Saintis Islam Asaskan Wad Psikitiari Pertama Dalam Sejarah

545

Pra-tempah hanya di Shopee

Beberapa hari lepas, seorang pakar mata yang terkenal membuat kenyataan individu yang didiagnosis dengan penyakit bimbang berlebihan (anxiety) tidak perlu mengambil ubat. Kenyataan tersebut tular di media sosial dan mengundang kecaman ramai. Akhirnya, si pakar berkenaan memohon maaf atas kenyataannya itu dan menarik balik kenyataan sebelumnya.

Bagi penulis, perkara sebegini sepatutnya diserahkan kepada orang yang lebih arif dalam bidang psikologi seperti pakar psikiatri atau kaunselor. Mereka lebih maklum tentang apa jenis gangguan mental yang dialami pesakit dan menentukan rawatan mana yang sesuai bagi mengubati keadaan mereka.

Mungkin ada yang kurang bersetuju dan melihat perubatan mental hari ini lebih menggunakan ubat-ubatan berbanding kaedah yang bersifat perikemanusiaan. Biar penulis berterus-terang, kaedah perubatan mental hari ini jauh lebih baik berbanding dahulu. Dan kaedah rawatan yang digunakan pakar-pakar kesihatan mental untuk merawat pesakit mental pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 lebih dahsyat dan kejam.

Satu kaedah rawatan sakit mental yang kejam ialah lobotomi. Lobotomi atau leukotomi ialah sejenis rawatan pembedahan neural ke atas masalah mental yang melibatkan pemutusan hubungan dalam korteks prefrontal dalam otak manusia. Prosedur ini digunakan bagi merawat pesakit mental selama 20 tahun dari awal tahun 1940-an hingga tahun 1950-an.

Sehingga hari ini, keberkesanan rawatan ini menjadi bahan kecaman pakar-pakar kesihatan mental seawal 1947. Pada tahun itu, pakar psikiatri Sweden Snorre Wohlfahrt menggelar rawatan tersebut sebagai rawatan kasar dan berbah-aya dalam banyak aspek kesihatan. Manakala filsuf dan pakar matematik Amerika Syarikat, Norbert Wiener melihat lobotomi sebagai cara hospital mental mengelat daripada memberi rawatan sepatutnya kepada pesakit.

Rajah 1: Norbert Wiener

Malah, beliau tidak teragak-agak menyifatkan lobotomi sentiasa dipilih sebagai cara memudahkan penjagaan pesakit mental. Antara mangsa lobotomi yang terkenal ialah kakak Presiden John F. Kennedy, Rosemary Kennedy dan isteri Presiden Juan Peron, Eva Peron. Ada juga individu yang ma-ti selepas menjalani lobotomi seperti komposer Josef Hassid dan pelukis Sigrid Hjerten.

Jadi, usah terkejut jika anda selalu mendengar kisah-kisah hospital berhantu terutama hospital-hospital mental. Hospital sebegini merupakan saksi bisu kepada keke-jaman sesetengah individu yang menggelar dirinya doktor atau tabib tetapi memperlakukan pesakit mental seperti haiwan. Malah penulis sendiri pernah menyentuh kisah sebuah hospital mental di Jepun tidak lama dahulu.

Hospital Mental Asakura – Hospital Paling Berhantu Jepun: https://www.thepatriots.asia/hospital-mental-asakura-hospital-paling-berhantu-jepun/

Dan jika anda menelusuri sejarah Zaman Pertengahan Eropah, pesakit mental diibaratkan pariah dalam masyarakat lagi-lagi golongan pemerintah. Apabila pesakit mental diberi tanggungjawab sebagai pemerintah, orang sebegini dipergunakan golongan berkepentingan demi menjaga kepentingan mereka atau tidak berupaya mentadbir.

Rajah 2: Raja Henry VI

Antara yang terkesan dalam hal ini ialah Raja Henry VI dari England. Selepas mendapat tahu angkatan baginda tewas di Bordeaux pada tahun 1453, kesihatan mental baginda terganggu teruk dan memaksa para bangsawan mengangkat sepupu baginda, Richard of York sebagai pemangku raja. Gangguan mental yang dialami baginda juga menjadi permulaan kepada Per-ang Ros[1] yang tercetus pada pertengahan abad ke-15.

Bagi orang biasa pula, pesakit mental seperti mereka dilabel sebagai ejen syaitan oleh pihak gereja dan berpotensi mencetuskan kekac-auan dalam masyarakat. Akibatnya, ramai pesakit mental turut dilabel ahli sihir oleh gereja-gereja di seluruh Eropah dan hukuman untuk mereka mudah saja: hukuman ma-ti sama ada secara pan-cung atau diba-kar hidup-hidup. Kebanyakan cara sek-saan dan hukuman digambarkan dalam manuskrip seperti The Malleus Malaficarum[2].

Rajah 3: Kulit muka depan The Malleus Maleficarum edisi 1669

Dalam masyarakat Melayu zaman silam, isu sakit mental wujud tetapi dikaburi oleh terma-terma seperti terkena buatan orang/santau, bela saka atau terkena ubat pengasih. Ini merupakan cara orang Melayu pada zaman itu untuk menjelaskan kepelikan yang dilihat pada seseorang individu yang lain. Selepas tidak ada penjelasan lanjut, maka jin dan bomoh sajalah yang menjadi alternatif penjelasan.

Namun begitu, itu bukan bermakna penulis menolak kewujudan sihir. Sihir sudah dinyatakan kewujudannya dalam al-Quran menerusi kisah Nabi Musa a.s dan Firaun. Firman-Nya dalam ayat 13, Surah an-Naml mafhumnya, “Maka ketika keterangan-keterangan mukjizat Kami sampai kepada Firaun dan kaumnya dengan jelas nyata, berkatalah mereka: Ini adalah sihir yang terang nyata!”

Tetapi sebelum menyatakan sesuatu benda itu berpunca daripada perbuatan sihir, makanya lebih elok ia dirujuk terlebih dahulu oleh pakar-pakar perubatan bertauliah. Selepas semua pemeriksaan dijalankan tetapi masih tiada cara untuk mengubatinya, maka barulah beralih kepada pengamal perubatan Rukyah yang diiktiraf. Ini kerana sesetengah benda yang dikatakan sihir sebenarnya simptom kepada penyakit-penyakit mental seperti skizofrenia atau paranoia.

Para cendekiawan Islam sudah masak sangat dengan isu sakit mental ini seperti direkodkan dalam kisah Ibnu Sina. Semasa beliau berkhidmat dengan Ala al-Dawla, beliau diberitahu seorang ahli kerabatnya bernama Majd al-Dawla[3] menjadi gila dan mendakwa dirinya seekor lembu. Bagi merawat mental kerabat diraja Buwaihid itu, Ibnu Sina mengutus surat kepadanya bahawa baginda akan disem-belih dalam masa sebulan dan perlu menggemukkan dirinya dalam tempoh sama.

Sebulan kemudian, beliau memeriksa keadaan Majd al-Dawla dengan berpura-pura sebagai penyem-belih. Manakala baginda dibaringkan bak haiwan yang sedia disem-belih semasa pemeriksaan dijalankan. Tetapi Ibnu Sina masih kurang berpuas hati dan memerintahkan Majd al-Dawla menggemukkan lagi dirinya dalam masa sebulan kerana masih terlalu kurus.

Lalu, baginda mengikut nasihat Ibnu Sina dan menggemukkan dirinya dalam tempoh berkenaan. Akhirnya, selepas diperiksa buat kali dua untuk sebulan berikutnya, barulah Majd al-Dawla kembali sihat seperti sediakala. Berdasarkan peristiwa ini, ini menunjukkan kaitan antara kesihatan mental dengan kesihatan fizikal di mana badan yang sihat akan menghasilkan minda yang sihat dan begitu juga sebaliknya.

Begitu juga dengan seorang lagi tokoh perubatan Era Keemasan Islam iaitu Muhammad ibn Zakariya al-Razi atau al-Razi. Semasa bertugas sebagai pengarah sebuah hospital di Baghdad, beliau bertanggungjawab memperkenalkan wad psikiatri sebagai tempat merawat pesakit mental. al-Razi turut melihat penyakit mental harus dirawat seperti mana merawat penyakit fizikal.

Bagi membantu mereka yang mengalami keadaan begini, al-Razi akan memerhatikan terlebih dahulu simptom pesakit psikiatri. Setelah itu, barulah beliau menyatakan diagnosis penyakit dan cara merawatnya termasuk diet pemakanan, ubat-ubatan, terapi pekerjaan, aromaterapi, mandian dan terapi muzik. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan terapi kognitif terawal untuk kelakuan obsesif.

Semua catatan beliau tentang penyakit dan rawatan perubatan terutama aspek psikologi dan psikoterapi direkodkan dalam mahakaryanya, al-Hawi. Semasa era Turki Uthmaniyyah pula, sebuah ensiklopedia perubatan yang dikenali dengan nama Mukbilazade mengelaskan banyak penyakit mental seperti sar’a (epilepsi), yurek oynamasi (kebimbangan melampau) dan ihtinak-i rahm (histeria).

NOTA KAKI:

[1] Siri per-ang saudara membabitkan House of Lancaster dan House of York dari 1455 hingga 1487 dengan tujuan merebut takhta England. Per-ang saudara ditamatkan apabila Henry Tudor berjaya menewaskan Raja Richard III di Bosworth Field pada 1485. Selepas ditabalkan sebagai Raja Henry VII, baginda turut menyatukan semula kedua-dua puak dengan mengahwini Elizabeth of York.

[2] Manuskrip tentang sihir yang ditulis oleh paderi Heinrich Kramer dan diterbitkan kali pertama di Speyer, Jerman pada 1486. Buku ini mengangkat usaha menghapuskan aktiviti sihir dan membangunkan teori teologi dan undang-undang yang menyeluruh.

[3] Anak saudara Ala al-Dawla dan pemerintah terakhir Buwaihid.

RUJUKAN:

Yilanli, M. (2018). Muhammad ibn Zakariya al-Razi and the First Psychiatric Ward. The American Journal of Psychiatry.

Sari, N. (2020). The Classification of Mental Diseases in the Ottoman Medical Manuscripts. Muslim Heritage.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.