang lemah agar dapat pulih seperti sediakala.

Secara keseluruhannya, sanhujori adalah sebahagian daripada budaya Korea yang merangkumi sistem penjagaan untuk wanita selepas bersalin. Ia boleh juga dianggap sebagai salah satu bentuk pantang selepas bersalin.

Tempoh masa untuk sanhujori ini biasanya antara tiga minggu hingga sebulan. Namun, dalam kebanyakan amalan, tempoh dua minggu sanhujori dianggap sebagai suatu keperluan, dan tujuh minggu sebagai tempoh yang lebih baik untuk diamalkan.

Malah, ada yang melanjutkannya sehingga mencecah 100 hari, yang dianggap sebagai tempoh ideal untuk sanhujori. Budaya ini juga menetapkan, bagi wanita yang ingin pulih sepenuhnya daripada proses kelahiran dan kembali kepada keadaan fizikal, mental serta sosial yang biasa, mereka harus mempertimbangkan untuk menjalani sanhujori antara 100 hari hingga ke setahun.

Paling unik, ada sesetengah daripada masyarakat Korea yang menyatakan pilihan musim yang mereka sukai dalam menjalani sanhujori. Musim sejuk dianggap lebih baik daripada musim panas untuk sanhujori, manakala musim bunga (antara Mac hingga April) atau musim luruh (September atau Oktober) yang mana keadaannya tidaklah terlalu sejuk atau panas dianggap sebagai musim sanhujori yang paling ideal.

Komponen dan prinsip sanhujori

Amalan sanhujori ini merangkumi beberapa komponen di dalamnya. Yang pertamanya adalah memakan makanan berkhasiat, kedua; melakukan senaman atau aktiviti dan yang ketiga; memanaskan badan. Sementara itu, terdapat enam prinsip utama dalam amalan sanhujori ini, yang mana ia adalah berdasarkan persepsi dan pandangan wanita yang mengamalkan sanhujori ini:

1, Memulihkan badan dengan meningkatkan kepanasan badan dan mengelakkan kesejukan

  • Prinsip ini menyatakan pemulihan wanita selepas bersalin dengan mengekalkan kehangatan badan, secara luaran iaitu dengan mengehadkan aktiviti serta menjaga persekitaran. Juga secara dalaman, iaitu dengan makanan yang diambil.
  • Hangat secara luaran ini termasuklah pemanasan persekitaran, terutamanya ‘lantai yang panas’, yang mana contoh paling jelas adalah Ondol, iaitu kaedah tradisional Korea untuk pemanasan lantai. Ondol pada zaman moden kini dibina menggunakan saluran paip air panas di bawah lantai.
  • Wanita juga harus mengelak daripada terdedah kepada keadaan atau cuaca sejuk bagi mengelakkan mereka daripada risiko sanhubyung, iaitu gangguan atau kesakitan selepas bersalin.

2. Berehat tanpa melakukan kerja

  • Prinsip ini menyarankan wanita untuk berehat secara mental dan fizikal bagi mengekalkan keselesaan untuk tubuh badan. Hal ini boleh dicapai dengan usaha daripada wanita itu sendiri, dengan bantuan daripada orang sekelilingnya.

3. Makan dengan baik

  • Prinsip ini memerlukan wanita untuk menikmati makanan yang disediakan khas untuk wanita selepas bersalin. Ini termasuklah Gukbap, yang merupakan sejenis sup rumpai laut dan nasi kukus; yang disebut Myeok-guk, dan Bap. Setiap makanan yang diberi kepada wanita bersalin perlu ditentukan jenis, sifat, jumlah dan waktu ia disediakan.
  • Ciri makanan yang sesuai adalah hangat, lembut, dan menyegarkan; sementara makanan yang sejuk, keras, pedas, manis, masin, atau masam harus dielakkan. Makanan yang mematuhi ciri harus kerap diberikan kepada wanita selepas bersalin, umumnya lima hingga tujuh kali sehari, dan sama ada pada tiga waktu makan biasa, sebelum sarapan, dan selepas makan malam; atau dua kali antara makanan biasa dia.
  • Selama tempoh sanhujori, wanita itu harus diberi makanan sebanyak mungkin dan sekerap mungkin sama ada dia menginginkannya atau tidak.

4. Melindungi badan daripada tekanan/regangan yang membahayakan

  • Prinsip ini melarang wanita daripada melakukan aktiviti seperti mengangkat beban berat, bekerja terlalu keras, bekerja di luar rumah, berdiri lama, dan menegangkan diri dalam keadaan berbongkok.
  • Kegiatan berbahaya yang lain termasuk mencuci pakaian dengan tangan dengan meramas atau memutar, membongkok atau menegangkan diri di pinggang dan punggung, duduk dengan kaki bersilang, atau berdiri lama.\

5. Menjaga kebersihan

  • Membersihkan diri adalah digalakkan, tetapi harus dilakukan dalam keadaan yang harmoni dan perlu bersesuaian dengan prinsip Sanhujori yang lain.
  • Membersihkan badan harus dilakukan menggunakan air suam dalam bilik yang hangat atau ruang yang telah dinaikkan suhunya. Dalam proses ini, wanita perlu berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang pergerakan yang boleh meregangkan badan.

6. Perhatian sepenuhnya

  • Semua yang membantu para wanita selepas bersalin perlu mematuhi kesemua prinsip Sanhujori ini. Pembantu dan penjaga wanita ini bukan sahaja membantu menyediakan makanan yang sesuai dengan prinsip Sanhujori, malah harus menyediakan persekitaran yang sesuai dan menyokongnya.

Sejarah sanhujori

Jika dilihat dari sudut sejarah, sanhujori ini terbentuk daripada budaya masyarakat Korea itu sendiri. Ia adalah antara budaya yang melingkungi wanita Korea, sama seperti amalan yang dilakukan sewaktu mereka berkahwin dan ketika hamil.

Pada zaman dahulu, sanhujori ini memang dilakukan di rumah sahaja, dan para wanita akan dijaga oleh ibu mereka atau keluarga mentua mereka. Keluarga yang menjaga ini  melakukan pelbagai tugas, seperti memasak makanan untuk mereka dan menguruskan bayi yang baru lahir, dan mengelakkan ibu daripada beban kerja rumah yang berat. Melalui proses ini, ibu berpeluang memulihkan kesihatan mereka dan mempelajari pelbagai kemahiran, yang diperlukan untuk menjaga anak di masa depan.

Namun, ada juga beberapa amalan sanhujori yang dianggap tidak praktikal serta sedikit karut seperti ibu-ibu yang bersalin dihalang daripada menyertai acara pengkebumian atau bercakap dengan ketua perkabungan kerana dikhuatiri akan membawa nasib buruk bagi ibu dan bayi. Pada masa kini, tugas menjaga ibu yang bersalin dan amalan sanhujori ini telah mula diambil alih oleh sanhujoriwon, iaitu pusat perkhidmatan sanhujori. Pusat swasta jenis ini telah diperkenalkan pertama kalinya pada tahun 1996 di Korea.

Hidangan sewaktu sanhujori

Seaweed soup

Ibu-ibu yang bersalin di Korea biasanya akan dihidangkan dengan semangkuk besar seaweed soup sebanyak tiga kali sehari. Kenapa harus seaweed soup? Masyarakat Korea percaya bahawa seaweed (rumpai laut) boleh membantu membersihkan darah, menyahtoksin badan, membantu rahim mengecut dan menambahkan susu ibu. Ia tidaklah tepat sepenuhnya jika dilihat dari sudut perubatan, namun seaweed sememangnya makanan yang diperkaya secara berkhasiat untuk ibu selepas bersalin. Rumpai laut mengandungi banyak kalsium, serat, dan zat besi yang semuanya diperlukan untuk wanita selepas bersalin.

Satu lagi kelebihan seaweed soup ini adalah untuk penghidratan. Kita semua maklum bahawa ibu perlu minum banyak air untuk menghasilkan susu ibu. Oleh itu, sewaeed soup adalah pilihan makanan yang mudah dan tepat untuk memberikan bekalan air yang mencukupi buat ibu bersalin.

Gopchang (beef tripe)

Selain daripada hidangan seaweed soup, wanita yang bersalin juga digalakkan untuk mengambil hidangan ini kerana ia membantu proses pemulihan selepas bersalin. Ia adalah bahagian usus/perut lembu yang biasanya dimasak secara panggang/bakar (dipanggil gopchang gui). Gopchang ini adalah makanan berprotein tinggi. Dalam masyarakat Korea, ia boleh dianggap makanan kesihatan yang kaya dengan zat besi dan vitamin berbanding bahagian daging yang lain. Ia boleh mengembalikan keadaan badan yang lemah dan sangat sesuai untuk pesakit yang pulih dari penyakit. Ia juga diketahui sangat berkesan dalam pemulihan selepas bersalin.

Pusat perkhidmatan sanhujori (sanhujoriwon)

Seiring dengan peredaran masa, amalan sanhujori kini banyak dijalankan di sanhujoriwon, iaitu pusat penjagaan bagi ibu bersalin. Sanhujoriwon ini telah mula ditubuhkan pada tahun Oktober 1996, dan bilangannya semakin bertambah pada setiap tahun. Pusat penjagaan ini menawarkan alternatif untuk wanita bersalin, yang sebelumnya banyak dilakukan oleh ahli keluarga mereka.

Pada hari ini, sanhujoriwon ini telah menjadi suatu bentuk perniagaan di Korea. Ia telah menjadi seperti perkhidmatan hotel, yang mana sesetengah sanhujoriwon yang mewah menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan seperti urutan, spa, program pendidikan, malah pembedahan kosmetik untuk para ibu.

Terdapat beberapa isu utama yang menjadi kerisauan dalam kalangan pengamal perubatan profesional di Korea berkaitan dengan sanhujoriwon ini, iaitu sanhujoriwon yang mempunyai pengamal perubatan yang tidak berlesen serta harga perkhidmatan yang terlalu mahal. Pengamal perubatan yang tidak berlesen adalah menyalahi undang-undang dan kebanyakan daripada sanhujoriwon yang dikendalikan oleh orang perseorangan biasanya mempunyai isu ini.

Sanhujoriwon yang kini adalah suatu bentuk perniagaan baru, dan setiap daripadanya  digredkan mengikut bintang tertentu, bergantung kepada jenis perkhidmatan, lokasi dan harga yang ditawarkan. Ada sesetengah daripada masyarakat Korea berpendapat bahawa keghairahan ibu menggunakan sanhujoriwon dengan harga berpuluh juta won sebagai suatu tindakan yang merugikan wang.

Kesimpulan

Sanhujori adalah suatu budaya yang unik dalam masyarakat Korea dan menjadi suatu tradisi bagi setiap wanita yang bersalin. Meskipun kini banyak sanhujoriwon yang dibuka untuk kemudahan para ibu, tetapi masih ramai lagi wanita yang memilih untuk mengamalkan sanhujori bersama ahli keluarga masing-masing.

RUJUKAN:

Eunkwang, Y. (1998). Reflections on Sanhujori: A Korean postnatal care paradigm for women’s health. Asian Journal of Women’s Studies, 4(4), 110–128. https://doi.org/10.1080/12259276.1998.11665837

Kim, D., & Yoo, E. K. (2016). Experience of Sanhujori from the women who used postpartum lay helper, 128, 208–212. https://doi.org/10.14257/astl.2016.128.40

Kim, J. (2003). Survey on the programs of Sanhujori centers in Korea as the traditional postpartum care facilities. Women and Health, 38(2), 107–117. https://doi.org/10.1300/J013v38n02_08

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.