Saintis Maklum Bumi Terima Isyarat Pelik Dari Langit 16 Hari Berturut-turut

20,813

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Isyarat-isyarat radio misteri yang datang dari angkasa lepas diketahui sebagai berulang-ulang. Tetapi beberapa hari lepas, pasukan menyelidik mendapati wujud corak dalam bentuk siri pecahan dari satu sumber yang sama yang terletak 500 juta tahun cahaya dari Bumi.

Pecahan radio pantas (FRB) ialah pecahan gelombang radio milisaat di angkasa lepas. Isyarat radio tunggal ini akan memancar sekali dan tidak berulang. Tetapi dalam kes FRB, ia diketahui menghantar gelombang radio pendek tetapi bertenaga sebanyak beberapa kali. Dan bila ia dibuat secara berulang, ia bersifat sekali-sekala atau berkelompok.

Antara 16 September 2018 hingga 30 Oktober 2019, penyelidik-penyelidik dari Canadian Hydrogen Intensity Mapping Experiment/Fast Radio Burst Project (CHIME/FRB) mengesan corak pecahan yang muncul setiap 16.35 hari. Dalam tempoh empat hari, isyarat akan melepaskan beberapa pecahan setiap jam sebelum senyap selama 12 hari berikutnya.

Isyarat ini dikenali sebagai FRB 180916.J0158+65. Pada tahun lepas, CHIME/FRB turut mengesan lapan FRB baru yang berulang dan sumbernya didapati berasal dari sebuah galaksi berlingkar yang besar. Galaksi ini terletak 500 juta tahun cahaya dari bumi.

Pasukan penyelidik CHIME/FRB cuba mengesan sumber sebenar isyarat FRB tunggal dan berulang tetapi ia datang dari sumber yang berbeza. Ini membuatkan para penyelidik menggaru kepala tentang misteri isyarat radio ini.

Misalnya, isyarat FRB pertama berulang yang dikesan iaitu FRB 121102. Isyarat FRB 121102 dikatakan datang dari sebuah bintang kerdil mengandungi bintang-bintang dan elemen-elemen besi. Manakala FRB 180916 pula datang dari salah satu daripada lengan lingkaran galaksi bak Bima Sakti.

Ada mencadangkan isyarat-isyarat ini datang dari bintang neutron dan sistem bintang binari jenis OB. Bintang sebegini merupakan bintang paling kecil di alam semesta dan merupakan saki-baki dari letusan supernova. Diameter bintang neutron sama seperti saiz bandaraya Atlanta atau Chicago.

Di sebalik saiznya yang kecil, bintang neutron mempunyai ketumpatan yang tinggi dan lebih berat berbanding matahari. Manakala bintang-bintang jenis OB ialah bintang-bintang yang bersaiz besar tetapi mempunyai jangka hayat yang pendek.

Interaksi antara dua bintang ini ditambah dengan angin yang datang dari bintang jenis OB berkemungkinan mempengaruhi corak pengulangan pancaran FRB.

Ada pula yang berpandangan ulangan isyarat FRB itu datang dari peradaban makhluk asing. Ini dicadangkan oleh Pengerusi Jabatan Astronomi Universiti Harvard, Avi Loeb. Ini kerana menurut Loeb, semua kemungkinan harus dipertimbangkan termasuk kewujudan makhluk asing.

Yang pasti, memahami FRB dilihat kunci kepada memahami alam semesta ini termasuk melihat bagaimana jirim tersebar ke pelosok alam. Menerusi pemerhatian pada masa akan datang, para penyelidik juga dapat melihat sama ada FRB yang dikaji mereka mempunyai corak atau tidak.

Dari situ, barulah mereka boleh menentukan sama ada tempoh sebegitu mempunyai pengecualian atau ia merupakan sesuatu yang rutin.

RUJUKAN:

  1. Strickland, Ashley. (2020). Mysterious radio signal from space is repeating every 16 days. CNN. https://edition.cnn.com/2020/02/11/world/repeating-fast-radio-burst-pattern-scn-trnd/index.html
  2. Christian, Jon. (2020). Harvard Prof: Deep Space Signal May Be From Alien Civilization. Futurism. https://futurism.com/harvard-prof-deep-space-signal-alien-civilization
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.