Antarktika sentiasa menjadi kiblat penyelidikan kerana di situlah tersembunyinya segala rahsia alam. Suhu sangat sejuk membekukan banyak bakteria, yang menjadi jendela untuk saintis kaji tentang kehidupan masa lampau. Saintis pernah jumpa bakteria berusia lapan juta tahun yang masih aktif tetapi terkekang kerana suhu beku (Kamel & El-Sayed, 2021). Dan sememangnya saban hari, akan ada lagi banyak penemuan kerana 1) Antarktika terlalu besar (14.2 juta kilometer persegi) dan 2) komitmen saintifik masih rendah.

Jadi satu pasukan saintis masuk mesti akan keluar dengan penemuan. Itulah yang berlaku baru-baru ini, apabila sepasukan saintis terjumpa tasik sebesar bandar yang begitu lama tertimbus di dasar ais. Tasik yang tersembunyi ini pada awalnya dikesan pesawat China secara tidak sengaja. Mereka menggunakan teknologi radar untuk mengimbas perubahan pada medan magnetik. Tetapi alih-alih tengok, imbasan mendedahkan tasik yang berada di bawah sebuah permukaan ais.

Kedudukan tasik tersebut.

Dapatan semasa masih lagi terhad. Namun saintis percaya ada sebatang sungai yang melimpah ke tasik tersebut. Yang sahih kiranya tasik. Yang sedang disahihkan adalah sungai. Dan menariknya, ada potensi tinggi yang tasik dan sungai ini tidak beku sepenuhnya atas faktor pemanasan geoterma (Starr, 2022). Ais di atas membeku. Geoterma dibawah memanas. Dijodohkan pula di bahagian tengah-tengah.

Advertisements

Tasik Terbaru Antarktika

Tasik ini dinamakan Snow Eagle, yang menyorok dibawah ais setinggi 3.2 kilometer. Anggaran radar mengira tasik ini bersaiz 370 kilometer persegi, mudah kata separuh negeri Perlis. Memang besarlah. Lagi besar daripada Tasik Kenyir. Kalau terapung di tengah-tengah, boleh kata mengucap juga sebab sangat jauh dengan tebing. Eloklah mengucap – bawa-bawa sikit ingat Tuhan. Apa salahnya.

Seandai dibuang semua darat dan pokok tinggal air saja… [RoB CC BY-SA 3.0)].
Saiz besar mendorong saintis kerana ramai ingin tahu apa yang hidup di dalamnya. Malah saintis juga boleh berpatah balik masa untuk tengok keadaan Antarktika sebelum pembekuan. Impak perubahan iklim boleh disingkap daripada tasik ini. Macam mana kawasan panas boleh membeku bagai – semua maklumat boleh diguna pakai dalam menangani krisis perubahan iklim sekarang… kerana banyak negara panas menjadi sejuk, sekali gus menggugat kebolehan dari segi pertanian dan perladangan.

Banyak Benda Masih Tidak Diketahui

Pengamatan saintis sebenarnya terkekang kerana satu peristiwa yang berlaku 10,000 tahun yang lalu. Saintis masih tidak tahu kenapa lembaran ais (ice sheet) dikacau habis pada zaman itu. Perubahan aktiviti ais katanya begitu mendadak sampai berubah habis. Maka penemuan tasik yang wujud sebelum zaman 10,000 tahun di kawasan tumpuan sememangnya menarik pandangan saintis.

Semua orang tahu Last Glacial Period (Zaman Ais) berakhir sekitar 11,700 tahun yang lalu. Banyak perkara berubah pada masa itu. Kehidupan manusia prasejarah turut berubah terutamanya dengan peralihan antara Homo neanderthalis kepada Homo sapiens (manusia moden). Namun peristiwa yang berlaku terdahulu mengganggu lembaran ais. Bukan individu semata-mata. Alam ini sendiri berubah.

Lembaran ais.

Ambil contoh penyelidikan Institut Potsdam. Di Antarktika Barat, ada sebuah lembaran ais sangat besar – dijangka 2.2 kilometer padu saiznya. Semasa Zaman Ais dulu, saiz lembaran ini jauh lagi besar. Apabila Zaman Ais tamat, lembaran ais tersebut mencair dan mengecil sampailah tinggal yang ada (2.2 kilometer padu). Pengecilannya ada kena mengena dengan peristiwa yang dibicarakan.

Itu yang saintis tertanya-tanya sampai hari ini. Dan penemuan tasik berkat kajian China sudah pasti membantu dari segi pembangunan ilmu.

RUJUKAN:

Kamel, M., & El-Sayed, A. (2021). Future threat from the past. Environ Sci Pollut Res Int. 28 (2): 1287-1291.

Starr, M. (2022, Mei 10). Vast, City-Sized Lake Discovered Miles Below the Antarctic Ice Sheet. Science Alert.

Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply