Moving Forward As One

Saintis Jumpa Tinggalan Hutan Batu Yang Berusia Lebih 20 Juta Tahun!

7,598

Hari ini, Lesbos, Greece dikenali sebagai salah satu kem pelarian sebelum mereka berhijrah ke tanah besar Eropah. Tetapi tidak ramai tahu di sinilah lokasi penemuan fosil paling signifikan di kawasan berkenaan. Fosil yang dimaksudkan ialah fosil tumbuhan atau lebih tepat 150 fosil di bahagian barat pulau tersebut.

Hutan batu itu terhasil apabila kebanyakan kawasan hijau Lesbos dihujani lava dan abu gunung berapi yang meletus antara 17 dan 20 juta tahun lalu. Hutan batu yang terletak di barat Lesbos itu kini diklasifikasikan sebagai taman geologi global yang diiktiraf UNESCO dan diiktiraf sebagai antara yang terbesar di dunia.

Rajah 1: Salah satu fosil tumbuhan yang ditemui di hutan batu Lesbos. Sumber: Nikolas Zouros

Tetapi penemuan terbaru yang dibuat oleh pasukan pengkaji arkeologi diketuai Profesor Nikolas Zouros dari Universiti Aegean ini dianggap signifikan. Ini kerana apabila mereka menemui 150 fosil tersebut, kebanyakan pokok masih berada dalam keadaan baik dengan sesetengah daripadanya mengekalkan warna yang sama.

Sejak melaksanakan kerja ekskavasi di sepanjang lebuh raya yang menghubungkan Sigri dengan Kalloni sejak 2013, Zouros menyimpulkan tumbuh-tumbuhan ini merupakan bukti kewujudan hutan subtropika di Lesbos. Ini sama sekali berbeza dengan tumbuhan yang membentuk lanskap pulau Mediterranean itu hari ini.

Rajah 2: Antara 150 fosil yang ditemui baru-baru ini. Sumber: Nikolas Zouros

Bagi ahli-ahli botani dan ontologi, penemuan sebegini merupakan cermin ke masa silam. Ini kerana menerusi penemuan 150 fosil tumbuhan ini, ia menunjukkan bagaimana suasana sesebuah tempat berubah sekiranya suhu bumi terus meningkat. Bagi Profesor Iain Stewart dari Universiti Plymouth, sekiranya situasi perubahan iklim tidak menunjukkan perubahan, maka manusia bakal berdepan perubahan ekstrem terhadap persekitarannya.

Menariknya, Lesbos juga pernah disinggahi oleh polimath Yunani terkenal, Aristotle. Beliau berada di pulau itu selama dua tahun selepas mendapat jemputan pelajar merangkap bapa dunia botani Theophrastus.

Rajah 3: Proses galian dari udara.

Tempoh tersebut dikatakan digunakan untuk mengkaji hidupan marin di situ. Profesor Chronis Tzedakis dari University College London percaya Theophrastus merasa takjub melihat hutan batu Lesbos dan menghantar jemputan kepada gurunya untuk melihat keanehan tersebut. Kisah sebegini juga dikatakan menjadi inspirasi kepada beberapa teori spesis hidupan sebagai tetap dan tidak berubah.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

RUJUKAN:

Smith, H. (2021). ‘Unique’ petrified tree up to 20m years old found intact in Lesbos. The Guardian.

Ruangan komen telah ditutup.