Dalam banyak-banyak panglima Samurai zaman Sengoku, Matsunaga Hisahide ialah antara individu yang paling kontroversial sekali. Sehinggalah ke hari ini, jikalau seseorang itu bercerita dan mengkaji mengenai Oda Nobunaga dan pahlawan-pahlawan samurai yang sewaktu dengannya, tidak boleh tidak, nama Matsunaga Hisahide akan timbul kerana peri pentingnya peranan yang dimainkan dalam mengatur corak fabrik sejarah bangsa Jepun tidak siapapun mampu sangkal. Susuk tubuh ini amat dikenali sebagai seorang yang licik dan bijak menggunakan tipu daya serta helah yang berjaya menidakkan musuhnya.

Si tua kutuk, penj4hat durjana, k3jam dan hina. Itulah adjektif yang seringkali digambarkan dalam filem sejarah, manga dan permainan video pada hari ini terhadap Hisahide. Permainan video seperti Nioh, Sengoku Basara, Nobunaga Oda’s Ambition dan Samurai Warriors secara umumnya tidak melepaskan peluang untuk menggunakan ciri-ciri ini bagi mempromosikan watak jahat Hisahide kepada pemain sekalian. Namun, ramai yang lupa bahawa Hisahide juga merupakan seorang penaung ataupun patron yang tersohor kepada bidang seni dan kebudayaan bangsa Jepun.

Beliau merupakan seorang pengumpul set teh yang terkenal selain daripada Oda Nobunaga. Hisahide bukan gasar, Malahan, adab telahpun sebati dalam jiwanya. Lagi pula, beliau boleh dikira sebagai a man of culture dan refined, penuh ketertiban dan tatasusila kerana pengetahuan serta kemahirannya yang tinggi dalam Perihal Teh (Way of Tea). Perihal Teh ini mempunyai tempat yang tersendiri dalam Zen Buddhisme yang menjadi simbolik kepada kemurnian hati dan pencerahan dalam diri. Tapi itulah, sisinya yang buruk itu nampaknya lebih menonjol.

Matsunaga ‘Danjo’ Hisahide dilahirkan pada tahun 1508. Beliau merupakan Daimyo (pemerintah wilayah) puak Matsunaga yang berakar di Yamato. Pada mulanya, Hisahide merupakan kawan rapat kepada Miyoshi Chokei (ataupun dikenali sebagai Miyoshi Nagayoshi) sejak kecil lagi. Dengan bantuan Hisahide, Chokei bertindak menggulingkan ketua puak Miyoshi ketika itu, Masanaga. Dibawah pentadbiran Chokei, puak Miyoshi mengecapi zaman kegemilangan yang mana kawasan jajahannya meliputi Sanuki-Awa, Settsu dan beberapa buah provinsi lain. Kelicikan Hisahide telahpun dimanfaatkan oleh Chokei.

Tidak berhenti di situ, Hisahide terus berkhidmat untuk Chokei sebagai wakil puak di Imperial Court, Kyoto. Shogun Ashikaga Yoshiteru yang berpusat di Kyoto ketika itu menghadapi masalah pentadbiran yang hebat kerana ketika itu, ramai Daimyo yang sudah mula menunjukkan taring untuk mencabar kewibawaan dan kedaulatan Keshogunan Ashikaga. Puak Miyoshi menjadikan Yoshiteru sebagai boneka semata-mata.

Shogun Ashikaga Yoshiteru

Pengaruh Keshogunan Ashikaga sudah semakin melemah sejak berakhirnya Perang Onin beberapa dekad dahulu. Tetapi ketokohan Shogun Yoshiteru mendapat pujian dan pengiktirafan para sejarawan sebagai Shogun terakhir yang paling efektif. Walaupun dianggap boneka, Yoshiteru tetap melawan pengaruh Miyoshi dalam diam. Kemahirannya bermain pedang juga amat ketara sehinggakan mendapat gelaran Kengo Shogun (The Great Sword Shogun).

Pengaruh Hisahide mencanak naik sementara Chokei pula menumpukan usahanya dalam menyatukan kawasan Yamato. Dari tahun 1561 sehinggalah 1564, Hisahide mengorak langkahnya daripada belakang tabir dengan mula mengakibatkan pemergian tiga orang adik beradik Chokei termasuklah seorang anak lelakinya. Chokei pula meninggal dunia tidak lama selepas itu. Disebabkan penggantinya Yoshitsugu terlalu muda untuk menjadi ketua puak dan Daimyo, kuasa pentadbiran dikongsi bersama dengan tiga orang pembesar Miyoshi yang digelar Miyoshi Triumvirate.

Shogun Yoshiteru sudah tidak tahan lagi dibelenggu dan akhirnya cuba melepaskan diri daripada kawalan puak Miyoshi. Atas arahan Hisahide, tentera samurai dikerah ke Istana Nijo, Kyoto dan Yoshiteru pula mangkat dalam pertempuran yang tercetus. Ashikaga Yoshihide yang masih kecil diangkat sebagai Shogun baharu, boneka juga. Miyoshi Triumvirate dan Hisahide pula saling berantakan. Manakan mungkin Hisahide mahu tunduk akur kepada pembesar-pembesar itu. Impiannya lebih besar!

Tahun 1566, puak Miyoshi dan puak Matsunaga bermandi d4rah di Nara. Kemenangan tipis berpihak kepada puak Miyoshi. Dalam pertempuran itu, kuil bersejarah Todai-ji yang menjadi lambang keagungan Buddhisme pula terbakar hangus gara-gara tindakan Hisahide yang didakwa sengaja memulakan kebakaran. Apabila berita ini sampai ke seluruh pelosok tanah air, sudah tentu gelombang kemarahan membara-bara dalam mengecam tindakan kufur Hisahide. Tidak ubah seperti dirasuk syaitan. Kesannya, sejarah berpandangan serong terhadapnya sehinggalah ke hari ini.

Tangkap layar permainan Nobunaga Oda’s Sphere of Influence

Tahun 1568, Oda Nobunaga mara ke Kyoto dan puteranya Oda Nobutada dihantar ke Yamato untuk menewaskan puak-puak yang tidak mahu tunduk kepada kekuasaan Oda. Hisahide yakin bahawa ini adalah satu peluang keemasan untuk mempergunakan Oda Nobunaga dan menyimpan kekuatan. Lalu beliau menyerah kalah dan dibenarkan berkhidmat untuk Oda. Sebagai tanda setia, Hisahide menghadiahkan sebuah mangkuk teh bernama Tsukumogami kepada Nobunaga. Dalam kempen menentang puak Azai, Asakura dan Miyoshi, Hisahide berkhidmat dengan baik.

Menariknya pada tahun 1573, Hisahide berkomplot dengan Miyoshi Yoshitsugu untuk mengalahkan Nobunaga. Komplotnya tidak berjaya (tetapi tidak dikesan Nobunaga) dan kerjasamanya dengan Miyoshi gagal sama sekali. Yoshitsugu bukanlah seorang yang mampu bergandingan dengan seorang yang manipulatif seperti Hisahide. Beberapa tahun kemudian, jiwanya kacau. Mindanya yang licik tidak mampu dibendung lagi. Hisahide dan anaknya, Hisamichi pulang ke Istana Shigisan dan seterusnya melakukan persiapan p3rang. Dengan segera Oda Nobutada dan salah seorang pegawainya bernama Tsutsui Junkei dikerah untuk menyampaikan kehendak Nobunaga.

Kehendak Nobunaga kepada pemberontak hanya ada dua. Satu, kepala Hisahide. Dua, mangkuk teh bernama Hiragumo milik Hisahide. Dikatakan bahawa mangkuk teh ini mempunyai corak seakan-akan labah-labah ketika dipanaskan di unggun api. Mangkuk teh ini sangat unik dan menjadi barang kegemaran Hisahide sebagai pengumpul set teh. Ini adalah harta kesayangannya. Nilai estetika dan nostalgianya sangat berharga. Berang dengan kehendak Nobunaga, Hiragumo diisikan dengan serbuk bahan api, lalu ditutup dan dilet0pkannya lantas hanc0r berkecailah tubuh Hisahide.

Tidak sanggup dirinya dijadikan tawanan perang, itulah pengakhiran yang paling sempurna bagi seorang samurai seperti Hisahide. Kita biasa dengar seppvku melalui katana yang menghinggapi perut. Cuma kali ini, mangkuk teh yang menjadi pengganti.

RUJUKAN

All About History Team. (2014, June 12). What was the shortest w4r in history? | All About History. Retrieved December 7, 2019, from https://www.historyanswers.co.uk/history-of-war/what-was-the-shortest-war-in-history/

Hidemi, . (2018, June 27). Hiragumo and Matsunaga Hisahide. Retrieved December 7, 2019, from https://thesengokuarchives.com/2017/05/23/hiragumo-and-matsunaga-hisahide/

Kato, . (2018). Matsunaga Hisahide. Retrieved December 7, 2019, from https://samurai-world.com/matsunaga-hisahide/

Koei. (n.d.). Hisahide Matsunaga | Koei Wiki | Fandom. Retrieved December 7, 2019, from https://koei.fandom.com/wiki/Hisahide_Matsunaga

Seal, F. W. (n.d.). Matsunaga Hisahide. Retrieved December 7, 2019, from https://www.samurai-archives.com/hisahide.html

Turnbull, Stephen (2000). The Samurai Sourcebook. London: Cassell & C0. pp. 58, 228. ISBN 1854095234.

Yabai. (2018, August 30). The Villainous Matsunaga Hisahide. Retrieved December 7, 2019, from http://yabai.com/p/4306

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Comments are closed.