Sambutlah Hijrah Lebih Meriah Dari Tahun Baru

0
1808
views

Maal hijrah adalah syiar ketamadunan.

Kalau ia disambut halai-balai sekadar melepaskan batuk di tangga sebagai acara takwim jabatan kerajaan ia indikasi bahawa tamadun kita lesu dan cetek dan merupakan program pemerintah daripada menjadi sambutan kebudayaan masyarakat.

Hari ini kita lihat sambutan Maal Hijrah atau Tahun Baru Gregori yang mewakili tamadun Barat-Kristian lebih gah?

Zaman dahulu orang Islam menyiapkan Maal Hijrah semacam satu eid yang besar. Vigil yang dikatakan bida’ah itu kita sentiasa anjurkan pada malam satu muharram dimana seluruh masyarakat berarak dengan qandil dan lilin ke masjid jami’ beramai-ramai.

Di sana ada pembacaan qasidah, syair, gendang dan tausiah dan tazkirah bertujuan agar manusia sedar akan agungnya Hijrah sebagai permulaan lipatan sejarah ketamadunan umat Muhammad.

Waqaf Saham

Tidak adanya Hijrah maka kamu semua tidak ada, dan semua pemerintahan Islam tidak ada sehingga kamu dapat mengecapi pelbagai nikmat keimanan dan kerohanian yang kamu kecapi hari ini.

Ditambahkan lagi dengan nikmat pembangunan teknologi dan perundangan yang membentuk dunia yang kamu kenali hari ini.

Hijrah kita adalah lebih mulia dan lebih layak disambut dalam kemeriahan malam tahun baru dengan apa saja sambutan yang kamu kira layak. Meriahkan kampung dan bandar kita, kumpulkan masyarakat dalam satu festiviti besar-besaran dan berwarna-warni tidak kira bangsa, kewarganegaraan dan agama.

Kerana selagi mana sambutannya hambar dan sekadar ditandakan dengan ceramah-ceramah kecil di surau masjid maka selagi itu syiar Gregorian itu akan lebih tinggi dan menampakkan belangnya. Kecilnya sambutan menandakan kecilnya tamadun.

Kebudayaan dominan yang berdasarkan trending akan berpihak kepada mereka dan kita kekal di tampuk kekitaan dalaman yang jumud dan ksenofobik.

Tiada salahnya menggunakan dan meraikan tahun baru solar Romawi tersebut selagimana tidak disertai unsur maksiat namun persoalannya mengapa anda tersorong-sorongkan sistem yang begitu asing dengan anda dan melupakan satu sistem warisan anda sendiri yang lebih mulia dan bermakna.

Ia adalah persoalan keutamaan dan menjadi indikasi apakah falsafah budaya hidup yang berlegar di minda kita dan masyarakat umum pada satu-satu zaman.