Filem The Last Samurai adalah salah satu filem hebat yang masih menjadi kegemaran saya sehingga sekarang. Salah satu babak yang tidak dapat saya lupakan ialah babak perang terakhir diantara pasukan Samurai yang disertai oleh Tom Cruise berhadapan dengan tentera Maharaja Jepun yang lengkap dengan senjata moden. Dikatakan bahawa filem ini adalah berasaskan daripada catatan kisah benar.

Namun demikian tahukah anda bahawa kisah pemberontakan puak Samurai seperti dalam filem tersebut bukanlah satu-satunya kisah yang pernah berlaku di Jepun. Malah selain daripada kisah The Last Samurai seperti yang telah difilemkan tersebut terdapat satu lagi kisah yang kurang popular yakni The last Samurai Women. Ya, sememangnya terdapat peristiwa benar yang berlaku pada zaman tersebut yang melibatkan perjuangan golongan wanita dari keluarga Samurai.

Wanita pahlawan dari puak Samurai yang saya maksudkan ini ialah, Nakano Takeko serta para pengikutnya yang hidup dari tahun 1847-1868. Beliau merupakan wanita dari puak samurai yang bernama Aizu. Puak Samurai Aizu adalah salah satu puak Samurai yang paling terkenal dan paling dihormati di Jepun. Samurai dari puak ini telah berkurun lamanya menjadi puak Samurai utama yang menjaga keselamatan Shogun. Oleh kerana itu para wanita yang lahir dari keluarga pua ini biasanya akan dilatih dalam seni mempertahankan diri termasuk menggunakan senjata bagi menjaga maruah keluarga dan keselamatan rumah kediaman mereka dari serangan musuh.

Dalam sejarah Jepun sebenarnya telah wujud banyak pahlawan-pahlawan wanita yang turut sama turun ke medan perang . Namun demikian oleh kerana dalam budaya Jepun kedudukan lelaki adalah lebih tinggi dari wanita dan tugas menjaga keselamatan negara serta kehormatan keluarga hanya diwajibkan dan dipertanggungjawabkan untuk lelaki, maka sumbangan para wanita selalunya tidak tercatat dan disudutkan dalam lembaran sejarah. Kecuali untuk beberapa keadaan tertentu dalam sejarah yang melibatkan wanita berstatus tinggi. Namun ianya tetap kurang pendedahan berbanding sejarah para pahlawan lelaki.

Nakano Takeko adalah salah seorang daripada mereka. Sejak dari kecil beliau telah diajar bermain pedang serta sejenis senjata yang dipanggil Naginata atau pedang tombak. Malah menurut petitih keluarga Samurai Aizu yang masih wujud sehingga sekarang, kehebatan Takeko dalam bermain Naginata sehinggakan beliau berjaya mengalahkan gurunya yang juga merupakan bapa saudara beliau sendiri. Setelah berjaya mengalahkan bapa saudaranya beliau menolak untuk dikahwinkan oleh keluarganya dengan lelaki yang telah dipilih pihak keluarga dan membuat keputusan untuk menjadi Jurulatih seni mempertahankan diri dan Naginata di Edo.

Dalam tempoh tersebut kuasa barat mula masuk ke Jepun untuk mendapatan pasaran perdagangan. Setelah berlakunya sedikit konfrontasi diantara Kerajaan Jepun dan pihak barat terutamanya Amerika, Maharaja Jepun telah terpaksa menandantangani perjanjian perdangangan dengan pihak barat. Keadaan ini tidak disukai oleh para Samurai dan pihak Shogun kerana mereka beranggapan Maharaja telah menjadi boneka kepada barat dan mencemar maruah Jepun.

Dipendekkan cerita, telah berlaku konflik diantara penyokong Maharaja dengan penyokong Shogun. Pihak tentera Maharaja yang telah dilengkapkan dengan senjata moden dari barat yang serba canggih telah mengalahkan Shogun dan menawan wilayah-wilayah yang dikawal oleh Shogun. Akhirnya Shogun menyerah kalah kepada Maharaja.

Namun demikian pengikut mereka terutama dari puak Samurai Aizu masih tidak mahu menyerah kalah. Dalam perang saudara ini yang menariknya bukan sahaja lelaki yang terlibat malah juga para wanita. Takeko bukan keseorangan dalam peristiwa ini tetapi beliau turut disertai oleh ramai lagi para pahlawan wanita dari puak Aizu. Sebenarnya dalam budaya Jepun tidak wujud apa yang dipanggil sebagai Samurai Wanita. Biasanya istilah yang diguna untuk para pahlawan wanita dari keluarga Samurai ini ialah Onna-bugeisha .

Dalam pertempuran yang dipanggil sebagai The Battle of Aizu ini Takeko telah mengetuai sekumpulan wanita Puak Aizu untuk menyerang tentera Maharaja yang lengkap dengan senjata api. Pasukan wanita ini digelar sebagai Aizu Joshitai. Takeko dan pasukannya telah menyerang tentera Maharaja dibahagian hadapan sebaik sahaja pasukan tentera Maharaja melepaskan das tembakan yang pertama. Dalam ruang waktu yang singkat ini beliau dan pasukannya telah berlari menerpa ke arah tentera musuh dengan menghayunkan Naginata.

Apabila tentera Maharaja melihat pasukan yang menyerang mereka dihadapan adalah para wanita, mereka telah membuat keputusan untuk tidak menembak sebaliknya terus berhadapan dengan pahlawan-pahlawan wanita tersebut dengan bayonet untuk menangkap mereka hidup-hidup. Mereka menyangka pasukan Takeko hanyalah pasukan wanita lemah yang diberikan senjata untuk mempertahankan diri . Namun alangkah terkejutnya mereka apabila mereka melihat bahawa pasukan wanita yang menyerang mereka ini bukanlah wanita biasa tetapi wanita pahlawan yang terlatih dalam ilmu perang. Ramai daripada tentera Maharaja yang mati akibat hayunan Naginata daripada pasukan Takeko ini.

Takeko dikatakan telah berjaya membunuh lebih kurang enam orang tentera musuh sebelum beliau sendiri ditembak dan cedera parah. Setelah beliau ditembak, adiknya yang baru berusia 16 tahun yang turut sama dalam dalam pasukan wanita tersebut telah memenggal kepala Takeko untuk mengelakkan daripada kepala kakaknya itu dijadikan trofi oleh pihak musuh. Adik Takeko berjaya menyelamatkan diri dan kepala tersebut telah diserahkan olehnya kepada seorang sami untuk dikebumikan.Walaupun pertempuran tersebut akhirnya dimenangi oleh pihak Maharaja, namun puak Aizu yang bertahan didalam Kota tidak mahu menyerah dan akhirnya setelah sebulan kubu mereka dibedil dengan meriam bertubi-tubi mereka terpaksa menyerah.

Namun para wanita puak Aizu tidak rela jika tubuh mereka dimamah oleh musuh atau dijadikan hamba seksual oleh musuh. Kerana sudah menjadi kebiasaan peperangan dalam tamadun Jepun, jika sesebuah castle atau kubu itu jatuh maka para wanitanya akan menjadi mangsa rogol atau dijadikan hamba pihak musuh. Oleh kerana itu mereka semua telah bertindak melakukan pembunuhan diri beramai-ramai. Dikatakan semasa tentera musuh masuk ke kubu tersebut didapati terdapat lebih daripada 200 mayat wanita Aizu yang mati membunuh diri. Oleh kerana pertempuran Aizu ini adalah pertempuran yang menandakan berakhirnya kewujudan kelas bangsawan Samurai, maka Takeko boleh lah dikatakan sebagai salah seorang Samurai wanita terakhir.

Begitulah kisah tentang The Last Samurai Women yang jarang sekali kita dengar. Sehingga ke hari ini puak Samurai Aizu masih mengingati jasa dan keperwiraan Takeko dan mereka masih meneruskan tradisi untuk melatih para wanita mereka bertempur dengan pedang dan Naginata. Walaupun dalam lembaran sejarah peranan pahlawan wanita dari keluarga Samurai ini disudutkan dan tidak diberikan pendedahan yang meluas, namun jasa, semangat kepahlawanan dan pendirian mereka patut kita kenang dan jadikan tauladan. Sekian.

~ASJ~

Sumber:

• Jennifer G. Wollock , Rethinking Chivalry and Courtly Love ,Greenwood Publishing Group. Santa Barbara California, USA.

• Stephen Turnbull, Samurai Women 1184-1877, Osprey publishing, England, UK.

• Krista Force, History of Samurai Women, Shodan Research paper, February 2012.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

Comments are closed.