16 September merupakan satu hari bersejarah buat semua rakyat Malaysia pada setiap tahun. Ini kerana pada tarikh tersebut atau secara tepatnya bermula pada 16 September 1963, terbentuknya Persekutuan Malaysia dengan penambahan negeri Singapura, Sabah dan Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang kita maklum Singapura telah keluar daripada menjadi sebahagian negeri Malaysia pada tahun 1965. Sambutan hari pembentukan Malaysia pada tahun 1963 disambut dengan meriah bukan sahaja di tanah air, bahkan turut disambut oleh pelajar-pelajar Malaysia di luar negara terutamanya di Mesir.

Sebenarnya terdapat sebuah persatuan pelajar Melayu di Kaherah, Mesir yang telah lama menyatukan pelajar-pelajar Melayu dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei, bahkan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi pada tahun 1957. Persatuan tersebut ialah Persekutuan Melayu Mesir (PMM) yang sehingga tahun 2015 dikenali sebagai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Dari tahun 1952 (atau secara rasminya bermula pada tahun 1956) sehingga tahun 1964, persatuan tersebut dikenali sebagai Persekutuan Melayu Mesir (PMM). Sejarah PMRAM boleh dijejaki seawal tahun 1930 lagi dan merupakan persatuan pelajar Melayu dari Tanah Melayu dan Malaysia yang tertua di Mesir. Terdapat ramai tokoh-tokoh ulama, cendikiawan dan tokoh politik tanah air, Singapura dan Brunei lulusan Mesir yang pernah menganggotai dan memimpin persatuan tersebut terutamanya sekitar tahun 1940-an sehingga tahun 1970-an.

Pada tahun 1963, PMM diketuai oleh Yang Dipertua Abu Bakar bin Hj. Muhammad. Ketika itu, bilangan anggota PMM adalah seramai 203 orang. Sekitar tahun 1958 sehingga awal tahun 1960-an, Mesir dikenali dengan nama rasminya, Republik Arab Bersatu (UAR).

Majalah Warta PMM, iaitu majalah rasmi PMM, keluaran 1 September 1962 ada mewar-warkan berita dari Tanah Melayu mengenai pembentukan Malaysia yang akan berlaku pada tahun berikutnya. Berita tersebut menyatakan bahawa empat negeri dari rantau Alam Melayu (Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei) akan bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk sebuah negara persekutuan yang baharu. Pengarang Majalah Warta PMM menyatakan bahawa PMM merupakan contoh yang terbaik dalam usaha penggabungan kelima-lima negeri Melayu tersebut kerana persatuan tersebut telah lama dianggotai oleh pelajar Melayu daripada keempat-empat negeri yang akan digabungkan tersebut. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang kita maklum, pada saat-saat akhir, Brunei menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia. Akan tetapi, ketika itu, PMM tetap mengekalkan keanggotaan pelajar Melayu dari Brunei, bahkan Mohammad Zain bin Serudin (Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato’ Seri Utama Dr.; Menteri Hal Ehwal Agama Brunei yang pertama), seorang pelajar Melayu dari Brunei dilantik sebagai Ketua Badan Penerangan PMM ketika itu selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1962 dan 1963. Muhammad Kamil bin Fadhlullah Suhaimi (seorang tokoh ulama dan peguam Singapura), seorang pelajar Melayu dari Singapura pula sering dilantik menganggotai ahli jawatankuasa tertinggi PMM iaitu Badan Pengurus PMM.

Sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di tanah air pada tahun 1963 terpaksa ditangguhkan kerana sambutan tersebut hendak disambut serentak bersama sambutan Hari Malaysia pada 16 September 1963. Ini kerana pada asalnya sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang keenam dirancang akan disambut sekali dengan sambutan Hari Malaysia pada 31 Ogos 1963. Oleh sebab kerajaan Persekutuan Tanah Melayu masih menunggu persetujuan daripada Presiden Filipina, Diosdado Macapagal yang menuntut Borneo Utara (Sabah), maka kedua-dua sambutan tersebut terpaksa ditangguhkan pada 16 September 1963. Penangguhan tersebut juga memberi masa kepada kumpulan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyempurnakan tugasan mereka dalam menyelidik hasrat dan pandangan rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan rancangan penubuhan negara Malaysia.

Badan Pengurus PMM juga mengambil tindakan yang sama apabila mereka membuat keputusan untuk menangguhkan kedua-dua sambutan tersebut. Walau bagaimanapun, menerusi majalah Warta PMM, Badan Pengurus PMM turut menyampaikan ucapan selamat menyambut hari kelahiran negara Malaysia kepada pembaca. PMM juga ada mengirim kawat telegram ucapan tahniah kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj di atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Pada 14 Oktober 1963, akhbar Berita Harian di tanah air telah melaporkan berita bahawa PMM telah mengadakan majlis Malam Malaysia sempena sambutan hari pembentukan Persekutuan Malaysia yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan UAR dan wakil-wakil dari persatuan pelajar Asia dan Afrika. Program majlis tersebut diisi dengan ucapan daripada setiap perwakilan, persembahan nyanyian, tarian, pencak silat dan lakonan teater drama ‘Panglima Hitam’ karya Harun Aminurrasyid yang dilakonkan dalam bahasa Arab. Persembahan teater yang berunsur kepahlawanan tersebut dapat memaparkan kepada rakyat asing di UAR mengenai kehebatan orang Melayu. Tambahan pula teater tersebut yang dipersembahkan di Panggung Mohammed Farid di Kaherah mudah difahami oleh rakyat tempatan di UAR kerana dilakonkan dalam bahasa Arab.

Sempena sambutan Hari Malaysia tersebut juga, Badan Sukan dan Perkelahan PMM telah menganjurkan Kejohanan Piala Malaysia untuk merebut gelaran juara bagi perlawanan bola sepak, badminton dan ping pong. Kejohanan tersebut bertaraf antarabangsa apabila sambutannya begitu menggalakkan dengan penyertaan ramai pelajar daripada pelbagai negara Asia dan Afrika di Kaherah yang mewakili persatuan dan negara  masing-masing seperti wakil daripada Ghana, Thailand, Eritrea, Somalia, Sierra Leone dan Nadi al-Wafidin (kelab pelajar-pelajar asing). PMM sendiri mewakili Malaysia dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut.

Keputusan akhir daripada ketiga-tiga perlawanan tersebut ialah pasukan bola sepak dan badminton PMM telah berjaya menjuarai kedua-dua perlawanan tersebut tetapi perlawanan ping pong telah dijuarai oleh pasukan Somalia. Untuk perlawanan bola sepak, pasukan PMM telah berjaya mengalahkan pasukan Ghana dalam perlawanan akhir dengan keputusan 3-2. Untuk perlawanan badminton pula, pasukan PMM telah berjaya mengalahkan pasukan Thailand dengan mudah dalam perlawanan akhir apabila pasukan PMM membenam mereka dengan mata 5-0 dalam dua perlawanan perseorangan dan tiga perlawanan beregu. Bagi perlawanan ping pong, pasukan Somalia berjaya memenangi perlawanan tersebut setelah berjaya mengalahkan pasukan PMM dalam perlawanan akhir.

Sambutan Hari Malaysia dan ulang tahun kemerdekaan negara di Kaherah, Mesir pada tahun 1963 menunjukkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir kepada tanah air mereka. Malah, PMM sebenarnya telah lama menyatukan pelajar-pelajar Melayu dari semua negeri Malaysia di Mesir jauh sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Setakat ini, penulis dapati tiada sebuah persatuan pelajar Melayu Malaysia luar negara yang ditubuhkan sebelum merdeka seperti Malay Society of Great Britain atau Kesatuan Melayu United Kingdom (1928) dan Persatuan Pelajar Melayu Malaya di India (1948) yang membuka keanggotaannya kepada pelajar-pelajar Melayu dari semua negeri yang akan membentuk Persekutuan Malaysia sebelum tahun 1963 melainkan PMM.

Melalui laporan-laporan akhbar berkenaan sambutan Hari Malaysia yang diadakan oleh PMM di Mesir tersebut membuktikan bahawa PMM sebagai sebuah badan perwakilan pelajar Malaysia yang belajar dan menetap di Mesir giat memperkenalkan sejarah dan kebudayaan rakyat Malaysia kepada rakyat Mesir, malah persembahan teater dipersembahkan dalam bahasa rakyat tempatan supaya mereka dalam memahami dan menghayatinya. Perlawanan sukan yang boleh dikategorikan sebagai perlawanan antarabangsa anjuran PMM memeriahkan lagi sambutan tersebut. Tambahan pula, kemenangan pasukan PMM yang mewakili Malaysia dalam dua daripada tiga jenis sukan yang dipertandingan membuktikan kesepaduan dan kerjasama yang cemerlang dalam kalangan anggota PMM.

(PERHATIAN: Isi artikel ini diambil, diolah dan diringkaskan daripada Disertasi Sarjana penulis sendiri.)

 

SUMBER RUJUKAN

Muhammad Hafiz Samsudin, “Peranan dan Sumbangan Persekutuan Melayu Mesir (PMM), 1956-2000.,” Disertasi Sarjana (MA.) seliaan Dr. Abu Hanifah Haris, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2016.

SP 142/9, Warta Persekutuan Melayu Mesir.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply