Penyakit jantung masih kekal menjadi pembunuh nombor satu di kalangan rakyat Malaysia, dengan peratusan kematian sebanyak kira-kira 14% (setakat tahun 2014) berbanding kadar mortaliti penyakit lain. Jumlah ini semakin bertambah dari hari ke hari.

Terdapat pelbagai jenis keadaan dan masalah yang menyumbang kepada penyakit jantung, antaranya adalah jangkitan pada jantung (myocarditis), renjatan jantung (cardiogenic shock), masalah jantung kongenital (dari lahir), kesesakan jantung (congested heart failure), dan juga serangan jantung (myocardial infarction).

Serangan jantung (myocardial infarction) merupakan antara salah satu faktor utama yang paling banyak menyumbang kepada kejadian penyakit jantung. Ini adalah kerana ia bersifat akut (terjadi secara tiba-tiba) dan cepat. Dan ia lazimnya berlaku disebabkan oleh keadaan salur darah koronari pesakit. Tapi, apa itu salur darah koronari?

SISTEM PEREDARAN DARAH

Sebelum kita memahami dengan lebih lanjut tentang sistem pengaliran darah koronari, kita kena fahami sistem peredaran darah itu sendiri. Sistem peredaran darah ke seluruh badan dikenali sebagai peredaran darah sistemik.

Setiap organ dalam badan kita memerlukan bekalan oksigen secara berterusan untuk ia berfungsi dengan baik. Otak, peparu, buah pinggang, semuanya memerlukan bekalan oksigen yang mencukupi. Oksigen diperlukan oleh sel pada organ untuk membentuk tenaga. Akan tetapi, pembuatan tenaga akan membentuk produk buangan yang dikenali sebagai karbon dioksida. Organ badan perlu membuang keluar karbon dioksida ini dari dalam sel, kerana karbon dioksida dianggap sebagai bahan buangan (kumuh) badan. Maka ringkasnya, oksigen perlu dibawa kepada organ, manakala karbon dioksida pula perlu dibuang daripada organ. Kedua-dua gas ini mempunyai sistem transportasinya sendiri, iaitu sel darah merah. Sel darah merah bertindak sebagai pengangkutan untuk membawa oksigen kesetiap sel dalam badan, dan membawa karbon dioksida keluar daripada sel. Sel darah merah tak ubah seperti sebuah kenderaan.

Sebagai sebuah kenderaan, sudah tentu ia perlukan “jalanraya”, bukan? Disinilah hadirnya peranan peredaran darah dan salur darah.

Sepertimana terbinanya jalanraya untuk kenderaan, salur darah pula adalah laluan khas untuk darah. Salur darah bertindak sebagai trek untuk sel darah merah dan lain-lain komponen darah bergerak menuju ke destinasi masing-masing. Ada lima jenis salur darah utama didalam badan, iaitu ;

i) Arteri,
ii) Arterioles,
iii) Kapilari
iv) Venules, dan
v) Vena.

Untuk memudahkan kefahaman tentang peredaran darah, kita bina satu analogi mudah. Bayangkan anda merupakan seorang tukang penghantar makanan yang ingin menghantar makanan kepada pelanggan.

Anda (sel darah merah) sedang membawa sekotak makanan (oksigen). Anda mula bergerak dari kedai (jantung) menuju ke destinasi melalui sebuah highway besar (arteri). Nama pun highway, sudah tentu jalannya luas. Selesai melepasi highway, anda memasuki simpang keluar menuju ke jalan bandar (arterioles). Jalannya semakin sempit, tapi masih dikira sederhana luasnya. Kemudian anda mengambil selekoh memasuki jalan kampung (kapilari). Laluan pada jalan kampung teramatlah kecil dan sempit. Kemudian anda sampai ke destinasi anda, rumah pelanggan (organ). Anda pun menyerahkan makanan (oksigen) kepada pelanggan. Pelanggan (organ) menerima makanan (oksigen) tadi dan memberi anda wang bayaran (karbon dioksida).

Selesai tugas, anda pun ingin pulang ke kedai (jantung) untuk menghantar wang (karbon dioksida). Malang sekali, laluan yang anda lalu tadi adalah laluan jalan sehala. Maka anda perlu teruskan perjalanan kehadapan. Dari jalan kampung (kapilari), anda kemudiannya memasuki jalan bandar (venules) semula. Jalan bandar ini hampir sama seperti yang tadi, cuma ia menghala ke dua arah yang berbeza. Selesai melalui jalan bandar, anda memasuki jalan highway (vena). Kalau tadi highway menghala ke rumah pelanggan, kini anda berada di highway yang menghala ke kedai. Anda teruskan perjalanan merentasi highway sehingga anda sampai ke kedai (jantung) semula. Di kedai (jantung), anda menerima arahan baru untuk hantar makanan (oksigen) ke pelanggan (organ) yang lain. Maka anda pun memulakan kitaran yang sama melalui jalan yang sama.

Ringkasannya, kitaran peredaran darah bermula dari jantung, melalui arteri, kemudian arterioles, terus ke kapilari dimana pertukaran gas (oksigen memasuki sel, karbon dioksida keluar dari sel) berlaku. Darah kemudiannya menuju ke venules, seterusnya vena dan kembali semula kepada jantung untuk ulangi proses yang sama. Kitaran inilah yang digelar sebagai peredaran darah sistemik (menyeluruh). Anggap saja peredaran darah sistemik ni kita panggil sebagai “lebuhraya Sistemik”. Senang sikit nak bayangkan. Cuma bahagian kemana karbon dioksida pergi dan darimana oksigen diperolehi, akan dibincangkan kemudian atas sebab kita hanya akan fokus pada peredaran darah pada jantung sahaja.

SALUR DARAH KORONARI

Aliran peredaran darah berterusan ini ditentukan oleh kuncupan jantung badan kita. Seperti sebuah pam, jantung mengepam darah kesetiap organ dalam badan. Jika jantung tidak mengepam, darah tidak akan mengalir. Jika darah tidak mengalir, alamatnya kegagalan organ badan akan berlaku. Maka jantung perlu mengepam sentiasa. Inilah sebabnya mengapa jantung diiktiraf sebagai organ penting dalam badan kita.

Akan tetapi, sepertimana organ-organ lain, jantung juga memerlukan bekalan darahnya tersendiri untuk ia terus mengepam. Mengepam perlukan penggunaan tenaga. Tenaga pula datangnya daripada oksigen. Seandainya sel otot jantung tak dapat bekalan oksigen, ia akan berhenti berfungsi, maka seluruh badan tidak akan dapat bekalan darah masing-masing. Jadi, setiap sel otot didinding jantung yang terlibat dalam proses mengepam darah perlu mempunyai bekalan oksigennya tersendiri.

Jantung bukan sahaja mengepam darah kepada organ lain, malah ia mengepam darah untuk dirinya sendiri. Jantung terdiri daripada fiber (lapisan-lapisan) otot yang menguncup secara sendiri. Kuncupan otot jantung ini memerlukan tenaga, dan mereka mendapat bekalan oksigen daripada sistem peredaran darah sendiri, yang dinamakan sebagai sistem peredaran darah koronari. Koronari itu bermaksud jantung. Maka pendeknya, peredaran darah koronari adalah peredaran darah jantung.

Jika kita menggunakan analogi penghantar makanan tadi, ia boleh diibaratkan sebegini ; penghantar makanan (sel darah merah) bukan hanya menghantar makanan (oksigen) ke pelanggan (organ), akan tetapi ia juga tolong menghantar makanan (oksigen) kepada pekerja kedai (sel otot jantung) didalam kedai (jantung) itu sendiri. Pekerja kedai (sel jantung) juga perlukan makanan (oksigen), bukan? Kalau tak, kebulurlah mereka. Jadi dah alang-alang si penghantar makanan (sel darah merah) ni hantar makanan (oksigen), dia pun tolong hantar ke pekerja kedai (sel jantung) sama. Kalau tadi kita guna highway Sistemik untuk pergi ke rumah pelanggan, kali ni kita guna highway Koronari pulak untuk hantar kepada pekerja kedai. Begitulah, secara ringkasnya.

Tanpa analogi, setiap kali darah dipam keluar dari dalam jantung, ia akan memasuki suatu persimpangan yang menuju ke dinding-dinding luar jantung. Disitu, darah akan membenarkan oksigen diserap oleh sel otot jantung, supaya ia kekal berfungsi. Darah itu kemudiannya kembali kepada ruangan dalam jantung semula. Peredaran ini dikenali sebagai peredaran darah koronari. Masih gunakan prinsip yang sama, iaitu dari jantung > arteri > arterioles > kapilari > venules > vena kembali ke jantung.

PENYAKIT SALUR DARAH KORONARI

Penyakit salur darah koronari jantung muncul apabila terdapat gangguan semasa proses peredaran darah dalam salur darah koronari ini. Ia berlaku apabila wujudnya sesuatu keadaan, sama ada kesekatan didalam salur darah, atau salur darah tidak berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan peredaran darah terganggu, malah boleh terhenti sepenuhnya. Ibaratnya, ada sesuatu yang menghalang lalulintas trafik lebuhraya Koronari ini, sama ada ada halangan pada laluan atau lebuhraya itu sendiri mengalami kerosakan.

Gangguan salur darah koronari ini boleh berlaku atas banyak faktor. Antara yang paling popular adalah atherosclerosis dan arteriosclerosis. Dalam artikel ini, kita hanya akan fokus pada atherosclerosis sahaja.

ATHEROSCLEROSIS


Athero bermaksud sesuatu bahan mendap, manakala sclerosis bermaksud mengeras. Maka, atherosclerosis bermaksud sesuatu bahan mendap yang mengeras didalam salur darah. Atherosclerosis berlaku apabila sesuatu bahan ini mendap didinding salur darah sebelah dalam, berkumpul menjadi plak dan mengeras sehinggakan ia menutupi salur darah tersebut. Bahan-bahan mendap yang mengeras ini menyebabkan salur darah koronari menjadi sempit atau tertutup, menyebabkan peredaran darah terganggu atau terhenti.

Lazimnya ia berpnca daripada mendapan plak seperti :

  1. i) Lemak
  2. ii) Kolesterol

iii) Darah beku

Atherosclerosis boleh berlaku di mana-mana salur darah, terutama sekali di bahagian otak(cerebrovascular atherosclerosis), kaki dan tangan (peripheral atherosclerosis), atau jantung (coronary atherosclerosis). Disebabkan kita hanya fokus pada jantung, maka kita akan bincangkan tentang coronary atherosclerosis.

CORONARY ATHEROSCLEROSIS

Apabila dinding bahagian dalam salur darah koronari terjejas akibat kesan rokok atau tekanan darah tinggi, ia akan menyebabkan suatu luka pada dinding tersebut. Ini akan menyebabkan lemak atau kolesterol yang berada didalam darah melekap di dalam luka tersebut. Semakin lama, mendapan semakin berlaku, membentuk plak yang keras. Plak yang semakin banyak ini akan menutup separa atau sepenuhnya salur darah tersebut, mengakibatkan peredaran darah terganggu. Kadangkala darah beku akan berkumpul di kawasan plak, menambahkan lagi kesekatan pada salur darah. Hasilnya, oksigen tidak dapat dihantar kepada sel jantung. Sel jantung akan mula terjejas, mengakibatkan serangan jantung.

Analoginya, bayangkan lebuhraya Koronari ini mempunyai suatu lubang. Lubang tersebut kemudiannya menyebabkan lumpur berkumpul disitu. Semakin hari, semakin banyak lumpur berkumpul dan ia mula mengeras, menyebabkan laluan lebuhraya terganggu. Dalam sesetengah kes, ia tidak menunjukkan sebarang simptom sehingga pesakit mengalami serangan jantung.

 

 

Terdapat dua perkara boleh berlaku dalam keadaan ini, sama ada ;

i) Angina

Kesekatan yang berlaku menutup SEPARA ruang peredaran salur darah, mengakibatkan peredaran darah SEPARA TERGANGGU. Ia akan menyebabkan sel jantung tidak mendapat oksigen mencukupi, maka ia mulai terjejas.

Analoginya, terdapat halangan diatas lebuhraya Koronari sehinggakan sebahagian laluan lebuhraya itu tertutup. Trafik masih boleh melaluinya, akan tetapi tak semua mampu melepasinya dengan cepat. Penghantaran makanan (oksigen) terganggu. Maka, pelanggan (organ) menjadi terlalu kebulur hampir mati.

Ini dikenali sebagai angina. Keadaan dimana sel jantung tak mendapat oksigen, hampir saja terhenti fungsinya. Boleh dipulihkan jika bekalan oksigen (makanan) dipertingkatkan, atau salur darah dikembangkan (lebuhraya dilebarkan). Angina adalah keadaan kecemasan dan perlukan perawatan segera.

ii) Myocardial Infarction

Kesekatan yang berlaku menutup SEPENUHNYA ruang peredaran salur darah, mengakibatkan peredaran darah separa TERHENTI SEPENUHNYA. Ia akan menyebabkan sel jantung langsung tidak mendapat oksigen, maka ia mulai mati.

Analoginya, terdapat halangan diatas lebuhraya Koronari sehinggakan SEMUA laluan lebuhraya itu tertutup. Trafik langsung tak dapat melaluinya. Penghantaran makanan (oksigen) terhenti sepenuhnya. Maka, pelanggan (organ) bukan hanya kebulur, akan tetapi sudahpun mati.

Berbeza dengan angina, ini dikenali sebagai myocardial infarction. Keadaan dimana sel jantung tak mendapat oksigen secara total, menyebabkan ia tidak dapat berfungsi. Myocardial infarction juga adalah keadaan kecemasan dan perlukan perawatan segera, malah lebih merbahaya berbanding angina.

FAKTOR RISIKO

Terdapat dua klasifikasi berkaitan faktor yang menyebabkan atherosclerosis berlaku, iaitu faktor yang tidak dapat diubah dengan faktor yang boleh diubah.

Faktor tidak boleh diubah adalah seperti ;

i) Umur

– Golongan belia tua keatas lebih kerap mendapat atherosclerosis.

ii) Genetik

– Menurut kajian, genetik berkulit gelap lebih cenderung mendapat atherosclerosis.

iii) Keturunan

– Penyakit jantung lazimnya diwarisi mengikut keturunan.

iv) Jantina

– Lelaki lebih cenderung mendapat atherosclerosis berbanding wanita.

Manakala faktor boleh diubah adalah seperti ;

i) Merokok

– Merokok menggalakkan pembentukan atherosclerosis.

ii) Pemakanan

– Pengambilan diet tinggi kolesterol, tinggi lemak punca pembentukan plak.

iii) Kurang bersenam

– Tiada penyingkiran lemak dilakukan.

iv) Obesiti

– Kuantiti lemak yang tinggi cenderung mengakibatkan atherosclerosis.

v) Tekanan darah tinggi

– Kurang kawalan tekanan darah tinggi menyebabkan atherosclerosis.

vi) Tahap kolesterol dalam darah yang tinggi

– Menyebabkan mendapan kolesterol.

PERAWATAN

1. Perubahan gaya hidup
– Berhenti merokok, kawal obesiti dan berat badan, bersenam, ambil diet seimbang.

2. Pengambilan ubatan
– Patuh pada pengambilan ubatan kolesterol dan darah tinggi.

3. Stenting
– Kemasukan dawai halus dengan belon kedalam salur darah yang tersumbat secara pembedahan bagi membuka laluan salur darah supaya menjadi lebih besar.

4. Bypass
– Menggantikan salur darah terjejas dengan salur darah lain yang diambil dari kaki sebagai laluan baharu peredaran darah.

Atherosclerosis merupakan keadaan kesihatan merbahaya yang boleh meragut nyawa melalui serangan jantung, akan tetapi boleh dielakkan dan dirawat melalui pengamalan cara hidup dan ubatan yang betul.

Jika terdapat sebarang kemusykilan atau ingin mendapat pemeriksaan lanjut berkenaan atherosclerosis, anda boleh merujuk kepada pakar kesihatan terdekat dengan anda. Artikel ini sekadar menyampaikan maklumat kesihatan buat panduan dan pengetahuan dan tidak boleh dijadikan sebagai nasihat kesihatan yang tepat mengikut keadaan penyakit.

#AC #SNJoker


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Mengapa sistem huruf moden perlu disusun bermula dari A hingga Z walhal tiada satu pun syarat yang mewajibkan sedemikian?" Seorang jururawat lelaki yang gemar melihat hidup dari sisi dan perspektif tidak lazim dan janggal. Kadangkala sehingga mencabar kefahaman terhadap diri sendiri.

Leave A Reply