
Saintis Jumpa Spesis Manusia Purba Persis Orang Saiya!
Selalunya bila sebut manusia berekor, kita hanya membayangkan orang Saiya dalam cerita Dragon Ball. Dalam siri anime tersebut, ekor yang dimiliki mereka membolehkannya bertukar kepada monyet jadian sekaligus bentuk mereka yang paling hebat. Siapa sangka, rupa-rupanya ada versi dunia sebenar orang Saiya menerusi pendedahan ahli paleoantropologi British, John Bennett.

Semua spesies mamalia mempunyai ekor pada satu ketika dalam tumbesaran mereka termasuk manusia. Semasa di peringkat embrio, manusia mempunyai ekor selama empat minggu sebelum ia diserap dalam badan fetus yang semakin membesar. Yang tinggal cuma tulang koksiks atau tulang tongkeng. Ia tidak lagi berfungsi sebagai penyokong keseimbangan dan pergerakan tetapi masih memainkan peranan sebagai titik penyambung untuk otot-otot.

Tetapi penemuan yang dibuat sekumpulan saintis di sebuah gua di Siberia, Rusia pada April tahun lepas memaksa komuniti saintifik memikirkan semula tentang hal ini. Antara artifak yang ditemui ialah serpihan tulang pelvik, tulang koksiks, femur dan fragmen rahang bawah. Pada awalnya, para saintis menyangka tulang-tulang ini milik Homo sapiens 50,000 tahun lalu berdasarkan bukti arkeologi manusia moden terawal sudah menghuni kawasan berkenaan dalam tempoh dinyatakan.

Bagaimanapun, analisis DNA mendapati serpihan-serpihan tulang itu milik sejenis spesies manusia unik yang dikenali sebagai Homo apriliensis. Spesies manusia baru itu dikatakan mempunyai ekor kecil tapi masih boleh dilihat. Menurut Bennett, ini merupakan contoh saki-baki ciri biologi yang dibawa sesebuah spesies yang telah hilang semua atau kebanyakan fungsi asalnya menerusi evolusi.
Tambahnya, walaupun ciri sebegini kelihatan seperti tiada fungsi, struktur saki seperti ekor boleh mengekalkan sedikit fungsi atau beradaptasi dengan fungsi baru untuk badan. Dalam kes Homo apriliensis, ekor berkenaan terus wujud di luar dan kekal bersama si bayi walaupun selepas kelahiran.

Ketika ini, kajian berkenaan spesies manusia baru ini masih lagi di peringkat awal. Tetapi kajian sedang giat dijalankan oleh sekumpulan sains dari pelbagai disiplin bagi menentukan bagaimana spesies manusia ini boleh pupus.
RUJUKAN:
Gillan, J. (2021). New Human Ancestor Species Discovered… And it had a Tail!. Ancient-Origins.
Ruangan komen telah ditutup.