Rabu 20 Ogos 1986 bersamaan 15 Zulhijjah 1406 telah berpulang ke rahmatullah seorang pelakon dan pengarah filem Melayu, Salleh Ghani atau nama sebenarnya Haji Salleh bin Abdul Ghani.

Salleh Ghani dilahirkan di Kampung Belembang, Muar, Johor pada 3 Disember 1923. Beliau adalah putera sulong daripada enam adik-beradik. Salleh Ghani mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Muar dan Sekolah Melayu Bandar Penggaram, Batu Pahat sehingga darjah lima pada tahun 1939.

Dalam perjuangan hidupnya, Salleh Ghani termasuk dalam dunia pelopor dunia kesusasteraan, kewartawanan dan perfileman Melayu. Beliau pernah menjadi guru dan askar dalam Johore Military Forces (JMF) hinggalah kedatangan tentera Jepun.

Novel pertama karya Salleh Ghani berjudul Kesal Membawa Maut sudah menjadi bacaan ramai di mana ketulenannya serta keaslian karya beliau dapat menarik para pembaca menghayati karya beliau. Terkorban Sifat Kerana Janji merupakan cerpen beliau yang mendapat sambutan hebat daripada para pembaca cerpen pada sekitar tahun 1952.

Salleh Ghani gemar menggunakan nama samaran ketika mengarang novel iaitu Cenderawaseh, Megar Terawis dan Adimus Putra..

Penglibatan Allahyarham di bidang perfileman bukanlah atas dasar cita-cita asalnya untuk menjadi pelakon ataupun karyawan filem. Sejak di bangku sekolah lagi minat dan kecenderungan Salleh Ghani lebih tertumpu ke bidang penulisan kreatif.

Dalam tahun 1947 ketika bekerja sebagai penjaga setor di Dermaga Seletar, Singapura, Salleh Ghani mendapat tahu seorang pengarah filem berbangsa India mencari seorang hero untuk filem yang bakal diarahkannya. Pengarah itu bernama B.S Rajhans yang akan membuat filem berjudul Seruan Merdeka keluaran Malayan Arts Production.

Tanpa keyakinan akan memperoleh kejayaan Salleh Ghani turut dilamar untuk membintangi filem itu sebagai hero. Seruan Merdeka juga merupakan novel hasil tulisan Salleh Ghani. Dalam filem Seruan Merdeka Salleh Ghani telah bergandingan bersama Rokiah Hanafi..

Setelah belakon dalam filem itu Salleh Ghani tidak meneruskan kerjayanya sebagai pelakon. Sebaliknya Salleh Ghani bekerja di Jabatan Cetak Kerajaan Johor di Johor Bahru.

Di awal tahun 1950-an Salleh Ghani kembali bergiat dalam dunia perfileman memandangkan kepada perkembangan yang mula baik dalam bidang tersebut. Salleh Ghani turut berlakon dalam filem seperti Chempaka, Buloh Perindu, Nelayan, Terang Bulan Di Malaya, Insaf, Pertarohan, Tangisan Ibu, Dahlia, Selamat Tinggal Kekasehku, Kasih Menumpang, Azan, Selamat Hari Raya, Kembali Ke Desa, Duka Nestapha, Che Mamat Parang Tajam, Satay, Tunang Pak Dukun dan Keluarga 69.

Sebelum Salleh Ghani menduduki bangku pengarah beliau terlebih dahulu menjadi penolong. Antara filem yang melibatkan Sallleh Ghani sebagai penolong pengarah seperti Nelayan, Kembali Ke Desa, Duka Nestapha, Kasih Menumpang, Salah Sangka, Pontianak, Dendam Pontianak, Che Mamat Parang Tajam, Mahsuri, Bawang Puteh Bawang Merah, Jula Juli Bintang Tujuh, Pak Pandir Modern, Noor Islam, Tunang Pak Dukun, Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang dan Satay.

Setelah banyak menimba pengalaman sebagai penolong pengarah akhirnya pada tahun 1960 Salleh Ghani telah dilantik menjadi pengarah oleh syarikat Cathay-Keris Film Production dengan mengarahkan filem pertamanya berjudul Sri Mersing. Sri Mersing merupakan sebuah filem yang mengangkat martabat dan menjulang nama Salleh Ghani sebagai pengarah filem tersohor.

Filem pertama arahannya itu telah mendapat tempat di hati pada penonton dan peminat filem Melayu pada ketika itu sehingga kini. Sehingga hayatnya Salleh Ghani telah mengarah sebanyak tiga belas buah filem dan filem terakhir arahannya ialah Pertentangan pada tahun 1983. Selain itu Salleh Ghani juga pernah mengarah dua buah drama bersiri terbitan RTM iaitu Tragedi Sri Mersing dan Teluk Mas.

Salleh Ghani meninggal dunia dalam usia 65 tahun akibat penyakit barah tekak yang dideritainya beberapa bulan sebelum itu. Jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang, Selangor.

Filem arahan Salleh Ghani

  1. Sri Mersing – 1961
  2. Jalak Lenteng – 1961
  3. Tun Fatimah – 1962
  4. Siti Payong – 1962
  5. Tangkap Basah – 1963
  6. Ibu Ayam – 1963
  7. Anak Manja – 1963
  8. Tun Mandan – 1964
  9. Hujan Darah – 1965
  10. Suasana Malaysia No. 3 – 1966
  11. Perusahaan Tangan Batek Tembaga – 1966
  12. Ribut Barat – 1981
  13. Pertentangan – 1982

Drama

  1. Tragedi Sri Mersing – 1984
  2. Teluk Mas – 1985

RUJUKAN:

Filem Melayu Dari Jalan Ampas ke Hulu Kelang

Jejak Terbilang


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

Comments are closed.