Nama Salahuddin Yusuf al-Ayyubi atau Saladin amat harum bukan saja dalam kalangan umat Islam hari ini tetapi dalam kalangan sejarawan dan pengkaji Barat. Ini kerana selain dikenali sebagai penakluk Baitulmaqdis semasa era Perang Salib, baginda juga dikenali kerana sikapnya yang baik terhadap semua termasuk terhadap tawanan perang dan pemimpin musuh termasuk Raja Richard the Lionheart dari England. Ini menjadikan Salahuddin antara tokoh paling terkenal semasa Zaman Pertengahan.

Nama sebenar baginda ialah al-Malik al-Nasir Salah al-Dunya wa’l-Din Abu’l Muzaffar Yusuf Ibn Ayyub Ibn Shadi al-Kurdi. Ayahandanya, Najmuddin Ayub pernah berkhidmat di bawah seorang emir kerajaan Saljuk bernama Bihruz. Tetapi ayahandanya melakukan kesilapan dengan memberi perlindungan kepada Imaduddin Zengi dan tenteranya dari Mosul di Tikrit dan memberi kuda yang diperlukan untuk meneruskan perjalanan. Ini ditambah dengan tindakan bapa saudaranya, Asaduddin Shirkuh membunuh seorang rakan Bihruz atas nama pembunuhan maruah. Berang dengan tindakan kedua-duanya, Bihruz menghalau mereka keluar dari Tikrit.

Pada malam mereka keluar dari Tikrit itu juga, Salahuddin dilahirkan. Selepas mendengar apa yang menimpa ke atas Najmuddin, Imaduddin memberi perlindungan kepada mereka sebaik tiba di Mosul dan turut melantik Najmuddin sebagai komander kubunya di Baalbek. Selepas Imaduddin meninggal dunia pada tahun 1146 Masihi, kedudukan beliau diambil alih oleh puteranya Nuruddin Zengi.

Semasa menetap di Damsyik, Syria, baginda menyimpan rasa kagum terhadap bandar berkenaan. Pada masa kecilnya, Salahuddin didedahkan dengan pendidikan Al-Quran dan sains. Selain pengajian Islam, baginda juga mempunyai pengetahuan berkenaan susur-galur, biografi dan sejarah orang Arab termasuk susur-galur kuda-kuda Arab. Salahuddin juga dikenali kerana mengetahui syair-syair Arab terutama karya antologi sastera Abu Tammam, Hamasah. Semasa mendapat latihan ketenteraan, beliau juga dikenali sebagai penunggang kuda yang hebat dan mahir bermain polo.

Kempen pertama Salahuddin sebagai tentera bermula apabila menyertai kempen bapa saudaranya Imaduddin di Mesir atas jemputan bekas wazir kerajaan Fatimiyah, Shawar. Shawar dihalau keluar oleh pesaingnya Dirgham dan memohon bantuan Nuruddin Zengi untuk mendapatkan semula kedudukannya. Permintaan beliau ditunaikan oleh Nuruddin dan ini membawa kepada kempen keluarga Ayyubi di Mesir. Selepas Shawar berjaya dikembalikan semula kedudukannya, beliau mahukan Imaduddin dan tenteranya berundur dari Mesir tetapi permintaan tersebut tidak dilayan.

Ini menyebabkan pertempuran tercetus antara Shawar dan sekutunya Amalric I dari Jerusalem dengan angkatan Imaduddin. Tetapi di sebalik bilangan mereka yang ramai, angkatan Shawar dan Amalric I tewas di tangan Imaduddin di Bilbays.  Begitupun, Imaduddin dan angkatannya berundur selepas memeterai perjanjian damai dengan Amalric I turut melakukan perkara sama selepas mendapat tahu Baitulmaqdis diserang pemerintah Syria semasa ketiadaan baginda.

Pada tahun 1167, Imaduddin dan Salahuddin kembali semula ke Mesir untuk menyingkirkan Shawar. Shawar yang terdesak memohon bantuan Amalric I dan ini mendorong Imaduddin berundur dari kedudukannya di Iskandariah dengan meninggalkan Salahuddin dan sekumpulan kecil tentera untuk mengawal kota berkenaan. Walaupun dikepung tentera Mesir dan Salib, Salahuddin dan tenteranya dapat bertahan dan memberi sumber diperlukan kepada para penduduk. Tetapi keengganan bapa saudaranya menyerang kedudukan pihak musuh dari belakang nyata mengecewakan bakal pengasas Dinasti Ayyubiah itu. Selepas membayar wang tebusan, Salahuddin menyerahkan Iskandariah kepada tentera Salib.

Tetapi Shawar tidak menyangka permainan helah Amalric I. Setahun selepas itu, baginda menyerang Mesir atas namanya dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Bilbays. Setelah itu, baginda mara ke Kaherah dan berita tersebut diketahui oleh Imaduddin. Dengan Salahuddin di sisinya, mereka segera bergerak ke Mesir dan berita ketibaan Imaduddin menyebabkan Amalric I dan angkatannya berundur dari Mesir.

Selepas mereka tiba di Kaherah pada awal tahun 1169, Shawar ditahan oleh angkatan Imaduddin pimpinan Salahuddin dan dihukum bunuh kerana dianggap berpotensi mengancam kedudukan mereka di Mesir. Selepas kematian Shawar, khalifah terakhir Fatimiyah al-Adid melantik Imaduddin sebagai wazir baru Mesir. Tetapi beliau hanya memegang jawatan tersebut selama dua bulan sebelum meninggal dunia akibat masalah perut. Berikutan itu, al-Adid memilih Salahuddin sebagai wazir baru kerajaan berkenaan.

Jika al-Adid menyangka Salahuddin boleh dipergunakan sebagai boneka, baginda salah. Ini kerana Salahuddin sudah menunjukkan bakatnya sebagai pentadbir yang baik dan perlahan-lahan mula memudarkan pengaruh kerajaan Fatimiyah seperti membuang isi khutbah yang mencela para sahabat Nabi s.a.w dan mengembalikan semula kedudukan Ahli Sunnah Waljamaah terutama mazhab Maliki dan Syafie.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang cubaan sekumpulan tentera dan emir yang berpakat menyingkirkan baginda. Tetapi cubaan tersebut dihidu oleh ketua perisikan Salahuddin, Ali bin Safyan dan akibatnya ketua pemberontak Naji, Mu’tamin al-Khilafa dihukum bunuh. Sementara 50,000 tentera Fatimiyah berkulit hitam yang memberontak berjaya ditumpaskan oleh pasukan tentera baginda. Baginda juga bertanggungjawab menghalau keluar tentera Amalric I dari Damietta dan merampas Gaza dari cengkaman Raja Tentera Salib itu. Selain itu, istana kepunyaan mereka di Eilat berjaya dirampas oleh tentera Salahuddin.

Pada Jun 1171, Nuruddin menghantar surat kepada baginda untuk mengasaskan semula kedudukan kerajaan Bani Abbasiyah di Mesir. Dan itu dicapai selepas khalifah al-Adid mangkat pada 1171 dan setelah itu, nama khalifah Abbasiyah kembali dinyatakan di Kaherah dan Fustat. Ini membolehkan Nuruddin memfokuskan kempen merampas semula Palestin dari cengkaman tentera Salib dari Syria dengan Salahuddin melancarkan kempen dari Mesir.

Mereka berdua seharusnya bertemu di Kerak tetapi Salahuddin terpaksa berundur selepas mendapat tahu berita kemangkatan bapanya, Najmuddin akibat kecederaan semasa menunggang kuda. Pengunduran itu juga berpunca daripada berita kebangkitan golongan pengkhianat Fatimiyah yang dikatakan mendapat sokongan tentera Salib di Mesir. Nuruddin nyata kecewa dengan keputusan Salahuddin dan terpaksa bergerak secara solo.

Antara tahun 1173 hingga 1174, Salahuddin meluaskan sempadannya hingga ke Libya dan Yaman di selatan. Dan tindakannya mengurangkan bayaran kepada Nuruddin nyata menimbulkan kemarahan rakan dan gurunya itu. Ini menyebabkan beliau merancang kempen ketenteraan ke atas Salahuddin dan menggantikannya dengan wazir yang lebih setia dengan Dinasti Zengi. Tetapi hasrat beliau tidak kesampaian apabila kembali ke rahmatullah pada tahun 1174 Masihi. Ini sekaligus menimbulkan kekecohan di mana emir-emir cuba mengukuhkan kedudukan masing-masing termasuk Salahuddin.

Mengambil kesempatan atas apa yang berlaku, Salahuddin mara ke Damsyik dan disambut meriah oleh penduduk. Satu persatu kota di Syria jatuh ke tangan baginda kecuali Aleppo. Dinasti Zengi enggan mengakui Salahuddin sebagai sultan dan beberapa kali melancarkan kempen untuk menjatuhkannya tetapi gagal. Salah satu kempen mereka ialah meminta pertolongan satu kelompok Ismaili bernama Hashahin atau Assassin diketuai Rashid ad-Din Sinan. Sinan menghantar 13 pembunuh dari kelompok berkenaan untuk membunuh Salahuddin tetapi cubaan tersebut berjaya digagalkan oleh pengawal dan tentera baginda. Dinasti Zengi terus menentang kerajaan Ayyubiyah sehinggalah Aleppo jatuh pada tahun 1183 Masihi.

Selepas berjaya menewaskan pesaingnya di Hama pada tahun 1175, ketokohan baginda diiktiraf kerajaan Bani Abbasiyah dengan mereka mengiktirafnya sebagai Sultan di Mesir, Syria dan Yaman. Untuk mengelakkan lebih banyak kekecohan membabitkan Dinasti Zengi, Salahuddin berkahwin dengan balu Nuruddin merangkap anak perempuan Gabenor Damsyik Unur, Ismat. Walaupun tewas di Mont Gisard pada tahun 1177, kejayaannya di Marj Ayyun dan penawanan kubu tentera Salib di Sungai Jordan pada tahun 1179 nyata menambah lagi semangat mereka menghalau keluar tentera Salib dari Timur Tengah.

Tidak lagi bimbang dengan gangguan Dinasti Zengi dan kerajaan Baitulmaqdis menerusi perjanjian damai 1175, perhatian Salahuddin kini beralih kepada kumpulan Hashahin. Untuk mematikan ancaman kumpulan tersebut, kubu mereka di Masyaf dikepung pada pertengahan tahun 1176 tetapi ia berakhir menerusi satu perjanjian damai yang dibroker oleh bapa saudara Salahuddin yang juga gabenor Hama. Berdasarkan satu kisah, Sinan sendiri menceroboh masuk ke kem Salahuddin dan meninggalkan satu nota memberi amaran sekiranya baginda meneruskan kepungan, Salahuddin akan dibunuh. Ini mendorong baginda bukan saja menghentikan pengepungan malah menawarkan pakatan dengan Hashahin. Ini mendorong kedua-duanya bekerjasama untuk menghalau ancaman tentera Salib dari Timur Tengah.

Pada tahun 1177 Masihi, tentera Salib mencabuli perjanjian damai mereka dengan kerajaan Ayyubiyah menerusi serangan ke atas Damsyik. Salahuddin bertindak balas dengan menggerakkan 26,000 tentera pimpinannya ke Palestin dan berjaya menawan Askalon serta mara hingga ke pintu gerbang Baitulmaqdis. Tetapi pada 25 November, tentera Salib di bawah pimpinan putera Amalric I, Baldwin IV melancarkan serangan mengejut ke atas baginda dan pegawainya tatkala sebahagian besar tenteranya keluar menyerang. Dengan kekuatan seramai 375 kesatria, serangan Baldwin IV berjaya mengalahkan tentera Salahuddin dengan baginda terpaksa kembali ke Mesir dengan menaiki unta.

Tidak terganggu dengan serangan mengejut Baldwin IV, baginda kembali semula pada musim bunga tahun 1178 Masihi dengan menyerang Homs dan menguasai semula Hama. Raja Baldwin IV cuba menyerang balas tetapi perancangan mereka diketahui tentera Salahuddin. Pada musim bunga tahun 1179, tentera Baldwin berjaya ditewaskan dengan mudah pada April 1179. Sebagai tindak balas, tentera Ayyubiyah berjaya merampas kubu kesatria Templar di Chastellet. Pada musim bunga 1180, Salahuddin merancang untuk menyerang Baitulmaqdis tetapi rancangan tersebut dibatalkan selepas Baldwin mahu mengadakan perjanjian damai dengan baginda.

Selepas berjaya memastikan kebanyakan kota milik Dinasti Zengi jatuh ke tangan baginda kecuali Mosul, Salahuddin seterusnya mengadakan perjanjian dengan kerajaan Rom Timur/Byzantine. Menerusi perjanjian ini, kedua-dua kerajaan berjanji tidak akan menyerang antara satu sama lain dan bersedia membantu sekiranya diserang kerajaan Saljuk. Dan ini akhirnya membolehkan baginda kembali fokus kepada Palestin dan Baitulmaqdis. Pada September 1182, baginda dan tenteranya mara ke tanah dikuasai tentera Salib di Sungai Jordan sebelum tiba di Ain Jalut.

Tentera Salib dilihat sudah bersedia tetapi bilangan mereka tidaklah sebesar bilangan tentera Ayyubiyah. Tetapi provokasi tercetus gara-gara tindakan seorang bangsawan Salib bernama Raynald de Chatillon yang mengugut mahu menyerang Makkah dan Madinah. Sebagai tindak balas, Salahuddin mengepung Kerak yang dikuasai Raynald pada tahun 1183 dan 1184. Kemuncak konflik ini ialah bila Raynald menyerang rombongan jemaah haji yang melalui Kerak pada 1185, membunuh dan merampas harta milik mereka. Ini menyebabkan Salahuddin menggerakkan tentera lautnya untuk menyerang Beirut.

Sedikit demi sedikit, wilayah dikuasai tentera Salib jatuh ke tangan Salahuddin dan kemuncak pada semua ini ialah Perang Hattin yang berlaku pada Julai 1187. Kekuatan tentera Salib tidak dapat mengatasi tentera baginda dengan ramai kesatria dan bangsawan terbunuh dalam pertempuran tersebut. Ramai menjadi tawanan perang termasuk pengganti Baldwin, Guy de Lusignan dan Raynald.

Pada mulanya Salahuddin cuba bersikap belas terhadap Raynald tetapi selepas bangsawan Perancis itu menghina Rasulullah s.a.w dan berbangga membunuh jemaah haji semasa ekspedisinya pada tahun 1185, baginda sendiri bertanggungjawab menghukum mati Raynald. Guy menyangka nasibnya sama seperti Raynald tetapi baginda tidak dibunuh kerana alasan Salahuddin, “Bukanlah seorang raja membunuh seorang raja yang lain tetapi lelaki itu melanggar semua bentuk batas dan aku tidak teragak-agak memperlakukan apa selayaknya ke atas dia.” Tindakan baginda menyebabkan ramai periwayat di Barat melabelnya sebagai terhormat.

Tiga bulan selepas Hattin, Baitulmaqdis akhirnya jatuh selepas dikepung pada Oktober 1187.  Tidak seperti tindakan tentera Salib yang menyembelih orang awam tanpa mengira sama ada mereka orang Islam, orang Yahudi atau Kristian 80 tahun lepas, perkara tersebut tidak berlaku semasa kempen Salahuddin. Penduduk awam beragama Nasrani diberi perlindungan. Walaupun mereka turut mengenakan tebusan rendah bagi setiap orang Nasrani, mana-mana yang tidak berkemampuan dibenarkan keluar dari Baitulmaqdis daripada dijadikan hamba.

Bagaimanapun, tentera infantri dan kesatria Salib bertaraf rendah diperhambakan. Selain itu, Salahuddin turut menjemput orang Yahudi kembali semula ke Baitulmaqdis dan jemputan itu disahut oleh orang Yahudi di Ashkalon di mana mereka menghantar satu kumpulan untuk menetap di bandar berkenaan. Kebanyakan gereja di Baitulmaqdis ditukar semula peranannya sebagai masjid kecuali Gereja Holy Sepulchre.

Berang dengan kembalinya Baitulmaqdis ke tangan orang Islam, Paus Gregory III melancarkan kempen Salib ketiga untuk menawan semula Baitulmaqdis. Sahutan Gregory III disahut tiga raja iaitu Frederick I Barbarossa (Jerman), Philip II (Perancis) dan Richard the Lionheart (England). Pada tahun 1189, tentera Richard menggempur Acre dan membunuh lebih 3,000 lelaki Muslim dengan kanak-kanak dan wanita dijadikan tawanan. Sebagai tindak balas, Salahuddin menghukum mati setiap tentera Salib yang ditemui tenteranya dalam tempoh dua minggu selepas itu.

Tentera Salib pimpinan Richard menghala ke selatan menuju ke Baitulmaqdis dengan kedua-dua pasukan bertempur di Lembah Arsuf pada September 1191. Walaupun tentera Salib menang dalam perang tersebut, kehilangan nyawa di pihak Ayyubiyah tidaklah terlalu besar. Tetapi ini sudah cukup merobek kredibiliti Salahuddin sebagai panglima perang apatah lagi selepas Jaffa jatuh ke tangan tentera Salib pada Ogos 1192.

Ramai mempersoal mengapa Salahuddin tidak mahu melancarkan konfrontasi secara terbuka dengan tentera Salib di bawah pimpinan Richard. Salah satu motif tindakannya ialah mengelak dari bertembung dengan angkatan bantuan yang dihantar Frederick I yang besar (tetapi tidak pernah kunjung tiba). Selain itu, baginda merasakan lebih baik melemahkan kedudukan tentera Salib secara beransur-ansur. Ini kerana dengan keadaan tentera yang lemah dan jadual masa yang terhad, sudah pasti tentera Salib tiada pilihan selain menghentikan kempen mereka dan berdamai dengan baginda. Dan apa yang diramalkan Salahuddin menjadi kenyataan kerana setibanya di Baitulmaqdis, Richard hanya mempunyai 50 kesatria dan 2,000 anggota tentera infantri untuk kempen di situ.

Kedua-duanya mempunyai rasa hormat antara satu sama lain sebagai lawan yang berhak dihormati. Dikatakan dalam satu kisah, apabila Salahuddin mendapat tahu kuda Richard I mati semasa di Arsuf, baginda menghantar seekor kuda sebagai ganti. Pada tahun sama, kedua-duanya bersetuju memeterai Perjanjian Ramla yang membenarkan umat Islam mengekalkan penguasaan ke atas Baitulmaqdis, jemaah Kristian dibenarkan menziarahi kota berkenaan dan tentera Salib mengawal sedikit wilayah di sepanjang perairan Mediterranean.

Pada Mac 1193, Salahuddin mangkat pada usia 55 atau 56 tahun. Punca kematian baginda tidak diketahui dengan banyak spekulasi merujuk kepada keletihan akibat kempen peperangan atau demam panas. Tetapi baru-baru ini, Dr Stephen Gluckman dari Universiti Pennsylvania menerusi satu sidang perubatan berpandangan baginda mati akibat penyakit tifoid. Ini kerana menerusi pandangan pakar, simptom yang dialami tidak bersesuaian dengan penyakit tibi atau demam malaria. Tetapi ia memenuhi ciri penyakit tifoid dengan antara simptom penyakit berkenaan ialah demam panas, sakit perut, sakit kepala dan hilang selera makan.

Semasa Salahuddin mangkat, baginda tidak mempunyai sebarang harta kerana semuanya telah diserahkan kepada golongan fakir miskin. Ini menyebabkan semasa proses pengebumian dijalankan, tiada wang dapat digunakan untuk membayar kos pengebumian. Baginda dimakamkan di sebuah makam di sebuah taman di luar Masjid Umawi di Damsyik, Syria.

SUMBER

  1. Szczepanski, Kallie. (2017). ThoughtCo.com. Saladin, Hero of Islam. https://www.thoughtco.com/saladin-hero-of-islam-195674
  2. Geggel, Laura. (2018). LiveScience.com. This Is What Killed Medieval Sultan Who Conquered Jerusalem During the Crusades. https://www.livescience.com/62487-historical-diagnosis-sultan-saladin.html
  3. Cartwright, Mark. (2018). Ancient.eu. Saladin. https://www.ancient.eu/Saladin/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.