Saintis Jumpa Minyak Di Angkasa Lepas?

2,915

Alam semulajadi menyimpan sejenis rezeki yang berkurun dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Herodotus telah melaporkan penggunaan bitumen pada benteng dan menara Babylon, yang diperolehi daripada tebing Sungai Issus dan Eufrat.

Petroliam pula telah digunakan China sekitar 3,000 tahun dahulu. Sejarah mengesahkan China sebagai peradaban pertama yang menggunakan petroliam (Deng, 2011).

Penggalian minyak pertama pun dijayakan China pada tahun 347, yang hanya 240 meter dengan menggunakan buluh (Ulrich, 1993).

Jadi minyak memang sudah lama menjadi sebahagian daripada cara hidup manusia. Tetapi kemajuan teknologi meningkatkan lagi kebergantungan industri pada sumber minyak.

Disebabkan itu juga terlalu banyak kemelut politik berlaku angkara minyak. Saddam Hussein sendiri pernah menduduki Kuwait secara haram, yang salah satu puncanya kerana minyak.

Empat perkara memainkan peranan penting di sebalik penghasilan minyak di perut bumi. Haba, masa dan tekanan telah mengubah fosil haiwan dan tumbuht-umbuhan menjadi minyak mentah (Than, 2005).

Di sini jelas ada prasangka jelas – perlu ada kehidupan untuk menghasilkan minyak. Jadi bagaimana Marikh boleh ada minyak?

Satu rumusan mudah boleh dibuat. Marikh pernah (atau masih) ada kehidupan. Berdasarkan kajian dua pakar biologi angkasa bernama Dirk Schulze-Makuch dan Jacob Heinz, Marikh mempunyai sebatian organik dipanggil “thiophenes” (Axe, 2020).

Sebatian ini ditemui pada lumpur kering yang digali Curiosity Rover.

Banyak jenis “thiophenes” ini berasal daripada sumber kehidupan, yang memakan masa berbilion tahun: fosil kehidupan yang ditimbus kemudian ditekan menjadi minyak.

Sungguhpun begitu “thiophenes” juga boleh terhasil melalui proses bukan kehidupan, seperti impak batu angkasa.

Maka Schulze-Makuch dan Heinz perlu membuktikan jika “thiophenes” Marikh bersifat biologi atau kimia.

Jika biologi, semestinya Marikh menyimpan minyak untuk digali demi kajian. Jadi status Marikh sebagai planet mengandungi minyak masih lagi dalam persoalan.

Tetapi Marikh bukan satu-satunya planet di luar angkasa yang (mungkin) mempunyai minyak. Zuhal mungkin sebuah planet bergas, tetapi ia mempunyai sebuah bulan bernama Titan.

Atmosfera bulan ini lebih tebal berbanding Bumi, dengan suhu sejuk, hujan ammonia dan juga adanya tasik, sungai dan laut – ais di Titan juga menggunung seperti gunung (Cain, 2019).

Lukisan Digital

Titan juga mempunyai cecair hidrokarbon yang dijangka ratusan kali ganda lebih banyak berbanding rizab gas asli dan minyak mentah Bumi (Martinez, 2008).

Bahan hidrokarbon ini turun seperti hujan dan terkumpul seperti tasik atau tebing. Rizab gas asli di Bumi pula mencecah 130 bilion tan. Tetapi jumlah ini boleh diperolehi daripada beberapa dozen tasik hidrokarbon di Titan.

Dan 20 peratus permukaan Titan mempunyai ratusan tasik dan laut sedemikian. Ini menunjukkan bulan ini sangat kaya dengan sumber bahan api.

Tasik-Tasik Hidrokarbon

Dua penemuan ini – “thiophenes” Marikh dan tasik hidrokarbon Titan – membuktikan bahawa bahan api boleh dihasilkan tanpa kehidupan. Benar, status “thiophenes” Marikh masih belum ditentukan lagi (biologi atau kimia).

Tetapi tidak mungkin ada kehidupan di Titan, dengan suhu terlalu rambang antara 3.5ºC hingga -179.6ºC (O’Neill, 2016).

Proses yang sama juga dijangka berlaku di sebuah planet yang terletak di Galaksi Horsehead Nebula, 1,300 tahun cahaya jauh dari Bumi.

Di planet ini, terdapat hidrokarbon 200 kali ganda lebih banyak daripada jumlah air Bumi (1.386 bilion kilometer padu).

Hidrokarbon di sini dipercayai tercipta melalui rekahan molekul hidrokarbon daripada kem4t1an sebutir bintang (Wile, 2012).

RUJUKAN:

Axe, D. (2020, Mac 19). Scientists Found Oil on Mars. Or Truffles. The Daily Beast.

Cain, F. (2019, Ogos 2). How Habitable is Titan? NASA is Sending the Titan Dragonfly Helicopter to Find out. Universe Today.

Deng, Y. (2011). Ancient Chinese Inventions. Cambridge University Press. Halaman 40.

Martinez, C. (2008, Mei 2). Titan’s Surface Organics Surpass Oil Reserves on Earth. NASA.

O’Neill, I. (2016, Februari 25). ‘Doctor’ Cassini Takes Titan’s Temperature. Space.

Than, K. (2005, Oktober 11). The Mysterious Origin and Supply of Oil. Live Science.

Ulrich, V.H. (1993). The Great Well of China. Scientific American. 268 (6): 116-121.

Wile, R. (2012, November 27). Scientists May Have Found a Mega Ocean of Oil – On The Other Side of the Universe. Business Insider.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.