Samurai Kristian Di Jepun

526

Semasa pihak Portugis tiba di Jepun sekitar tahun 1549 dahulu, mereka membawa bersama dakyah Kristianiti dengan bantuan mubaligh Jesuit.

Ketika ini juga, negara Jepun dalam kancah perang saudara sesama mereka. Ia suatu period atau era yang dikenali sebagai Era Sengoku. Iaitu di mana beberapa orang hulubalang atau panglima perang (warlord), berada dalam keadaan konflik berterusan terhadap satu sama lain demi kawalan atau penguasaan ke atas negara Jepun.

Keadaan konflik yang berterusan ini secara tidak langsung membantu menyebarkan agama Kristian di Jepun. Oleh kerana golongan samurai, terutama sekali golongan yang dikenali sebagai “Ronin”, yakni samurai tidak bertuan, menjadikan Krisitan agama mereka seterusnya menjadikan Jesus itu sebagai tuan mereka.

Sehubungan dengan itu, kebanyakan samurai atau ronin yang beragama Kristian ini juga tidak seperti saudara mereka yang beragama buddha dan memegang nilai tradisi pahlawan Jepun, iaitu dengan melakukan “Seppuku”.

Seppuku ini adalah perbuatan bunuh diri ritualistik untuk menebus kembali maruah. Akan tetapi, di dalam agama Kristian, bunuh diri itu satu dosa. Oleh itu, samurai atau ronin beragama Krisitan ini memilih untuk bertarung dan bertempur sampai mati.

Antara nama besar samurai beragama Kristian paling dikenali ialah Takayama Ukon. Takayama Ukon mula berkhidmat di bawah naungan Oda Nobunaga, dan kemudian dibawah pewarisnya iaitu Toyotomi Hideyoshi. Dalam erti kata lain, Takayama Ukon ni bukan calang-calang orangnya.

Tetapi, selepas peralihan pemerintahan kepada kerajaan di bawah kawalan Tokugawa Ieyasu, kira-kira pada tahun 1611, layanan baik yang diterima oleh penganut Kristian sebelum ini telah ditarik balik, dan agama Kristian itu dihalang daripada disebar serta dipraktikkan. Pada masa yang sama, gereja-gereja juga turut dimusnahkan.

Lukisan Takayama Ukon oleh artis Filipina, John Andrew Sustaita.

Penganut Kristian berpangkat tinggi seperti Takayama Ukon juga telah dibuang negeri. Beliau kemudian berhijrah ke Manila, Filipina, tempat di mana beliau mati setahun kemudian.

Tidak lama selepas itu, iaitu pada Disember tahun 1637, tekanan demi tekanan seperti kenaikan cukai dan seksaan terhadap penganut Kristian, telah menjadi pencetus kepada peristiwa yang kini dikenali sebagai Pemberontakan Shimabara atau “Shimabara Rebellion”.

Ia lebih menakjubkan apabila salah seorang daripada pemimpin gerakan pemberontakan ini, terdiri daripada seorang remaja lelaki berumur 16-17 tahun. Beliau dikenali dengan nama Amakusa Shiro.

Boleh dikatakan sangat memalukan bagi pihak pemerintah Tokugawa, kerana telah meminta bantuan daripada pihak Belanda untuk menundukkan pemberontakan ini. Namun, gerakan pemberontak akhirnya berjaya dimusnahkan secara total.

Tugu Takayama Ukon di Plaza Dilao, Manila.

Kekalahan tersebut telah menyebabkan lebih kurang 37,000 orang pemberontak dipancung termasuklah Amakusa Shiro.

Kepalanya yang dipancung itu juga telah dipacakkan menggunakan sebilah tombak, dan dipertontonkan di khalayak ramai di tengah-tengah bandar Nagasaki.

RUJUKAN:

Sansom, George. A History of Japan, 1334-1615. Stanford: Stanford University Press. (1961)

Jonathan Clements. Christ’s Samurai: The True Story of the Shimabara Rebellion. London: Robinson (2016)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.