KEDUDUKAN geografinya yang terletak di Teluk Sandakan seumpama apabila berkunjung ke sini seolah-olah berada di satu pulau peranginan. Bukan bandar yang biasa-biasa sebaliknya ianya merupakan antara Bandar utama malah kedua terbesar di Sabah, negeri dibawah bayu.  Turut terkenal sebagai pintu masuk bagi destinasi eko-pelancongan di Sabah kerana disinilah berhimpunnya pusat-pusat santuari bagi haiwan yang dilindungi seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Labuk Bay Proboscis Monkey (Monyet Belanda) Santuari serta beberapa gua batu kapur yang mempunyai khazanah purba iaitu Gua Gomantung dan sebagainya.

Selain itu kawasannya  juga turut mengalir satu sungai yang merupakan  sungai kedua terpanjang di Malaysia selepas Sungai Rajang di Sarawak. Sungai Kinabatangan yang kaya dengan flora fauna serta hidupan alamnya menyaksikan ia turut menjadi sebahagian dari tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri sehingga sekarang.

Menyelusuri sejarah moden Sandakan, Sabah dapat dijejaki apabila seorang jurutera kapal, peniaga dan pembekal senjata bernama William Clark Cowie kelahiran Scotland mendapat keizinan daripada Sultan Sulu untuk membuka tapak perniagaannya di satu kawasan di Borneo Utara suatu waktu dahulu.  Oleh kerana pada waktu itu menurut perjanjian Cowie dan Sultan Sulu, kawasan tersebut diduduki atas dasar pajakan atau gadaian pada tempoh tertentu sahaja maka mereka bersetuju untuk menamakan kawasan tersebut sebagai Sandakan.  Yang mana ianya berasal dari perkataan “sandak” di dalam bahasa Sulu yang bermaksud tanah yang digadaikan.

Setelah beberapa ketika, sekali lagi Cowie menukar namanya kepada Kampung German dek kerana pada waktu itu ramai peniaga-peniaga Eropah dari Negara Jerman yang menjadikannya sebagai Bandar pelabuhan transit perniagaan mereka di Pulau Borneo.   Sekitar tahun 1878 pula menyaksikan Baron Von Overbeck berjaya memperolehi pajakan bagi menduduki Kampung Jerman daripada Sultan Sulu.  Tatkala berjaya memperolehinya, beliau lantas meletakkan seorang bangsa Inggeris bernama William Pryer bagi menjaga segala urusannya di bahagian Pantai Timur Borneo Utara.

Dikatakan pada waktu Pryer mentadbir Kampung Jerman hanya terdapat dua buah perkampungan kecil yang wujud di Teluk Sandakan iaitu yang diduduki oleh nelayan tempatan berbangsa Bajau dan Suluk.  Jumlah rumah-rumah pula hanya sebanyak 17 buah rumah dan tiga buah kedai runcit yang dimiliki oleh peniaga berbangsa Cina pada waktu itu.

Sekitar tahun 1879, satu tragedi kebakaran berlaku di Kampung Jerman yang mana menyaksikan ianya musnah sama sekali dijilat api.  Dikatakan Pryer langsung tidak berminat untuk membinanya semula sebaliknya beliau telah memindahkan Kampung Jerman ke kawasan penempatan baru yang dinamakan Buli Sim-sim.  Kerana penempatan di Buli Sim-sim lebih tersusun berbanding dengan Kampung Jerman yang asal maka beliau telah menamakan penempatan baru itu sebagai Elopura yang membawa maksud “Satu bandar yang indah”.

Apabila Elopura semakin pesat membangun dibawah Syarikat Borneo Utara Inggeris, masyarakat tempatan pada masa itu mendesak Pryer untuk menggunakan nama asalnya kembali berbanding Elopura yang diberikannya.  Kerana tidak mahu menimbulkan keributan di wilayah tersebut hanya kerana nama akhirnya Pryer bersetuju menamakannya semula sebagai Sandakan.  Sekitar tahun 1883, pusat pemerintahan Syarikat Borneo Utara Inggeris yang mentadbir Borneo Utara telah memindahkan pusat pemerintahannya ke Sandakan.  Dikala itulah Sandakan semakin makmur dan gah namanya  sebagai pusat perdagangan bagi wilayah pantai timur Borneo Utara.

Keberadaan Sandakan yang begitu dekat lokasinya dengan Negara Filipina menyaksikan ramai masyarakat Cina dari Hong Kong mula membanjiri Sandakan sebagai tempat untuk berniaga. Pada waktu itu, Filipina sedang rancak dengan industri perladangan mereka.  Ianya turut tempias ke Sandakan apabila disitu juga turut pesat dengan pembukaan ladang-ladang kopi, koko, tembakau dan kelapa.  Ianya telah menarik begitu banyak perniagaan-perniagaan besar milik Cina Hong Kong untuk membuka ibu pejabat mereka di Sandakan samada yang berasaskan perniagaan ladang mahupun pembalakan.

Sejak itu juga kemasukan beramai-ramai buruh-buruh dari Negara China dan Hong Kong yang bekerja di ladang tembakau dan kelapa turut menjadikan Sandakan sebagai rumah kedua mereka.  Menurut bancian penduduk sekitar tahun 1882 menyatakan, masyarakat yang mendiami Sandakan pada waktu itu 50% daripadanya  adalah berketurunan Cina asal dari Hong Kong dan kebanjiran yang ramai inilah menyaksikan Sandakan turut digelar sebagai “The Little Hong Kong”.

Awal 1900an menyaksikan Sandakan adalah antara pemain ekonomi terpenting bagi Borneo Utara.  Dari hanya satu perkampungan nelayan yang juga tempat transit untuk bangsa Eropah berniaga akhirnya disinilah juga turut didirikan deretan rumah kedai konkrit  dengan binaan arkitektur yang moden.  Dari hanya menyelusuri denai-denai berlumpur akhirnya pada tahun 1912 sudah ada penampakan kenderaan bermotor memenuhi jalan-jalan di Sandakan.  Fasiliti seperti kemudahan telefon untuk komunikasi dan penggunaan elektrik turut diadakan pada waktu itu.  Kedatangan bangsa Eropah seperti Inggeris, kaum Cina dari China, Arab, India, Jepun menjadi sebahagian daripada pembentuk masyarakat Sandakan yang majmuk disamping masyarakat tempatannya.  Kesemuanya berganding bahu di dalam menjadikan Sandakan sebagai satu wilayah yang pesat dan membangun.

Namun segalanya berubah di ketika Perang Dunia Kedua berlangsung iaitu pada tahun 1942-1945.  Sandakan langsung longlai tatkala ianya hampir musnah dibom oleh tentera Bersekutu di dalam kempen mengalahkan pendudukan Jepun di Borneo Utara. Asakan dari Tentera Bersekutu itu telah membawa kepada kem tawanan perang (POW) dipindahkan ke Ranau.  Dan disaat akhir pendudukan Jepun inilah juga menyaksikan ramai tahanan perang dari British dan Australia terkorban samada kelaparan, keletihan mahupun disiksa oleh tentera Jepun.  Ianya dikenali sebagai “Sandakan Death March 1945” yang juga merupakan antara kronologi bersejarah paling kejam di dalam sejarah pendudukan Jepun di Borneo.

Selepas tamat Perang Dunia II iaitu apabila Jepun menyerah kalah atas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima, Borneo Utara termasuk Sandakan telah diserahkan kembali kepada Syarikat Borneo Utara British.  Namun kemusnahan yang teruk seperti Bandar-bandar yang lain di seluruh Borneo Utara menyaksikan Syarikat Borneo Utara British tidak mampu membangunkannya semula.  Sehingga tahun 1949, Borneo Utara termasuk Sandakan adalah dibawah pentadbiran Koloni British kerana Syarikat tersebut hampir muflis dan mereka bertindak sebagai yang memulihkannya kembali.  Sejak itu juga dibawah Koloni British, pusat pemerintahan telah dipindahkan dari Sandakan ke Jesselton iaitu Kota Kinabalu yang kita kenali sekarang.

Tidak kenal maka tidak cinta.

-HB-

#SaiasayangSabahbah!

Kredit gambar: Sabah Tourism

Rujukan:

  1. Sandakan Secara Umumhttps://sandakankini.wordpress.com/sejarah-sandakan/sandakan-secara-umum/
  1. History of Sandakan http://bilitrainforestlodge.com/sandakan/history-of-sandakan.html
  1. Sandakan In Briefhttp://ww2.sabah.gov.my/mps/sdk/history.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.