Samodiva – Peri Hutan Penggoda Dalam Kisah Rakyat Bulgaria

248

Samodiva (juga dikenali sebagai samovila atau vilasamodivi atau samodivas secara jamak) merupakan suatu makhluk yang dapat ditemui di dalam kisah rakyat Balkan, atau lebih tepat, Bulgaria. Secara umum, makhluk ini merupakan lembaga atau pari-pari hutan yang muncul sebagai gadis jelita. Namun kadangkala, sesuatu itu tidak seharusnya dinilai menerusi rupa parasnya, Dalam kebanyakan kisah, Samodivi muncul sebagai makhluk yang berbahaya, atau paling tidak, bersifat nakal.

MAKHLUK DARI RIMBA YANG INDAH DARI MITOLOGI SLAVIC

Nama ‘samodiva’ terbentuk menerusi gabungan dua buah perkataan yang berbeza, iaitu ‘samo’ dan ‘diva’. ‘Samo’ bermaksud ‘sendirian’ sementara ‘diva’ pula bermaksud ‘rimba’ atau ‘indah’. Maka, nama samodiva secara literalnya bermaksud ‘makhluk indah dari rimba yang bersendirian (terasing dari manusia)’. ‘Samo’ membawa isyarat tentang sikapnya yang menghindari manusia sementara ‘diva’ pula menggambarkan sifatnya sebagai makhluk rimba yang indah.

Gambaran samodivas sedang menari

Terdapat beberapa versi penceritaan tentang asal-usul samodivi. Salah satu versinya secara ringkas menyatakan bahawa mereka adalah puteri kepada Bendis, iaitu dewi bulan dan pemburuan bagi masyarakat Thracia. Dewi Bendis mempunyai kemiripan dengan Dewi Artemis dari Greek. Versi asal-usul ini sedikit-sebanyak bersesuaian dengan kedua-dua maksud yang dibawa oleh perkataan ‘diva’ pada nama samodiva; iaitu rimba (pemburuan) dan indah (bulan).

Versi lain pula mempercayai bahawa samodivi merupakan anak kepada lamia, iaitu suatu makhluk jahat berbentuk seperti naga dalam kisah rakyat Bulgaria. Namun, ada juga yang meyakini bahawa samodivi ini adalah roh wanita jahat yang tergantung di antara syurga dan neraka, atau gadis yang m4ti sebagai seorang perawan.

Walau apa sekalipun kisah berkenaan asal-usulnya, samodivi sering digambarkan sebagai gadis yang sangat jelita dan sentiasa awet muda. Mereka memiliki rambut yang panjang berwarna perang. Matanya pula berwarna biru terang. Mereka memakai gaun putih yang bersinar bak bulan sambil tali pengikat pinggangnya pula berwarna pelangi ataupun hijau. Selain itu, samodivi turut menghiasi kepala mereka dengan jambak bunga liar.

NARATIF LAZIM DALAM KISAH BERKENAAN SAMODIVA

Samodivi menetap di kawasan bergunung dan antara tempat kegemaran mereka termasuklah Gunung Pirin, Gunung Vitoasha, Gunung Rila dan Gunung Stara Planina. Mereka gemar menunggang rusa dan menggunakan ular sebagai tali pengekangnya. Mereka sangat melindungi tunggangan yang dinaiki dan akan menjampi sesiapa sahaja yang membvnuh rusa milik mereka, walaupun pembvnuhan tersebut adalah secara tidak sengaja. Jampi tersebut diyakini boleh mengakibatkan maut bagi orang tersebut.

Kisah-kisah berkenaan samodivi sering menggambarkan mereka sebagai makhluk yang berbahaya bagi manusia. Walaupun makhluk ini sangat gemar menari terutama apabila diiringi oleh mainan alat musik kaval atau seruling milik penggembala, mereka sering menggoda atau menculik penggembala untuk merampas alat musik tersebut.

Jika ada manusia malang yang bertembung dengan samodivi semasa mereka sedang menari, manusia tersebut akan dipujuk supaya menyertai mereka. Kemudian, manusia yang lazimnya tidak mampu mengikut rentak tarian mereka akan m4ti akibat kelelahan.

Samodivas sedang menari dalam lukisan bertajuk ‘Le Villi’ (1906) oleh Bartolomeo Giuliano

Namun dalam beberapa buah hikayat, dikisahkan bahawa manusia mampu mengatasi keupayaan samodiva, walaupun untuk sementara. Kuasa magis samodivi terletak pada pakaian mereka. Makanya, kelemahan mereka terdedah semasa sedang mandi. Oleh kerana itu, mereka perlu menjaga pakaian milik mereka dengan begitu berhati-hati agar tidak dicuri sekaligus mengakibatkan mereka kehilangan kuasa.

Dalam sebuah hikayat, diceritakan bahawa seorang penggembala yang bernama Ivalyo bertindak mencuri pakaian samodiva yang bernama Marika. Perbuatannya itu mengakibatkan Marika kehilangan sumber kuasa. Ivalyo kemudiannya mengahwini Marika dan tiga tahun kemudian, mereka dikurniakan zuriat.

Semasa pasangan itu mengadakan parti untuk meraikan kelahiran anak mereka, bapa pembaptis anak tersebut meminta agar Marika menari. Tatkala melihat tarian Marika, bapa pembaptis itu menyatakan bahawa Marika tidak menari seperti kebiasaan seorang samodiva. Kenyataan itu dibalas oleh Marika bahawa beliau tidak mampu menari dengan baik tanpa memakai gaun miliknya. Maka, bapa pembaptis itu pun meminta agar Ivalyo memulangkan semula gaun milik Marika yang telah lama disimpannya. Sebaik sahaja Marika mengenakan gaunnya itu, kuasanya yang hilang kini diraih semula dan beliau pun menghilangkan diri dari Ivalyo dan anak mereka buat selama-lamanya.

SAMODIVA MASIH TERUS HIDUP

Bahkan sehingga ke hari ini, terdapat masyarakat yang masih mempercayai kewujudan samodiva, terutama mereka yang hidup di kampung-kampung terpencil di Bulgaria. Berikutan kuasa yang mereka miliki dan ancaman bahaya yang sering mereka timpakan ke atas manusia, maka samodivi ini disikapi dengan rasa takut dan hormat.

Walaupun kepercayaan terhadap makhluk tersebut sudah berakar sejak zaman paganisme lagi, kedatangan Kristian tidak langsung melenyapkan kepercayaan tersebut malah menambahkan lagi rencah pada mitos samodivi. Sebagai contoh, samodivi dipercayai memelihara hari-hari cuti penganut Kristian, terutama sekali Hari Easter. Mereka malah dipercayai akan menghukum sesiapa sahaja yang tidak menghormati hari-hari cuti tersebut.

Oleh kerana itu, mitos-mitos yang menyelubungi samodivi ini mungkin akan terus hidup di zaman moden, selama mana masih ada yang mempercayai kewujudannya.

Pari hutan

TERJEMAHAN:

DHWTY. (8 Disember 2018). Samodiva: The Life-Svcking Temptress and Wood Nymph of Bulgarian Folklore. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/samodiva-bulgarian-folklore-0011124

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.