Moving Forward As One

Samarra: Kota Agung Umat Islam Era Abbasiyah

726

Semasa era kerajaan Bani Abbasiyah, ibu kota utamanya pada ketika itu ialah Baghdad, Iraq. Tetapi bermula dari era Khalifah al-Mu’tasim dan lima lagi khalifah, sebuah bandar baru dibina dengan harapan ia berperanan sebagai kota pemerintahan rasmi kerajaan itu menggantikan Baghdad. Bandar tersebut ialah Samarra.

Sejarah Samarra

Samarra atau nama formalnya Surra Man Ra’a bermaksud “dia yang melihatnya merasa gembira”. Nama ini dikatakan sudah wujud pada duit syiling dan digunakan oleh beberapa penulis zaman berkenaan. Bagaimanapun, ramai percaya nama kota ini merupakan variasi nama yang berasal dari era pra-Islam. (Northedge, 2008)

Kota ini diasaskan pada tahun 836 oleh al-Mu’tasim sebagai cara menempatkan ten.te.ra-ten.te.ra asing yang dipercayainya termasuk Turki jauh daripada petempatan awam. Sebelum ini, kebanyakan mereka ditempatkan di Baghdad tetapi ia mengundang ketidakpuasan hati orang ramai terhadap sikap mereka. (Yarshater, 2007) Malah, banyak insiden ini direkodkan oleh sejarawan-sejarawan ketika itu termasuk al-Ya’qubi menerusi kitabnya Tarikh al-Ya’qubi:

Gambaran kota Samarra suatu masa dahulu.

“Setiap kali orang Turki tak bertamadun ini menunggang kuda, mereka akan melanggar orang kiri dan kanan, agar kuda boleh memijak sehingga membu.n.uh sesetengah daripada mereka dan mencederakan sesetengah daripada mereka. Da.ra.h orang tidak berdosa ditumpahkan tanpa sebarang sebab; tiada sebarang tindakan ke atas pelaku-pelakunya. Ini amat mengundang kegusaran kepada al-Mu’tasim dan mendorongnya meninggalkan Baghdad.” (Farhatullah, 2018)

Perubahan ibu kota pentadbiran bukan sesuatu yang baru dalam sejarah kerajaan Bani Abbasiyah. Sebelum ini, Harun al-Rashid juga pernah memindahkan ibu kota pentadbiran dari Baghdad ke Raqqa dan ia kekal sebagai ibu kota Abbasiyah selama 13 tahun. Selepas kemangkatan baginda, pusat pemerintahan kembali dipindahkan ke Baghdad semasa era pemerintahan al-Ma’mun.

Dalam kalangan sejarawan kontemporari, ramai merasakan pilihan al-Mu’tasim sebagai kota pentadbiran baru ini sebagai salah. Ini kerana kota ini sentiasa berdepan masalah air yang serius walaupun berada berhampiran dengan Terusan Qatul al-Khisrawi yang dibina antara 531 hingga 578 Masihi. Selain itu, Samarra juga terlalu bergantung kepada bekalan yang dibawa dari luar dan tidak mempunyai komoditi untuk menyokong populasinya. (Kennedy, 2004)

Ramai sejarawan percaya ia dipilih memandangkan ia merupakan kawasan memburu kegemaran baginda. Ia bukan saja terkenal pada era Abbasiyah malah sudah diketahui oleh ahli-ahli kerabat diraja Empayar Parsi sebelum kedatangan Islam lagi. Walaupun khalifah bertanggungjawab mengagihkan tanah kepada pegawai-pegawai dan jeneral-jeneral kepercayaannya, mereka diberi kebebasan mendirikan istana atau rumah kediaman mewah dengan geran pembangunan kerajaan.

Sebaliknya, tugas mendirikan istana khalifah, masjid dan jalan-jalan utama kota digalas oleh khalifah bermula dengan al-Mu’tasim. Dengan mendirikan kota di kawasan yang tidak didiami penduduk, ini memberikan baginda kebebasan dari segi tanah dan kepentingan komersial tanpa memakan kos. Penjualan tanah Samarra yang dibuat kerajaan turut memberi keuntungan besar kepada Baitulmal. (Kennedy, 2004)

Bagi menjayakan projek tersebut pada 836, al-Mu’tasim memperuntukkan sejumlah besar wang bukan saja untuk bahan binaan tetapi untuk mengupah ramai artisan. Ramai artisan ini dibawa dari segenap pelosok empayar untuk membantu menyiapkan kota berkenaan. Selain berek-berek untuk kegunaan pihak ten.te.ra, mereka turut membina pasar-pasar, masjid-masjid, hammam-hammam dan istana-istana untuk kegunaan khalifah dan pembesar kepercayaan baginda. (Kennedy, 2004)

Selepas kemangkatan al-Mu’tasim pada 842, penggantinya al-Wathiq memilih untuk terus bersemayam di Samarra. Dan sebagai tanda komitmennya terhadap kota baru itu, baginda turut mendirikan sebuah istana bernama Haruni yang terletak di tebing Sungai Tigris. Nama Haruni diambil sempena nama sebenar al-Wathiq iaitu Harun. (Kennedy, 2004)

Apabila al-Mutawakkil menaiki takhta pada tahun 857, Samarra menikmati pelbagai projek besar yang digerakkan oleh baginda. Salah satu projek yang berjaya direalisasikan ialah Masjid Agung Samarra yang disiapkan pada tahun 851 dan memegang rekod sebagai masjid terbesar di dunia selama 400 tahun.

Khalifah al-Mutawakkil turut bertanggungjawab menggerakkan satu lagi pembinaan mega iaitu bandar al-Mutawakkiliya yang terletak di utara Samarra pada 858. Pembangunan kawasan ini turut merangkumi pembinaan sebuah istana baru bernama al-Ja’fari. Bagaimanapun, semua aktiviti pembangunan al-Mutawakkiliya dihentikan susulan pembu.nu.han baginda pada tahun 861. (Northedge, 2008)

Sejak itu, Samarra menjadi saksi kepada peristiwa perebutan kuasa yang melemahkan kedudukan khalifah yang dikenali sebagai Kekacauan di Samarra. Peristiwa yang berlangsung selama 10 tahun itu menyaksikan beberapa khalifah digulingkan termasuk putera al-Mutawakkil sendiri, al-Musta’in. Tempoh ini hanya berakhir selepas al-Mu’tamid dipilih sebagai khalifah baru pada tahun 870.

Semasa era bagindalah, projek pembangunan berskala besar diteruskan di Samarra. Bagaimanapun, menjelang tahun-tahun terakhir pemerintahan baginda, al-Mu’tamid jarang menghabiskan masa di kota berkenaan. Selepas baginda mangkat pada 892, penggantinya al-Mu’tadid memilih untuk bersemayam di kota Baghdad sekaligus mengakhiri eksperimen Samarra untuk selama-lamanya. (Northedge, 2008)

Walaupun wujud cadangan untuk kembali ke kota ini semasa era al-Muktafi. Sekiranya baginda kembali ke Samarra, maka Istana al-Jawsaq bakal menjadi tempat baginda bersemayam di sana. Bagaimanapun, cadangan tersebut ditolak oleh pegawai-pegawai kerajaan atas alasan ia bakal memberi tekanan kewangan kepada kantung kerajaan. (Yarshater, 2007) Sejak itu, kota tersebut diabaikan dan menjelang tahun 940, ia tidak lagi dihuni penduduk.  (Kennedy, 2004)

Mercu tanda Samarra

  • Masjid Agung Samarra

Dibina di kawasan seluas 17 hektar persegi, ia dibina mengikut bentuk segi empat tepat. Ia mempunyai tembok luar setinggi 10 meter dan tebal 2.65 meter serta disokong oleh 44 menara separuh bulatan. Ia mempunyai 17 laluan dengan setiap dinding dipasang panel kaca berwarna biru gelap.

Di bahagian utara masjid terletaknya ruang menara yang dikenali sebagai Menara Malwiya. Menara yang mempunyai ketinggian 52 meter dan lebar 33 meter mempunyai lingkaran pusar sehingga ke puncaknya. Menara ini selalu digunakan oleh al-Mutawakkil untuk meninjau pemandangan indah kota Samarra. Masjid ini memegang rekod sebagai masjid terbesar di dunia selama 400 tahun sebelum dimu.sn.ahkan oleh angkatan pe.ra.ng Mongol.

Pada tahun 2005, sebahagian menara ini mus.na.h dise.ra.ng pemberontak Iraq selepas mendapati ten.te.ra Amerika Syarikat menggunakannya sebagai sarang pene.mb.ak curi. Bagaimanapun, sumber Britain mendedahkan se.ra.ngan ini sengaja dibuat bagi melaga-lagakan orang Sunni dan Syiah yang menghuni kawasan berkenaan. (Farhatullah, 2018)

  • Istana Dar al-Khalifa
Rajah 1: Pelan susun atur Dar al-Khalifa. Sumber: Farhatullah, 2018

Satu-satunya istana rasmi khalifah Bani Abbasiyyah di Samarra dan turut berperanan sebagai pusat upacara istiadat kerajaan diadakan. Ia merupakan kediaman rasmi al-Mu’tasim, al-Muntasir, al-Musta’in, al-Mu’tazz, al-Muhtadi dan al-Mu’tamid semasa mereka bersemayam di kota berkenaan. Ia dikatakan didirikan pada 836 dan kali terakhir disebut dalam rekod ialah pada 884.

Ia terdiri daripada dua bangunan utama iaitu Dar al-Amma yang berkeluasan 36,000 meter persegi. Di sinilah semua urusan pentadbiran harian dan Baitulmal dijalankan. Sementara Bab al-Amma pula berperanan sebagai tempat hukuman ma.ti dijalankan ke atas penje.na.yah dan ma.ya.t mereka dipaparkan kepada khalayak sebagai pengajaran. (Northedge, 2008)

Bangunan kecil yang terletak di utara kompleks istana ialah Jawsaq al-Khaqani yang turut berperanan sebagai kediaman peribadi khalifah. Semasa tempoh Kekacauan Samarra meletus, ia turut beperanan sebagai pen.ja.ra untuk golongan ternama. Antara yang pernah menghuni Jawsaq al-Khaqani sebagai banduan ialah beberapa khalifah Abbasiyyah seperti al-Muhtadi dan al-Mu’tamid. (Yarshater, 2007)

  • al-Hayr

al-Hayr di sini merujuk kepada rizab memburu khas yang didirikan oleh al-Mu’tasim sebagai cara memuaskan hobinya memburu binatang eksotik. Menurut al-Ya’qubi dalam kitabnya Tarikh al-Ya’qubi, antara binatang yang ditempatkan di situ ialah gazel, burung unta, rusa dan arnab dengan kawasan rizab dibuat seolah-olah menyerupai kawasan steppe yang luas dan indah.

Penggunaan kawasan rizab sebegini untuk tujuan memburu bukan perkara baru di rantau berkenaan. Bagaimanapun, aktiviti memburu tidak terhad kepada rizab haiwan al-Hayr. Di Istana Dar al-Khalifa, terdapat singa-singa yang dijaga di situ sebelum diarah bu.nu.h oleh al-Muhtadi pada 869. Singa-singa berkemungkinan dilatih sebagai penjaga dan terlibat dalam persembahan pertarungan haiwan, amalan yang lahir dari era kerajaan Babylon dan Assyria. (Farhatullah, 2018)

  • Balkuwara
Peta lokasi Samarra.

Merupakan kediaman rasmi pewaris takhta pilihan al-Mutawakkil, al-Mu’tazz. Dibina semasa era pemerintahan baginda, istana ini menghadap Sungai Tigris dan dikelilingi oleh dua tembok dengan keluasan berbeza. Tembok dalam berkeluasan 266,800 meter persegi dengan tembok luar pula berkeluasan lebih 1.3 juta meter persegi. (Farhatullah, 2018)

  • Istana al-Haruni

Istana yang dibina oleh al-Wathiq bersebelahan tebing Sungai Tigris. Merupakan kediaman rasmi baginda dan al-Mutawakkil sebelum mendirikan Istana al-Ja’fari pada 859. (Northedge, 2008)

  • al-Mutawakkiliya dan Istana al-Ja’fari

al-Mutawakkiliya merupakan projek berskala besar digerakkan oleh al-Mutawakkil dengan tujuan menggantikan Samarra sebagai kediaman rasmi khalifah Bani Abbasiyyah. Ia terdiri daripada kawasan tidak bertembok dengan pusat kota terletak di kawasan jalan utara-selatan.

Di bahagian barat lokasi menempatkan Masjid Abu Dulaf dengan menara lingkaran pusarnya hampir serupa dengan Menara Malwiya (Masjid Agung Samarra). Jalan ini menuju terus ke kediaman rasmi al-Mutawakkil, Istana al-Ja’fari yang terletak di utara kota baru ini dan terpisah daripada semua bahagian kota. Sebuah terusan turut digali di lokasi berkenaan untuk tujuan pengairan tetapi gagal dan tidak pernah berfungsi seperti dinyatakan.

Ia mula digunakan oleh al-Mutawakkil pada 860 tetapi baginda hanya bersemayam di situ sebentar saja. Setahun selepas itu, al-Mutawakkil mangkat selepas dibu.nu.h dalam satu plot yang dirancang jeneral dan pembesar istana yang tidak berpuas hati dengan baginda. Putera baginda, al-Muntasir memilih untuk pulang ke Samarra dan bersemayam di Jawsaq. (Northedge, 2008)

  • al-Musharrahat

Istana yang menjadi tempat khalifah berehat sekiranya mereka keluar memburu di al-Hayr. Ia berkemungkinan dibina semasa era al-Mutawakkil dengan kewujudannya sudah ada menjelang 855 atau 856 Masihi. Khalifah yang ingin keluar memburu tidak perlu pergi jauh ke al-Hayr kerana terdapat satu bahagian istana yang dipanjangkan ke bahagian utara rizab berkenaan. (Northedge, 2008)

  • al-Karkh dan al-Dur

Kawasan petempatan ten.te.ra Turki yang kemudiannya berperanan sebagai kawasan sub-bandar Samarra. Kawasan ini dianugerahkan oleh al-Mu’tasim kepada jeneral mereka, Ashinas dengan arahan tegas: tiada orang bukan Turki tinggal di situ dan orang Turki tidak dibenarkan bercampur dengan penduduk Arab.

Walaupun Samarra tidak lagi dihuni penduduk, kawasan ini terus maju berdasarkan rujukan al-Muqaddasi. Ia terus dihuni sehingga abad ke-13 di mana ia kemudiannya mu.sn.ah dilanggar gerombolan angkatan pe.ra.ng Mongol. (Northedge, 2008)

  • al-Matira

Satu lagi kawasan petempatan ten.te.ra asing Abbasiyah yang dianugerahkan al-Mu’tasim kepada al-Afshin. Selain membina istana untuk dirinya, beliau turut membina pasar, masjid dan hammam (rumah mandi awam) atas arahan baginda. Selepas al-Afshin dipen.ja.rakan oleh al-Wathiq, ia kemudiannya dianugerahkan kepada Wasif al-Turki.

Semasa era al-Mutawakkil, ia kemudiannya menjadi kawasan kediaman rasmi putera ketiga baginda, al-Mu’ayyad. Selepas Samarra ditinggalkan semasa era al-Mu’tadid, al-Matira terus dihuni sehinggalah menjadi mangsa gerombolan Mongol pada abad ke-13. (Northedge, 2008)

RUJUKAN:

Northedge, Alastair (2008). The Historical Topography of Samarra: Samarra Studies I. The British School of Archeology in Iraq. Halaman 97 dan 98, 105, 133-144, 183, 189-191, 195, 204-207, 211, 220-223, 225-227, 239, 242.

Yarshater, Ehsan. (2007). The History of al-Ṭabarī (40 jilid). State University of New York Press. Halaman 24-28, 120-121, 149-152,

Kennedy, Hugh (2004). The Prophet and the Age of the Caliphates: The Islamic Near East from the 6th to the 11th Century (Edisi Kedua). Longman. Halaman 163-164.

Farhatullah, Rai. (2018). Abbasid Samarra (Mosques and Palaces). University of the Punjab.

Ruangan komen telah ditutup.